Kajian dan pemerhatian ringkas tentang Al-Quran, As-Sunnah (hadis), agama-agama dunia, kitab-kitab suci pelbagai agama, manuskrip-manskrip kuno, alam semesta (bumi dan angkasa lepas), ilmu perbandingan agama, sejarah, peristiwa-peristiwa akhir zaman, kiamat, alam akhirat, alam ghaib, sains, astronomi (falak) dan lain-lain ilmu alam.

Tuesday, November 22, 2011

Pluralisme Aqidah Tertolak

ALLAH TUHAN KITA. KITA BERTUHANKAN ALLAH?

ANAK : Ayah, adakah Tuhan semua umat manusia itu sama?

BAPA : Benar anakku, Tuhan kepada semua umat manusia, jin, haiwan, malaikat dan seluruh alam makhluk ini sama, kerana hanya ada satu Tuhan, tidak ada Tuhan yang lain. Dia tidak dua, tidak tiga, banyak ataupun berbilang-bilang. Dialah yang menciptakan seluruh alam makhluk ini termasuklah seluruh umat manusia. Tuhan itu ialah Allah.

ANAK : Jadi... Tuhan kepada penganut agama Islam, Hindu, Kristian, Buddha, Tao, Yahudi, Zoroaster, Sikh, Jaina dan agama-agama lain itu sama?

BAPA : Sudah tentu!

ANAK : Adakah ini bermaksud kesemua agama itu sama dan setara?

AYAH : Tidak!

ANAK : Kenapa begitu pula ayah? Bukankah ayah katakan tadi yang Tuhan kepada seluruh makhluk itu sama?

BAPA : Benar! Tapi kita mesti faham, sungguhpun Tuhan kepada semua penganut agama-agama itu sama, hal ini tidak bermaksud mereka menyembah atau berTuhankan Tuhan yang sama. Tuhan kepada semua umat manusia ialah Allah, tetapi bukan semua umat manusia berTuhankan Allah.

ANAK : Bagaimana boleh jadi begitu? Boleh ayah jelaskan lebih lanjut?

BAPA : Tuhan kepada semua penganut agama Islam, Yahudi, Kristian dan lain-lain ialah Allah. Tetapi, bukan semua mereka menyembah Allah sebagai Tuhan. Ada yang menyembah selain Allah sebagai Tuhan. Maksudnya mereka berTuhankan selain Allah.

ANAK : Contohnya ayah?

BAPA : Contohnya, semua orang Tuhannya ialah Allah tetapi ada orang yang berTuhankan Jesus Christ, berTuhankan akal, berTuhankan alam, berTuhankan dewa-dewi, berTuhankan Lucifer, berTuhankan patung-patung dan sebagainya. Bagi kita orang Islam, Tuhan kita sama dengan Tuhan penganut agama lain iaitu Allah, dan kita menyembah Allah sebagai Tuhan. Ringkasnya, kita berTuhankan Allah, iaitu satu-satunya Tuhan.

ANAK : Barulah saya faham. Sebenarnya ada perbezaan antara “Tuhan kepada...” dengan “berTuhankan...”. Tuhan kepada kita semua ialah Allah, tetapi tidak semua orang berTuhankan Allah.

BAPA : Ya, betul! Bagus anakku!

ANAK : Ayah, ada orang mengatakan agama-agama itu berbeza tetapi semuanya benar, semuanya menuju Tuhan iaitu Allah juga, walaupun mereka menyebut-Nya dengan panggilan yang lain seperti God, Eloah, Yehovah, Brahman, Tao, Yang Mutlak, Adi Parasakti, Tua dan lain-lain. Ada banyak jalan tetapi destinasinya tetap sama. Semua jalan betul kerana menuju destinasi yang satu. Kita manusia boleh memilih mana-mana jalan kerana semua jalan menuju ke tempat yang sama.

BAPA : Anakku, Islam ibarat kemuncak Gunung Kinabalu. Ada banyak jalan menuju ke kemuncaknya. Terpulang kepada kita untuk mengikut jalan yang mana. Sesiapa mahu naik dari utara, silakan. Sesiapa mahu naik dari Selatan, tidak ada masalah. Sesiapa mahu naik dari Timur, jalannya tetap menuju ke kemuncak Kinabalu. Sesiapa yang mahu naik dari Barat pun, tetap kemuncaknyalah yang menjadi matlamat. Jalan mana pun yang umat Islam gunakan, tetap akan bertemu di kemuncak Gunung Kinabalu.

Inilah yang dikatakan “ada banyak jalan dan semuanya menuju destinasi yang satu”.

Katakanlah pada suatu hari, air batu di kutub mencair dan bumi akan tenggelam kecuali kemuncak Gunung Kinabalu (iaitu agama Islam). Sesiapa yang mahu selamat, hendaklah dia pergi ke kemuncak Gunung Kinabalu. Agama A umpama Gunung Tahan, agama B bagaikan Gunung Ledang, agama C umpama Gunung Korbu, agama D umpama Gunung Bubu dan begitulah seterusnya. Sesiapa yang mendaki gunung-gunung itu, walau menggunakan jalan mana dan dari arah mana sekalipun menuju ke kemuncaknya, mereka tetap tidak akan tiba ke kemuncak Gunung Kinabalu. Maksudnya, mereka tidak selamat dan akan tenggelam dalam banjir yang melanda dunia.

