Nabi Sulaiman wafat kira-kira pada tahun 935 SM. Salah seorang anaknya bernama Rahub’am menggantikan baginda. Seorang lagi anak Nabi Sulaiman bernama Yarub’am sudahpun memberontak sejak Nabi Sulaiman masih hidup lalu melarikan diri ke Mesir. Selepas kewafatan bapanya, Yarub’am kembali ke Palestin lalu menguasai bahagian utara. Kerajaan Bani Israil pun terpecah kepada dua.
Kemudian Raja Mesir (firaun) bernama Sesac (Sisak/ Sishak) menyerang Jerusalem dan menguasainya. Apa yang terjadi kepada tabut tidaklah diketahui. Jerusalem pula sering menjadi sebahagian daripada medan pertempuran kuasa-kuasa besar seperti Asyur dan Babilon. Besar kemungkinan tabut tidak diganggu memandangkan bangsa-bangsa lain itu tidak ada kena-mengena dengan Tuhan dan agama Bani Israil serta tabut. Lagi pula mereka tentunya pernah dengar tentang bala yang menimpa pengganggu tabut.
Tabut mungkin terganggu pada zaman penaklukan Babilon ke atas Jerusalem. Raja Babilon yang masyhur iaitu Bukhtanassar menyerang Jerusalem dengan begitu ganas sekitar 588 SM. Dia memusnahkan kota Jerusalem dan penduduknya diseret ke Babilon sebagai tawanan. Para pendeta dijejak dan dibunuhnya. (1)
Dari sinilah timbulnya pendapat mengatakan kemungkinan tabut juga dirampas lalu dibawa pulang ke Babilon. Ada yang mengatakan tabut dimusnahkan. Tak kurang pula yang berpendapat tabut disorok oleh Bani Israil, dan antara lokasi paling popular ialah di bawah Haikal Sulaiman. Haikal Sulaiman pula diyakini berada di Masjid al-Aqsa.
Jadi, tentunya kita faham mengapa Israel hari ini mengorek terowong demi terowong di bawah al-Aqsa!
Rujukan:
Agama Yahudi oleh Dr. Ahmad Shalaby, ms 56-61, terbitan Pustaka Nasional, Singapura tahun 1977. Alihbahasa oleh Syed Ahmad Semait.
(1) Al Quran, Bible & Pemberitaan Kenabian Muhammad SAW terjemahan Muhammad Ramzi Omar, ms 48, terbitan Pustaka Ilmi, Selangor, 1999
No comments:
Post a Comment