Kajian dan pemerhatian ringkas tentang Al-Quran, As-Sunnah (hadis), agama-agama dunia, kitab-kitab suci pelbagai agama, manuskrip-manskrip kuno, alam semesta (bumi dan angkasa lepas), ilmu perbandingan agama, sejarah, peristiwa-peristiwa akhir zaman, kiamat, alam akhirat, alam ghaib, sains, astronomi (falak) dan lain-lain ilmu alam.

Tuesday, March 27, 2018

Tinggi-tinggi Si Mata Hati (bah. 2)


Di sebuah surau lama di kampung sana, selepas solat fardhu Isya’ berjemaah. Kelihatan beberapa orang hamba Allah sedang duduk di beranda. Ustaz, Arip, Adi Kopi, Abdullah, Ijam, Tok Bilal, Pak Enai, Tok Imam, Aizam dan Cikgu Hisham. Ada juga dua orang anak kecil sedang bermain-main di tangga surau – Adik Li dan Ayi.


SESUDAH SATU PURNAMA

USTAZ : Alhamdulillah. Dapat jugak kita berjumpa lagi sekali Arip.

ARIP : Itulah ustaz. Bulan lepas tu memang kita dah janji nak jumpa selepas solat Subuh. Tapi tengah malam tu, sedang saya dok kumpul maklumat-maklumat, dapat panggilan telefon pulak. Mau tak mau nak kena balik KL waktu tu jugak. Saya mesej kat ustaz kata tak jadi tu pun dah pukul satu lebih dah tu.

USTAZ : Tak mengapa Arip. Yang kita nampak salah satu hikmahnya, Allah bagi kat kita ruang yang lebih luas untuk kita kumpul maklumat dan bersedia.

ARIP : Tepat sekali ustaz! Saya pun dok nampak memang macam tu lah.

USTAZ : Jadi… kita nak mula dari mana ni?


TAK BOLEH SOLAT KALAU TIDAK MENGENAL?

ARIP : Mula-mula kita tengok satu point cantek punya ustaz. Bagaimana dengan pegangan yang mengatakan solat itu HANYA DIWAJIBKAN bagi orang-orang yang SUDAH MA’RIFAT, yang sudah mengenal Allah.

USTAZ : Sekiranya belum kenal atau belum mengenal Allah?

ARIP : Bagi yang BELUM MENGENAL, dia TAK BOLEH SEMBAHYANG, tak boleh solat. Bahkan ada yang kata haram, berdosa kalau solat jugak.

ADI : Eh, pelik pulak aku mendengarnya! Mengapa tak boleh solat pulak?

ARIP : Kerana… kita tak boleh menyembah sesuatu yang kita tidak kenal. Macam mana kita nak tuju kita punya sembahan kalau tak kenal siapa yang kita nak tuju tu? Takut-takut nanti tersalah sembah, tersalah tuju. Alangkah bahayanya kalau tersalah sembah! Mensyirikkan Allah! Menyekutukan Allah!

ADI : Erkk… kalau lagu tu macam mana pulak ustaz?

USTAZ :  (Menarik nafas panjang lalu melepaskannya perlahan-lahan) Dalam hal ni, mula-mula kita mesti sedar… bahawa solat arus perdana tu ARAHAN, bukan pilihan. Arahan pulak arahan berat, BERTARAF FARDHU. Wajib buat. Apabila ia arahan wajib atau arahan mesti buat, ia jadi satu undang-undang atau PERATURAN.

Apabila dah jadi undang-undang dan peraturan mesti, kita tidak ada pilihan melainkan mesti kena buat, tak kira kita ni sudah kenal ke atau belum kenal ke.

ARIP : Tak takut tersalah ke ustaz kalau belum kenal? Ini bukan benda kecil ni ustaz. Melibatkan aqidah tauhid ni.

USTAZ : BUKAN DALAM SEMUA HAL mewajibkan kita mesti kenal dulu baru boleh patuh undang-undang dan peraturan. Dalam hal-hal yang fardhu, wajib, yang mesti, walaupun belum kenal, tetap kena buat.

Contohnya…. sat nak cari contoh……

Abdullah, kamu kenal ketua nombor 1 JPJ dan ketua nombor 1 polis trafik di negara kita ni siapa dia?

ABDULLAH : Eh, tak kenallah saya!

USTAZ : Tok Imam? Kenal tak?

TOK IMAM : Saya lagilah tak ambik tau ustaz oi. Hehe.

USTAZ : Cikgu Hisham?

CIKGU HISHAM : Aaa… yang sebelum ni kenal, tapi yang baru ni tak kenal.

USTAZ : Ok. Oleh kerana kita tak kenal atau belum kenal ketua JPJ dan ketua polis trafik, maka bolehkah kita melanggar undang-undang dan peraturan jalan raya yang dimestikan ke atas semua orang itu?

(Suasana hening sebentar. Masing-masing berfikir)

Kita belum kenal ketua-ketua peraturan jalan raya, jadi… kita bolehlah meninggalkan peraturan yang dimestikan?

Peraturan mengatakan jalan sebelah kanan hanya untuk kenderaan datang dari depan. Bolehkah kita tinggalkan aturan tu lalu kita pandu melawan arus dengan alasan kita belum kenal ketua-ketua peraturan itu?

…………………..

Peraturan mengatakan tidak boleh parking kenderaan di tempat-tempat tertentu. Tiba-tiba kita tinggalkan peraturan tu lalu parking sesuka hati. Kemudian, sewaktu pihak berkuasa kenakan tindakan, dia terima tak hujah kita apabila kita kata kita belum kenal belum ma’rifah lagi akan ketua-ketua mereka?

Orang yang tidak mengerjakan solat kerana dia masih belum belajar, baru masuk Islam, mungkin diterima. Tetapi, jika alasannya kerana belum kenal Tuan Punya Perintah Solat?

Oleh kerana ARAHAN WAJIB, maka kita kenal ke, tak kenal ke, mesti ikut peraturan. Mesti buat, tak boleh tinggal. Jika tak dibuat, yang belum kenal pun kena, yang dah kenal lagilah kena.

………………………

Arip : Boleh ustaz bagi contoh lagi tak? Untuk teguhkan lagi keyakinan. Hati saya belum tenteram dengan contoh tu.

USTAZ : Hmmm….. contoh tentang arahan wajib……….

…………………….

ADI : Ai, lama menung tu ustaz!

USTAZ : Hah… contoh tentang arahan wajib, arahan fardhu, yang tak boleh tidak MESTI KENA BUAT!

Contohnya, katakanlah kamu Adi seorang perisik Korea Utara yang diselinap masuk dan duduk di Korea Selatan. Orang tak tahu yang kamu perisik Korea Utara.

