Kajian dan pemerhatian ringkas tentang Al-Quran, As-Sunnah (hadis), agama-agama dunia, kitab-kitab suci pelbagai agama, manuskrip-manskrip kuno, alam semesta (bumi dan angkasa lepas), ilmu perbandingan agama, sejarah, peristiwa-peristiwa akhir zaman, kiamat, alam akhirat, alam ghaib, sains, astronomi (falak) dan lain-lain ilmu alam.

Wednesday, November 30, 2011

Sembang-sembang Tentang Gautama Buddha

TULIS PEMBACA :

Assalammualaikum wahai Abu Zulfiqar,

Saya sudah baca blog saudara tentang Nabi Zulkifli adalah Buddha. Walaupun tiada bukti yang kukuh tentang mereka. Saya cukup yakin dari seseorang yang saya percayai mengatakan memang benar Gaustama Buddha itu adalah seorang nabi tapi bukan Nabi Zulkifli yang saya maksudkan.

ABU ZULFIQAR :

Wlksm. Selamat datang dan terima kasih atas kunjungan ke blog saya. Saya yakin, tulisan yang anda maksudkan ialah ‘Nabi Zulkifli dan Buddha Orang Yang Sama?’ http://myalexanderwathern.blogspot.com/2011/10/nabi-zulkifli-dan-buddha-orang-yang.html yang mana kesimpulannya adalah seperti berikut :

“Dengan hanya bersandarkan maklumat-maklumat yang kita perolehi di atas, tentulah masih belum memadai untuk mengatakan Nabi Zulkifli dan Gautama Buddha itu orang yang sama. Kita perlu mencari sandaran-sandaran yang lebih kukuh.”

SETAKAT INI nampaknya memang tidak ada bukti kukuh yang mengatakan Nabi Zulkifli dan Gautama Buddha ialah orang yang sama. Boleh jadi juga Buddha salah seorang nabi, tapi bahagian ini pun tidak terlepas daripada kebergantungan kita terhadap BUKTI-BUKTI yang baik untuk mengiyakannya.

Dalam blog saya ini juga ada sebuah artikel yang bertajuk ‘Buddha Yang Nabi Lagi Rasul?’ http://myalexanderwathern.blogspot.com/2008/11/buddha-yang-nabi-lagi-rasul_27.html . Tulisan saya ini berkisar tentang sejarah awal agama Buddha. Isi kandungannya antara lain membawa pembaca berfikir bahawa ADA KEMUNGKINAN Buddha seorang nabi.


TULIS PEMBACA :
Memang dia dari keturunan kerabat diraja. Beliau bermeditasi/bertapa di bawah pohon bodhi, maka Tuhan telah memberi gelaran kepadanya Gaustama Siddharta. Gaus/Gaustama bermakna gelaran paling tinggi macam Qutubul gaus para wali. Siddharta pula adalah Siddharta Muntaha (pendaharaan Allah). Beliau bermeditasi dengan memakai pakaian sami, cuba fikirkan pakaiannya itu seperti ihram (tawaf di Kaabah).Tidakkah itu perintah dari Allah....cuma warnanya kuning mungkin diseleweng oleh pengikut-pengikutnya yang sesat....

ABU ZULFIQAR :

Setakat sedikit maklumat yang saya ada (boleh jadi benar, boleh jadi salah), memang sedari lahir dia dinamakan Siddharta Gautama (dalam sebutan Sanskritnya ‘Siddhatta Gotama’ yang bermaksud ‘keturunan Gotama yang maksud/cita-citanya tercapai’), bukannya ketika dia bermeditasi di bawah pohon bodhi. WaAllahua’lam.

Tentang gelaran ‘gautama’ (ataupun dalam sebutan Sanskritnya berbunyi ‘gotama’) yang mungkin ada persamaan dengan ‘gaus’ dan ‘gaustama’, mungkin ada kebenarannya juga. Cuma setakat ini saya belum nampak jelas kaitan antara kedua-duanya. Masih samar-samar.

Antara sebabnya, bunyi ‘gotama’ dengan ‘gaus/ghous’ agak jauh berbeza. Kemudian, istilah ‘gaus/ghaus’ ini pun kalau tidak salah saya hanya wujud kemudian daripada zaman Nabi Muhammad. Pada zaman Gautama Buddha (yang berbeza lebih 1,000 tahun dengan zaman Nabi Muhammad), kemungkinan besar belum ada istilah gaus/ghaous (maaf jika saya tersilap). Seterusnya, gelaran gaus/ghous dipakai untuk para wali, tidak untuk para nabi sedangkan kita sedang cuba mengaitkan Gautama Buddha dengan pangkat kenabian.

Hubungan antara Siddharta (Yang Terkabul Cita-citanya) dengan Sidratul Muntaha (Pohon Bidara Yang Terakhir/Perbatasan) pun rasa saya belum cukup kuat. Maksud kedua-duanya pun berlainan.

