“Banyak betoi pacat,” rungut Piyan. Sudah dua liang di kakinya ditebuk dengan rakus oleh warga pacat Bukit Naga itu.
“Tak pa Piyan, dia sedut daghah kotoq ja. Kan hang dok lengoh-lengoh kaki selalu? Balik nanti hang tengok, hilang habih leboh-lengoh kaki hang tu,” kata Khairi yang berada beberapa meter di hadapan.
“Elok la tu Piyan. Hang tangkap tujuh lapan ekoq lagi, hang boh kat kaki hang. Sekali-sekali buat la kenughi, pahala dapat badan pun sihat,” usik Seman dari belakang.
“Cantikkkk!” balas Piyan, seolah-olah mengiyakan kata-kata Seman.
“Cantikkk... macam itik...” sampuk Khairi.
Diri mereka dari paha ke bawah memang sudah basah dari awal. Sekejap meredah anak sungai, sekejap meredah hutan. Di tangan masing-masing sebilah parang untuk menebas semak.
“Kat sebelah kiri kita ni ada kawasan cerah sikit. Apa kata kita ‘take five’ kejap?” laung Khairi.
“Hah, elok la tu! Dah sepaghuh bukit kita panjat ni, elok ‘rest’ sat,” balas Piyan.
Kawasan yang dimaksudkan terletak di lereng bukit dan agak terbuka. Barulah luas sikit pandangan, kalau tidak asyik nampak hutan kiri kanan.
Salah satu pemandangan dari atas Bukit Naga.
Piyan terus duduk. Dikeluarkannya botol air, penutupnya dibuka, didekatkannya mulut botol ke mulutnya, mulutnya menghirup air. Seman pula membongkok untuk melihat kalau-kalau ada warga pacat di kakinya. Ada tiga ekor tapi belum masuk ke dalam pakaian, masih merayap-rayap. Di ambilnya satu-persatu, dibuangkannya ke tepi.
Sementara itu Khairi masih berdiri. Dipandangnya panorama indah dari kanan ke kiri. Dari lereng bukit itu dia dapat melihat bahagian atas Kampung Jawa, Padang Gajah, Simpang Temelok, Temelok, Nibung dan Sungai Nyior. Sebahagian jalan raya lurus yang menghubungkan Kampung Sungai Nyior dengan Padang Gajah pun dapat dilihatnya, cuma terlalu kecil.
Khairi mengambil teropong yang tersangkut di dadanya lalu dikenakan di hadapan dua biji matanya. Boleh nampak dengan jelas beberapa biji kereta yang menggunakan jalan raya Sungai Nyior-Padang Gajah itu.
Tiba-tiba hati Khairi terdetak. Salah sebuah kereta yang sedang meluncur dari kanan ke kiri itu ialah kereta berwarna cerah yang dilihatnya di hadapan Restoran Sharif tiga malam lepas. Pemandunya tidak dapat dilihat kerana ia duduk di sebelah kanan kereta. Tidak lama kemudian kereta itu menghilang di sebalik pokok-pokok sawit dan getah.
Khairi menjatuhkan kembali teropong ke dadanya. Dia terfikir, di manakah agaknya lagi kereta itu pernah dilihatnya? Orang berkepala botak dan bercermin mata pada malam itu juga pernah dilihatnya. Tapi di mana? Bila? Siapa?
Selepas sepuluh minit, mereka bergerak semula. Sekali lagi Khairi di hadapan. Dia tidak mahu berfikir tentang kereta buruk berwarna cerah itu lagi, runsing. Tapi datang pula fikiran lain. Yang ini pun merunsingkan juga...
“Mak bekenan dengan soghang budak tu,” cetus Puan Sal. “Alaah... dulu masa dia kecik-kecik selalu dia dok lalu kat tepi laman kita ni.”
Khairi tertegun seketika. Ibunya bercakap dengannya kah? Memang tidak ada orang lain di situ, hanya mereka berdua. Tapi mengapa ibunya bercakap tentang hal-hal yang berbau perkahwinan? Khairi sendiri belum terfikir untuk mendirikan rumahtangga. Lagi pun usianya baru dua puluh satu tahun. Masih menuntut di universiti. Kerja pun belum,apa pun belum.
“Eh, saya bukan nak kahwin lagi mak! Lambat lagi.”
“Alah, boleh tempah awai-awai,” balas ibunya. Khairi terdiam seketika. Baginya, soal jodoh biarlah dia sendiri mencarinya,menapisnya suatu hari nanti.
