Kajian dan pemerhatian ringkas tentang Al-Quran, As-Sunnah (hadis), agama-agama dunia, kitab-kitab suci pelbagai agama, manuskrip-manskrip kuno, alam semesta (bumi dan angkasa lepas), ilmu perbandingan agama, sejarah, peristiwa-peristiwa akhir zaman, kiamat, alam akhirat, alam ghaib, sains, astronomi (falak) dan lain-lain ilmu alam.

Friday, December 06, 2013

Ummiy Satu Kelemahan?

 PERSOALAN : (Terjumpa di sebuah forum satu petikan yang maksudnya lebih kurang…) Jika ilmu pengetahuan itu sangat penting dalam Islam sehinggakan ayat yang pertama yang diturunkan pun “Iqra…” yakni bacalah, maka mengapa nabi anda tidak belajar membaca dan menulis (bersifat ummiy)? Bukankah buta huruf itu satu kelemahan?

JAWAPAN : Pandangan ringkas...

Ada dua jenis pandangan para ulama dan para pengkaji tentang maksud "ummiy" :
1. Ummiy itu bermaksud tidak tahu membaca dan menulis.
2. Ummiy itu bermaksud tidak pernah mengetahui isi kandungan mana-mana kitab kerana tidak diturunkan kitab kepada kaum itu.

Huraian :

1. Jika ummiy itu bermaksud tidak tahu membaca dan menulis, hal itu bukanlah satu kekurangan kepada Rasulullah saw bahkan satu kelebihan. Manusia biasa perlu menggunakan perantaraan membaca dan menulis untuk mendapat ilmu pengetahuan lebih-lebih lagi ilmu kerohanian atau ilmu agama. Tetapi Rasulullah sangat istimewa sehinggakan baginda tidak perlu kepada perantaraan membaca dan menulis untuk mendapatkan itu semua, kerana baginda mendapatkannya terus daripada Allah, ataupun melalui perantaraan malaikat. Kata orang tua-tua : "Apalah gunanya sampan jika kita sudah boleh melintasi sungai dengan berjalan di atas air."

2. Pandangan kedua mengatakan "ummiy" itu ialah orang yang tidak diturunkan kitab kepada mereka, sedangkan antara mereka ramai yang boleh membaca dan menulis. Sebab itu bangsa Arab zaman dahulukala disebut "kaum yang ummiy" kerana tidak ada kitab suci yang diturunkan kepada mereka. Mereka hanya berbekalkan cerita mulut ke mulut berdasarkan ingatan nenek moyang mereka kepada suhuf-suhuf Nabi Ibrahim yang sudah hilang entah ke mana. Bani Israil pula sebaliknya. Mereka diturunkan Taurat, Zabur dan Injil. Sebab itu mereka "tidak ummiy" sekalipun dalam kalangan mereka ramai juga yang tidak tahu membaca dan menulis. Oleh itu ada kemungkinan Rasulullah saw boleh membaca dan menulis.

Wallahua'lam.

Abu Zulfiqar

5 Disember 2013
Related Posts with Thumbnails