Kajian dan pemerhatian ringkas tentang Al-Quran, As-Sunnah (hadis), agama-agama dunia, kitab-kitab suci pelbagai agama, manuskrip-manskrip kuno, alam semesta (bumi dan angkasa lepas), ilmu perbandingan agama, sejarah, peristiwa-peristiwa akhir zaman, kiamat, alam akhirat, alam ghaib, sains, astronomi (falak) dan lain-lain ilmu alam.

Sunday, November 13, 2011

Dewi Kuan Yin

Saya membuka televisyen dan terjumpa sebuah cerita sejarah China yang sudah separuh jalan. Kalau tidka salah tajuknya “Goddess of Mercy”. Ceritanya menarik, seakan-akan kisah nabi-nabi atau para wali, cuma kali ini berlaku di negara China kuno. Perjalanan cerita yang memikat membuatkan saya terus terikat dan mengikutinya hingga tamat.

Kisahnya lebih kurang begini...

Pada zaman China kuno, ada pemerintah sebuah kerajaan yang punya tiga orang anak perempuan. Dua orang anak perempuannya sudah berkahwin manakala yang bongsu memilih untuk menjadi seorang rahib, namanya Miao Shan.

Miao Shan mengamal dan menyebarkan ajaran Buddha, sedangkan raja hidup berpoya-poya dan suka minum arak. Entah bagaimana raja sangat marah akan Miao Shan menyebabkan Miao Shan terpaksa berhijrah ke seberang sungai yang besar (kemudiannya saya mendapat tahu ia berkaita dengan masalah agama dan perkahwinan).

Miao Shan sangat disayangi rakyat kerana keagamaan dan kasih sayangnya. Pemerintahan yang keras menyebabkan sebahagian rakyat mengambil keputusan untuk berhijrah ke tempat Miao Shan. Berita ini sampai ke telinga raja, lalu raja dan tenteranya mengejar kumpulan penghijrah ini.

Seperti peritiwa Nabi Musa dan Bani Israil dikejar Firaun dan tenteranya, rakyat yang kasih akan Miao Shan dikejar dan terkepung di tepi sungai besar (atau mungkin juga laut). Miao Shan berdoa dan tiba-tiba terwujud sebuah jambatan panajang merentangi sungai besar itu. Para penghijrah pun menyeberanginya. Tentera raja cuba menyeberanginya tetapi tiba-tiba cuaca berubah menjadi buruk dan jambatan itu runtuh.

Raja sangat marah dan mahu sebuah jambatan dibina untuk menyeberangi sungai tersebut. Menantu-menantunya berjaya membuatkan raja menarik balik hasratnya. Alasan mereka adalah di seberang sana ialah hutan rimba dan banyak haiwan liar, sudah tentu para penghijrah tidak akan hidup senang.

Miao Shan sangat disayangi oleh permaisuri. Peristiwa-peristiwa yang berlaku menyebabkan permaisuri jatuh sakit. Fikiran raja jadi tidak tenteram. Namun begitu anak menantunya yang memang tidak suka akan Miao Shan menyarankan agar raja membina istana baru dan bersenang-senang dengan para gundik.

Rakyat jelata semakin tertekan di bawah pemerintahan raja dan sikap anak menantunya. Oleh itu ramai rakyat berpakat untuk berhijrah ke tempat Miao Shan. Mereka bertolak dengan beberapa buah perahu besar tetapi tentera raja berjaya memanah dan membunuh sebahagian daripada mereka dari tebing.

Miao Shan yang menyaksikan peristiwa itu dari jauh berasa sangat sedih. Dia pun berdoa. Tiba-tiba segala anak panah yang dilancarkan tertampan dengan aura sebuah loceng besar. Loceng besar agama Buddha itu dibawa oleh salah sebuah perahu penghijrah yang sedang diserang. Hal ini membuatkan sebahagian besar penghijrah kali kedua itu selamat. Loceng itu ditempatkan di sebuah rumah ibadat yang baru dibina.

Hati raja tetap tidak mahu tunduk sekalipun sudah beberapa kali melihat ‘mukjizat-mukjizat’ Miao Shan. Sebaliknya dia mengecop semua itu sebagai sihir dan Miao Shan tidak lain seorang tukang sihir.

Raja masih belum puas hati. Dia mencari jalan baru untuk mengenakan anaknya Miao Shan. Akhirnya dia membebaskan seorang jeneral dari penjara untuk memujuk Miao Shan kembali. Jeneral ini sebenarnya merupakan salah seorang yang rapat dengan Miao Shan.

Raja membuat helah mengatakan dia sudah mengampunkan si jeneral, Miao Shan dan seluruh pengikutnya. Si jeneral termakan umpan, lalu pergi ke tempat Miao Shan. Tanpa disedarinya dia dikuti si raja dan askar-askarnya. Serangan pun dilakukan. Miao Shan dan para pengikutnya masuk berlindung di dalam rumah ibadat yang baru dibina. Miao Shan juga menyatakan kekecewaannya terhadap si jeneral, yang dianggapnya sebagai pengkhianat.

