Kita sudahpun berkenalan dengan tabut dan mengembara bersama-sama dengannya sejak di Bukit Tursina hinggalah ke hari ini. Keberadaannya ketika ini tidak ada siapa yang tahu, begitu juga dengan isi di dalamnya. Biarlah tabut bersemadi dengan aman di tempatnya sehinggalah datang perintah Allah ke atasnya kerana hari ini kita punya banyak hal yang lebih penting untuk kita uruskan secara berganding bahu.
Sebenarnya saya ingin mengupas tentang “tabut di dalam diri kita” sebagaimana yang dibicarakan oleh sebahagian ahli sufi. Namun rancangan itu saya batalkan kerana begitu banyak pula ‘benda’ lain yang akan bersangkut-paut ‘di dalam diri’ kita seperti bahtera Nabi Nuh, tongkat Nabi Musa, pedang Zulfiqar, jarum Nabi Idris, baju zirah Nabi Daud, singgahsana Nabi Sulaiman dan banyak lagi. Biarlah para ariffin sufi saja yang mengulasnya untuk orang-orangnya.
Beberapa hari sebelum saya menulis penutup ini, negara pengganas Zionis iaitu Israel menyerang Gaza di Palestin dengan begitu hebatnya. Satu serangan besar-besaran secara mendadak yang tidak dijangka-jangka oleh kita. Setakat ini tindakan zalim itu sudah mengorbankan lebih 300 jiwa dan mencederakan hampir 2000 orang. Serangan demi serangan masih berterusan sepanjang minggu. Apakah mereka sudah menemui tabut?
Yang paling penting daripada kisah tabut ini ialah pengajaran-pengajaran di dalamnya. Namun sekurang-kurangnya kita sudah mempunyai serba-sedikit maklumat tentang tabut seandainya ia muncul suatu hari nanti dan ia ditakdirkan mempunyai peranan pula untuk akhir zaman ini.
Teruskan pembacaan anda terhadap karya-karya saya seterusnya yang berisi penelitian-penelitian dalam hal-hal yang menarik.
‘BERTUHANKAN ALLAH, BERSYARIATKAN SYARIAT MUHAMMAD SAW’
Abu Zulfiqar “Alexanderwathern’
No comments:
Post a Comment