Wednesday, December 31, 2008
Penutup
Sebenarnya saya ingin mengupas tentang “tabut di dalam diri kita” sebagaimana yang dibicarakan oleh sebahagian ahli sufi. Namun rancangan itu saya batalkan kerana begitu banyak pula ‘benda’ lain yang akan bersangkut-paut ‘di dalam diri’ kita seperti bahtera Nabi Nuh, tongkat Nabi Musa, pedang Zulfiqar, jarum Nabi Idris, baju zirah Nabi Daud, singgahsana Nabi Sulaiman dan banyak lagi. Biarlah para ariffin sufi saja yang mengulasnya untuk orang-orangnya.
Beberapa hari sebelum saya menulis penutup ini, negara pengganas Zionis iaitu Israel menyerang Gaza di Palestin dengan begitu hebatnya. Satu serangan besar-besaran secara mendadak yang tidak dijangka-jangka oleh kita. Setakat ini tindakan zalim itu sudah mengorbankan lebih 300 jiwa dan mencederakan hampir 2000 orang. Serangan demi serangan masih berterusan sepanjang minggu. Apakah mereka sudah menemui tabut?
Yang paling penting daripada kisah tabut ini ialah pengajaran-pengajaran di dalamnya. Namun sekurang-kurangnya kita sudah mempunyai serba-sedikit maklumat tentang tabut seandainya ia muncul suatu hari nanti dan ia ditakdirkan mempunyai peranan pula untuk akhir zaman ini.
Teruskan pembacaan anda terhadap karya-karya saya seterusnya yang berisi penelitian-penelitian dalam hal-hal yang menarik.
‘BERTUHANKAN ALLAH, BERSYARIATKAN SYARIAT MUHAMMAD SAW’
Abu Zulfiqar “Alexanderwathern’
Berkenalan dengan 'Tuhan'
Dengan izin Allah SWT, pada tahun lalu saya ditemukanNya dengan ‘Tuhan’, ataupun lebih tepatnya ‘manusia yang mengaku dirinya Tuhan’ di ruang maya internet ini. Berbahagia betul saya dapat bertukar-tukar fikiran dengan ‘Tuhan’. Bukan mudah-mudah untuk berdialog terus dengan ‘Tuhan’ kerana ketika berinteraksi dengan ‘Tuhan ‘ itu saya tidak pula mikraj, fana ataupun baqa.
‘Tuhan’ ini agak aktif di internet dalam usaha menyebarkan ‘agama’nya. Dia ‘berfirman’ dalam laman sesawangnya dan di ruang-ruang perbincangan di alam internet. Pergerakannya sangat halus kerana dia memang kelihatan seolah-olah seorang penggerak agama Islam yang rajin dan berilmu. Boleh jadi sudah banyak yang menjadi mangsanya lalu mengikut ‘agama’nya.
Kali pertama membaca nukilan-nukilan ‘Tuhan’ ini, saya agak teruja juga kerana dia punya pengetahuan yang agak baik dalam bidang falsafah, hakikat, kesufian, sejarah, kitab-kitab suci pelbagai agama, mantik dan lain-lain. Sesiapa yang membaca tulisan-tulisannya tentu menyangkakan dia seorang Muslim yang beriman lagi sufi yang berpangkat. Dia sering mengaitkan buah fikirannya dengan memetik ayat-ayat al-Quran, hadis, kitab-kitab besar tasauf dan perkataan-perkataan para ulama sufi. Sesekali dipetiknya pula kalimat-kalimat para ahli falsafah dan tokoh-tokoh dunia. Orang yang baru berjinak-jinak dengan dunia tasauf kesufian akan mudah terpesona dengan penyampaiannya. Nama penanya ialah Tauhidansufi, yang mungkin asalnya “Tauhid dan sufi”. Melihatkan namanya pun sudah cukup untuk mengaburi mata kita.
Namun begitu, setelah mengamati beberapa hasil tulisannya dan berdialog dengannya, saya mendapati orang ini ialah ‘Tuhan’!
Setelah menyedari ada masalah dengan agama orang ini, saya pun berkenal-kenalan dengannya. Sudah pasti saya beranggapan yang dia seorang Muslim pada mulanya. Antara perkara terawal yang saya tanyakan:
ABU ZULFIQAR : Saudara mengikut aliran apa?
