Ketika British menjajah India, mereka menghantar pelbagai ekspedisi ke seluruh India dengan pelbagai tujuan. Sebahagian daripada rombongan yang dihantar itu bertujuan mencari dan mendapatkan barang-barang pelik, terutamanya yang berkaitan dengan akhir zaman. Salah satu rombongan itu berjaya tiba di lembah asal panah sakti Sidi Arab. Mereka mula menyelongkar sejarah lembah itu daripada penduduk tempatan. Maklumat-maklumat itu digabungkan dengan maklumat-maklumat dari Semenanjung Tanah Melayu yang turut berada di bawah kekuasaan mereka. Dari situlah sedikit demi sedikit maklumat tentang panah sakti dapat mereka kumpulkan. Akhirnya mereka sangat berminat untuk mendapatkan panah sakti itu kerana menyedari potensinya.
Tedapat banyak tulisan purba di lembah itu. Pihak British menyalin kesemuanya lalu dikaji. Hasilnya, semua maklumat itu berjaya diterjemahkan. Setelah berpuluh tahun membuat kajian, mereka mendapati tulisan dalam bahasa Melayu itulah yang sesuai untuk menunjukkan kedudukan anak panah tersebut.
Dalam pada itu, pihak British terus membuat pertemuan demi pertemuan dengan pemerintah Siam dalam usaha mereka untuk mendapatkan busur panah itu tetapi gagal. Akhirnya busur itu jatuh ke tangan tentera Jepun ketika Jepun emnakluk Asia Tenggara. Namun pihak British kecewa juga akhirnya kerana busur itu hilang dari kem tentera Jepun.
Berbalik kepada cerita anak panah sakti. Setelah meyakini tulisan berbahasa Melayu itulah petunjuk kepada anak panah sakti, pihak British mula mencari lokasinya. ‘Kota Ganggayu sesudah kota’ berjaya mereka tafsirkan. ‘Sang Kelembai melihat dari awanan’ pun mereka berjaya tafsirkan. ‘Di bawahnya naga bertapa’ ... mereka tersilap tafsir.
Pihak British menyangkakan ‘naga bertapa’ itu ialah Bukit Larut. Hal ini kerana Bukti Larut juga kelihatan bergelombang seperti gerakan badan seekor naga. Sebab itulah pihak British membuat jalan ke puncak Bukit Larut dan membuka petempatan di sana. Alasan dibuat kononnya Residen British tidak tahan cuaca panas, maka dibukalah petempatan di atas Bukti Larut yang suhunya dingin, iaitu antara 15 hingga 25 darjah Celsius. Kelentongan ini pun dipercayai orang. Padahal pihak British membina markas mereka di sana dalam usaha untuk menggeledah seluruh Bukit Larut dan sekitarnya, untuk mencari anak panah sakti. Francis Light kan boleh hidup selesa di Pulau Pinang yang hawanya panas? Raffles kan boleh bekerja dengan selesa di Singapura?
Bukit Larut yang diselimuti kabus pada waktu pagi.
Akhirnya bukit yang menjadi latar belakang bandar Taiping itu pun diwartakan namanya sebagai Maxwell Hill atau Bukit Maxwell. Nama itu bersempena nama Residen British ketika itu iaitu William George Maxwell. Sebahagian orang tempatan mengejek para penjajah itu dengan menyebutnya ‘Bukit Mat Sewel’.
Bertahun-tahun menggeledah Bukit Larut, usaha pihak British masih gagal. Padahal ketika itu mereka sudah begitu hampir dengan busur panah sakti yang tersorok di dalam lubuk di air terjun Bukit Larut. Anak panah yang dicari, busurnya yang terhampiri. Nasib baik tidak mereka temui.
Akhirnya setelah puluhan tahun, usaha secara besar-besaran mencari anak panah sakti dihentikan oleh pihak British. Namun begitu beberapa orang pengganas Yahudi yang pernah bekerja di bawah British tidak mengalah. Dari semasa ke semasa mereka menghantarkan utusan-utusan rahsia mereka ke seluruh Nusantara atas maksud yang sama.
@@@@@@@@@@
“Baik betoi la mat saleh tu. Sapa ke nama dia?” tanya Shahrul kepada isterinya, Hartini yang sedang menggoreng cucur kodok.
“Entah, oghang dok panggey Kaidiaq, Kaidiaq. Khaidir kot,” balas Hartini. “Awatnya?”
“Betoi laa.... Khaidir! Dak la... terkenangkan yang dia tu asainya bukan oghang Islam. Lepaih tu masuk Islam. Tapi budi bahasa bukan main baik, mengalahkan oghang Islam hat lain-lain pulak.” Shahrul mengangkat sedikit badannya, menurunkan kecondongan kerusi malas berwarna merah, putih dan biru itu, lalu bersandar semula. “Dia kegheja apa ha?”
“Entah, katanya dok buat kajian. Apa yang dia kaji tak tau la. Kata oghang, dia tu peropeser kat luaq negagha nun, mai sini buat kajian.”
“Macam mana la boleh bekawin dengan si Minah tu? Cakap bahasa Melayu pun fasih pulak tu.”