Tentang pakaiannya, memang sami-sami agama Veda dan Hindu sebelum zaman Buddha sudah memakainya. Ahli-ahli falsafah di Yunani dan Rom pun memakainya, dan berwarna putih.


TULIS PEMBACA :

Pada asalnya sebelum kedatangan agama Islam, agama Buddha memang sah di bumi ini iaitu sembah Tuhan yang satu (monoteisme). Akibat banyak kerosakan dalam agama itu seperti mana agama Kristian yang asalnya dibawa oleh Nabi Isa adalah sah lalu Allah telah batal semua agama kecuali agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad sahaja.

ABU ZULFIQAR :

Memang ada kemungkinannya.

TULIS PEMBACA :
Maaf saya tidak pandai menyusun/membina ayat sebab saya orang biasa yang lagi kerdil di sisi Allah SWT. Tapi saya rasa terpanggil untuk menceritakan hal ini kepada saudara yang lagi bijak pandai...sekali lagi saya minta maaf...

ABU ZULFIQAR :

Sebenarnya kita sama sahaja. Sekiranya saya bijak pandai, tentu saya tidak duduk dalam keadaan saya sekarang, sekadar orang biasa. Eloklah kita kongsi-kongsi maklumat sebegini, saling memenuhi.

Terima kasih sekali lagi.


Abu Zulfiqar

28 November 2011

Sunday, November 27, 2011

Agama dan Dewa Hindu

TULISAN PEMBACA :

Agama Hindu adalah agama tertua di dunia.Pada masa itu para malaikat dikenali dengan nama Dewa Kala , Dewa Siva, Dewa Krihna dan lain-lain dalam bahasa/tulisan Sanskrit. Pabila datang agama Islam maka para malaikat dikenali dengan nama Arab seperti Izrail ,Mikail dan lain-lain. Asalnya agama Hindu ini agama yang benar disebabkan pengikut/manusia yang sesat terlalu taksub dengan kuasa magik si dewa maka mereka sembah dan menjadikan tuhan. Oleh sebab tu tuhan mereka banyak...Manusia semakin lupa kepada Tuhan yang Esa/Tunggal, sebab itulah agama Hindu terbatal di bumi ini maka diganti dengan agama lain yang lagi baik dan terpelihara iaitu agama Islam. Maafkan saya kalau fakta saya salah....sekian. Fikir-fikirkanlah...Allah suka orang yang banyak berfikir.

TULISAN SAYA :

Selamat datang tuan. Terima kasih banyak tuan atas komennya.

Agama Hindu adalah antara agama yang tertua. Sebenarnya sebutan ‘Hindu itu sendiri datang kemudian. Sebelum itu ia sesuai disebut sebagai agama Veda sahaja, kerana ketika itu ia belum terseleweng dan betul-betul mengikut kitab Veda. Sebelum daripada itu, agama ini tidak mempunyai nama yang khusus. Agama yang dibawa oleh Nabi Adam, Nabi Idris, Nabi Nuh dan kemudiannya Nabi Ibrahim ialah agama kebenaran yang tidak punya nama tertentu sebagaimana agama-agama pada hari ini. Begitu juga dengan agama kebenaran yang kemudiannya berpandukan kitab Veda, dan kemudian lagi dikenali pula sebagai agama Hindu.

Dalam agama Hindu, banyak perkara yang disebut dewa. Antaranya Tuhan itu sendiri, para malaikat, manusia, jin dan alam.

Sebenarnya Dewa Siva ialah Tuhan (Brahman) itu sendiri. Dia dikenali sebagai Siva melalui kerja yang dilakukan iaitu menguasa dan memusnah. Melalui kerja-kerja mencipta, Brahman yang sama dikenali sebagai Brahma dan melalui kerja-kerja memelihara ciptaan, Brahman yang sama juga dikenali sebagai Vishnu.

Samalah halnya seperti Allah yang dikenali juga sebagai Ar-Rahman yang antara lain menurunkan rezeki kepada makhluk-makhluk-Nya, dikenali sebagai Al-Khaliq yang mencipta, Al-Malik yang menguasai dan lain-lain. Ringkasnya, Tuhan (Brahman) dan Siva ialah satu peribadi, bukannya dua dewa yang berlainan. Sebab itu Brahman, Vishnu dan Siva berada dalam Trimurti. Ketiga-tiganya ialah Tuhan yang satu. Begitu juga dengan 99 nama Tuhan yang dikenali sebagai Asma ul-Husna. Ia merujuk kepada Tuhan yang satu, bukannya bermaksud ada 99 Tuhan.

Dewa Kala yang menguasai waktu (kan kita biasa sebut kala senja, kala itu, kala sepi dan lain-lain) dikatakan anak kepada Siva. Antara tugasnya ada sedikit persamaan dengan Malaikat Izrail. Boleh jadi Dewa Kala salah seorang malaikat.

Dewa Krishna ialah manusia, bukan Tuhan dan bukan malaikat. Dia salah seorang utusan Tuhan (Brahman) kepada umat manusia di benua India lama.