TAUHIDANSUFI : Saya tidak mengikut mana-mana aliran atau fahaman.
ABUZULFIQAR : Apa agama saudara?
TAUHIDANSUFI : Dengan membaca bahan-bahan di laman web saya, saudara akan tahu apa anutan saya.
Lihat bagaimana dia sengaja tidak mahu menjawab soalan tetapi mengelak dengan membiarkan kita berlalu begitu saja. Situasi begini menjadikan kerja-kerja ‘Tuhan’ ini untuk meracuni pemikiran umat Islam khususnya yang mendapat pendedahan tentang sufi dan falsafah ataupun yang kurang mendapat pendedahan ilmu tauhid tidak terganggu. Jika status sebenarnya sebagai seorang yang bukan Muslim diketahui umum, sudah tentu ‘kerja-kerja meracun’ tidak berjalan lancar.
Sebagai makluman, ‘Tuhan’ ini pada awalnya menyangkakan saya seorang penganut agama Kristian berdasarkan nama ‘Alexanderwathern’ yang saya guna ketika berbicara dengannya. Tambahan pula saya sering menggunakan ayat-ayat Bible sebagai sandaran.
Untuk membuatkan ‘Tuhan’ ini membuka mulut lalu mengisytiharkan agamanya, saya terpaksa mengumpan terlebih dahulu. Saya pun melayan banyak tulisan-tulisannya dengan cara memberikan komen. Jika dia berbicara tentang tauhid, saya pun membicarakan tentang tauhid dengan melebihkan lagi maklumat berbanding tulisannya. Apabila dia berbicara tentang tasauf, saya pun membiacarakan hal yang sama malah melebihkan sedikit taraf pembicaraan itu. Begitulah seterusnya apabila dia berbicara tentang falsafah, agama-agama dunia, kitab-kitab suci, tokoh-tokoh silam dan lain-lain.
Usaha ini berkesan kerana dia semakin seronok bertukar-tukar fikiran dengan saya sehinggalah terkeluar daripada mulutnya ( mata penanya):
“Saya memang kagum dengan saudara. Sejak kehadiran saudara di laman ini, saya berasa sungguh berlainan. Saya belum pernah bertemu dengan orang seperti saudara di internet. Saya akui yang saudara sekalipun seorang Kristian tetapi punyai banyak maklumat tentang Islam dan agama-agama lain seta hal-hal kerohanian. Teruskan, kita meriahkan diskusi.”
Apabila kijang mulai jinak, pemburu pun tidaklah bertangguh-tangguh lagi. Jika ditanya tentang agamanya dia keberatan, maka saya mengumpan dengan cara ini:
ABU ZULFIQAR: Saudara sering memetik ayat-ayat pelbagai kitab suci dari berbilang agama. Dalam masa yang sama, saudara sering juga meremehkan (saya maksudkan “memperlekehkan”) ayat-ayat yang lain. Sebenarnya saudara percaya kitab suci yang mana? Apakah al-Quran, Bible, Talmud, Weda, Baghawad Gita, Tripitaka, Avesta ataupun yang lain-lain? Jika saudara ada mempercayai mana-mana kitab suci contohnya al-Quran, berapa peratuskah isi kandungan kitab suci itu yang saudara percaya?
(Saya menjangkakan dia seorang Muslim. Jika dia menolak mana-mana satu pun ayat al-Quran, bermakna imannya sudah rosak kerana mempercayai 100% isi al-Quran termasuk dalam Rukun Iman. Begitulah strategi saya. Tetapi ‘Tuhan’ ini menjawab dengan sangat berterus-terang hinggakan saya sendiri kaget seketika)
TAUHIDANSUFI: Saya tidak percaya dengan mana-mana kitab suci. Semua kitab suci itu adalah ‘khayalan’ yang dicipta oleh manusia. Kitab-kitab suci dijadikan berhala-berhala oleh manusia.
Bermula saat itu, panjanglah dialog kami yang tentunya berisi banyak pengetahuan di dalamnya lagi jarang dibicarakan oleh orang-orang biasa.