Satu hari, tiba-tiba kamu dapat mesej bertaraf A1, maksudnya bertaraf MESTI KENA BUAT. Arahannya, kamu mesti hantar satu bom kepada seorang jeneral Korea Selatan untuk meletupkannya. Katakanlah namanya Jeneral Kim Soo Hyun, dalam tempoh 48 jam.

Bolehkah kamu meningalkan arahan itu atas alasan kamu tidak kenal Jeneral Kim Soo Hyun?

………………………..

Dalam tempoh 48 jam kalau kamu terbukti tidak berbuat apa-apa untuk mematahi arahan itu, sekejap lagi rasanya sampailah perisik Korea Utara yang lain datang cari kamu, bom kamu, bunuh kamu atau sebagainya. Selalunya lebih kurang begitulah, KERANA ENGKAR ARAHAN WAJIB.

Alasan tidak kenal atau belum kenal, tidak terpakai sekiranya perintah itu bertaraf fardhu, mesti, wajib. Pihak Korea Utara tak mahu tahu kamu kenal ke tidak, yang penting kamu ada usaha patuhi ke tidak, buat ke tidak. Kalau kamu sengaja tak buat, memang akan kena tindakan.

ARIP : Hmmmm… Betul tu memang betul dah ustaz. Tapi… saya masih rasa macam belum puas hati lagilah dengan contoh-contoh tu.

…………………………..

ADI : Maih sini saya try buat contoh ustaz. Boleh dak?

USTAZ : Silakan Adi.

ARIP : Oih, hang ni! Biaq betoi! Tak pa lah. Silakan Adi.

ADI : Katakanlah kita semua ni hidup zaman dulu kala. Konon-kononlah ni. Kita ni dok jauh dari istana, seminggu perjalanan baru sampai. Tak pernah pergi pun. Raja lagilah kita tak pernah tengok, tak pernah kenal.

Tiba-tiba pada suatu hari… jeng je jeng….  datang utusan dari istana. Utusan tu bawa  surat kepada Ustaz, Arip dan saya.

Ustaz diperintahkan MESTI HADIR ke istana dalam masa dua minggu untuk menghadiri satu majlis. Arip pun dapat perintah yang sama. Sementara saya Adi tak diperintah hadir, tetapi boleh hadir jika mau. Bukan untuk jumpa raja, tetapi untuk hadir ke satu majlis penting.

Sampai masanya, Ustaz pun pergilah ke istana, walaupun belum kenal raja, kerana perintah itu bertaraf fardhu atau wajib atau mesti.
Arip pulak… tak pergi, atas alasan dia belum kenal raja, walaupun dia tahu perintah itu bertaraf wajib.
Saya pulak yang memang belum kenal raja, tidak pergi ke istana, kerana perintah ke atas saya hanya bertaraf sunat.

Dalm kes macam ni, ustaz selamat.. sebab tunaikan kefardhuannya, walaupun belum kenal raja.
Saya pun selamat… sebab tak fardhu ke atas saya, walaupun saya belum kenal raja.
Tetapi hang Arip…. siap! Seminggu lepas tu askar-askar raja pun datang, depa tangkap, depa seret hang, sumbat dalam penjara bawah tanah, sebab hang engkar arahan raja yang bertaraf mesti. Gerenti raja murka gila. Penjara tu tamsilan untuk neraka la tu…. walaupun hang belum kenal raja.

Amacam ustaz? Ok tak contoh saya ni?

USTAZ : Contoh yang bagus Adi!

ARIP : Sempoi la hang punya contoh Adi. Memang kena.

(Agak lama juga Arip memandang jauh ke dalam kegelapan malam)

USTAZ : Satu lagi Arip, masuk agama Islam ni benda wajib, mesti. Sewaktu Rasulullah saw berdakwah mengajak orang masuk agama Islam, apabila seseorang tu bersetuju nak masuk, adakah Rasulullah syaratkan agar orang tu kenal Allah dulu, ma’rifatullah dulu? Ada tak Rasulullah tahan, tak bagi orang tu masuk Islam, tapi suruh orang tu belajar sampai ma’rifah dan kenal Allah, lepas tu baru boleh masuk Islam?

ARIP : Tak pernahlah kita dengar macam tu. Tapi, apa kaitannya ustaz?

USTAZ : Islam ini bermaksud MENYERAH, TUNDUK, PATUH. Jadi, apabila seseorang itu masuk agama Islam, bererti dia setuju untuk berserah, tunduk dan patuh kepada Allah. Padahal majoriti orang yang nak masuk Islam ini belum ma’rifah, belum kenal Allah.

Oleh kerana mereka belum ma’rifatullah, mereka hendak berserah kepada siapa? Hendak tunduk kepada siapa? Hendak patuh kepada siapa? Kan mereka belum kenal?

Jika mereka masuk Islam juga, tidakkah nanti akan jadi tersalah tunduk, syirik, dan menyekutukan Allah?

Bukankah sepatutnya Nabi Muhammad saw tahan dulu mereka, jangan bagi masuk Islam lagi, tapi suruh mereka belajar ilmu mengenal Allah terlebih dahulu? Dan selepas dah kenal, barulah boleh masuk Islam.
Tapiengapa Rasulullah terus Islamkan orang itu sekalipun orang itu belum mengenal Allah?

Kalau tidak, seronoklah orang-orang bukan Islam, kerana tuntutan memeluk agama Islam itu tak terkena pada diri mereka, disebabkan mereka belum mengenal.

Dan orang-orang yang sedia Islam pula bebas untuk keluar daripada Islam kerana mereka belum mengenal, maka takut tersalah tunduk.

Kata mereka contohnya : “Kami terpaksa keluar daripada Islam kerana kami belum kenal, takut tersalah tunduk dan berserah. Kami tak tunduk kepada yang kami belum kenal. Kami tak berserah kepada yang kami tak kenal. Nanti apabila kami dah mengenal, barulah kami masuk Islam semula.”

Cuba fikirkan, apa akan berlaku kepada umat Islam seluruh dunia?

ARIP : (Agak lama juga Arip memandang jauh ke dalam kegelapan malam. Kali ini lebih lama daripada sebelumnya. Kemudian, perlahan-lahan dia bersuara)

Tak mengapalah. Bahagian ni… biar saya renung-renung kat rumah je lah. Nak tunggu saya punya renung ni nanti, tak bergerak ke mana-mana le kita malam ni, dan … maklumat-maklumat lain tak sempat kita nak bincang.

USTAZ : Boleh saja.


DATANGNYA AL-YAQIN

ARIP : Seterusnya ustaz, ada satu ayat Al-Quran, yang ustaz tentunya lebih tahu, yang berbunyi : “Dan sembahlah Tuhan kamu sehingga datang kepada kamu AL-YAQIN.” (Al-Hijr : 99)

Bukankah ayat ini mengatakan bahawa… kitab kena sembahyang atau solat sehingga kita mendapat al-yaqin? Jadi, setelah datang atau sampai al-yaqin tu, kita tak perlu mengerjakan solat lagi. Sebab itulah ada orang yang tak solat.