Sebenarnya, masih ramai juga penganut agama Hindu hari ini yang tidak lupa kepada Tuhan Yang Esa, tetapi mereka syirik kerana menyekutukannya dengan berhala. Mereka mengambil perantaraan dalam berabdi kepada Tuhan. Di situlah kesalahan utamanya. Samalah halnya dengan sebahagian besar kaum musyrikin Quraisy pada zaman Rasulullah saw, mereka tahu Allah Tuhan sebenar tetapi mereka syirik iaitu menyekutukan-Nya dengan berhala. Sebab itu mereka digelar ‘musyrikin’.

Memang benarlah kata tuan, agama Islam didatangkan antara lain kerana sudah rosaknya ajaran-ajaran terdahulu termasuklah agama Veda. Mustahil bagi Tuhan melakukan pekerjaan yang sia-sia. Agama Islam tidak akan diturunkan sekiranya ajaran-ajaran sebelum itu masih terpelihara.


Abu Zulfiqar

27 November 2011

Friday, November 25, 2011

9. Di Kemuncak Bukit Naga

BAB SEMBILAN – Di Kemuncak Bukit Naga

“Banyak betoi pacat,” rungut Piyan. Sudah dua liang di kakinya ditebuk dengan rakus oleh warga pacat Bukit Naga itu.

“Tak pa Piyan, dia sedut daghah kotoq ja. Kan hang dok lengoh-lengoh kaki selalu? Balik nanti hang tengok, hilang habih leboh-lengoh kaki hang tu,” kata Khairi yang berada beberapa meter di hadapan.

“Elok la tu Piyan. Hang tangkap tujuh lapan ekoq lagi, hang boh kat kaki hang. Sekali-sekali buat la kenughi, pahala dapat badan pun sihat,” usik Seman dari belakang.

“Cantikkkk!” balas Piyan, seolah-olah mengiyakan kata-kata Seman.

“Cantikkk... macam itik...” sampuk Khairi.

Diri mereka dari paha ke bawah memang sudah basah dari awal. Sekejap meredah anak sungai, sekejap meredah hutan. Di tangan masing-masing sebilah parang untuk menebas semak.

“Kat sebelah kiri kita ni ada kawasan cerah sikit. Apa kata kita ‘take five’ kejap?” laung Khairi.

“Hah, elok la tu! Dah sepaghuh bukit kita panjat ni, elok ‘rest’ sat,” balas Piyan.

Kawasan yang dimaksudkan terletak di lereng bukit dan agak terbuka. Barulah luas sikit pandangan, kalau tidak asyik nampak hutan kiri kanan.


Salah satu pemandangan dari atas Bukit Naga.


Piyan terus duduk. Dikeluarkannya botol air, penutupnya dibuka, didekatkannya mulut botol ke mulutnya, mulutnya menghirup air. Seman pula membongkok untuk melihat kalau-kalau ada warga pacat di kakinya. Ada tiga ekor tapi belum masuk ke dalam pakaian, masih merayap-rayap. Di ambilnya satu-persatu, dibuangkannya ke tepi.

Sementara itu Khairi masih berdiri. Dipandangnya panorama indah dari kanan ke kiri. Dari lereng bukit itu dia dapat melihat bahagian atas Kampung Jawa, Padang Gajah, Simpang Temelok, Temelok, Nibung dan Sungai Nyior. Sebahagian jalan raya lurus yang menghubungkan Kampung Sungai Nyior dengan Padang Gajah pun dapat dilihatnya, cuma terlalu kecil.

Khairi mengambil teropong yang tersangkut di dadanya lalu dikenakan di hadapan dua biji matanya. Boleh nampak dengan jelas beberapa biji kereta yang menggunakan jalan raya Sungai Nyior-Padang Gajah itu.

Tiba-tiba hati Khairi terdetak. Salah sebuah kereta yang sedang meluncur dari kanan ke kiri itu ialah kereta berwarna cerah yang dilihatnya di hadapan Restoran Sharif tiga malam lepas. Pemandunya tidak dapat dilihat kerana ia duduk di sebelah kanan kereta. Tidak lama kemudian kereta itu menghilang di sebalik pokok-pokok sawit dan getah.

Khairi menjatuhkan kembali teropong ke dadanya. Dia terfikir, di manakah agaknya lagi kereta itu pernah dilihatnya? Orang berkepala botak dan bercermin mata pada malam itu juga pernah dilihatnya. Tapi di mana? Bila? Siapa?

Selepas sepuluh minit, mereka bergerak semula. Sekali lagi Khairi di hadapan. Dia tidak mahu berfikir tentang kereta buruk berwarna cerah itu lagi, runsing. Tapi datang pula fikiran lain. Yang ini pun merunsingkan juga...

“Mak bekenan dengan soghang budak tu,” cetus Puan Sal. “Alaah... dulu masa dia kecik-kecik selalu dia dok lalu kat tepi laman kita ni.”