Pendahuluan
Agama manusia asalnya satu. Apabila umat manusia semakin berkembang dan bertebaran ke serata dunia, agama manusia pun menjadi pelbagai ragam. Oleh itu dari semasa ke semasa Tuhan mengutuskan wakil-wakilnya berupa rasul dan nabi dalam kalangan manusia untuk membetulkan apa yang kurang kena ataupun yang tidak kena dengan agama mereka. Maka agama itu pun diluruskan kembali.
Namun begitu manusia begitu cepat berubah hati. Apabila para wakil Tuhan itu tidak lagi berada bersama-sama mereka sama ada wafat, hilang ataupun berhijrah, dengan cepatnya mereka merosakkan agama mereka kembali. Bahkan banyak pula umat yang mendustakan para wakil Tuhan itu ketika para wakil itu masih berada di tengah-tengah mereka.
Lihat saja umat Nabi Nuh, Nabi Lut, Nabi Musa, Nabi Isa dan lain-lain. Nabi Musa seorang rasul besar bertaraf Ulul Azmi. Baru beberapa hari dia meninggalkan kaumnya untuk berurusan dengan Tuhan di Bukit Tursina, kaum Bani Israil sudah menyembah berhala lembu. Padahal bersama-sama mereka masih ada seorang lagi wakil Tuhan iaitu Nabi Harun. Hal sebegini boleh berlaku dalam keadaan seorang Rasul Ulul Azmi dan seorang rasul lagi masih hidup bersama-sama mereka. Bayangkan kerosakan-kerosakan agama yang melanda bangsa-bangsa lain.
Terdapat pelbagai jenis agama yang setiap satunya mempunyai pelbagai lagi aliran di dalamnya. Ada aliran yang bersamaan dan ada yang bertentangan fikrah mereka. Agama Islam sendiri tidak terlepas daripada fitnah ini sebagaimana yang dimaklumkan oleh Nabi Muhammad saw:
“Umat Yahudi sudah terpecah menjadi 71 golongan, maka hanya satu golongan saja yang masuk syurga dan yang 70 lagi akan masuk ke neraka. Umat Nasrani (Kristian) sudah berpecah menjadi 72 golongan, maka 71 golongan masuk neraka dan hanya satu golongan saja yang masuk syurga. Demi Tuhan yang diriku (Nabi Muhammad) berada di dalam kekuasaanNya, umatku akan berpecah menjadi 73 golongan, hanya satu golongan saja yang masuk syurga dan 72 lagi akan masuk neraka.”
(Sahabat bertanya) “Siapa mereka (yang selamat itu) wahai Rasulullah?”
Katanya, “Al-jamaah.”
(Ibnu Majah)
‘BERTUHANKAN ALLAH, BERSYARIATKAN SYARIAT MUHAMMAD SAW’
Abu Zulfiqar ‘Alexanderwathern’
Wednesday, December 24, 2008
RAMALAN PUNCA-PUNCA HARI KEHANCURAN- Kemusnahan Bumi
Bom atom yang digugurkan Barat di Hiroshima dan Nagasaki di Jepun menelan nyawa ratusan ribu orang. Itu kuasa teknologi persenjataan pada tahun-tahun 40-an. Bagaimana agaknya kuasa bom nuklear hari ini?
Kita guna contoh mudah. Mari kita mengenang semula betapa dhaifnya telefon pada tahun-tahun 40-an. Kemudian kita bandingkan dengan telefon bimbit hari ini. Jauh berbeza tidak? Kemudian kita bayangkan pula kapal terbang perang pada zaman itu sebagaimana yang dipaparkan dalam filem ‘Pearl Harbour’. Bandingkan dengan jet pejuang dan roket hari ini.
Tentu kita mengakui betapa jauh berbezanya teknologi tahun 40-an dengan hari ini. Jika bom atom zaman itu mampu bertindak sekejam itu, bayangkan keupayaan bom nuklear hari ini.
Mana-mana kuasa besar dunia hari ini boleh melancarkan bom nuklear pada bila-bila masa. Jika Korea Utara ataupun China berasa terancam dengan dunia khususnya Amerika, dan mereka pula sanggup untuk menang menjadi arang dan mati menjadi abu, mereka boleh meledakkan bom nuklear di kutub utara. Akibatnya simpanan ais dunia di sana terbakar dan mencair lalu menenggelamkan banyak bahagian dunia.
