Sebahagian manusia tidak meyakini kitab-kitab suci dan sumber-sumber agama, sama ada mereka pernah berinteraksi dengan kedua-duanya atau tidak. Hal ini menjadikan mereka tidak mempercayai kewujudan Tuhan. Namun golongan ini aktif memerhati dan meneliti alam makhluk. Dari aktiviti itu,mereka memperolehi keputusan-keputusan tertentu yang berkaitan dengan Tuhan.
Ada golongan yang meneliti alam makhluk ini dan mereka mendapati memang ada suatu kuasa yang mendasari seluruh alam makhluk ini. Ketepatan, keteraturan dan keseimbangan alam ini meyakinkan mereka tentang kewujudan Pengaturnya. Golongan ini terpecah kepada beberapa kaum. Antara yang mahu kita sentuh kali ini ialah :
1. Percaya kuasa itu ialah Tuhan dan menamakan-Nya. Sekadar contoh, mereka mungkin menamakan-Nya sebagai Tuhan, God, Tao, Kuasa Mutlak, Akal Tertinggi, Dia, Yang Maha Berkuasa, Zat Sempurna dan sebagainya.
2. Percaya kuasa itu Tuhan tetapi tidak menamakannya.
3. Percaya kuasa itu wujud tetapi tidak menganggap-Nya Tuhan.
4. Percaya kuasa itu wujud tetapi tidak pasti ia Tuhan ataupun tidak.
Golongan 1 dan 2 mengakui adanya Tuhan tetapi mereka tidak mengakui keautoritian kitab-kitab suci dan sumber-sumber agama mana pun. Oleh itu mereka tidak punya syariat tertentu. Imam Al-Ghazali dalam Al-Munqiz min Adh-Dhalal menamakan mereka sebagai kaum Tabi’iyyun. Ketiadaan syariat menjadikan hidup mereka bebas sebebas-bebasnya. Yang menjadi penimbang baik buruk dalam hidup mereka ialah prinsip-prinsip moral, ataupun secara sedar atau tidak mereka menumpang syariat agama-agama yang berada di persekitaran mereka.
Sebahagian mereka pula melakukan amalan-amalan tertentu mengikut gerak hati masing-masing untuk ‘berinteraksi’ dengan Tuhan, ataupun meniru-niru beberapa amalan dari syariat agama-agama di sekeliling mereka. Hal ini berlaku kerana mereka tidak tahu kaedah untuk ‘berinteraksi’ dengan Tuhan yang mereka temui itu tapi mereka mahu ‘berinteraksi’ dengan-Nya.
“Kalaulah aku tahu cara untuk berhubung dengan-Mu, sudah tentu aku lakukan. Malangnya aku tidak tahu. Hendak menganut mana-mana agama, aku tidak percaya pula dengannya.”
Asalnya amalan-amalan itu hanyalah untuk kegunaan peribadi, tetapi kemudiannya ia diikuti oleh orang-orang lain. Lama-kelamaan amalan-amalan itu semakin tersebar dan membentuk satu syariat tersendiri yang akhirnya diakui sebagai sebuah agama. Syariat sebegini bukanlah syariat ‘dari langit’ tapi syariat ciptaan manusia. Pertambahan penganut ‘agama baru’ ini mewujudkan rumah-rumah ibadahnya.
Sebahagian lagi tidak menolak sekiranya Tuhan yang mereka temui itu disamakan dengan Allah, Brahman, Ahura Mazda, Tao, Adi Parasakti, Yahweh, Eloah dan lain-lain, cuma mereka tidak berminat untuk menganut mana-mana agama. Pada mereka, Kuasa yang mereka temui itu sama sahaja dengan sembahan agama-agama lain, hanya berbeza pada sebutan nama. Mereka tidak mahu terikat dengan syariat mana-mana agama.
Ada pula golongan yang meneliti alam makhluk ini dan meyakini tidak ada sebarang kuasa yang mendasari alam ini melainkan kuasa alam itu sendiri. Padahal alam ini tidak ada ilmu pengetahuan, pandangan, kesedaran terhadap dirinya sendiri, kesedaran terhadap yang lain dan tidak ada cahaya pandangan melalui perantaraan mata. Begitu lebih kurang kata Imam Al-Ghazali dalam Misykatul Anwar.
Golongan ini tidak mempercayai kewujudan Tuhan. Al-Ghazali menamakan mereka sebagai Dahriyyun. Apabila tidak mempercayai kewujudan Tuhan, secara automatik mereka sebenarnya sedang mempertuhankan diri sendiri baik berupa akal, naluri, perasaan dan seumpamanya.
Ringkasnya, tidak ada mana-mana manusia dan jin yang betul-betul tidak bertuhan dan beragama. Sekiranya mereka menolak kewujudan Tuhan, maka diri merekalah tuhan dan pandangan diri merekalah agamanya.
Pada saya, sifat suka melarikan diri dari Tuhan dan agamalah raja segala candu kepada umat manusia dan jin zaman-berzaman. Manusia dan jin lebih suka bertuhankan diri sendiri dan beragamakan pandangan sendiri. Antara penagih tegar candu segala candu ini ialah Karl Marx, seorang penyembah diri sendiri yang masyhur dan menjadi ikutan banyak penagih candu segala candu yang lain.
Abu Zulfiqar
1 November 2011
No comments:
Post a Comment