Apa penjelasan ustaz?

USTAZ : Saya faham tafsiran al-yaqin menurut orang-orang itu. Tapi mula-mula sekali, kita tengok bunyi sebenar ayat tu dalam bahasa Arab : “Wa’bud Rabbaka hatta ya’tiyakal yaqin.”

Tidak ada perkataan “solat” di sana. Maksud “wa’bud” yang paling tepat ialah “dan ber’abdilah”. Tetapi jika mahu dikatakan sebagai “sembahlah”, masih sesuai juga.

Pertama : sekiranya kita gunakan maksud “Dan BERABDILAH kepada Rabb kamu sehingga datang kepada kamu al-yaqin”, apakah selepas dapat al-yaqin maka kita boleh tidak berabdi kepada Allah? Maka, kita berabdi kepada siapa selain Allah? Adakah Rabb atau Ilah yang lain selain Allah?

Tentulah tidak boleh begitu sekalipun sudah memperoleh al-yaqin. Berabdi atau berhamba kepada Allah mestilah sentiasa. Sudah dapat al-yaqin ke, belum dapat ke, tetap mesti berabdi kepada Dia. Tak boleh putus pengabdian, apatah lagi berhenti pengabdian.

Kedua : egitu juga jika kita hendak menggunakan maksud ayat : “Dan SEMBAHLAH Rabb kamu sehingga datang kepada kamu al-yaqin”. Apakah selepas memperoleh al-yaqin, maka tidak perlu atau tidak boleh sembah Allah lagi?

Sama juga keadaannya jika ayat itu hendak dikaitkan dengan ibadah solat arus perdana.

ARIP : Hmmm… saya suka penjelasan ustaz tu.

USTAZ : Saya gunakan tafsiran a-yaqin mengikut pandangan golongan itu, untuk memudahkan penerangan. Lagi satu - antara al-yaqin generasi hari ini dengan al-yaqin generasi sahabat, al-yaqin siapa yang lebih hebat?

ARIP : Aduh! Hehe. Saya faham ustaz. Jawapannya sama dengan jawapan dalam perbincangan kita pada bulan lepas.  Para sahabat yang JAUH LEBIH HEBAT al-yaqin mereka pun, masih tetap mengerjakan solat arus perdana. Apatah pula kita yang iman senipis kulit bawang ini. Yang tidak tetap mengerjakan solat arus perdana pada zaman itu hanyalah orang-orang munafik.

USTAZ : Terbaik!

ARIP : Hehe.

USTAZ : Sebenarnya Arip, golongan itu diperdayakan oleh syaitan dan hawa nafsu sendiri. Waktu mula-mula belajar, kononnya tak boleh solat kerana belum ma’rifat. Apabila dah belajar dan ma’rifat, tak boleh sembahyang juga, sebab dah sampai al-yaqin, maka tak perlu solat. Jadi, bila masanya hendak solat? Selamanya pun tak akan solat arus perdana. Siapa yang seronok?

ADI : Iblis dan tentera-tenteranya le. Kena tipu hidup-hidup namanya tu ustaz!

ARIP : Hehe. Nampaknya hujah “al-yaqin” pun tak boleh lepas ni ustaz. Hmmm…

USTAZ : Sudah semestinya. Kalau sudah al-yaqin maka boleh tak solat arus perdana, dah tentu para sahabat Nabi saw yang utama datang ke masjid tapi tak solat bersama-sama. Mereka cuma pantau je sahabat-sahabat yang belum al-yaqin solat berjemaah. Ataupun mereka bergilir-gilir solat arus perdana, sebab dah al-yaqin. Tetapi… hal itu tidak sedemikian. Semua pakat solat bersama-sama, baik yang mencapai al-yaqin, ataupun tidak.

ARIP : Saya faham tu ustaz.


CONGAK-CONGAK CARA KITA

USTAZ : Katakanlah solat arus perdana ni memang Allah TAK TUNTUT di akhirat kelak. Orang yang tak solat arus perdana rugi tak?

ARIP : Tentulah TAK RUGI, sebab mereka memang tak buat pun.

USTAZ : Orang yang solat arus perdana pulak?

ARIP : Err… tak adalah rugi jugak.

ADI : Cuma, DI DUNIA YANG SANGAT SEKEJAP inilah mereka rugi masa dan tenaga dok buat solat tu.

USTAZ : Ya. Tetapi, katakanlah solat arus perdana ni MEMANG ALLAH TUNTUT di akhirat kelak. Orang yang tak solat arus perdana rugi tak?

ARIP : Allah… tentulah RUGI!

ADI : Rugi yang SELAMA-LAMANYA tu!

USTAZ : Orang yang solat arus perdana?

ARIP : Tentulah sangat untung!

ADI : Untung yang selama-lamanya tu!

ARIP : Ish, hang ni! Cuba jangan dok menyampuk cakap orang tua-tua! Hehe.

USTAZ : Jadi, orang yang BIJAKSANA, di dunia ni dia akan buat ke tidak solat arus perdana?

ARIP : Yang bijak kena buat le.

USTAZ : Ya. Kalau Allah tak tuntut, dia tak rugi apa-apa. Tapi kalau Allah tuntut, dia akan untung selamanya. Sekiranya dia tak buat pulak, dia akan menanggung rugi selamanya.

ARIP : Masuk ke akal juga tu ustaz.

USTAZ : Kena fikir baik-baiklah, sama ada kita nak bertindak bijaksana ataupun tidak. Bijaksana ni fatanah. Fatanah ni salah satu sifat utama Rasululah saw. Takkan kita nak ketepikan fatanah.

ADI : Arip, hang nak jadi orang bijak ke orang bengap?

ARIP : Ish, hang ni! Aku boh seliang satgi baru tau! Tertanggal gigi 14 batang kot! Sat la aku tengah dok canai minda ni! Hehe. Jangan marah no, melawak ja.

USTAZ : Kesimpulan yang kita nak bawa dalam hal ni… sama ada kita ada solat cara lain ataupun tak ada, bagi orang yang bijaksana, solat arus perdana memang dia tak akan tinggal, kerana fardhu.


BEBERAPA LEMBARAN DARIPADA 70,000 HIJAB

USTAZ : Antara Allah dengan kita ada sangat banyak tirai daripada nur dan gelap. Nak disebut hijab pun sesuai, nak disebut tabir pun sesuai. Sepanjang hidup kita di dunia ini, kita mestilah berusaha untuk menyelak tirai demi tirai ini agar kedudukan atau maqam qalbu kita lebih hampir dengan Raja.