Khairi tertegun seketika. Ibunya bercakap dengannya kah? Memang tidak ada orang lain di situ, hanya mereka berdua. Tapi mengapa ibunya bercakap tentang hal-hal yang berbau perkahwinan? Khairi sendiri belum terfikir untuk mendirikan rumahtangga. Lagi pun usianya baru dua puluh satu tahun. Masih menuntut di universiti. Kerja pun belum,apa pun belum.

“Eh, saya bukan nak kahwin lagi mak! Lambat lagi.”

“Alah, boleh tempah awai-awai,” balas ibunya. Khairi terdiam seketika. Baginya, soal jodoh biarlah dia sendiri mencarinya,menapisnya suatu hari nanti.

“Errr... sapa dia mak?” kata Khairi, ingin tahu juga citarasa ibunya bagaimana.

“Ghambut lughuih... kulit ceghah...macam muka Cina sikit-sikit. Alahhhh dulu yang duduk ghumah kembaq dua kat belakang tu.”

Ligat fikiran Khairi mencari sasaran. Yang mana satu ni? Jenis wanita yang bagaimanalah agaknya yang mendapat tempat di mata ibunya?

“Ani? Ani yang gemuk tu ka?” tanya Khairi kehairanan.

“Dulu masa kecik-kecik memang la gemok. La ni dah elok dah badan dia.”

Khairi tersengih. Memang tidak diduganya langsung orang seperti Ina yang jadi pilihan ibunya. Memanglah cantik orangnya, tapi bukan jenis yang menjadi pilihan Khairi. Entah di manalah ibunya melihat Ani, kerana sudah berbelas tahun Ani dan keluarganya berpindah dari Kampung Potong Pinang ini.

“Dia dalam latihan, nak jadi misi,” ujar ibunya lagi.

“Uhh, tak payahlah mak! Nanti oghang caghi senighi lah,” balas Khairi.

“Dak laa... kalau Khairi nak, boleh ‘bukak mulut’ siap-siap. Tak la telepaih ke tangan oghang nanti.”

“Tak pa lah mak. Oghang nak caghi senighilah. Ani tu lain cagha dia, oghang lain cara oghang. Tak ngam.”

“Iiikutlah,” jawab ibunya.

Seman di belakang sekali. Antara kelebihan berada di belakang ini adalah tidak perlu teruk menebas dan mencantas. Jadi ada lebih masa untuk melayan fikiran.

Seman terkenangkan arwah Pak Mat Kepong dan isterinya. Mereka berdua memang baik dengannya. Tambahan pula mereka tidak ada anak. Sejak Seman belum bersekolah rendah lagi dia sudah biasa benar dengan mereka.

Sudah banyak kali Seman naik ke atas rumah Mat Kepong. Sudah banyak kali jugalah dia melihat lakaran lukisan bergambar bukit-bukau dihiasi serangkap madah itu. Ketika Seman berusia sebelas tahun, dia pernah bertanya tentang lukisan itu kepada Mat Kepong. Mat Kepong menjawab, “Satu haghi nanti, bila Seman dah besaq, Pak Mat bagitau.” Sejak itu Seman pun tidaklah bertanya lagi tentang lukisan itu.

Sampailah malam kenduri tahlil di rumah Pak Mat Kepong. Apabila hadirin mahu berangkat pulang, Mat Kepong minta Seman menunggu. Seman pun akur. Ketika itulah Mat Kepong mendedahkan rahsia tentang lakaran itu, yang sudah diwariskan dari satu generasi ke satu generasi keturunannya sejak ratusan tahun silam.

Mat Kepong pun berceritalah kepada Seman tentang segala maklumat yang tersimpan di otaknya selama hari ini. Oleh kerana Mat Kepong anak tunggal dan tidak ada keturunan pula, dia bercadang memberikan segala maklumat termasuklah lukisan itu kepada Seman, yang sudah dianggapnya macam anak sendiri. Termasuk dalam pakej itu adalah tanggungjawab memelihara rahsia itu, dan kalau boleh senjata itu daripada jatuh ke tangan pihak yang tidak sepatutnya.

Selepas pertemuan itulah Seman mula membentuk kumpulan pengkaji dan pencari bersama-sama Khairi dan Piyan. Malangnya seminggu kemudian, Pak Mat Kepong dan isterinya terbunuh.

“Oiii, dah sampai kemuncak dah ni!” jerit Khairi dari depan. Kini mereka berada di kemuncak tertinggi Bukit Naga, iaitu di bahagian yang sesuai dilihat sebagai kepala naga dari jauh. Anak sungai tadi semakin mengecil dan akhirnya hilang dalam semak-samun.

“Aku ghasa kawasan tu la yang paling strategik kalau nak dikatakan mulut naga tu teletak,” kata Khairi sebaik-baik sahaja Piyan dan Seman sampai di sebelahnya.

“Jom kita geledah!” seru Seman.

“Nanti dulu! Kita mai tempat oghang ni nak kena pasang pendinding. Kat bawah tadi kita dah baca. Aku ghasa elok kita baca lagi. Manalah tauu...” kata Piyan.

