Kajian dan pemerhatian ringkas tentang Al-Quran, As-Sunnah (hadis), agama-agama dunia, kitab-kitab suci pelbagai agama, manuskrip-manskrip kuno, alam semesta (bumi dan angkasa lepas), ilmu perbandingan agama, sejarah, peristiwa-peristiwa akhir zaman, kiamat, alam akhirat, alam ghaib, sains, astronomi (falak) dan lain-lain ilmu alam.

Wednesday, November 23, 2011

Latar Belakang Novel 'Panah Sidi Arab'



Gambar ini diambil pada tahun 1990 selepas Khairi Fatwa dan rakan-rakannya selesai bergotong-royong membasuh pinggan mangkuk,kuali dan periuk kenduri kahwin.



Adakah Khairi Fatwa benar-benar wujud?

Tidak. Khairi Fatwa hanyalah satu watak rekaan penulis (Abu Zulfiqar).

Bagaimana dengan watak-watak lain?

Kebanyakan watak lain dalam novel ini diinspirasikan daripada orang-orang yang benar-benar wujud, yang diubah nama dan diubahsuai perwatakan mereka. Oleh itu terdapat sedikit-sebanyak persamaan antara watak-watak dalam novel ini dengan individu-individu di alam nyata. Namun begitu mereka semuanya diberi watak baik, ataupun sekadar pelakon tambahan untuk memeriahkan lagi latar novel ini. Sekiranya kita pergi ke lokasi-lokasi yang dinyatakan, kita masih boleh menemui mereka yang seakan-akan salah satu watak dalam novel ini. Kesemua watak negatif dalam novel ini pula hanyalah rekaan semata-mata, tidak bersangkutan dengan mana-mana individu sama ada yang masih hidup ataupun yang sudah meninggal dunia.

Bagaimana pula dengan nama-nama tempat?

Kebanyakan lokasi semasa yang dinyatakan dalam novel ini memang benar-benar wujud, cuma ia berlatarkan zaman tahun-tahun 80-an dan awal 90-an. Oleh itu, jika kita pergi ke tempat-tempat tersebut sekarang, kebanyakannya sudah mengalami perubahan. Sekiranya diizinkan Tuhan, mana tahu pada masa-masa akan datang penulis boleh membawa para pembaca ke lokasi-lokasi yang disebutkan, malah bertemu muka dengan orang-orang yang seakan-akan watak-watak dalam novel ini. Dengan cara itu pembaca akan lebih menghayati alam dan suasana novel “Khairi Fatwa dalam Panah Sidi Arab” ini, insyaAllah.


Dari kiri - Khairi Fatwa, Seman, Piyan. Gambar ini diambil ketika mereka mengikut Ustaz Abu berceramah di Kuala Kurau, Kerian, Perak. Piyan sedang berlakon menggertak Khairi dan Seman, kononnya Ustaz Abu marah kerana mereka merayau-rayau jauh ke tengah bendang.


Adakah kisah seorang ahli jemaah Tabligh dikejar dengan parang di surau itu benar-benar berlaku?

Ya, tapi sudah banyak diubahsuai agar tidak menyentuh mana-mana individu. Kejadian ini berlaku hampir 20 tahun dahulu.

Wujudkah tembok kedai mamak itu?

Ya, tapi sekarang kedai mamaknya sudah tiada, tinggal tembok-tembok di simpang jalannya sahaja. Mamak dan keluarganya sudah berpindah ke Kampung Air Kuning, lebih kurang dua kilometer dari Kampung Potong Pinang. Tempat itu juga sudah tidak menjadi lokasi lepak. Kini Kampung Potong Pinang sunyi sahaja pada waktu malam.

Benarkah kisah tentang panah Sidi Arab itu?

Kisah asalnya terdapat dalam buku Sejarah Melayu. Sejauh mana kebenarannya, hanya Allah yang tahu. Sambungan kepada kisah dalam Sejarah Melayu itu, yang berkisar di sepanjang novel ini hanyalah rekaan penulis.

Kenapa banyak dialog dalam novel ini menggunakan loghat utara?

Sememangnya itulah bahasa harian kebanyakan orang Taiping lama dan sekitarnya. Ia merupakan campuran antara loghat Kedah dengan Pulau Pinang. Penduduk lama sekitar Bukit Gantang, Padang Rengas, Batu Kurau, Bagan Serai dan lain-lain menggunakan loghat yang berbeza. Kemajuan zaman dan penghijrahan silang menyebabkan loghat orang Taiping sekarang agak bercampur-campur. Loghat lama orang Taiping ini masih boleh selalu didengar di Pokok Asam, Air Kuning, Changkat Jering, Trong, Simpang, Kamunting, Matang dan sekitarnya. Loghat ini digunakan dalam novel ini untuk mendapatkan lebih penghayatan.


* Penjelasan ini setakat bab satu. Akan disambung lagi...

2 comments:

Anonymous said...

cerita ni ade sambungan lagi x?

Unknown said...

Sungguh! Sy stuju. JazakAllah khair

Related Posts with Thumbnails