Agama manusia asalnya satu. Apabila umat manusia semakin berkembang dan bertebaran ke serata dunia, agama manusia pun menjadi pelbagai ragam. Oleh itu dari semasa ke semasa Tuhan mengutuskan wakil-wakilnya berupa rasul dan nabi dalam kalangan manusia untuk membetulkan apa yang kurang kena ataupun yang tidak kena dengan agama mereka. Maka agama itu pun diluruskan kembali.
Namun begitu manusia begitu cepat berubah hati. Apabila para wakil Tuhan itu tidak lagi berada bersama-sama mereka sama ada wafat, hilang ataupun berhijrah, dengan cepatnya mereka merosakkan agama mereka kembali. Bahkan banyak pula umat yang mendustakan para wakil Tuhan itu ketika para wakil itu masih berada di tengah-tengah mereka.
Lihat saja umat Nabi Nuh, Nabi Lut, Nabi Musa, Nabi Isa dan lain-lain. Nabi Musa seorang rasul besar bertaraf Ulul Azmi. Baru beberapa hari dia meninggalkan kaumnya untuk berurusan dengan Tuhan di Bukit Tursina, kaum Bani Israil sudah menyembah berhala lembu. Padahal bersama-sama mereka masih ada seorang lagi wakil Tuhan iaitu Nabi Harun. Hal sebegini boleh berlaku dalam keadaan seorang Rasul Ulul Azmi dan seorang rasul lagi masih hidup bersama-sama mereka. Bayangkan kerosakan-kerosakan agama yang melanda bangsa-bangsa lain.
Terdapat pelbagai jenis agama yang setiap satunya mempunyai pelbagai lagi aliran di dalamnya. Ada aliran yang bersamaan dan ada yang bertentangan fikrah mereka. Agama Islam sendiri tidak terlepas daripada fitnah ini sebagaimana yang dimaklumkan oleh Nabi Muhammad saw:
“Umat Yahudi sudah terpecah menjadi 71 golongan, maka hanya satu golongan saja yang masuk syurga dan yang 70 lagi akan masuk ke neraka. Umat Nasrani (Kristian) sudah berpecah menjadi 72 golongan, maka 71 golongan masuk neraka dan hanya satu golongan saja yang masuk syurga. Demi Tuhan yang diriku (Nabi Muhammad) berada di dalam kekuasaanNya, umatku akan berpecah menjadi 73 golongan, hanya satu golongan saja yang masuk syurga dan 72 lagi akan masuk neraka.”
(Sahabat bertanya) “Siapa mereka (yang selamat itu) wahai Rasulullah?”
Katanya, “Al-jamaah.”
(Ibnu Majah)
‘BERTUHANKAN ALLAH, BERSYARIATKAN SYARIAT MUHAMMAD SAW’
Abu Zulfiqar ‘Alexanderwathern’
No comments:
Post a Comment