BAB ENAM – Menemui Ustaz Abu
“Bila masanya untuk kita berkorban dan di mana? Jawapannya ialah sekarang... iaitu di dunia ini. Mengapa? Kerana nikmat berkorban dan berjuang pada jalan Allah itu... hanya boleh dinikmati di dunia ini... ketika kita masih hidup ini. Di syurga umumnya ada nikmat berpasang-pasangan, istana, taman-taman, kerehatan, kelazatan makan minum, buah-buahan, sungai-sungai, perhiasan dan sebagainya... yang umumnya terdapat juga di dunia ini... walaupun sangat jauhlah berbeza antara nikmat akhirat dengan nikmat dunia itu. Tapi kita mesti ingat... bahawa kenikmatan berkorban, berjuang dan bersusah-payah pada jalan Allah hanya ada di dunia ini, bukan di syurga. Oleh itu... janganlah kita kesampingkan kenikmatan yang menjadi makanan harian para rasul dan nabi ini,” syarah Ustaz Abu kepada para pendengar yang tidak sampai dua puluh orang itu. Memanglah, jika hujan turun sebelum Maghrib, alamatnya berkuranglah orang yang datang mendengar kuliah. Kalau cuaca baik, boleh dapat lebih daripada empat puluh orang.
Kampung Sungai Nyior ini kecil sahaja, penduduknya tidak ramai.Hal itu menjadi salah satu penyebab kurangnya kehadiran pendengar kuliah. Suraunya pun agak dhaif. Surau papan dua tingkat itu terletak di tepi sungai, bersebelahan dengan sebuah sekolah menengah. Pada malam-malam yang ada kuliah Maghrib, meriah juga suasananya. Ustaz Rejab Ali mengajarkan kitab Hidayatus Subyan dua minggu sekali. Ustaz Abu pula mengajarkan kitab Ihya’ ‘Ulumiddin, juga dua minggu sekali.
“Apakah yang sepatutnya kita korbankan pada jalan Allah? Antaranya ialah masa, tenaga, wang, harta-benda, kerehatan, keselesaan dan sebagainya, bahkan nyawa sekalipun jika kena pada tempatnya. Dunia ialah tempat untuk berkorban dan berjuang, segala kenikmatan dunia hanyalah sebagai penawar atau pelega sementara kepada kelesuan berjuang. Pengecapan nikmat yang sebenar ialah di syurga nanti. Berehatlah, makanlah, berhiburlah sepuas-puasnya di sana nanti. Bagi orang-orang yang yakin, mereka akan bersabar untuk mengecap kerehatan selama-lamanya di sana,” kata Ustaz Abu lagi.
Sesekali Seman mengangguk-anggukkan kepalanya tanda mengiyakan kata-kata Ustaz Abu. Khairi tidak banyak bergerak, dia lebih senang menatap wajah Ustaz Abu, berkat katanya. Piyan pula lebih banyak tunduk. Sesekali dia memicit-micit paha dan kakinya kerana kelenguhan.
Ustaz Abu menutup kuliahnya pada malam itu dengan mendendangkan tiga rangkap lagu tentang berkorban pada jalan Allah.
Berjuang penuh ranjau duri.
Engkau kan tersisih dicaci.
Seringkali engkau bersedih hati,
Namun itu baja penguat diri.
Perjuangkan sunnah bukannya mudah.
Engkau kan disanggah difitnah.
Akhirnya engkau berseorang diri.
Namun berjuanganmu jangan mati.
Walaupun engkau hilang segalanya,
Perjuangan tetap teruskan.
Membela Allah dan Rasul-Nya.
Sehingga kauhilang nyawa.
Sehingga kauhilang nyawa.
Walaupun surau itu jauhnya lebih kurang tiga puluh tiga kilometer dari Kampung Potong Pinang, ketiga-tiga orang sahabat baik itu tidak pernah melepaskan peluang mengikuti pengajian Syarah Ihya’ ‘Ulumiddin oleh Ustaz Abu. Kupasannya mudah difaham, dapat ditangkap baik oleh orang yang ‘atas-atas’ mahupun yang ‘bawah-bawah’. Pengajarannya banyak membentuk hati, bersesuaian dengan ajaran-ajaran Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali. Pengetahuannya tentang dakwah pun luas. Sebab itulah ketiga-tiga orang sahabat itu tidak ada masalah untuk mengikuti usrah atau pengajian Ustaz Abu, sekalipun mereka bertiga bekerja untuk jemaah Islam yang berbeza. Khairi dengan hizbul Islamnya, Piyan dengan Ikhwannya dan Seman dengan jemaah Tablighnya. Namun mereka dapat bersama-sama di bawah bimbingan Ustaz Abu.