“Entah, tapi si Minah tu masa muda-muda dulu ni memang cantik oghang dia. Kata oghang laa. Sebab tu la kot si mat saleh tu bekenan.”
“Banyak betoi hang punya ‘entah’ Ti oi,” Shahrul mengusik isterinya.
“Hah sudah, tok sah dok cakap banyak! Sumbat dengan cucoq kodok ni satgi kot!” balas Hartini.
Kehadiran Khaidir ke Kampung Potong Pinang ini bukanlah sesuatu yang menghairankan. Sepanjang dua puluh tahun ini, dia sering berulang alik dari Jordan ke Malaysia. Kebetulan dia berkahwin dengan seorang wanita tempatan, orang Simpang. Khabarnya dia seorang professor sejarah di Jordan. Ibu bapanya berpindah dari Amerika Syarikat ke Jordan pada tahun-tahun 50-an.
Jika berada di Malaysia, Khaidir sering melakukan kajian sejarah. Dia banyak menghabiskan masa di sekitar Taiping, Kuala Kangsar, Trong, Beruas dan Manjong. Orang Potong Pinang memang mesra dengannya kerana kaum kerabat isterinya ramai di Pokok Asam. Jadi selalu sangatlah Khaidhir bergaul dengan penduduk sekitar pekan Pokok Asam seperti Kampung Potong Pinang, Kampung Aman, Taman Raja Idris, Rumah Hijau, Air Kuning, Larut Tin, Taman Assamara dan Kampung Sungai Lidin.
Khaidir yang kurus tinggi dan berkepala botak itu seorang yang bersopan santun, suka bercakap soal-soal agama dan sesekali mengenakan kopiah sama ada putih mahupun hitam. Dia juga selalu memberikan bantuan kepada orang-orang susah. Tangannya mudah mengeluarkan wang. Sikap sebegini menjadikan dia disenangi oleh orang ramai.
“Bapaak, oooo bapak!” suara Ana anak dara sunti Shahrul berteriak dari laman. Dia muncul tercegat di pintu dapur.
“Laaa... awat hang ni Ana? Belemoih teghuk sangat aih! Maih mak lap muka tu sikit,” kata Hartini.
“Bapaak, maak. Bapak dengan mak tau dak, Pakcik Mat Kepong dah mati.”
“Hah, dah mati? Innalillaah..... Eh, tak la tua sangat Mat Kepong tu. Nak kata sakit, tak dak pulak penyakit,” kata Shahrul.
“Ha bapak, mak. Dia mati kena bunuh!”
“Hah, mati kena bunuh?”
@@@@@@@@@@
Mayat Mat Kepong dan isterinya sudah dibawa ambulan. Orang ramai masih berkumpul di sekeliling rumahnya. Pihak polis pula sedang melakukan siasatan. Rumahnya di hujung jalan di tepi sungai Kampung Potong Pinang itu menjadi tumpuan orang ramai sejak awal pagi lagi.
Cerita yang beredar dari mulut ke mulut mengatakan Mat Kepong dan isterinya ditembak dengan senjata api canggih yang tidak mengeluarkan bunyi bising pada malam sebelumnya. Belum ada sesiapa yang disyaki, dan motif pembunuhan juga tidak diketahui. Buat masa ini pihak polis menganggap ia satu rompakan berdasarkan beg duit mangsa yang dikosongkan dan barang-barang kemas pada badan si isteri diragut.
Yang membingungkan pihak polis, wang dan barang kemas itu tidaklah seberapa, Mat Kepong pula bukanlah seorang yang dikenali berharta, tapi pembunuh mereka menggunakan senjata yang jarang-jarang digunakan oleh perompak murahan.
@@@@@@@@@@
Panas betul hati Mr. Al Mayonis. Memang dia biasa melakukannya, tetapi pada malam itu dia tidak bercadang pun untuk melakukannya. Dia hanya mahukan maklumat, itu sahaja. Tetapi apabila kedua-dua suami isteri itu berkeras tidak mahu memberikan maklumat yang dipinta, Al Mayonis mula naik angin. Dia bertindak kasar. Mat Kepong pula bertindak balas. Akibatnya, Al Mayonis mengeluarkan pistol yang sudah sedia dipasang penyengap lalu melepaskan dua das tembakan ke arah dada Mat Kepong. Pantas sekali gerakannya. Isteri Mat Kepong yang baru hendak menjerit juga menerima dua tembakan, terus senyap.
Memanglah Al Mayonis punya ‘license to kill’. Dia tidak boleh disabitkan dengan sebarang pembunuhan sekalipun dia yang melakukannya. Jika dia tertangkap pun, akhirnya akan terlepas juga kerana tangan-tangan hitam kongsi gelap Dajjal ada kuasa di sebalik tabir yang bergerak hampir di belakang setiap kerajaan di seluruh dunia ini. Masalahnya, dia tidak mahu bikin ribut, yang memungkinkah kerja-kerjanya di rantau sebelah sini akan terjejas.