Si jeneral yang sedar dirinya sudah digunakan oleh raja terus sahaja bertempur berseorangan dengan tentera raja. Dia berjaya membunuh dan mencederakan ramai askar. Kegigihan si jeneral membuatkan Miao Shan yakin kembali dengannya. Miao Shan pun berdoa. Sekali lagi keajaiban menyelamatkan mereka. Si jeneral yang pada mulanya berjaya ditangkap, dapat melepaskan diri lalu masuk ke dalam rumah ibadat itu. Raja dan tenteranya pula terpaksa pulang kerana permaisuri semakin tenat.

Permaisuri yang sedang di hujung nyawa menyatakan keinginannya untuk bertemu dengan Miao Shan buat kali terakhir. Dengan itu dapatlah dia melepaskan nyawanya dengan tenang. Raja enggan tetapi permaisuri mengutuskan seorang sida yang taat menyampaikan pesan kepada Miao Shan.

Miao Shan datang ke istana dengan si jeneral. Permaisuri sangat gembira tetapi raja begitu marah. Permaisuri membuat permintaan terakhir kepada raja, minta raja berubah sikap dan memaafkan Miao Shan. Mahu tak mahu raja pun terpaksa mengaku. Ketika itu juga itu meninggallah permaisuri.

Sebaik-baik permaisuri menutup mata, raja terus memerintahkan pengawal menangkap dan memukul Miao Shan sampai mati. Nasib baik ada si jeneral. Si jeneral berlawan dan berjaya melepaskan diri. Raja bertambah marah lalu memerintahkan rumah ibadat di seberang dibakar hangus.

Entah bagaimana tiba-tiba raja terkena satu penyakit pelik. Penderitaannya memang dahsyat, tidak lain terkena sumpahan atas kezalimannya selama ini. Pada mulanya dia asyik meracau ternampak orang-orang yang pernah dibunuhnya. Akibatnya dia sendiri tidak terkawal lalu terbunuh beberapa orang dayang istana. Akhirnya dia sendiri tidak dapat bangun, kesakitan, terketar-ketar, berpenyakit kulit dan lain-lain. Walaupun sudah diubati, penyakit raja tetap tidak sembuh-sembuh.

Kedua-dua menantu raja dan isteri mereka berpakat untuk mengenakan Maio Shan. Mereka mengupah seorang tabib. Tabib itu membuat pemeriksaan ke atas raja lalu mengatakan ubatnya tidak lain ialah mata dan tangan anak raja yang masih dara. Siapa lagi kalau bukan Miao Shan. Mereka tahu Miao Shan berhati suci dan akan sanggup mengorbankan mata dan tangannya.

Apabila berita ini sampai kepada pengetahuan Miao Shan, dengan kuasa ghaibnya dia sendiri mencabut kedua-dua belah matanya lalu diletakkan di dalam dulang. Habis bersemburan darah. Kemudian dia meminta si jeneral memotong tangannya. Semua orang di situ berasa sangat sedih dengan pengorbanan ikhlas Miao Shan. Miao Shan sempat berpesan agar raja hendaklah berubah sikap dan memeluk agama Buddha.

Ternyata ubat yang dibuat memang mujarab. Raja kembali sihat, namun dengan peribadi yang berbeza. Dia sudah insaf dan mahu menajdi penganut agama Buddha yang taat. Raja, orang-orang dan rakyatnya pergi menunduk diri kepada Miao Shan.

Setakat itu sahaja kisahnya. Penghujungnya tidak jelas kerana digambarkan Miao Shan sudah bertaraf dewi, mata dan tangannya elok semula serta diangkat ke langit. Miao Shan pun dikenali sebagai Dewi Kuan Yin/ Guan Yin.

Inilah kali pertama saya terperasan nama dewi ini. Saya pun ligatlah mencari maklumat tentang si dewi. Biasalah, kisah dalam filem memang banyak ketidaksamaan dengan kisah-kisah yang tersebar dalam kalangan masyarakat. Tengok sahajalah filem Merong Mahawangsa dan bandingkan dengan isi kandungan buku Hikayat Merong Mahawangsa.

Seandainya ada sedikit kelapangan, insyaAllah saya akan menulis tentang dewi ini pada masa-masa akan datang.

Abu Zulfiqar

12 November 2011

5 comments:

Ghafar said...

terima kasih..menarik

Anonymous said...

tidak sabar nak dengar y seterusnya...^_^
ustaz sdh aktif semula... byk citer-citer y insyALLAH bermanfaat pada kami... teruskan usaha.. =)

Alexanderwathern said...

GHAFAR, terima kasih kembali.

ANONYMOUS, insyaAllah, tapi lewat sikit : )

SABARINA said...

salam ustaz.saya selalu juga mengikuti cerita2 cina ni. Perasan juga tentang kisah dewi ini ada dalam beberapa buah cerita terutama cerita bersiri Journey to the west

Alexanderwathern said...

Wlksm Sabarina,
Terima kasih. InsyaAllah nanti saya cuba cari cerita Journey to the West tu.

Related Posts with Thumbnails