Saya suka untuk kongsikan sedikit tentang maqam-maqam orang-orang yang ada ilmu dan amal ma’rifah dalam ribuan hijab ini. Saya mulakan daripada yang terbaik dna seterusnya yang kurang baik dan ke bawah.

         i.            Orang yang ada ilmu dan amal ma’rifah, dan dia MENCINTAI mengerjakan solat arus perdana, kerana dia mencintai Allah.
       ii.            Orang yang ada ilmu dan amal ma’rifah, dan dia TAAT mengerjakan solat, walaupun tidak sampai ke tahap cinta, kerana dia taat akan Allah. Dia ada berasa bertanggungjawab.
     iii.            Orang yang ada ilmu dan amal ma’rifah, dan dia bersolat kerana TERPAKSA, kerana takut akan kemurkaan Allah. Tetapi sekurang-kurangnya, dia masih buat juga yang fardhu itu.
     iv.            Orang yang ada ilmu dan amal ma’rifah, tetapi dia mengerjakan solat sekali-sekala sahaja. Namun dia tidak menolak solat, Cuma jenis MALAS.
       v.            Orang yang ada ilmu dan amal ma’rifah, tetapi dia tidak mengerjakan solat. Namun dia tidak menolak solat. SANGAT MALAS.
     vi.            Orang yang ada ilmu dan amal ma’rifah, tetapi dia TIDAK MAHU mengerjakan solat. Maksudnya dia menolak solat.
    vii.            Orang yang ada ilmu dan amal ma’rifah, tetapi dia MENENTANG mengerjakan solat. Bukan sahaja menolak, bahkan menentang.

Lihatlah kedudukan orang-orang yang TIDAK MAHU dan YANG MENENTANG daripada mengerjakan solat arus perdana. Dalam tingkatan hijab yang kasar-kasar sahaja pun, mereka sudah berada pada maqam-maqam yang terbawah. Apatah lagi jika kita perincikan lagi maqam-maqam itu kepada yang lebih halus-halus.

Apalah ertinya MA’RIFAH buat diri mereka?

ARIP : (Sekali lagi merenung jauh ke dalam kegelapan malam, menembusi bunyi reriang rimba di sebelah kanan surau)

Tapi ustaz, sekurang-kurangnya mereka ada ma’rifah.

USTAZ : Itu lebih besar mudaratnya! Orang-orang ada ma’rifah ini ialah orang-orang yang berjawatan. Orang bawah-bawah jika buat kesalahan, hukumannya biasa-biasa. Tetapi jika orang atas-atas buat kesalahan, hukumannya sangat berat.

Contoh – Suatu hari raja melintasi sebuah desa. Orang yang tidak beri hormat kepada raja kerana dia tidak kenal atau tidak ma’rifah akan raja, dia mungkin akan kena sebat sahaja. Tetapi bagi orang yang memang kenal raja, dah beberapa kali berjumpa, apabila raja lalu di tepinya dia buat tak tahu je dan enggan tunduk hormat, silap-silap akan bercerai kepala dari badan.

Dosa orang kenamaan tidak menutup aurat adalah jauh lebih besar daripada dosa seorang wanita desa yang tidak menutup aurat.

Azazil kan lebih ma’rifah daripada kebanyakan manusia? Sebab itulah hukuman untuknya adalah selama-lamanya.

ARIP : Fuh… memang makan dalam ni ustaz!


PENGHUJUNG BICARA

ARIP : Rasanya… malam ni sangat banyak dah yang saya dapat dan perlukan refleksi. Buat masa ni, cukup dulu kot. Nanti kalau banyak sangat, tak tahu nak renung yang mana satu.

USTAZ : Elok benarlah tu. Saya setuju. Biar ada ruang yang selesa untuk bertafakur.

ARIP : Kalau macam tu ustaz, saya nak mintak diri dululah. Ustaz tolonglah doa-doakan saya sama. Sekiranya ada lagi hal-hal berbangkit yang saya rasa perlu segera jumpa ustaz, esok lepas Subuh kita sembang lagi, kalau ustaz tak dak urusan lainlah.

USTAZ : Insya-Allah, boleh.

ARIP : Adi, kalau hang free… malam ni mai lepak rumah aku lah. Boleh jugak buat kawan bersembang.

ADI : No problem.

(Suara latar belakang : Selepas bersalam-salaman, Arip dan Adi pun bergerak ke rumah Arip. Tengah malam itu di rumah Arip… isi kandungan perborakan mereka memang hangat. Esok paginya, sebelum Subuh lagi mereka berdua sudah berada di surau……)


Abu Zulfiqar
27 Mac 2018

Sunday, March 25, 2018

Hijab-hijab Penyembah Berhala


SOALAN :
Dalam 70,000 hijab antara Khaliq dan makhluq, di manakah kedudukan para penyembah berhala?

JAWAPAN :
Saya cuba menjawab dari sudut pandang Tariqah Ghazaliyyah.

Ada 5 kategori hijab yang utama iaitu :
1.       Yang terhijab dengan cahaya.
2.       Yang terhijab dengan cahaya yang bercampur sedikit kegelapan.
3.       Yang terhijab dengan cahaya bercampur gelap.
4.       Yang terhijab dengan gelap yang bercampur sedikit cahaya.
5.       Yang terhijab dengan kegelapan.

Ringkasnya 70,000 hijab itu terbahagi kepada 5 kategori ini.

Yang terhijab dengan cahaya maksudnya yang semakin nipis hijabnya. Sudah dapat cahaya tetapi masih terhijab juga.
Yang terhijab dengan gelap maksudnya yang semakin tebal hijabnya.

Para penyembah berhala berada pada hijab jenis ketiga, iaitu mereka terhijab daripada Allah dengan hijab cahaya bercampur gelap.

SOALAN :
Bagaimanakah pembahagian hijab-hijab mereka?

JAWAPAN :
Antara pembahagian golongan ini dan hijab-hijab mereka :
         i.            Sembah berhala tetapi tidak menganggap berhala itu Tuhan. Mereka sekadar mengikut upacara orang ramai sahaja.
       ii.            Sembah berhala tetapi tidak menganggap berhala itu Tuhan, cuma sekadar simbol kepada Tuhan. Berhala itu hanya sekadar untuk dihormati.
     iii.            Sembah berhala tetapi tidak menganggap berhala itu Tuhan, cuma sebagai mewakili Tuhan atau perantaraan Tuhan.
     iv.            Sembah berhala tetapi tidak pasti sama ada berhala itu ada kaitan dengan Tuhan ataupun tidak.
       v.            Sembah berhala tetapi tidak pasti sama ada berhala itu Tuhan atau tidak.
     vi.            Sembah berhala dan menganggap berhala itu memang Tuhan sebenar.
    vii.            Sembah berhala dan mengangap berhala itu salah satu daripada Tuhan sebenar.