Oleh itu, kata-kata “ada banyak jalan dan semuanya menuju destinasi yang satu” hanya sesuai untuk ke kemuncak Gunung Kinabalu iaitu agama Islam, bukannya untuk keseluruhan agama-agama dunia.

TUHAN YANG DISEMBAH SAMA?

ANAK : Tapi kan ayah, ada orang kata Tuhan yang disembah oleh penganut agama lain sebenarnya sama dengan Tuhan yang disembah oleh penganut agama Islam iaitu Allah, cuma mereka tidak menyebut-Nya sebagai Allah tetapi dengan nama lain.

BAPA : Hendak tahu sama ataupun tidak, kita kenalah buat senarai semak. Kita senaraikan ciri-ciri Tuhan, iaitu yang disembah oleh umat Islam, dan bandingkan dengan ciri-ciri sembahan mereka. Jika sama ciri-cirinya, betullah kenyataan tersebut. Jika tidak sama, maka tidak betullah kenyataan itu.

ANAK : Kalau begitu, biar saya cuba senaraikan apa yang ayah dan guru-guru saya ajarkan selama ini.

BAPA : Bagus, teruskan anakku!

ANAK : Zat Allah tidak dapat digambarkan atau difahami oleh mana-mana makhluk, khususnya akal manusia dan jin. Makhluk khususnya akal hanya mampu memahami apa yang layak dan apa yang tidak layak bagi Zat Tuhan. Hal ini kerana akal fikiran manusia sangat lemah lagi terbatas kemampuannya.

BAPA : Betul! Jika ada mana-mana agama mengatakan Tuhan sembahan mereka itu begini begini rupanya, bentuknya, warnanya dan seumpamanya, maka jelaslah sembahan mereka tidak sama dengan Allah. Baiklah, tambahkan lagi anakku.

ANAK : Lagi ciri-ciri Tuhan sebenar iaitu Allah ialah :

1. Allah menciptakan segala sesuatu iaitu seluruh makhluk.

2. Sebelum Dia menciptakan makhluk, yang sudah sedia ada hanyalah Dia. Tidak ada suatu apa pun sebelum-Nya.

3. Allah Maha Mengetahui. Dia sudah sedia tahu segala perkara sejak azali lagi, sebelum makhluk pertama diciptakan lagi.

4. Allah Maha Sempurna. Dia tidak ada walau satu kelemahan. Apa sahaja yang ada walau satu kelemahan, bukanlah Allah melainkan makhluk.

5. Allah tidak berfikir, kerana sifat berfikir itu satu kelemahan. Berfikir itu sifat makhluk. Tanpa berfikir Allah sudah sedia tahu segala perkara.

6. Allah tidak boleh digambarkan kerana Dia tidak sama langsung dengan apa-apa gambaran. Jauh sekali untuk dilukis, dipatungkan ataupun diarcakan. Apa sahaja yang boleh digambarkan bukanlah Allah. Apa sahaja yang boleh digambarkan ialah makhluk dan bersifat ada kelemahan.

7. Allah tidak ada isteri, anak atau keluarga.

8. Allah tidak ada jantina.

9. Allah tidak terpengaruh dengan tempat, ruang, masa, posisi, sempadan, had, batas, tepi, warna, kecerahan, kegelapan, arah, langit, bumi dan lain-lain kerana Dia sudah sedia ada sebelum semua itu ada. Bahkan Dialah yang mengadakan/ menciptakan semua itu.

10. Allah tidak mengalami apa-apa perubahan buat selama-lamanya. Sebagaimana keadaan-Nya sebelum diciptakan makhluk, sebegitulah keadaanya selepas diciptakan-Nya makhluk. Begitulah selama-lamanya. Apa sahaja yang mengalami perubahan adalah bersifat lemah. Padahal Allah tidak pernah lemah dan tidak akan lemah walaupun sedetik.

11. Allah tidak pernah bersentuh dengan makhluk, tetapi Dia juga tidak pernah bercerai dengan makhluk. Dia meliputi segala sesuatu, tetapi segala sesuatu itu bukanlah Dia. Dia meliputi seluruh alam makhluk, tetapi seluruh atau mana-mana satu bahagian alam makhluk itu bukanlah Dia. Allah tetap Allah, cptaan tetap ciptaan.

12. Allah tidak boleh diperintah dan tidak menerima perintah. Kerana hanya Dia yang memerintah. Apa sahaja yang boleh diperintah dan disuruh-suruh, bukanlah Allah.

BAPA : SubhanAllah (Maha Suci Allah)...! Dalam usia semuda ini engkau sudah mampu memberi penjelasan yang sebegini baik anakku. Tahniah ayah ucapkan.

ANAK : Alhamdulillah, syukur! Allahummasolli ‘ala Muhammad, wa ‘ala ali Muhammad. Terima kasih juga kepada ayah, ibu dan guru-guruku.

Abu Zulfiqar

Oktober 2011

No comments:

Related Posts with Thumbnails