Mereka bertiga pun mula membaca, “Bismilllahillazhi........ Bismillahillazhi....... Bismillahillazhi....... La haulawala ......”

Seman meneruskan pula, “Bismillahitawakkaltu ‘alallahi.......”

“Aii, doa keluaq ghumah pun hang baca jugak?” tanya Piyan kehairanan.

“Alaah, doa pendinding jugak tu,” jawab Seman.

“Hmmm... hentamlah Labuu,” jawab Piyan pula.

Selepas mencari di sekitar itu selama hampir dua puluh minit, mereka pun ‘surrender’.

“Adohh ya Allah...! Kat mana laa menatang tu duduk?” keluh Seman. Memercik peluh di dahinya. Lenjun bajunya dek peluh.Memang tadinya dia mencari bersungguh-sungguh, semangat! Tapi apabila yang dicari tidak juga ditemui, putus asa mula menghantui diri.

“Macam mana ni Khairi? Tak dak ka rezeki kita haghi ni?” tanya Piyan. Jelas keletihan terukir pada wajahnya.

“Aku pun dah mati akai dah ni. Kalau bukan kat sini, kat mana lagi? Takkan lah...” Khairi terdiam. Dia seolah-olah sedang terfikirkan sesuatu.

“Awat Khairi?” tanya Piyan.

“Aku ghasa ‘puzzle’ tu kita tak selesai peghabih lagi la.”

“Tak habih lagi? Maksud hang?”

“Baris yang ‘last’ tu... Bagai pungguk merindukan bulan... Aku ghasa ada petunjuk yang kita kena selesaikan lagi tu,” jelas Khairi lambat-lambat.

“La ni macam ni. Apa kata kita tighu ‘style’ Ustaz Abu? Kita pakat baca Alam Nasyrah, minta petunjuk daghipada Tuhan?” cadang Seman.

“Cantikkk.. maacam itikkk,” balas Piyan.

“Lawaaaa.. macam ulaq sawa,” sambung Khairi pula. Merekapun duduk bersila, tenangkan fikiran, bacakan Alam Nasyrah, mohon petunjuk daripada Tuhan.

“Aku dah dapat!” cetus Khairi. Kedua-dua orang sahabatnya memberi perhatian kepadanya.

“Bagai pungguk merindukan bulan... Biasanya kalimah ini dikaitkan dengan apa?” tanya Khairi sambil melihat teman-temannya seorang lepas seorang.

“Percintaan,” jawab Piyan.

“Tepat! Kalau cinta, letaknya di mana?” uji Khairi lagi.

“Cinta.. cinta...... di hati la,” jawab Seman pula.

“Tepat! Maksudnya sekaghang, kita kena pi caghi kat tempat hati naga ni sepatutnya teletak,” jelas Khairi. Piyan dan Seman tercengang.

“Hangpa tau dak, pada seekoq naga, hati dia dok kat bahagian mana?” tanya Khairi.

“Tak tau!” jawab Piyan dan Leman.

“Aku pun tak tau,” sambung Khairi, bernada agak kecewa.

“Habih tu?”

“Hmmm... nampaknya... kita kena la bejalan daghi kepala naga ni... sampai la ke ekoq dia.”

“Huh, mampuih!” ucap Seman sambil menepuk dahinya dengan tangan kanan. Mulutnya mengukir sengih. “Beghapa puncak kita nak kena tughun naik tu?”

“Dalam empat lima puncak,” jawab Khairi, lalu mengukir senyuman mengusik sambil menaik-naikkan keningnya.

“Hmm, nasib engkaulah Labuuu! Jom, cargass!” seru Piyan. Padahal dia yang paling kurang stamina ketika itu.

“Woih... hang laghat ka lagi tu? Satgi jenoh kawan-kawan nak usung,” usik Seman.

“Tak yah usung, hangpa seghet ja aku,” balas Piyan.

“Yaa la tu. ‘Time’ nak tughun satgi lagu mana?”

“Hangpa letak aku kat tepi tebing, hangpa golek la.”

“Ermmph... tak dak pasai kami nak golek hang. Kami lempaq ke gaung ja, cepat sikit sampai bawah,” Seman tak mahu mengalah.

“Betoi jugak no? Patut la semalam aku mimpi teghejun gaung,” tak mahu mengalah juga.

“Blab la blaaa...” balas Seman.

“Blab la bla blaaa,” balas Piyan.

Begitulah mereka berbalas-balas tak habis-habis.