Ustaz Abu ini asalnya orang Kampung Potong Pinang juga. Dia berhijrah ke mukim Trong kerana ada masalah keluarga. Biasalah, para nabi terdahulu pun biasanya mendapat tentangan paling awal dan paling hebat daripada sebahagian kaum keluarga dan jiran-jiran sendiri. Pelbagai fitnah dibuat sedangkan Ustaz Abu tidak berpeluang membela diri. Kebanyakan orang yang mendapat maklumat daripada sebelah pihak, terus ambil tindakan, buat keputusan dan meletakkan hukuman ke atasnya tanpa bertanya kepadanya terlebih dahulu. Habis rosak sebahagian besar usaha-usaha dakwah yang dilakukannya. Hendak dibina semula, mungkin berbelas tahun baru dapat semula apa yang sudah terlepas. Itu pun kalau dapat.
Akhirnya Ustaz Abu mengambil keputusan untuk berhijrah buat sementara waktu. InsyaAllah suatu hari nanti dia akan pulang, tapi kali ini dengan kemuliaan sebagaimana pulangnya Nabi Muhammad ke kota Makkah dari Madinah. Sebenarnya tiga rangkap lagu dendangan Ustaz Abu tadi banyak yang berkaitan dengan dirinya sendiri.
Khairi masih memerhati Ustaz Abu. Ustaz Abu ini sedikit gempal dan agak rendah orangnya. Janggutnya tebal panjang. Ke mana-mana pun membiasakan berserban. Dari jauh nampak serius, pabila dekat mesra orangnya. Berusia sekitar empat puluh lapan tahun. Walaupun ada kereta dan motosikal, sesekali Ustaz Abu suka menaiki bas awam untuk bergerak ke mana-mana. Perlakuan pelik ini dijawab oleh Ustaz Abu sebagai salah satu usahanya untuk merasai sebahagian dunia orang-orang yang kurang berkemampuan.
Rumah Ustaz Abu terletak di Kampung Sungai Baru, bersebelahan dengan Kampung Sungai Nyior, berseberangan jalan dengan Klinik Sungai Kerang. Rumah papan berwarna putih itulah rumahnya. Rumahnya tidaklah mewah tetapi selalu menerima kunjungan orang yang baik-baik. Di situ kelebihannya pula.
Selepas solat fardhu Isya’ berjemaah, ada sedikit jamuan. Juadah pada malam ini ialah roti jala dengan tiga pilihan kuah. Ada kuah durian, kari ayam dan madu lebah. Kopi dan teh bujang sebagai minuman. Salah seorang jemaah melambakkan pula tiga talam buah rambutan. Mewah mereka pada malam itu.
@@@@@@@@@@
Sudah lebih satu jam sejak pulang dari Surau Sungai Nyior tadi mereka berempat duduk minum-minum di Restoran Sharif di pekan Sungai Kerang. Ustaz Abu lebih banyak mendengar dan sesekali bertanyakan soalan-soalan yang berkaitan. Khairi, Piyan dan Seman silih berganti menceritakan perihal panah sakti Sidi Arab dan pengalaman yang mereka lalui.
“Dari atas pokok tu ustaz, saya terpandang ke bawah. Dari atas tu barulah saya terperasan yang di bawah tu ada satu lubuk, hitam gelap airnya. Dari bawah memang tak perasan. Masa itulah saya teringat semula sambungan bunga silat Pendita Megat tu. Mengapa tiba-tiba geraknya jatuh duduk bersila dan membuat lakaran bulatan di sekeliling di atas tanah? Kemudian, mengapa tari tangannya mencapai suatu arah dan terus bergaya mencium keris?” Khairi berbahasa agak formal, sesuai dengan kebiasaan Ustaz Abu. Walaupun Ustaz Abu berasal dari Kampung Potong Pinang, tapi percakapannya tidak bergaya orang Taiping yang rata-ratanya dipengaruhi sedikit loghat Melayu Kedah dan Pulau Pinang. Mungkin kerana pada zaman mudanya dia selalu merantau belajar dan berdakwah ke serata tempat.
“Maksudnya... Pendita Megat dulu terjun dari atas pokok itu ke dalam lubuk. Apabila sampai di dasarnya dia duduk bersila dan meletakkankan busur panah itu pada satu tempat,” sambung Khairi.
“Saya pun buat perkara yang samalah. Saya terjun dengan kaki dulu, buangkan sedikit udara supaya cepat sampai ke bawah, tolak-tolak air dengan tangan ... Cecah aje tanah terus saya cuba duduk bersila sambil tangan menerawang meraba di dasar sungai dan batu-batu di sekelilingnya. Nasib baik saya jenis yang nafas panjang, boleh tahan agak lama dalam air. Cari punya cari, saya teraba satu lekukan batu. Di situlah terselitnya busur panah sakti,” sambungnya lagi, lebih bersungguh-sungguh.