Mana-mana negara yang bijak dan mula membina pusat pemerintahan mereka di tanah-tanah tinggi, mungkin boleh selamat. Tidak mustahil kuasa-kuasa besar akan berlumba-lumba berebut dan membina ‘bandaraya selamat’ mereka seperti di Tibet, Alps, Carpathians, barat Amerika Utara, Banjaran Andes, Tanah Tinggi Ethiophia dan lain-lain. Mana-mana pihak yang menguasai tanah-tanah tinggi ini boleh menggunakan Kutub Utara dan Kutub Selatan sebagai senjata. Negara-negara Islam bagaimana? Malaysia bagaimana?
PERANG ANGKASA (STAR WARS)
Filem-filem fiksyen sains sudah lama menggambarkan perang di angkasa. Memang ada kemungkinannya kuasa-kuasa besar yang saling bertelagah akan menjadikan ruang angkasa lepas sebagai medan pertempuran. Mungkin suatu masa nanti akan ada undang-undang perang yang melarang sebarang peperangan di bumi. Sesiapa yang ada masalah, hendaklah menyelesaikannya di angkasa lepas.
Sungguhpun begitu, perang yang berlaku tidaklah akan sehebat gambaran dalam filem-filem. Cuma yang kita khuatiri ialah kuasa-kuasa besar ini akan menggunakan senjata berat seperti nuklear.
Kini teknologi persenjataan kuasa-kuasa besar semakin canggih dan memang menuju ke arah ‘star wars’. Mereka sudah mampu menembak satelit di angkasa. Bukan perkara mudah untuk menembak satelit yang ligat mengelilingi bumi dalam keadaan bumi sendiri ligat berputar.
Bayangkan jika mereka berbalas senjata berat di atas sana, pasti kesannya kena pada bumi kita. Atmosfera bumi boleh rosak, suhu bumi boleh meningkat, kutub mencair, graviti bumi dan bulan rosak, pasang surut terganggu dan pelbagai lagi fenomena menakutkan yang akan menghasilkan fenomena-fenomena lain pula seperti banjir, rebut taufan, tsunami, letusan gunung berapi dan sebagainya.
Jarak bumi dengan bulan sejauh 384,400 kilometer itu pun bukanlah jauh sangat jika dibandingkan dengan jangkauan senjata hari ini. Apa akan berlaku jika bulan diledakkan?
Ada juga andaian mengatakan bumi akan mengalami peperangan dengan makhluk-makhluk dari planet ataunpun galaksi yang lain. Pada saya hal ini mustahil berlaku. Apa yang digembar-gemburkan sebagai UFO itu sebenarnya bukanlah berasal dari luar sana. Perbahasan hal ini panjang dan tidaklah kita sentuh di sini.
PENGEMBANGAN BUMI
Bumi yang berdiameter 12,500 kilometer dipercayai tidaklah sebesar hari ini suatu waktu dahulu. Dari semasa ke semasa ia semakin membesar/ membengkak. Pada asalnya hanya ada satu daratan di muka bumi yang dikelilingi oleh lautan, ataupun yang wujud ketika itu hanya daratan tanpa lautan. Apabila bumi semakin membesar, daratan menjadi retak lalu terpisah-pisah. Hal ini mewujudkan pulau dan benua. Hanyutlah benua Amerika dan benua Australia. Terpisahlah Britain dari Eropah dan Jepun dari Tanah Besar Asia.
Contoh yang biasa saya gunakan dalam kuliah-kuliah selepas Maghrib ialah belon dan tanah liat. Reaksi pendengar menunjukkan mereka mudah faham akan contoh ini.
Mula-mula kita tiup sebiji belon, jangan besar. Salutkan sebahagian belon dengan tanah liat/ selut. Biarkan selut itu mengering dan keras. Selut kering itu seolah-olah daratan di bumi. Kemudian kita tiup lagi belon itu hingga betul-betul besar. Apa yang terjadi kepada ‘daratan’ tadi?
Ia akan meretak lalu terpecah-pecah dan akhirnya terpisah dan semakin menjauh antara satu sama lain.
Kita akui yang teori ini pun tidak mustahil juga. Alam semesta sendiri semakin meluas, barang-barang di dalam perutnya termasuklah bumi juga mungkin semakin membesar.
