Kajian dan pemerhatian ringkas tentang Al-Quran, As-Sunnah (hadis), agama-agama dunia, kitab-kitab suci pelbagai agama, manuskrip-manskrip kuno, alam semesta (bumi dan angkasa lepas), ilmu perbandingan agama, sejarah, peristiwa-peristiwa akhir zaman, kiamat, alam akhirat, alam ghaib, sains, astronomi (falak) dan lain-lain ilmu alam.

Tuesday, December 13, 2011

14. Permainan Ghaib

BAB 14 - Permainan Ghaib

Di Pulau Pinang ini Al Mayonis lebih selamat. Di sini ada ramai pelancong asing yang terdiri daripada mat-mat dan mek-mek saleh. Ke mana-mana pun dia pergi, dia tidak jadi tumpuan orang. Apatah lagi sekarang dia memakai rambut palsu. Kad pengenalan diri? Juga yang palsu dan baru siap dua hari lepas.

Sudah tiga hari dia melarikan diri dari Trong ke Pulau Pinang ini. Semua kecederaan di tubuhnya sudah dirawat dengan baik dan sedang dalam pemulihan, cuma bekas gigitan anjing di kakinya yang dijangkiti kuman. Kepalanya masih berdenyut sakit. Sebelah matanya masih kurang jelas memandang.

Kini Al Mayonis tinggal di salah sebuah rumah temannya, seorang wakil rakyat di Pulau Pinang. Temannya itu bertaraf darjah ke-25 dalam Nosameerf dan mempunyai hubungan baik dengan beberapa orang tokoh penting yang bernaung di bawah kongsi gelap Itanimulli. Pihak berkuasa tidak akan mengesyaki keberadaannya di situ.

Baru sebentar tadi dia dikunjungi oleh dua orang wanita bertudung litup dan berjubah serba hitam. Hashima dan Hashina. Begitulah nama panggilan mereka. Dari segi penampilan, kelihatan mereka berdua seperti dua orang muslimah yang cantik, bersopan santun dan lemah lembut. Tetapi di sebaliknya ...

“Seratus ribu ringgit untuk Ustaz Abu... dua puluh ribu setiap seorang untuk isteri dan anak-anak dia... seratus ribu ringgit untuk itu Piyan... dan seratus ribu ringgit untuk itu Seman,” kata Al Mayonis kepada kedua-dua orang wanita di hadapannya.

“Khairi Fatwa?” tanya Hashima.

“Dia tidak boleh mati! Kalau dia mati, saya punya kerja langsung tidak ada guna lagi. Kalau kamu orang berjaya bawa dia ke sini hidup-hidup.... dua ratus ribu ringgit,” umum Al Mayonis sambil mengangkat keningnya. “Semua sekali ... lima ratus enam puluh ribu ringgit. Lebih setengah juta.”

“Wow, harga yang sangat menarik tu tuan! Belum pernah kami dapat tawaran sebesar ini, walaupun kami diminta membunuh... ataupun menyeksa ahli-ahli politik, atau jutawan penting,” kata Hashima. “Sebenarnya... kami bakal berkhidmat dengan siapa ni tuan? ‘Besar’ bunyinya ni?” tanyanya pula dengan nada menduga.

“He he he. Kamu orang tidak perlu tahu. Sekarang saya beri wang pendahuluan sebanyak tiga puluh ribu ringgit seorang. Selesai kerja, saya bayar lagi lima ratus ribu ringgit. Tapi jumlah itu akan berkurangan, bergantung kepada sejauh mana kejayaan kamu orang.”

“Kami faham, kami faham,” sahut Hashina sambil tersenyum dan menjeling ke arah kakaknya, Hashima.

“Dengar kata orang....kamu orang tak pernah gagal?” tanya Al Mayonis.

“Hmm... bolehlah dikatakan begitu,” jawab Hashima.

“Apa maksud kata-kata kamu itu?”

“Memang kami tak pernah gagal mencelakakan orang. Sudah lebih sepuluh tahun kami buat kerja-kerja macam ni. Tapi dalam tiga empat tahun lepas, kami pernah gagal menyantau satu orang. Haji Majid nama dia. Santau gagal, pukul jarak jauh gagal...”

“Hantar ‘sahabat-sahabat’ kami pun gagal,” sampuk Hashina.

“Bahkan... dia pulangkan balik serangan santau kami. Teruk jugak adik saya ni kena. Enam bulan baru baik sepenuhnya.Tinggal isi dengan kulit je,” sambung Hashima.

“Dah tu... kami punya sahabat pun lesap entah ke mana dua ekor,” sampuk Hashina lagi.

“Wow, cerita yang menakjubkan!” puji Al Mayonis.

“Tuan tak percaya ke?” tanya Hashima.