Malam itu malam yang celaka. Dua nyawa diragutnya dalam masa tiga saat. Dalam usaha untuk menutup jejaknya, Al Mayonis mengambil semua wang dalam dompet Mat Kepong. Rantai leher dan rantai tangan isteri Mat Kepong direntapnya, agar kelihatan berbekas. Almari dan laci sengaja disepah-sepahkannya. Dia berharap pihak polis akan mentafsirkan kejadian itu sebagai satu rompakan.
Dua minggu sebelum itu, buat pertama kalinya Al Mayonis masuk ke rumah Mat Kepong. Ketika itu ahli jemaah surau dijemput kerana Mat Kepong mengadakan kenduri tahlil. Al Mayonis turut serta kerana kebetulan pada malam itu dia berjemaah di Surau Kampung Potong Pinang.
Di rumah Mat Kepong, Al Mayonis terpandang satu lakaran lukisan bergambar bukit-bukau di dinding. Yang membuatkan nafasnya terhenti buat seketika adalah susunan kata-kata seperti pantun pada lakaran itu yang berbunyi :
Kota Ganggayu sesudah kota.
Sang Kelembai melihat dari awanan.
Di bawahnya naga bertapa,
Bagai pungguk rindukan bulan.
Selesai majlis, semua orang pulang. Hanya tinggal Seman berbual-bual rancak dengan Mat Kepong. Sesekali mereka melihat dan menunjuk ke arah lukisan di dinding itu. Lama mereka berbual. Tanpa mereka sedari, perbualan mereka diintip oleh Al Mayonis dari belukar di tepi rumah, betul-betul di tebing sungai. Hendak lebih rapat lagi tidak boleh kerana diterangi lampu luar rumah. Oleh itu buah butir perbualan Mat Kepong dengan Seman didengarnya timbul tenggelam.
Al Mayonis pasti, perbicaraan Mat Kepong dengan Seman berkisar tentang anak panah sakti Sidi Arab. Dia berikrar akan datang lagi untuk mendapatkan maklumat terus daripada Mat Kepong.
Dalam tempoh seminggu kemudian Al Mayonis menghabiskan masa mencari maklumat tentang Mat Kepong. Tidak sukar baginya untuk memperoleh maklumat tentang seseorang kerana sumber-sumber orang atasannya banyak, sejak zaman Francis Light sampailah sekarang.
Hasil siasatannya, Mat Kepong keturunan Sidi Arab. Nama Mat Kepong yang sebenar ialah Sidi Yahya. Lakaran ringkas bergambar kawasan bukit-bukau itu dikatakan diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi beserta cerita tentangnya. Cerita itulah yang mahu diketahui oleh Al Mayonis, juga maksud sebenar empat baris ayat petunjuk kepada anak panah sakti itu, sekiranya Mat Kepong tahu serba-sedikit tentangnya.
Pada malam celaka itu, Mat Kepong menerima kunjungan Al Mayonis dengan rasa gembira, walaupun sudah agak jauh malam. Kemudian Mat Kepong mula berasa curiga apabila pertanyaan-pertanyaan Al Mayonis tentang lakaran lukisan di dinding rumahnya lain macam.
Mat Kepong mula menyorok-nyorokkan cerita tetapi Al Mayonis sebagai seorang perisik berkemahiran tinggi dapat mengesannya. Al mula mungugut. Suara mereka mula meninggi. Tolak-menolak berlaku. Mat Kepong mencapai golok yang terselit di tepi dinding. Al mengeluarkan pistol... dan menyudahkan kerjanya dalam masa tiga saat.
Selepas menyelerakkan isi rumah, Al Mayonis menutup semua lampu, menyelinap ke luar dan menghilang dalam gelap. Dia melintasi jambatan kayu di atas sungai di sebelah rumah Mat Kepong dan berlari di sepanjang lorong kecil di tepi kilang roti Eng Tin menuju ke jalan besar. Lorong itu ialah jalan pintas dari Kampung Potong Pinang ke jalan besar di pinggir pekan Pokok Asam.
Di jalan besar, sebuah kereta sudah sedia menanti. Pemandunya seorang wanita, isteri kepada Al Mayonis. Al masuk ke tempat duduk hadapan. Kereta Toyota buruk berwarna cerah itu membelok ke simpang kanan menuju ke pekan Pokok Asam.
Selang beberapa minit, kereta itu tiba di tepi pasar Pokok Asam. Kedua-dua penumpangnya turun. Mereka masuk ke kedai Che Pa. Mereka duduk di sebuah meja menghadap televisyen. Al Mayonis membuka cermin matanya lalu diletakkan di atas meja.
“Yes Mr. Kaidiaq! Mau minum apa?” tanya pembancuh air.
“Horlick panas satu, Coke satu,” jawab Al Mayonis.
Kaidiaq... ya Kaidiaq...atau sebenarnya Khaidir. Itulah nama barunya sebaik-baik sahaja Al Mayonis memeluk agama Islam dan berkahwin dengan Minah. Ataupun lebih tepat lagi... berpura-pura memeluk agama Islam.
@@@@@@@@@@
No comments:
Post a Comment