Ada khilaf yang bagus juga penjelasannya tentang teori pengembangan bumi ini. Sesetengah pihak berandaian seluruh bumi ini pada asalnya lautan, kemudian barulah daratan-daratan menonjolkan diri dari dalam lautan lalu membentuk peta dunia sebagaimana hari ini.
Terus saya teringat bahagian kegemaran saya dalam Bible iaitu kitab Kejadian ( Genesis) yang terdapat ayat mengatakan:
“Then God said, "Let the waters under the heavens be gathered together into one place, and let the dry [land] appear"; and it was so. And God called the dry [land] Earth, and the gathering together of the waters He called Seas.”
(Genesis 1: 9-10 New King James Version)
Maksudnya: “Kemudian Tuhan berkata, “Hendaklah air di bawah langit itu berkumpul di satu tempat, dan hendaklah bahagian yang kering (daratan) itu muncul/ timbul. Dan jadilah ia begitu. Dan Tuhan menyebut bahagian yang kering itu bumi (daratan), dan kumpulan air itu disebut-Nya lautan.”
(Kejadian 1: 9-10)
Daripada kitab agama Buddha pula terdapat huraian berikut yang saya rasa memang sepadan:
“Vasettha, cepat ataupun lambat setelah suatu masa yang lama sekali bagi mahluk-mahluk tersebut, TANAH DAN SARINYA MUNCUL KELUAR DARI DALAM AIR. Samalah seperti bentuk-bentuk buih di permukaan nasi susu masak yang mendingin, DEMIKIANLAH MUNCULNMYA TANAH ITU. Tanah itu memiliki warna, bau dan rasa. Sama seperti dadih susu atau mentega murni, demikianlah warna tanah itu; sama seperti madu tawon murni, demikianlah manis tanah itu.”
(Tripitaka: Sutta Pitaka: Digha Nikaya: Agganna Sutta) (1)
Teori pengembangan bumi
KEKACAUAN GRAVITI
Pernah tonton filem ‘The Core’? Saya sarankan anda menontonnya.
Bumi terdiri daripada beberapa lapisan yang berbeza-beza bahan-bahannya. Dikatakan graviti bumi terhasil daripada lapisan-lapisan tertentu. Dalam filem The Core, digambarkan satu lapisan lahar di perut bumi pada asalnya sentiasa mengalir laju. Aliran inilah yang mewujudkan dan menstabilkan graviti bumi.
Satu ketika aliran ini menjadi lemah dan bakal berhenti. Sebelum ia berhenti lagipun pelbagai musibah melanda penduduk bumi kerana gravitinya sudah tidak betul. Jika aliran lahar itu tidak diaktifkan, bumi akan musnah.
Kekacauan graviti boleh berlaku atas banyak sebab, tidak terhad kepada aktiviti dalam perut bumi saja.
‘Trailer’ filem The Core
KERUNTUHAN BUMI
Pesan Nabi: “Carilah kehidupan (rezeki) kamu daripada kekayaan yang tersembunyi di perut bumi.”
(Thabrani)
Sebagaimana nasib malang yang mungkin berlaku ke atas al-Aqsa, sebegitulah nasib yang mungkin dilalui oleh bumi. Bumi hari ini punyai banyak ‘lorong-lorong tikus’ kerana isi-isinya yang berharga dikeluarkan oleh manusia.
Minyak, bijih, gas, asbestos, belerang, arang batu, bauksit, emas, berlian dan pelbagai lagi dikeluarkan dari perut bumi dengan pesatnya, malahan kadang-kala melampau pesatnya. Situasi ini menjadikan permukaan bumi semakin rapuh. Suatu hari nanti permukaan bumi tidak akan mampu lagi bertahan lalu terperosok ke dalam.
“Telah berlaku pelbagai kerosakan di darat dan di laut akibat tangan manusia,...”
(Ar-Ruum: 41)
PENGUBAHAN BUMI
Nabi Muhammad saw menyatakan: “Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah Tanah Arab menjadi lembah yang subur dan dialiri sungai-sungai.”
(Muslim)
Suhu dunia berubah mengikut kawasan. Ada pihak yang percaya ada bahagian bumi yang kering hari ini dahulunya taman-taman yang subur dan sebahagiannya bersalji. Sebaliknya kawasan-kawasan dunia yang hari ini dingin berkemungkinan dulunya tandus. Sebab itulah ada manusia percaya Tanah Arab akan kembali menjadi subur.