“Owh no, no,no, no, no! Kalau Raffles, Light, Crawfurd, Maxwell, Rodger dan lain-lain percaya hal-hal sebegini... mengapa saya mesti menolaknya? Sudah tentu saya percaya,” balas Al Mayonis.

“Err... maaflah tuan, kami ni sekolah tak tinggi. Kami tak tahu pun nama-nama yang tuan sebutkan tu. Tapi Francis Light tu pernah le dengar.”

“Oh, tidak mengapa! Ha ha ha ha. Mereka ini... tokoh-tokoh Inggeris zaman dahulu, yang begitu besar jasa mereka dalam memajukan nusantara ini. Apa yang saya cuba sampaikan tadi... kalau orang Barat zaman dahulu pun percaya, orang Barat zaman sekarang seperti saya pun tentulah percaya. Lagi pula saya beragama Islam,” jelas Al Mayonis.

Hashima dan Hashina mengangguk-angguk, mengiyakan kata-kata Al Mayonis.

“Stamford Raffles dengan John Crawfurd, pernah cuba saling membunuh. Mereka upah orang Melayu. Secara kebetulan kedua-dua orang Melayu ini berkenalan dalam perjalanan. Selepas mendapat tahu tujuan masing-masing, mereka pun beradu senjata. Dua-dua orang pun mati.”

“Kenapa mereka nak bunuh satu sama lain? Kan dua-dua orang pun bekerja untuk Inggeris?” tanya Hashina.

“Sebenarnya mereka berebutkan hikayat-hikayat Melayu. Ada banyak rahsia dalam hikayat-hikayat Melayu tau. Salah satu yang mereka kaji... ialah ilmu-ilmu ghaib alam Melayu. Kemuncak perbalahan antara mereka berlaku ketika mereka berebutkan Hikayat Banjar, yang diambil dari Sultan Pontianak.”

“Hi hi hi. Sultan Pontianak pun ada ke tuan?”

“Hahahaha! Bukan Pontianak yang itu. Ini Pontianak... nama satu kesultanan di Kalimantan.” Mereak sama-sama tertawa lagi.

“Mmm... baiklah tuan Ali. Kalau dah tak ada apa-apa lagi, kami nak beredar,” kata Hashima.

“Oh, ya!” Al Mayonis yang kini menggunakan nama Ali Watson mengeluarkan mengambil dua sampul tebal di sisinya. Sampul-sampul itu diletakkan di atas meja. “Sixty thousand ringgit, cash!” katanya. Dengan pantas kedua-dua orang tukang sihir adik-beradik itu menyambar sampul masing-masing. Mereka menjenguk ke dalamnya. Masing-masing tersengih lebar.

“Ok tuan, kami mintak diri,” kata Hashima.

“Errr... tak mahu kira dahulu?” tanya Al Mayonis.

“Eh, tak pe! Kami yakin dengan Tuan Ali.”

“Ok.”

Kedua-dua orang tukang sihir itu berjalan pergi.

“Aku bukan tak mau duduk lama lagi Ina, tapi... nanti lagi panjang pulak syarahan mat salehkeh muallap tu. Kita bukannya tu sangat pasai-pasai sejarah ni.”

“Betoi tu kak. Kita ni kalau pasai-pasai menyantau, menyantet, menuju-nuju...apa lagi ye...” kata Hashina.

“Memukau, menyembelih, mengerat lapan belas.... kita tau la,” sambung Hashima.

“Hahahahaha!” mereka tertawa mengilai.

@@@@@@@@@@

“Kalau adik nampak lagi atuk botak tu... adik nak lastik kat mata dia. Biar dia buta,” kata Zulfaqar. Dia menenang sebatang pokok pisang yang terletak lebih kurang lima belas meter darinya. Getah lastik ditariknya panjang-panjang, kemudian dengan lafaz Bismillah, dia melepaskannya. Biji gulinya meluru laju bak peluru ke batang pisang pilihannya. Kena! Meletup bunyi batang pisang dihentam guli, tetapi tidak tepat pada sasaran. Sasaran Zulfaqar ialah dua kertas bulat besar sedikit daripada duit syiling lima puluh sen yang dilekatkannya ke batang pisang dengan jarum tudung ibunya. Dua kertas bulat itu disusunnya rapat seolah-olah dua biji mata manusia.

“Kalau kakak pulak kan, kakak nak cucuk bontot dia dengan tiga dart sekaligus,” kata Syakirah pula.

“Hi hi hi hi! Mesti dia terangkat macam roket kan kak?” Kedua-dua adik-beradik itu tertawa panjang.

“Sudahlah tu kakak,adik. Tak payah harap-harap macam tu. Lebih baik kita berdoa, mintak Tuhan jangan temukan kita dengan orang tu lagi. Lagi selamat,” kata Sarina pula. Dia baru selesai menjemur pakaian di ampaian. Zulfiqar memerhati sahaja ibunya melintasi mereka menuju ke pintu dapur.