Inilah 7 pembahagian utama yang mudah untuk kita perhatikan, sedangkan jumlah sebenar pembahagiannya sangat banyak dan hanya Allah sahajalah yang tahu jumlahnya.

Golongan i) ialah penyembah berhala yang lebih nipis dan cerah hijabnya manakala golongan vii) ialah penyembah berhala ialah mereka yang lebih tebal dan gelap hijabnya.

Kesimpulannya, para penyembah berhala memang sangat jauh terhijabnya daripada Allah.

Wallahua’alam.


Abu Zulfiqar
25 Mac 2018

(*Bagaimana dengan engkau sendiri? Seberapa tebal agaknya engkau terhijab? Di mana kedudukanmu dalam 70,000 itu kini?,,,,,,,,)

Tinggi-tinggi Si Mata Hati


Di sebuah surau lama di kampung sana, selepas solat fardhu Isya’ berjemaah. Beberapa orang hamba Allah sedang duduk di beranda. Ustaz, Arip, Adi Kopi, Abdullah, Ijam, Apit Cina, Tok Bilal, Pak Enai dan Tok Imam.


MUQADDIMAH

ARIP : Apa pandangan ustaz tentang orang-orang yang KEROHANIAN mereka TINGGI, tetapi mereka tidak mengerjakan solat fardhu 5 waktu sehari semalam sebagaimana tatacara solat yang biasa kita lihat?

USTAZ : Mula-mula kita kena kenal 3 kategori manusia dalam hal ehwal rohani tinggi ni. Antaranya :
1.       Ada orang yang memang kerohaniannya tinggi. Jenis ini memang betullah rohani tinggi. Jenis ini memang bagus, melainkan yang ditunggang oleh kehendak hawa nafsunya.
2.       Ada orang yang dia sekadar DISANGKAKAN OLEH ORANG LAIN sebagai berkerohanian tinggi, tetapi sebenarnya tidak. Jenis ini boleh membahayakan dirinya sendiri dan orang lain.
3.       Ada pula orang yang dia sekadar MENYANGKAKAN DIRINYA berkerohanian tinggi, tetapi sebenarnya tidak. Jenis ini juga boleh membahayakan dirinya sendiri dan orang lain.

Yang jenis pertama, sudah pasti akan mengerjakan solat fardhu dengan tatacara sebagaimana yang biasa kita tengok, iaitu yang dilakukan oleh para ulama dan umat Islam sejak zaman-berzaman.

ARIP : Bagaimana pula ustaz kalau orang itu memang dia tidak bersolat fardhu sebagaimana yang biasa kita lihat, tetapi oleh kerana maqam rohaninya yang sudah tinggi ataupun berlainan, maka kaedah solat fardhunya pun berlainan?

USTAZ : Macam nak panjang nampaknya sembang-sembang kita ni (tersenyum).

ARIP : Begitulah nampak gayanya ustaz. He he.


SOLAT FARDHU ARUS PERDANA

USTAZ : Macam ni lah… untuk memudahkan pemahaman kita nanti, mula-mula kita nak kena istilahkan terlebih dahulu tatacara solat fardhu yang biasa kita buat dan lihat tu.

ARIP : Macam mana tu ustaz?

USTAZ : Solat fardhu berjemaah dengan tatacara yang biasa para ulama dan kita buat dan lihat tu, kita namakan buat sementara waktu sebagai “SOLAT FARDHU ARUS PERDANA”. Ok tak?

ARIP : Untuk apa kita istilahkan tu ustaz?

USTAZ : Untuk memudahkan kita membezakan antara solat fardhu yang biasa kita buat dan lihat tu dengan solat-solat cara lain.

ARIP : Ooh….. beres ustaz. Faham.

USTAZ : Jadi, mulai saat ini, apabila kita sebut “SOLAT FARDHU ARUS PERDANA”, maka sama-samalah kita faham bahawa kita sedang maksudkan solat yang biasa kita buat dan lihat sehari-hari tu lah.

# Ya.


MAQAM KEROHANIAN TINGGI

USTAZ : Hmm. Nak mula dari mana ni ye………. ? Baiklah. Ringkas kata, antara kita dan para sahabat Nabi, mana yang LAGI TINGGI MAQAM KEROHANIAN di sisi Allah? LAGI TINGGI MA’RIFAH, LAGI KUAT AL-YAQIN, LAGI POWER MAHABBAH dan sebagainya?

ARIP : Para sahabat Nabi lah ustaz.

USTAZ : Generasi para sahabat ni merupakan zaman salaf yang terawal, iaitu zaman orang-orangnya terbaik di sisi Allah. TERBAIK dari segala segilah, termasuklah dari segi KEROHANIAN. Betul tak?

ARIP : Ya, betul. Sabda Nabi saw : “Sebaik-baik umat ialah generasiku, kemudian orang-orang selepas mereka, dan kemudian orang-orang yang selepas mereka pula.” (Bukhari, Muslim)

ADI : Wuih, dahsyat jugak hang, Arip!

ARIP : Tak dahlah! Allah Maha Hebat, kita tak dak apa-apa.

USTAZ : Alhamdulilah! Tahniah! Kita teruskan. Pada zaman para sahabat tu, ada tak orang-orang yang maqam kerohaniannya tinggi?

ARIP : Dah tentulah ada ustaz! Malah LEBIH HEBAT dan LEBIH RAMAI lagi daripada orang-orang zaman kemudian ni.

USTAZ :  Betul tu! Jadi, orang-orang yang berhakikat, ma’rifat, fana’, baqa’, syuhud, mahabbah, kasyaf dan sebagainya pada zaman tu kalau dibanding dengan orang-orang yang berhakikat, ma’rifat, fana’, baqa’, syuhud,mahabbah,  kasyaf dan sebagainya pada zaman sekarang ni, rasa-rasanya mana lagi hebat di sisi Allah?

ARIP  & ADI : Orang zaman tu lah!

USTAZ : Maksudnya, setakat ini kita sedia maklumlah dan mengakui bahawa orang-orang zaman Rasululah dan para sahabat ni dari segi kerohanian mereka adalah LEBIH HEBAT lagi berbanding orang-orang kerohanian zaman sekarang. Betul ke macam tu?

ARIP : Betul! Umumnya lagu tu le ustaz. Tapi tak mustahil jugak kot-kot ada orang zaman-zaman kemudian ni yang Allah rezekikan maqam kerohanian sama macam sahabat-sahabat.

USTAZ : Yang tu kita faham. Tapi, takkanlah sampai mengalahkan maqam kerohanian sahabat-sahabat utama.

ARIP : Saya setuju ustaz.