“Ya Allah... memang menarik cerita kamu bertiga ni,” akui Ustaz Abu sambil tersenyum. Panjang nafas yang ditarik dan dilepaskannya, tanda puas. Bertuah rasanya mempunyai anak-anak buah dalam dakwah seperti mereka bertiga, bijak-bijak orangnya. “Jadi... sekarang di mana kamu letakkan anak panah tu?”
Mereka berpandangan sesama sendiri, kemudiannya saling tertawa. “Kami letak di satu tempat rahsia. Kami aje yang tahu lokasinya,” jawab Khairi. Ustaz Abu turut tertawa mendengar penjelasan Khairi.
“Baiklah, memang betullah... Allah kurniakan kebijaksanaan kepada kamu bertiga. Gunakanlah ia sebaik-baiknya pada jalan Allah.”
“InsyaAllah ustaz,” jawab mereka serentak.
“Seterusnya?” tanya Ustaz Abu.
“Seterusnya kami hendak mencari anak panah sakti le pulak,” balas Khairi.
“Inilah sebabnya kami datang jumpa ustaz. Nak minta tolong ustaz,” sambung Piyan.
“Eh, macam mana pulak tu? Saya tak tahu langsung pasal panah panah ni!”
Seman mengeluarkan sekeping kertas dari poketnya. Kertas itu disuakan kepada Ustaz Abu. Ustaz Abu menyambutnya dan terus membaca tulisan yang tertera di atasnya.
Kota Ganggayu sesudah kota,
Sang Kelembai melihat dari awanan,
Di bawahnya naga bertapa,
Bagai pungguk merindukan bulan.
“Apa bendanya ni Seman?”
“Inilah dia petunjuk kepada kedudukan anak panah tu.”
“Kami dah jenoh memerah otak mencari maksudnya, tapi... masih tak ketahuan punca,” kata Khairi.
Ustaz Abu membacakan Surah Asy-Syarh. Kemudian dia menumpukan pandangannya terhadap kalimat-kalimat pada kertas itu. Lebih kurang dua minit Ustaz Abu menghayati rangkaian kata-kata itu, dia pun bersuara, “Saya tahu di mana letaknya.”
“Apa? Betul ke ustaz?” terperanjat betul mereka bertiga.
“Pernah ke saya menipu kamu?” tanya Ustaz Abu sambil tersenyum lebar.
“Eh, mana pernah!” jawab Khairi. Kedua-dua orang rakannya mengiyakan.
“Kat mana anak panah tu ustaz?” tanya Seman bersungguh-sungguh.
Sebelum saya beritahu lokasinya, saya nak tahu... apa tujuan kamu mencari panah sakti Sidi Arab ni?” duga Ustaz Abu.
Mereka bertiga saling berbalas pandangan. Piyan mengangguk, sebagai isyarat kepada mereka berdua tanda setuju. Selepas itu perlahan-lahan Khairi mendekatkan mulutnya ke telinga Ustaz Abu. Dia membisikkan, “......................”
Ustaz Abu mendengarnya dengan teliti. Lama kemudian dia pun bersuara, “Alangkah besarnya maksud dan pekerjaan kamu bertiga ini. Semoga dimudahkan Allah segala urusan kita semua.”
“Amin,” jawab Khairi penuh kelegaan. Dia melihat sekeliling restoran, kemudian ke luar restoran. Nun di seberang jalan, terletak sebuah kereta Toyota lama berwarna cerah. Di dalamnya ada seseorang yang berkepala botak. Sinaran di mata orang itu menunjukkan dia memakai cermin mata. Ketika Khairi melihatnya, orang itu pun kelihatan sedang tekun memandang ke arah Khairi.
Serta-merta enjin kereta itu dihidupkan. Kemudian perlahan-lahan ia merangkak naik ke atas jalan raya lalu meluncur laju menghala ke arah pekan Pantai Remis. Sempat lagi si pemandu menoleh ke arah Khairi.
“Awat Khairi?” tanya Seman apabila melihat raut wajahnya temannya itu berlainan.
“Entah...,” jawab Khairi, bernada kebingungan.
“Kegheta tadi tu ka?” tanya Piyan pula.
“Ha ‘ah! Aku rasa lain macam pulak dengan oghang kat dalam kegheta tu tadi. Tapi... tak dak apa-apa kot. Perasaan aku ja tadi. Errr... camne ustaz? Di mana tempat anak panah tu?”
Ustaz Abu tersenyum lebar, menarik nafas panjang, melepaskannya... dan mula berbicara...
@@@@@@@@@@
3 comments:
best! best! ^_^
saya menanti episod seterusnya...
tapi x berapa fhm loghatnya... kena ulang baca beberapa kali baru fhm... hehehe...
Alhamdulillah, syukur! InsyaAllah akan diusahakan sehingga tamat.
Untuk lebih menghayati loghatnya, anda gambarkan orang-orang sebelah utara tanah air yang bercakap.
Post a Comment