Kita biasa membaca perihal turunnya salji di Madinah, utara Arab Saudi, Baitul Maqdis, Emiriah Arab Bersatu (UAE). Hal ini diseimbangkan pula dengan berita kecairan ais di Alaska, bertambahnya kawasan tandus di Mongolia dan hilangnya lapisan ais di Peru.
Kesimpulannya, dunia sedang mengalami perubahan suhu mengikut kawasan. Mungkin satu hari nanti Afrika akan berhawa Eropah manakala Amerika, Rusia dan China berhawa Afrika. Ketika itulah kuasa-kuasa besar dunia tidak akan duduk diam. Pastinya mereka mahu mengekalkan keselesaan dan keuntungan. Desakan ini memungkinkan mereka melakukan perubahan kepada bumi dengan cara ‘mengubah’nya.
Mungkin mereka akan mengubah kecondongan bumi, melambat ataupun mempercepatkan putaran bumi, mendekatkan ataupun menjauhkan orbit bumi daripada matahari dan macam-macam lagi yang belum terfikir oleh generasi hari ini.
Walaupun pengubahan yang mahu dilaksanakan itu mungkin mendapat persetujuan dunia dan dilakukan dengan begitu berhati-hati, tetapi kita percaya ia akan merosakkan keseimbangan alam dan alam semesta yang ahirnya akan membawa kepada kemusnahan.
FENOMENA GERGASI MERAH (RED GIANT) & SUPERNOVA
Dikhuatiri satu masa nanti bahan bakar matahari iaitu hidrogen habis, lalu inti matahari akan semakin mengecil tetapi bahagian luar matahari akan semakin membesar. Hal ini menjadikan matahari membengkak, dikenali sebagai fenomena Red Giant (Gergasi Merah). Ukuran matahari yang semakin membesar ini akhirnya akan menelan planet-planet berdekatan iaitu Utarid (Mercury), Zuhrah/ Kejora (Venus), bumi dan Marikh (Mars). Kini jarak purata antara bumi dengan matahari ialah sejauh 1 AU (Astronomical Unit) atau 1,49,598,000 km, tetapi ketika itu matahari akan membesar dan menelan bumi.
Matahari akan terus membesar hingga ke tahap maksimanya lalu ia akan meledak memusnahkan seluruh Sistem Suria. Selepas seluruh Sistem Suria musnah, sisa-sisanya akan bertaburan. Sisa-sisa ini lama-kelamaan akan terkumpul dan membentuk nebula (2). Nebula ini pula akhirnya akan membentuk bintang utama iaitu matahari yang baru sementara sisa-sisa yang lain akan membentuk gugusan planet. Sistem Suria yang baru pun wujud. Fenomena ini pula dikenali sebagai Supernova.
Hal ini dipercayai berlaku kepada bintang-bintang sedangkan matahari juga sebuah bintang. Kemungkinannya tetap ada.
Boleh jadi fenomena Red Giant ada kaitan dengan ayat ini: “Apabila matahari DILINGKARI CAHAYANYA (dan hilang lenyap-terpadam). Dan apabila bintang-bintang gugur berselerak”
(At-Takwiir: 1)
Dan ayat ini: “Ia bertanya (secara mengejek): “Bilakah datangnya hari kiamat itu?” (Jawabnya) “Maka apabila pemandangan menjadi berpendar-pendar. Dan BULAN HILANG CAHAYANYA (kerana cahaya matahari yang terlalu terang ketika itu membuatkan bulan tidak kelihatan- seperti pada waktu tengah hari). Dan matahari serta bulan DIHIMPUNKAN BERSAMA (apabila matahari mula menelannya).”
(Al-Qiaamah: 6-9)
Serta ayat ini: “Dan apabila lautan meluap-luap bercampur-baur.”
(At-Takwiir: 6)
Apakah lautan akan meluap-luap kerana matahari semakin membesar dan mendekati bumi? Wallahualam.
Namun hingga ke hari ini, fenomena Red Giant dan Supernova ke atas bintang-bintang lain masih punya kesamaran.
Gambaran Supernova
Fenomena Red Giant & Supernova.
Ya Allah... inikah yang dikatakan 'matahari sejengkal di atas kepala'?