@@@@@@@@@@

Thursday, November 24, 2011

8. Musuh Sudah Muncul

BAB 8 – Musuh Sudah Muncul

Ketika British menjajah India, mereka menghantar pelbagai ekspedisi ke seluruh India dengan pelbagai tujuan. Sebahagian daripada rombongan yang dihantar itu bertujuan mencari dan mendapatkan barang-barang pelik, terutamanya yang berkaitan dengan akhir zaman. Salah satu rombongan itu berjaya tiba di lembah asal panah sakti Sidi Arab. Mereka mula menyelongkar sejarah lembah itu daripada penduduk tempatan. Maklumat-maklumat itu digabungkan dengan maklumat-maklumat dari Semenanjung Tanah Melayu yang turut berada di bawah kekuasaan mereka. Dari situlah sedikit demi sedikit maklumat tentang panah sakti dapat mereka kumpulkan. Akhirnya mereka sangat berminat untuk mendapatkan panah sakti itu kerana menyedari potensinya.

Tedapat banyak tulisan purba di lembah itu. Pihak British menyalin kesemuanya lalu dikaji. Hasilnya, semua maklumat itu berjaya diterjemahkan. Setelah berpuluh tahun membuat kajian, mereka mendapati tulisan dalam bahasa Melayu itulah yang sesuai untuk menunjukkan kedudukan anak panah tersebut.

Dalam pada itu, pihak British terus membuat pertemuan demi pertemuan dengan pemerintah Siam dalam usaha mereka untuk mendapatkan busur panah itu tetapi gagal. Akhirnya busur itu jatuh ke tangan tentera Jepun ketika Jepun emnakluk Asia Tenggara. Namun pihak British kecewa juga akhirnya kerana busur itu hilang dari kem tentera Jepun.

Berbalik kepada cerita anak panah sakti. Setelah meyakini tulisan berbahasa Melayu itulah petunjuk kepada anak panah sakti, pihak British mula mencari lokasinya. ‘Kota Ganggayu sesudah kota’ berjaya mereka tafsirkan. ‘Sang Kelembai melihat dari awanan’ pun mereka berjaya tafsirkan. ‘Di bawahnya naga bertapa’ ... mereka tersilap tafsir.

Pihak British menyangkakan ‘naga bertapa’ itu ialah Bukit Larut. Hal ini kerana Bukti Larut juga kelihatan bergelombang seperti gerakan badan seekor naga. Sebab itulah pihak British membuat jalan ke puncak Bukit Larut dan membuka petempatan di sana. Alasan dibuat kononnya Residen British tidak tahan cuaca panas, maka dibukalah petempatan di atas Bukti Larut yang suhunya dingin, iaitu antara 15 hingga 25 darjah Celsius. Kelentongan ini pun dipercayai orang. Padahal pihak British membina markas mereka di sana dalam usaha untuk menggeledah seluruh Bukit Larut dan sekitarnya, untuk mencari anak panah sakti. Francis Light kan boleh hidup selesa di Pulau Pinang yang hawanya panas? Raffles kan boleh bekerja dengan selesa di Singapura?


Bukit Larut yang diselimuti kabus pada waktu pagi.


Akhirnya bukit yang menjadi latar belakang bandar Taiping itu pun diwartakan namanya sebagai Maxwell Hill atau Bukit Maxwell. Nama itu bersempena nama Residen British ketika itu iaitu William George Maxwell. Sebahagian orang tempatan mengejek para penjajah itu dengan menyebutnya ‘Bukit Mat Sewel’.

Bertahun-tahun menggeledah Bukit Larut, usaha pihak British masih gagal. Padahal ketika itu mereka sudah begitu hampir dengan busur panah sakti yang tersorok di dalam lubuk di air terjun Bukit Larut. Anak panah yang dicari, busurnya yang terhampiri. Nasib baik tidak mereka temui.

Akhirnya setelah puluhan tahun, usaha secara besar-besaran mencari anak panah sakti dihentikan oleh pihak British. Namun begitu beberapa orang pengganas Yahudi yang pernah bekerja di bawah British tidak mengalah. Dari semasa ke semasa mereka menghantarkan utusan-utusan rahsia mereka ke seluruh Nusantara atas maksud yang sama.

@@@@@@@@@@

“Baik betoi la mat saleh tu. Sapa ke nama dia?” tanya Shahrul kepada isterinya, Hartini yang sedang menggoreng cucur kodok.

“Entah, oghang dok panggey Kaidiaq, Kaidiaq. Khaidir kot,” balas Hartini. “Awatnya?”

“Betoi laa.... Khaidir! Dak la... terkenangkan yang dia tu asainya bukan oghang Islam. Lepaih tu masuk Islam. Tapi budi bahasa bukan main baik, mengalahkan oghang Islam hat lain-lain pulak.” Shahrul mengangkat sedikit badannya, menurunkan kecondongan kerusi malas berwarna merah, putih dan biru itu, lalu bersandar semula. “Dia kegheja apa ha?”

“Entah, katanya dok buat kajian. Apa yang dia kaji tak tau la. Kata oghang, dia tu peropeser kat luaq negagha nun, mai sini buat kajian.”

“Macam mana la boleh bekawin dengan si Minah tu? Cakap bahasa Melayu pun fasih pulak tu.”

“Entah, tapi si Minah tu masa muda-muda dulu ni memang cantik oghang dia. Kata oghang laa. Sebab tu la kot si mat saleh tu bekenan.”

