Kajian dan pemerhatian ringkas tentang Al-Quran, As-Sunnah (hadis), agama-agama dunia, kitab-kitab suci pelbagai agama, manuskrip-manskrip kuno, alam semesta (bumi dan angkasa lepas), ilmu perbandingan agama, sejarah, peristiwa-peristiwa akhir zaman, kiamat, alam akhirat, alam ghaib, sains, astronomi (falak) dan lain-lain ilmu alam.

Wednesday, December 31, 2008

Berkenalan dengan 'Tuhan'

Dengan izin Allah SWT, pada tahun lalu saya ditemukanNya dengan ‘Tuhan’, ataupun lebih tepatnya ‘manusia yang mengaku dirinya Tuhan’ di ruang maya internet ini. Berbahagia betul saya dapat bertukar-tukar fikiran dengan ‘Tuhan’. Bukan mudah-mudah untuk berdialog terus dengan ‘Tuhan’ kerana ketika berinteraksi dengan ‘Tuhan ‘ itu saya tidak pula mikraj, fana ataupun baqa.


‘Tuhan’ ini agak aktif di internet dalam usaha menyebarkan ‘agama’nya. Dia ‘berfirman’ dalam laman sesawangnya dan di ruang-ruang perbincangan di alam internet. Pergerakannya sangat halus kerana dia memang kelihatan seolah-olah seorang penggerak agama Islam yang rajin dan berilmu. Boleh jadi sudah banyak yang menjadi mangsanya lalu mengikut ‘agama’nya.


Kali pertama membaca nukilan-nukilan ‘Tuhan’ ini, saya agak teruja juga kerana dia punya pengetahuan yang agak baik dalam bidang falsafah, hakikat, kesufian, sejarah, kitab-kitab suci pelbagai agama, mantik dan lain-lain. Sesiapa yang membaca tulisan-tulisannya tentu menyangkakan dia seorang Muslim yang beriman lagi sufi yang berpangkat. Dia sering mengaitkan buah fikirannya dengan memetik ayat-ayat al-Quran, hadis, kitab-kitab besar tasauf dan perkataan-perkataan para ulama sufi. Sesekali dipetiknya pula kalimat-kalimat para ahli falsafah dan tokoh-tokoh dunia. Orang yang baru berjinak-jinak dengan dunia tasauf kesufian akan mudah terpesona dengan penyampaiannya. Nama penanya ialah Tauhidansufi, yang mungkin asalnya “Tauhid dan sufi”. Melihatkan namanya pun sudah cukup untuk mengaburi mata kita.


Namun begitu, setelah mengamati beberapa hasil tulisannya dan berdialog dengannya, saya mendapati orang ini ialah ‘Tuhan’!


Setelah menyedari ada masalah dengan agama orang ini, saya pun berkenal-kenalan dengannya. Sudah pasti saya beranggapan yang dia seorang Muslim pada mulanya. Antara perkara terawal yang saya tanyakan:


ABU ZULFIQAR : Saudara mengikut aliran apa?

TAUHIDANSUFI : Saya tidak mengikut mana-mana aliran atau fahaman.

ABUZULFIQAR : Apa agama saudara?

TAUHIDANSUFI : Dengan membaca bahan-bahan di laman web saya, saudara akan tahu apa anutan saya.


Lihat bagaimana dia sengaja tidak mahu menjawab soalan tetapi mengelak dengan membiarkan kita berlalu begitu saja. Situasi begini menjadikan kerja-kerja ‘Tuhan’ ini untuk meracuni pemikiran umat Islam khususnya yang mendapat pendedahan tentang sufi dan falsafah ataupun yang kurang mendapat pendedahan ilmu tauhid tidak terganggu. Jika status sebenarnya sebagai seorang yang bukan Muslim diketahui umum, sudah tentu ‘kerja-kerja meracun’ tidak berjalan lancar.


Sebagai makluman, ‘Tuhan’ ini pada awalnya menyangkakan saya seorang penganut agama Kristian berdasarkan nama ‘Alexanderwathern’ yang saya guna ketika berbicara dengannya. Tambahan pula saya sering menggunakan ayat-ayat Bible sebagai sandaran.


Untuk membuatkan ‘Tuhan’ ini membuka mulut lalu mengisytiharkan agamanya, saya terpaksa mengumpan terlebih dahulu. Saya pun melayan banyak tulisan-tulisannya dengan cara memberikan komen. Jika dia berbicara tentang tauhid, saya pun membicarakan tentang tauhid dengan melebihkan lagi maklumat berbanding tulisannya. Apabila dia berbicara tentang tasauf, saya pun membiacarakan hal yang sama malah melebihkan sedikit taraf pembicaraan itu. Begitulah seterusnya apabila dia berbicara tentang falsafah, agama-agama dunia, kitab-kitab suci, tokoh-tokoh silam dan lain-lain.


Usaha ini berkesan kerana dia semakin seronok bertukar-tukar fikiran dengan saya sehinggalah terkeluar daripada mulutnya ( mata penanya):


“Saya memang kagum dengan saudara. Sejak kehadiran saudara di laman ini, saya berasa sungguh berlainan. Saya belum pernah bertemu dengan orang seperti saudara di internet. Saya akui yang saudara sekalipun seorang Kristian tetapi punyai banyak maklumat tentang Islam dan agama-agama lain seta hal-hal kerohanian. Teruskan, kita meriahkan diskusi.”


Apabila kijang mulai jinak, pemburu pun tidaklah bertangguh-tangguh lagi. Jika ditanya tentang agamanya dia keberatan, maka saya mengumpan dengan cara ini:


ABU ZULFIQAR: Saudara sering memetik ayat-ayat pelbagai kitab suci dari berbilang agama. Dalam masa yang sama, saudara sering juga meremehkan (saya maksudkan “memperlekehkan”) ayat-ayat yang lain. Sebenarnya saudara percaya kitab suci yang mana? Apakah al-Quran, Bible, Talmud, Weda, Baghawad Gita, Tripitaka, Avesta ataupun yang lain-lain? Jika saudara ada mempercayai mana-mana kitab suci contohnya al-Quran, berapa peratuskah isi kandungan kitab suci itu yang saudara percaya?


(Saya menjangkakan dia seorang Muslim. Jika dia menolak mana-mana satu pun ayat al-Quran, bermakna imannya sudah rosak kerana mempercayai 100% isi al-Quran termasuk dalam Rukun Iman. Begitulah strategi saya. Tetapi ‘Tuhan’ ini menjawab dengan sangat berterus-terang hinggakan saya sendiri kaget seketika)



TAUHIDANSUFI: Saya tidak percaya dengan mana-mana kitab suci. Semua kitab suci itu adalah ‘khayalan’ yang dicipta oleh manusia. Kitab-kitab suci dijadikan berhala-berhala oleh manusia.


Bermula saat itu, panjanglah dialog kami yang tentunya berisi banyak pengetahuan di dalamnya lagi jarang dibicarakan oleh orang-orang biasa.

1 comment:

nackea said...

Firaun mengaku tuhan dan ramai ahli hakikat mengaku tuhan (Nabi SAW tak mengaku tuhan). Semua nak jadi tuhan begitulah manusia bila nak boring dengan kemahusiaannya. Sebenarnya yang mengaku tuhan tu bukannya manusia tu tapi nafsunya.Bila jadi tuhan ni senang sikit tanggal la syariat dan batallah segala hukum. Nah itulah matlamatnya :)

Related Posts with Thumbnails