“Errr... sapa dia mak?” kata Khairi, ingin tahu juga citarasa ibunya bagaimana.
“Ghambut lughuih... kulit ceghah...macam muka Cina sikit-sikit. Alahhhh dulu yang duduk ghumah kembaq dua kat belakang tu.”
Ligat fikiran Khairi mencari sasaran. Yang mana satu ni? Jenis wanita yang bagaimanalah agaknya yang mendapat tempat di mata ibunya?
“Ani? Ani yang gemuk tu ka?” tanya Khairi kehairanan.
“Dulu masa kecik-kecik memang la gemok. La ni dah elok dah badan dia.”
Khairi tersengih. Memang tidak diduganya langsung orang seperti Ina yang jadi pilihan ibunya. Memanglah cantik orangnya, tapi bukan jenis yang menjadi pilihan Khairi. Entah di manalah ibunya melihat Ani, kerana sudah berbelas tahun Ani dan keluarganya berpindah dari Kampung Potong Pinang ini.
“Dia dalam latihan, nak jadi misi,” ujar ibunya lagi.
“Uhh, tak payahlah mak! Nanti oghang caghi senighi lah,” balas Khairi.
“Dak laa... kalau Khairi nak, boleh ‘bukak mulut’ siap-siap. Tak la telepaih ke tangan oghang nanti.”
“Tak pa lah mak. Oghang nak caghi senighilah. Ani tu lain cagha dia, oghang lain cara oghang. Tak ngam.”
“Iiikutlah,” jawab ibunya.
Seman di belakang sekali. Antara kelebihan berada di belakang ini adalah tidak perlu teruk menebas dan mencantas. Jadi ada lebih masa untuk melayan fikiran.
Seman terkenangkan arwah Pak Mat Kepong dan isterinya. Mereka berdua memang baik dengannya. Tambahan pula mereka tidak ada anak. Sejak Seman belum bersekolah rendah lagi dia sudah biasa benar dengan mereka.
Sudah banyak kali Seman naik ke atas rumah Mat Kepong. Sudah banyak kali jugalah dia melihat lakaran lukisan bergambar bukit-bukau dihiasi serangkap madah itu. Ketika Seman berusia sebelas tahun, dia pernah bertanya tentang lukisan itu kepada Mat Kepong. Mat Kepong menjawab, “Satu haghi nanti, bila Seman dah besaq, Pak Mat bagitau.” Sejak itu Seman pun tidaklah bertanya lagi tentang lukisan itu.
Sampailah malam kenduri tahlil di rumah Pak Mat Kepong. Apabila hadirin mahu berangkat pulang, Mat Kepong minta Seman menunggu. Seman pun akur. Ketika itulah Mat Kepong mendedahkan rahsia tentang lakaran itu, yang sudah diwariskan dari satu generasi ke satu generasi keturunannya sejak ratusan tahun silam.
Mat Kepong pun berceritalah kepada Seman tentang segala maklumat yang tersimpan di otaknya selama hari ini. Oleh kerana Mat Kepong anak tunggal dan tidak ada keturunan pula, dia bercadang memberikan segala maklumat termasuklah lukisan itu kepada Seman, yang sudah dianggapnya macam anak sendiri. Termasuk dalam pakej itu adalah tanggungjawab memelihara rahsia itu, dan kalau boleh senjata itu daripada jatuh ke tangan pihak yang tidak sepatutnya.
Selepas pertemuan itulah Seman mula membentuk kumpulan pengkaji dan pencari bersama-sama Khairi dan Piyan. Malangnya seminggu kemudian, Pak Mat Kepong dan isterinya terbunuh.
“Oiii, dah sampai kemuncak dah ni!” jerit Khairi dari depan. Kini mereka berada di kemuncak tertinggi Bukit Naga, iaitu di bahagian yang sesuai dilihat sebagai kepala naga dari jauh. Anak sungai tadi semakin mengecil dan akhirnya hilang dalam semak-samun.
“Aku ghasa kawasan tu la yang paling strategik kalau nak dikatakan mulut naga tu teletak,” kata Khairi sebaik-baik sahaja Piyan dan Seman sampai di sebelahnya.
“Jom kita geledah!” seru Seman.
“Nanti dulu! Kita mai tempat oghang ni nak kena pasang pendinding. Kat bawah tadi kita dah baca. Aku ghasa elok kita baca lagi. Manalah tauu...” kata Piyan.
Mereka bertiga pun mula membaca, “Bismilllahillazhi........ Bismillahillazhi....... Bismillahillazhi....... La haulawala ......”