TIDAK MENGERJAKAN SOLAT ARUS PERDANA?

USTAZ : Baiklah. Dikatakan ada orang-orang yang dipercayai atau mempercayai diri mereka sebagai bermaqam rohani tinggi zaman sekarang ni yang TIDAK BERSOLAT LANGSUNG, dan ada juga YANG BERSOLAT TETAPI TIDAK SAMA macam cara solat arus perdana sebagaimana yang dibuat oleh para ulama dan orang ramai.

Dan mereka mendakwa hal itu bukan kesalahan bahkan hal itu bermaksud mereka sudah mencapai maqam rohani yang tinggi, atau kerana mereka ada jalan atau maqam kerohanian yang berbeza.

Maka bagi orang-orang yang sejalan dan semaqam seperti mereka, tidaklah bersolat fardhu sebagaimana arus perdana lagi. Tetapi, orang-orang yang tidak sejalan atau yang belum mencapai level mereka, memang kena mengerjakan solat fardhu arus perdana. Begitukah situasi yang dimaksudkan?

ARIP : LEBIH KURANG begitulah.

USTAZ : Kalau orang rohani tinggi zaman sekarang ni sahaja pun sudah begitu banyak yang tidak kena bersolat cara arus perdana, maka sudah tentulah zaman Rasulullah dan para sahabat dulu, yang kita akui tadi sebagai LEBIH BAGUS KEROHANIAN MEREKA berbanding zaman sekarang, adalah lebih ramai lagi yang tidak mengerjakan solat sebagaimana arus perdana.

Dan sudah tentulah ramai yang tidak mengerjakan solat juga, kerana level rohani sudah tinggi, dan sudah tentulah ramai yang mengerjakan solat dengan CARA SELAIN cara arus perdana. Betul tak?

ARIP : Ya.

USTAZ : Mengapa?

ARIP : Kerana… orang-orang pada zaman itu LEBIH TINGGI MAQAM KEROHANIAN mereka berbanding orang-orang sekarang dan lebih ramai lagi wali-wali Allah yang utama. Siapalah kita jika hendak dibandingkan dengan Saiyidina Abu Bakar, Saiyidina Umar, Huzaifah ibnu Yamani, Abu Hurairah, Abu Zaar dan lain-lain?

USTAZ : Tepat sekali! Jadi, mereka yang lebih tinggi level kerohanian mereka berbanding kita ni, ADA TAK YANG TIDAK MENGERJAKAN SOLAT FARDHU SEBAGAIMANA CARA SOLAT ARUS PERDANA?

ARIP : Err.. itu tak dapat le kita nak pastikan waktu ini. Nak kena selidik le dulu ustaz.

USTAZ : Kalau orang zaman sekarang yang maqam rohani tak setinggi para sahabat pun ramai yang tidak solat atau bersolat tapi cara lain solatnya, takkanlah PARA SAHABAT yang maqam rohani JAUH LEBIH TINGGI tiba-tiba kena turun level lalu mengerjakan solat macam arus perdana? Dah tentulah mereka LEBIH LAGI TIDAK SOLAT ARUS PERDANA atau LEBIH LAGI BERSOLAT FARDHU CARA LAIN. Tak gitu?

ARIP : Hmmm.. betul jugak ye! MEREKA LEBIH HEBAT level berbanding kita. Dah tentu mereka lebih lagi tak buat solat arus perdana!

USTAZ : Bagus! Maka, persoalan yang mesti kita hadamkan sekarang…  adakah para sahabat, yakni mereka yang bermaqam rohani lebih tinggi daripada kita itu, TIDAK SOLAT FARDHU sebagaimana solat ARUS PERDANA?

ARIP : Mestilah ada, sebab mereka lagi otai, lagi jeneral, lagi sifu daripada orang-orang rohani zaman sekarang.

USTAZ : Benarkah begitu?

ARIP : Rasanya tentulah! TAKKAN KITA LEBIH DARIPADA MEREKA? Confirm mereka lebih daripada kita! So, tentu ramai sahabat yang tak buat solat fardhu arus perdana!

USTAZ : Macam mana kalau tak ada?

ARIP : Tak ada? Eh, takkan kot? Mestilah ada! Kan ke maqam kerohanian mereka lebih dahsyat lagi?

USTAZ : Baiklah. Sekarang pelan-pelan kita buka.

ARIP : Baik ustaz. Teruskan.


BUKTI-BUKTI

USTAZ : Setakat yang kita tahulah, dalam kita dok belajar agama, mengaji hadith, mengkaji sirah dan sebagainya, pada zaman Nabi dan sahabat tu, APABILA MEREKA SOLAT FARDHU BERJEMAAH DI MASJID, mereka solat macam arus perdana ke, atau duduk sahaja ke, ataupun solat cara lain?

ARIP : Kalau solat fardhu berjemaah di masjid, cara ARUS PERDANA lah.

USTAZ : Ya! Tak pernah kita jumpa sandaran yang mengatakan Rasulullah dan para sahabat pergi solat fardhu berjemaah di masjid… TAPI TIDAK BERSOLAT MACAM SOLAT ARUS PERDANA. Tak pernah juga kita jumpa kata Rasululah dan sahabat-sahabatnya pakat duduk atau berdiri beramai-ramai untuk solat fardhu di masjid… lalu solat berjemaah guna niat, atau solat berjemaah fana Zat, atau solat maqam wali, atau solat daim berimam berjemaah, atau solat batin berjemaah ke, atau apa namalah pun. Faham kot ye apa yang saya maksudkan ni?

(beberapa orang kelihatan mengangguk-angguk)

Jadi, yang kita dok tau selama hari ni, mereka bersolat fardhu di masjid CARA ARUS PERDANA pada setiap 5 WAKTU. Betul kan?

ARIP :  …………………………….. Betul tu betul ustaz, tapi… boleh jadi sahabat-sahabat yang melalui “jalan itu” atau yang dah sampai maqam itu, mereka tak pergi ke masjid dah. Mungkin mereka tidak bersolat, atau mereka bersolat cara lain di tempat lain. Contohnya di rumah masing-masing ke, sambil-sambil berniaga ke, sambil beruzlah ke…

USTAZ :  Baiklah. Betul ke ada antara sahabat-sahabat  Nabi saw yang tidak solat fardhu berjemaah di masjid?

Sebenarnya, semua sahabat Nabi saw melaksanakan solat fardhu berjemaah di masjid, yakni solat sebagaimana cara arus perdana, kecuali sahabat-sahabat yang tinggal jauh, yang jatuh sakit, yang cedera teruk dalam peperangan dan sebagainya yang berupa masalah-masalah yang menghalang kehadiran mereka.