“Banyak betoi hang punya ‘entah’ Ti oi,” Shahrul mengusik isterinya.

“Hah sudah, tok sah dok cakap banyak! Sumbat dengan cucoq kodok ni satgi kot!” balas Hartini.

Kehadiran Khaidir ke Kampung Potong Pinang ini bukanlah sesuatu yang menghairankan. Sepanjang dua puluh tahun ini, dia sering berulang alik dari Jordan ke Malaysia. Kebetulan dia berkahwin dengan seorang wanita tempatan, orang Simpang. Khabarnya dia seorang professor sejarah di Jordan. Ibu bapanya berpindah dari Amerika Syarikat ke Jordan pada tahun-tahun 50-an.

Jika berada di Malaysia, Khaidir sering melakukan kajian sejarah. Dia banyak menghabiskan masa di sekitar Taiping, Kuala Kangsar, Trong, Beruas dan Manjong. Orang Potong Pinang memang mesra dengannya kerana kaum kerabat isterinya ramai di Pokok Asam. Jadi selalu sangatlah Khaidhir bergaul dengan penduduk sekitar pekan Pokok Asam seperti Kampung Potong Pinang, Kampung Aman, Taman Raja Idris, Rumah Hijau, Air Kuning, Larut Tin, Taman Assamara dan Kampung Sungai Lidin.

Khaidir yang kurus tinggi dan berkepala botak itu seorang yang bersopan santun, suka bercakap soal-soal agama dan sesekali mengenakan kopiah sama ada putih mahupun hitam. Dia juga selalu memberikan bantuan kepada orang-orang susah. Tangannya mudah mengeluarkan wang. Sikap sebegini menjadikan dia disenangi oleh orang ramai.

“Bapaak, oooo bapak!” suara Ana anak dara sunti Shahrul berteriak dari laman. Dia muncul tercegat di pintu dapur.

“Laaa... awat hang ni Ana? Belemoih teghuk sangat aih! Maih mak lap muka tu sikit,” kata Hartini.

“Bapaak, maak. Bapak dengan mak tau dak, Pakcik Mat Kepong dah mati.”

“Hah, dah mati? Innalillaah..... Eh, tak la tua sangat Mat Kepong tu. Nak kata sakit, tak dak pulak penyakit,” kata Shahrul.

“Ha bapak, mak. Dia mati kena bunuh!”

“Hah, mati kena bunuh?”

@@@@@@@@@@

Mayat Mat Kepong dan isterinya sudah dibawa ambulan. Orang ramai masih berkumpul di sekeliling rumahnya. Pihak polis pula sedang melakukan siasatan. Rumahnya di hujung jalan di tepi sungai Kampung Potong Pinang itu menjadi tumpuan orang ramai sejak awal pagi lagi.

Cerita yang beredar dari mulut ke mulut mengatakan Mat Kepong dan isterinya ditembak dengan senjata api canggih yang tidak mengeluarkan bunyi bising pada malam sebelumnya. Belum ada sesiapa yang disyaki, dan motif pembunuhan juga tidak diketahui. Buat masa ini pihak polis menganggap ia satu rompakan berdasarkan beg duit mangsa yang dikosongkan dan barang-barang kemas pada badan si isteri diragut.

Yang membingungkan pihak polis, wang dan barang kemas itu tidaklah seberapa, Mat Kepong pula bukanlah seorang yang dikenali berharta, tapi pembunuh mereka menggunakan senjata yang jarang-jarang digunakan oleh perompak murahan.

@@@@@@@@@@

Panas betul hati Mr. Al Mayonis. Memang dia biasa melakukannya, tetapi pada malam itu dia tidak bercadang pun untuk melakukannya. Dia hanya mahukan maklumat, itu sahaja. Tetapi apabila kedua-dua suami isteri itu berkeras tidak mahu memberikan maklumat yang dipinta, Al Mayonis mula naik angin. Dia bertindak kasar. Mat Kepong pula bertindak balas. Akibatnya, Al Mayonis mengeluarkan pistol yang sudah sedia dipasang penyengap lalu melepaskan dua das tembakan ke arah dada Mat Kepong. Pantas sekali gerakannya. Isteri Mat Kepong yang baru hendak menjerit juga menerima dua tembakan, terus senyap.

Memanglah Al Mayonis punya ‘license to kill’. Dia tidak boleh disabitkan dengan sebarang pembunuhan sekalipun dia yang melakukannya. Jika dia tertangkap pun, akhirnya akan terlepas juga kerana tangan-tangan hitam kongsi gelap Dajjal ada kuasa di sebalik tabir yang bergerak hampir di belakang setiap kerajaan di seluruh dunia ini. Masalahnya, dia tidak mahu bikin ribut, yang memungkinkah kerja-kerjanya di rantau sebelah sini akan terjejas.