Seman meneruskan pula, “Bismillahitawakkaltu ‘alallahi.......”
“Aii, doa keluaq ghumah pun hang baca jugak?” tanya Piyan kehairanan.
“Alaah, doa pendinding jugak tu,” jawab Seman.
“Hmmm... hentamlah Labuu,” jawab Piyan pula.
Selepas mencari di sekitar itu selama hampir dua puluh minit, mereka pun ‘surrender’.
“Adohh ya Allah...! Kat mana laa menatang tu duduk?” keluh Seman. Memercik peluh di dahinya. Lenjun bajunya dek peluh.Memang tadinya dia mencari bersungguh-sungguh, semangat! Tapi apabila yang dicari tidak juga ditemui, putus asa mula menghantui diri.
“Macam mana ni Khairi? Tak dak ka rezeki kita haghi ni?” tanya Piyan. Jelas keletihan terukir pada wajahnya.
“Aku pun dah mati akai dah ni. Kalau bukan kat sini, kat mana lagi? Takkan lah...” Khairi terdiam. Dia seolah-olah sedang terfikirkan sesuatu.
“Awat Khairi?” tanya Piyan.
“Aku ghasa ‘puzzle’ tu kita tak selesai peghabih lagi la.”
“Tak habih lagi? Maksud hang?”
“Baris yang ‘last’ tu... Bagai pungguk merindukan bulan... Aku ghasa ada petunjuk yang kita kena selesaikan lagi tu,” jelas Khairi lambat-lambat.
“La ni macam ni. Apa kata kita tighu ‘style’ Ustaz Abu? Kita pakat baca Alam Nasyrah, minta petunjuk daghipada Tuhan?” cadang Seman.
“Cantikkk.. maacam itikkk,” balas Piyan.
“Lawaaaa.. macam ulaq sawa,” sambung Khairi pula. Merekapun duduk bersila, tenangkan fikiran, bacakan Alam Nasyrah, mohon petunjuk daripada Tuhan.
“Aku dah dapat!” cetus Khairi. Kedua-dua orang sahabatnya memberi perhatian kepadanya.
“Bagai pungguk merindukan bulan... Biasanya kalimah ini dikaitkan dengan apa?” tanya Khairi sambil melihat teman-temannya seorang lepas seorang.
“Percintaan,” jawab Piyan.
“Tepat! Kalau cinta, letaknya di mana?” uji Khairi lagi.
“Cinta.. cinta...... di hati la,” jawab Seman pula.
“Tepat! Maksudnya sekaghang, kita kena pi caghi kat tempat hati naga ni sepatutnya teletak,” jelas Khairi. Piyan dan Seman tercengang.
“Hangpa tau dak, pada seekoq naga, hati dia dok kat bahagian mana?” tanya Khairi.
“Tak tau!” jawab Piyan dan Leman.
“Aku pun tak tau,” sambung Khairi, bernada agak kecewa.
“Habih tu?”
“Hmmm... nampaknya... kita kena la bejalan daghi kepala naga ni... sampai la ke ekoq dia.”
“Huh, mampuih!” ucap Seman sambil menepuk dahinya dengan tangan kanan. Mulutnya mengukir sengih. “Beghapa puncak kita nak kena tughun naik tu?”
“Dalam empat lima puncak,” jawab Khairi, lalu mengukir senyuman mengusik sambil menaik-naikkan keningnya.
“Hmm, nasib engkaulah Labuuu! Jom, cargass!” seru Piyan. Padahal dia yang paling kurang stamina ketika itu.
“Woih... hang laghat ka lagi tu? Satgi jenoh kawan-kawan nak usung,” usik Seman.
“Tak yah usung, hangpa seghet ja aku,” balas Piyan.
“Yaa la tu. ‘Time’ nak tughun satgi lagu mana?”
“Hangpa letak aku kat tepi tebing, hangpa golek la.”
“Ermmph... tak dak pasai kami nak golek hang. Kami lempaq ke gaung ja, cepat sikit sampai bawah,” Seman tak mahu mengalah.
“Betoi jugak no? Patut la semalam aku mimpi teghejun gaung,” tak mahu mengalah juga.
“Blab la blaaa...” balas Seman.
“Blab la bla blaaa,” balas Piyan.
Begitulah mereka berbalas-balas tak habis-habis.
@@@@@@@@@@
2 comments:
sempoi novel ni.....
InsyaAllah,akan diteruskan kesempoiannya Ijoi Iz: )
Post a Comment