Semua sahabat yang tiada kekangan termasuklah semua sahabat yang bermaqam rohani tertinggi, yang kita hari ini tidak sepadan pun dengan maqam mereka, mereka solat fardhu berjemaah 5 waktu mengikut cara ARUS PERDANA di masjid.

ARIP : Betul ke ni ustaz? Ustaz ada sandaran tak untuk menguatkan kata-kata ustaz tu?

USTAZ : Insya-Allah ada! Sekejap lagi kita tengok sama-sama.

Tetapi sebelum itu, ada sesuatu yang mesti kita luruskan terlebih dahulu iaitu… sembang-sembang kita ini tidak khusus untuk membicarakan tentang tuntutan solat fardhu berjemaah di masjid, tetapi lebih fokus kepada TATACARA SOLAT ARUS PERDANA, kerana permasalahannya pada bahagian itu.

Dan kita telah bersetuju tadi bahawa solat fardhu berjemaah DI MASJID itu adalah SOLAT ARUS PERDANA, bukannya tak solat ataupun solat cara selain arus perdana.

ARIP : Faham ustaz.


ANTARA SANDARAN KITA

USTAZ : Ok. Sekarang saya kongsikan sebuah hadith.

Rasulullah saw bersabda : “Sesungguhnya solat yang paling berat bagi ORANG MUNAFIK ialah solat fardhu Isya’ dan solat Subuh. Seandainya mereka tahu keutamaan (maqam) yang ada pada kedua solat tersebut, sudah tentu mereka AKAN MENDATANGINYA walau dengan MERANGKAK. Sungguh, aku bertekad untuk menyuruh orang melaksanakan solat lalu solat ditegakkan, dan aku suruh orang lain yang mengimami orang-orang bersolat itu,  sementara aku sendiri akan pergi bersama beberapa orang untuk membawa  kayu untuk MEMBAKAR RUMAH orang yang TIDAK HADIR SOLAT BERJEMAAH.” (Bukhari, Muslim).

Ada beberapa kalimah penting dalam hadith ini:
1.       “munafik”. Maksudnya yang tidak datang solat berjemaah arus perdana itu hanya orang-orang munafik. Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saiyidina Ali, Huzaifah dan lain-lain itu termasuk ke? Tentulah tidak termasuk! Takkan mereka munafik?  Maka fahamlah kita bahawa sahabat-sahabat utama yang jauh lebih tinggi kerohanian mereka daripada kita itu semuanya mengerjakan solat sebagaimana arus perdana. Jika tidak, mereka termasuk dalam golongan munafik.

2.       “sudah tentu mereka akan mendatanginya”. Datang ke mana? Ke masjid.

3.       “walaupun dengan merangkak”. Ini menunjukkan perbuatan bergerak dari satu tempat ke satu tempat. Maka kalimah ini menguatkan lagi tentang hadir ke masjid.

4.       “mengimami”. Ini bermaksud solat fardhu berjemaahlah. Solat itu pula SOLAT ARUS PERDANA, sebagaimana yang kita persetujui sebelum ini. Takkanlah solat-solat cara lain tu ada imam ada jemaah yang semua kena berdiri bersama-sama dan buat di masjid?

Dan yang paling penting ialah …..sekiranya boleh,  Rasululah saw mahu mengajak beberapa orang sahabat untuk membakar rumah-rumah orang YANG TIDAK DATANG solat berjemaah di masjid. Dan kita sedia maklum, solat fardhu berjemaah di masjid adalah dalam tatacara SOLAT ARUS PERDANA.

Ringkasnya di sini, Rasulullah hendak membakar rumah orang-orang YANG TIDAK MELAKUKAN solat arus perdana. Adakah Saiyidina Abu Bakar, Saiyidina Uthman, Saiyidina Ali, Sa’ad bin Abi Waqqas, Abu Hurairah dan lain-lain tidak datang?

Sudah tentu mereka datang! Mustahil Rasululah hendak membakar rumah-rumah sahabat-sahabat yang maqam kerohanian tinggi. Ertinya, semua sahabat sama ada yang utama mahupun yang biasa, mereka mengerjakan solat arus perdana di masjid. Yang tidak datang hanyalah orang-orang munafik, sedangkan mereka bukan orang munafik.

Kalau mengikut fahaman golongan yang tidak mengerjakan SOLAT ARUS PERDANA itu, bukankah sepatutnya para sahabatlah yang lebih lagi tidak solat arus perdana, atau kalau bersolat pun, solat dengan cara lain? Kan maqam kerohanian para sahabat lagi hebat?

Tetapi berdasarkan hadis ini, mengapa mereka semua solat sebagaimana solat fardhu ARUS PERDANA kecuali orang-orang munafik?
Merekakah yang tidak betul ataupun kita yang tidak betul?

Bagaimana kita yang iman senipis kulit bawang ini, yang maqam kerohaniannya lebih rendah ini boleh tidak melaksanakan solat arus perdana?
Adakah kita lebih hebat daripada para sahabat?

Ataupun… sebenarnya kita sedang berada dalam kalangan para munafik tetapi kita sangkakan diri kita bermaqam kerohanian tinggi? Na’uzhubillah.


PERBAHASAN

ARIP :  ………. Boleh jadi para sahabat tu nak tunjukkan contoh kot ustaz?

USTAZ :  Kalau nak tunjukkan contoh, tak perlulah semua hadir. Katakanlah ada 700 orang maqam kerohanian tinggi di sekitar Masjid Nabawi ketika itu, cukuplah 300 orang sahaja yang hadir. Tapi, sebaliknya semua hadir, kecuali para munafiqin!

Lagi pula, bukankah boleh dibuat giliran jika benar mahu menunjukkan contoh? Tapi tak ada pula Rasululah gilir-gilirkan sahabat-sahabatnya untuk melaksanakan solat arus perdana!

Selain itu, berdasarkan hadis di atas juga, memang tidak ada sahabat yang maqam kerohanian tinggi tidak hadir kecuali orang-orang munafik. Takkanlah sahabat-sahabat yang bermaqam kerohanian tinggi ada yang tidak hadir lalu termasuk dalam kalangan munafik itu?

ARIP : Kalau begini bagaimana pula ustaz…. Memanglah semua sahabat termasuklah yang berkerohanian tinggi hadir mengerjakan solat arus perdana, tetapi selepas itu di tempat-tempat lain mereka kerjakan pula solat mengikut cara lain?

USTAZ : Katakanlah bahawa hal itu memang berlaku. Adakah hal itu membuktikan ada sahabat-sahabat Nabi saw yang berkerohanian tinggi yang tidak mengerjakan solat fardhu 5 waktu mengikut tatacara arus perdana?

ARIP : Hmmm… betul jugak. Tidak menjadi bukti jugak dalam hal ni.