Malam itu malam yang celaka. Dua nyawa diragutnya dalam masa tiga saat. Dalam usaha untuk menutup jejaknya, Al Mayonis mengambil semua wang dalam dompet Mat Kepong. Rantai leher dan rantai tangan isteri Mat Kepong direntapnya, agar kelihatan berbekas. Almari dan laci sengaja disepah-sepahkannya. Dia berharap pihak polis akan mentafsirkan kejadian itu sebagai satu rompakan.

Dua minggu sebelum itu, buat pertama kalinya Al Mayonis masuk ke rumah Mat Kepong. Ketika itu ahli jemaah surau dijemput kerana Mat Kepong mengadakan kenduri tahlil. Al Mayonis turut serta kerana kebetulan pada malam itu dia berjemaah di Surau Kampung Potong Pinang.

Di rumah Mat Kepong, Al Mayonis terpandang satu lakaran lukisan bergambar bukit-bukau di dinding. Yang membuatkan nafasnya terhenti buat seketika adalah susunan kata-kata seperti pantun pada lakaran itu yang berbunyi :

Kota Ganggayu sesudah kota.

Sang Kelembai melihat dari awanan.

Di bawahnya naga bertapa,

Bagai pungguk rindukan bulan.

Selesai majlis, semua orang pulang. Hanya tinggal Seman berbual-bual rancak dengan Mat Kepong. Sesekali mereka melihat dan menunjuk ke arah lukisan di dinding itu. Lama mereka berbual. Tanpa mereka sedari, perbualan mereka diintip oleh Al Mayonis dari belukar di tepi rumah, betul-betul di tebing sungai. Hendak lebih rapat lagi tidak boleh kerana diterangi lampu luar rumah. Oleh itu buah butir perbualan Mat Kepong dengan Seman didengarnya timbul tenggelam.

Al Mayonis pasti, perbicaraan Mat Kepong dengan Seman berkisar tentang anak panah sakti Sidi Arab. Dia berikrar akan datang lagi untuk mendapatkan maklumat terus daripada Mat Kepong.

Dalam tempoh seminggu kemudian Al Mayonis menghabiskan masa mencari maklumat tentang Mat Kepong. Tidak sukar baginya untuk memperoleh maklumat tentang seseorang kerana sumber-sumber orang atasannya banyak, sejak zaman Francis Light sampailah sekarang.

Hasil siasatannya, Mat Kepong keturunan Sidi Arab. Nama Mat Kepong yang sebenar ialah Sidi Yahya. Lakaran ringkas bergambar kawasan bukit-bukau itu dikatakan diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi beserta cerita tentangnya. Cerita itulah yang mahu diketahui oleh Al Mayonis, juga maksud sebenar empat baris ayat petunjuk kepada anak panah sakti itu, sekiranya Mat Kepong tahu serba-sedikit tentangnya.

Pada malam celaka itu, Mat Kepong menerima kunjungan Al Mayonis dengan rasa gembira, walaupun sudah agak jauh malam. Kemudian Mat Kepong mula berasa curiga apabila pertanyaan-pertanyaan Al Mayonis tentang lakaran lukisan di dinding rumahnya lain macam.

Mat Kepong mula menyorok-nyorokkan cerita tetapi Al Mayonis sebagai seorang perisik berkemahiran tinggi dapat mengesannya. Al mula mungugut. Suara mereka mula meninggi. Tolak-menolak berlaku. Mat Kepong mencapai golok yang terselit di tepi dinding. Al mengeluarkan pistol... dan menyudahkan kerjanya dalam masa tiga saat.

Selepas menyelerakkan isi rumah, Al Mayonis menutup semua lampu, menyelinap ke luar dan menghilang dalam gelap. Dia melintasi jambatan kayu di atas sungai di sebelah rumah Mat Kepong dan berlari di sepanjang lorong kecil di tepi kilang roti Eng Tin menuju ke jalan besar. Lorong itu ialah jalan pintas dari Kampung Potong Pinang ke jalan besar di pinggir pekan Pokok Asam.

Di jalan besar, sebuah kereta sudah sedia menanti. Pemandunya seorang wanita, isteri kepada Al Mayonis. Al masuk ke tempat duduk hadapan. Kereta Toyota buruk berwarna cerah itu membelok ke simpang kanan menuju ke pekan Pokok Asam.

Selang beberapa minit, kereta itu tiba di tepi pasar Pokok Asam. Kedua-dua penumpangnya turun. Mereka masuk ke kedai Che Pa. Mereka duduk di sebuah meja menghadap televisyen. Al Mayonis membuka cermin matanya lalu diletakkan di atas meja.

“Yes Mr. Kaidiaq! Mau minum apa?” tanya pembancuh air.

“Horlick panas satu, Coke satu,” jawab Al Mayonis.

Kaidiaq... ya Kaidiaq...atau sebenarnya Khaidir. Itulah nama barunya sebaik-baik sahaja Al Mayonis memeluk agama Islam dan berkahwin dengan Minah. Ataupun lebih tepat lagi... berpura-pura memeluk agama Islam.

@@@@@@@@@@

Related Posts with Thumbnails