REMPUHAN OBJEK DARI ANGKASA
Kisah rempuhan ataupun tempias objek dari angkasa lepas ke atas bumi tersebar zaman-berzaman. Sering saja kiamat diramalkan apabila terdapat apa-apa objek dari angkasa yang akan lalu berhampiran bumi tetapi sehingga kini semuanya meleset. Antaranya komet Halley yang datang menziarahi kita setiap 75 ataupun 76 tahun. Kali terakhir ia datang pada tahun 1986 dan bakal muncul lagi pada tahun 2061.
Kali ini heboh pula tentang Planet X ataupun nama lainnya Nibiru. Nibiru dipercayai berasal dari luar Sistem Suria. Graviti matahari yang kuat mempengaruhi Nibiru untuk menghampiri Sistem Suria. Walaupun gambaran sebenar tentang Nibiru agak samar kerana ia masih terlalu jauh, namun dijangkakan ia akan tiba sekitar antara 1-60 tahun lagi.
-->
Kemungkinan planet itu sebuah planet kecil yang ditarik oleh graviti planet Musytari yang besar lalu ia terhentam dengan Musytari. Hentaman itu menyebabkan ia hancur berkecai.
Satu lagi kemungkinan ialah planet itu telah dirempuh oleh satu objek yang datang dari luar Sistem Suria (3). Objek itu kini dikenali sebagai Planet X ataupun Nibiru. Dalam kunjungannya pada kali ini, Nibiru dikhuatiri akan merempuh mana-mana planet termasuklah bumi.
-->
-->
http://www.ahura.info/images/SolarSystem.GIF
Dalam mitologi Babilon, Tiamat ialah seorang dewi. Tiamat melahirkan dewa-dewa tetapi kemudiannya dia memerangi mereka. Oleh itu Tiamat dibelah dua oleh Tuhan Marduk (Tuhan Ribut). Marduk pula dikenali sebagai Nibiru. (4)
Di sini kita dapat melihat kaitannya. Boleh jadi planet Nibiru pernah merempuh planet Tiamat (membelahnya) lalu menghasilkan lingkaran asteroid.
Apa pun, maklumat tentang Nibiru masih sangat samar. Pelbagai khabar angin disebarkan terutamanya tentang saiz dan kelajuannya.
Gambaran Nibiru memusnahkan Tiamat
(1) Kitab agama Buddha ialah Tripitaka (Tiga Keranjang) yang mengandungi 3 bahagian iaitu Vinaya Pitaka (mengandungi tata tertib para sami), Sutta Pitaka (mengandungi ucapan-ucapan Gautama Buddha) dan Abhidhamma Pitaka (mengandungi ajaran metafizik dan ilmu kejiwaan). Sutta Pitaka pula terdiri daripada 5 bahagian. Bahagian pertama ialah Dugha Nikaya. Dugha Nikaya pula terdiri daripada 34 Sutta.
(2) Perkataan “Nebula” berasal dari bahasa Latin yang bermaksud awan (ad-dukhaan). Nebula terbentuk daripada awan bergas dan debu-debu di angkasa lepas. Ada nebula yang sedang membentuk bintang dan ada juga yang merupakan sisa-sisa kemusnahan sesebuah bintang.
(3) Sistem Suria terdiri daripada matahari, Utarid, Zuhrah, Bumi, Marikh, Musytari, Zuhal, Uranus, Neptun, Pluto (sesetengah pihak tidak mengiktiraf Pluto sebagai sebuah planet), beberapa planet kerdil ataupun ‘dwarf planets’( Ceres, Haumea, Makemake dan Eris), lebih 160 bulan dan berbillion objek kecil lain.
(4) http://en.wikipedia.org/wiki/Tiamat dan http://en.wikipedia.org/wiki/Hypothetical_astronomical_object_(non-scientific)#Planets_proposed_by_Zecharia_Sitchin
Tulisan-tulisan di laman ini hakikatnya adalah hak milik Allah SWT dengan berperantaraan Abu Zulfiqar 'Alexanderwathern'. Maklumat berkenaan HALAL DIPINDAHKAN ke mana-mana dengan SYARAT hendaklah disertakan sama alamat laman ini sebagai rujukan dan tidak digunakan untuk tujuan komersil.