USTAZ : Ya, sudah tentulah. Sama ada mereka punya tatacara solat lain di tempat lain atau tidak, semua mereka tidak meninggalkan solat fardhu arus perdana. Bagaimana kita yang kerdil ini pula boleh meninggalkannya?

(Apabila suasana senyap agak lama, ustaz menyambung…)

Apa kata Nabi? “Kalaulah bukan kerana ada wanita dan kanak-kanak (di rumah mereka yang tidak datang bersolat berjemaah arus perdana di masjid), sudah tentu aku akan menyuruh solat Isya’ ditegakkan (oleh sahabat-sahabatnya) lalu aku sendiri bersama pemuda akan pergi membakar rumah mereka yang tidak datang (solat arus perdana) di masjid dengan api.” (Ahmad)

Takkanlah Rasulullah saw hendak membakar rumah orang-orang berkerohanian tinggi, kuat al-yaqin, super ma’rifah dan sebagainya tu?
Maksudnya, semua yang berkerohanian tinggi memang ke masjid dan mengerjakan solat ARUS PERDANA.

Ibnu Mas’ud mengatakan : “Aku telah melihat bahwa orang yang meninggalkan solat jemaah HANYALAH ORANG MUNAFIK, yang mana ia adalah munafik tulen. (Muslim)

“hanya orang munafik”. Maksudnya yang berkerohanian tinggi memang sentiasa datang ke masjid mengerjakan solat ARUS PERDANA. Tidak ada sahabat nabi yang tidak mengerjakan solat sebagaimana arus perdana.


MA’RIFAT TINGGI

ARIP : Tapi ustaz, orang-orang yang mengajarkan ilmu ini orang-orang ma’rifat tinggi ustaz.

USTAZ : Mahu ikut para sahabat yang lebih tinggi ma’rifat atau mahu ikut orang-orang itu?

ARIP : Aduh, ustaz! Tak aci la main soalan macam ni. He he.

USTAZ : Heh he. Baiklah. Patah balik kepada awal-awal bicara kita tadi. Benarkah mereka ma’rifat tinggi? Ataupun kita yang menyangkakan mereka berma’rifat tinggi? Atau pun mereka yang mendakwa diri mereka berma’rifat tinggi?

Kalau benar dia berma’rifat tinggi, sudah pasti dia tidak akan meninggalkan solat fardhu arus perdana sebagaimana Rasululah saw dan para sahabat.

Allah SWT berfirman : “DAN dirikanlah solat DAN keluarkanlah zakat DAN rukuklah bersama orang-orang yang rukuk.” (Al-Baqarah : 43)

Ayat ini AYAT PERINTAH. Hukumnya wajib. Bilakah masanya kita wajib kena rukuk BERSAMA-SAMA orang-orang yang rukuk? Bukan ketika solat fardhu berjemaah ARUS PERDANA kah?

ARIP : Hmmmm… nampak gayanya begitulah.

USTAZ : Kamu tahu kisah Azazil si Iblis?

ARIP : Ya. Tahu jugaK sedikit-sebanyak.

USTAZ : Dia ada ma’rifat tak?

ARIP : Ada jugak. Kalau tak, takkan sampai dia boleh jadi orang kenamaan dalam kalangan para malaikat.

USTAZ :  Mengapa dia yang tinggi juga ma’rifat ketika itu tiba-tiba dilaknat selama-lamanya oleh Allah?

ARIP : Kerana dia tidak mahu sujud beramai-ramai bersama-sama para malaikat kepada Adam.

“Melainkan Iblis, dia enggan turut bersama mereka yang sujud.” (Al-Hijr : 31)

USTAZ : Benar. Banyak lagi ayat-ayat berkaitan :

“Lalu mereka (para malaikat) bersujud kecuali Iblis, dia berasal daripada golongan jin, lalu dia menderhakai perintah Tuhannya.” (Al-Kahfi : 50)

ARIP : “Lalu mereka (para malaikat) sujud kecuali Iblis, dia tidak mahu sujud.” (Taha : 116)

USTAZ : “Maka mereka (para malaikat bersujud) kecuali Iblis.” (Al-Isra; : 61)

ARIP : “Lalu mereka (para malaikat) bersujud kecuali Iblis, dia tidaklah termasuk dalam mereka yang bersujud.” (Al-A’raf : 11)

ADI : “Lalu bersujudlah mereka (para malaikat) keculai Iblis.” (Al-Baqarah : 34)

ARIP : Amboih, hang pun power jugak no! Diam-diam ubi rupanya!

ADI : Aku tak power, Allah yang power.

ARIP : Oo, hang balas balik kat aku no?

(Mereka tertawa kecil)

USTAZ : Yah! Betul belaka tu! Jadi, cuba kita renung-renungkan…. kalau ma’rifat tinggi tetapi tidak mahu sujud beramai-ramai kepada Adam sahaja sudah dilaknat selama-lamanya, bagaimana dengan orang yang merasakan dirinya ma’rifat tinggi tetapi tidak mahu sujud beramai-ramai kepada Allah?

ARIP : Allahu Akbar! Ustaz! Tidak pernah terfikir oleh saya!


JUMPA LAGI

USTAZ : Macam ni lah Arip. Saya yakin masih banyak hal yang kamu nak kongsi sebenarnya, cuma buat masa sekarang ni mungkin kamu tak ingat. Sebab dilaog kita ni pun memang tak dirancang. Kita tahu, ada lagi hujah-hujah golongan tu yang kita biasa dengar, biasa baca, biasa tonton…. Apa kata kalau untuk malam ini, kita berhenti setakat ni je dulu. Balik rumah nanti, kamu cuba kumpul-kumpul tengok alasan-alasan yang ada, lepas tu malam esok lepas Isya’ kita sembang-sembang lagi. Jadi, kamu pun akan lebih bersedia, dan saya pun akan lebih bersedia. Nanti kita akan sama-sama lebih puas hati. Macam mana?

ARIP : Kalau lagu tu ustaz, esok pagi lepas Subuh kita sambung.

ADI : Hoi, gelojoh betul la hang ni! Tak menyempat-nyempat.

ARIP : Ya la! Pagi esok aku dah balik KL. Mana sempat nak jumpa malam esok.

ADI : Oo… dah tu, macam mana ustaz?

USTAZ : Kalau macam tu… kita cubalah lepas Subuh esok, insya-Allah. Pakat-pakat doa.

ARIP DAN ADI : Cantik ustaz.

(SUARA LATAR BELAKANG : Nak jadi cerita, pada tengah malam itu juga Arip terpaksa balik ke KL kerana ada urusan tergempar. Maka pertemuan esoknya tu tertangguhlah. Tetapi mereka telah bersidang sebulan kemudian sewaktu Arip pulang bercuti ke kampung.)

bersambung…


Related Posts with Thumbnails