“Kesian kat ummi kat kak? Pipi ummi warna hijau lagi.”

“Ye le, penumbuk atuk botak tu ‘power’ tu! Sampai hari ni pun pipi ummi dok lebam lagi,” balas kakaknya. “Adik doa tak minta Tuhan bagi ummi baik cepat?”

“Doa!”

“Bagusss adik kakak!”

“Rinaaa! Ooo Rinaa!” panggil Ustaz Abu dari atas rumah.

“Kenapa bang?”

“Ni ada orang datang ni! Pompuan! Mai la tengok ni!”

“Siapa pulak yang datang tengah hari macam ni?” cetus mulut Sarina dengan nada mengeluh dan mempersoal. Dia memijak anak tangga satu persatu dan tiba di ruang tengah rumah. Terus berjalan laju ke ruang tamu.

“Siapa dia bang?”

“Entah! Katanya nak jumpa Rina. Kawan Rina le kot. Abang malas nak bersembang panjang, yang datang tu perempuan. Elok le Rina yang bercakap dengan diorang. ”

@@@@@@@@@@

“Amboi bang! Lain macam aje Rina tengok diorang tu jeling abang! Abang pun, lain macaaam je tengok diorang. Berkenan ke?” Rina mengusik suaminya. Kedua-dua orang wanita itu baru sahaja berlalu dengan kereta mereka.

“Hisy, awak ni! Abang tengok muka diorang tu bukan sebab berkenan...”

“Manalah tahu... diorang tu cantik-cantik,” pintas Sarina. Makin lebar senyumnya.

“Abang rasa... pandangan diorang tu... bukan pandangan orang biasa tu,” kata Ustaz Abu.

“Maksudnya?”

“Lain sangat pandangan mata diorang tu.”

“Ada ‘apa-apa’ ke bang?” tanya Sarina. Suaranya mula merendah dan berbau kerisauan.

“Tak tahulah nak kata. Apa-apa pun, amalan harian Ikhtiar Muslim kita jangan tinggal. Manalah tahu...” Ustaz Abu melangut ke langit. “Jomlah naik.”

“Abiii, adik ada iniii!” kata Zulfaqar dengan nada gembira. Di tangannya ada sekeping syiling sebesar syiling lima puluh sen. Warnanya seakan-akan syiling satu sen.

“Eh, adik ambil kat mana ni?” tanya Ustaz Abu. Diambilnya syiling itu dan diperhatinya cermat-cermat. “Ini... ini duit apa ni? Takpernah tengok pun,” kata Ustaz Abu.

“Mari Rina tengok,” kata Rina sambil tangannya bergerak untuk menyentuh syiling itu.

“Nanti dulu!” kata Ustaz Abu. Syiling itu dilarikannya ke kanan. “Jangan-jangan...”

“Guli adik terjatuh tadi. Adik cari le tepi dinding tu, kat tikar getah. Lepas tu adik ternampak duit tu,” cerita Zulfaqar.

“Diorang sengaja tinggal ke bang?” tanya Sarina. Dahinya berkerut.

“Boleh jadi le Rina,” balas Ustaz Abu. “Syakirah, tolong ambilkan air kosong segelas.”

“Baik abi.” Syakirah berlari ke arah tangga ke dapur.

Seminit kemudian air segelas pun sampai. Ustaz Abu duduk bersila lalu membaca Bismillah Penyelamat tiga kali. Kemudian dia membaca surah Al-Fatihah, Ayat Kursiy, Lau anzalna... Ditiupnya ke arah air. Duit syiling tadi dimasukkannya ke dalam air, direndam buat seketika. Akhirnya Ustaz Abu menjentik dari jauh ke arah syiling di dalam gelas sambil berzikir. Diniatkannya agar segala anasir jahat yang menumpang pada syiling itu hilang, sekiranya ada.

“Syiling ni pun tak ada apa-apa kegunaan untuk kita. Elok buang ajelah,” ujar Ustaz Abu. “Syakirah, buat pendinding diri ringkas, lepas tu pergi buang syiling ni kat tempat bakar sampah.”

@@@@@@@@@@

3 comments:

Anonymous said...

assalamualaikum, menarik dan best citer nih ustaz... tak sabar bak baca yang seterusnya. terima kasih.

Alexanderwathern said...

Wlksm. Alhamdulillah, syukur. Makan masa sikit nak menyiapkannya. Ada kelapangan baru saya menulis sikit-sikit.

Alexanderwathern said...

Wlksm Bani Tamim.
Tahniah atas usaha yang dilakukan.Ia memudahkan para peneliti hal-hal berkenaan untuk mencari maklumat dan berhubung.

Related Posts with Thumbnails