Kajian dan pemerhatian ringkas tentang Al-Quran, As-Sunnah (hadis), agama-agama dunia, kitab-kitab suci pelbagai agama, manuskrip-manskrip kuno, alam semesta (bumi dan angkasa lepas), ilmu perbandingan agama, sejarah, peristiwa-peristiwa akhir zaman, kiamat, alam akhirat, alam ghaib, sains, astronomi (falak) dan lain-lain ilmu alam.

Saturday, August 14, 2010

Luqman al-Hakim Bukan Socrates (bah. 2)

LUQMAN AL-HAKIM MENURUT PARA ULAMA


* Sila baca bahagian pertama terlebih dahulu untuk memaksimakan pemahaman anda. Anda boleh ke sini
http://myalexanderwathern.blogspot.com/2010/05/luqman-al-hakim-bukan-socrates-bahagian.html



LUQMAN AL-HAKIM HIDUP PADA ZAMAN YANG MANA?

Ibnu Kathir : “Dikatakan dia ialah seorang qadhi pada ZAMAN NABI DAUD as.”

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, dari Mujahid : “Dia (Luqman) ialah seorang qadhi dalam kalangan kaum Bani Israil pada ZAMAN NABI DAUD as.”

Al-Alusi : “Kebanyakan pendapat mengatakan dia hidup pada ZAMAN NABI DAUD as.”

Al-Qurtubi : “Kami diberitahu bahwa NABI DAUD as hanya BERTEMU DENGAN LUQMAN setelah baginda lanjut usianya.” (Maksudnya mereka berdua hidup sezaman)

KESIMPULANNYA, Luqman al-Hakim tidak hidup pada zaman Socrates. Mereka hidup pada dua zaman yang berbeza, tidak saling bertemu, apatah lagi untuk dikatakan mereka berdua ialah individu yang sama. Berdasarkan sandaran-sandaran ini, Socrates bukanlah Luqman al-Hakim. Kita lihat pula sandaran-sandaran yang lain.


APAKAH BANGSA LUQMAN AL-HAKIM?

Ibnu Qutaibah : “Luqman ialah seorang hamba HABSYI kepada seorang lelaki dalam kalangan Bani Israil. Kemudian dia dibebaskan dan diberikannya harta.”

Pendapat yang mengatakan dia ialah seorang HABSYI ialah dari Ibnu Abbas dan Mujahid.

As-Suhaili : “Luqman ialah orang NAUBAH (satu kaum kulit hitam Sudan) dari penduduk kota ‘Ielah.”

Qatadah menukilkan, dari Abdullah bin Zubair : “Aku telah bertanya kepada Jabir bin Abdullah: “Apakah cerita terakhir yang sampai kepadamu tentang diri Luqman?” Jabir menjawab : “Dia ialah seorang yang pendek, pesek hidungnya dari KETURUNAN NAUBAH.”

Khalid ar-Rab’i : “Luqman ialah seorang hamba HABSYI yang bekerja sebagai tukang kayu.”

Al-Alusi : “Kebanyakan pihak mengatakan dia ialah seorang hamba HABSYI.”

Said al-Musayyab : “Luqman ialah DARI SUDAN, Mesir.”

Sufyan ath-Thauri mengatakan, dari Ibnu Abbas : “Dia ialah seorang hamba HABSYI, bekerja sebagai tukang kayu. Demikian juga diriwayatkan oleh Ibnu Jarir.

Ibnu Abbas, Ibnu al-Musayyab dan Mujahid mengatakan Luqman berketurunan NAUBAH (kulit gelap Sudan), kakinya terbuka luas dan mempunyai bibir yang tebal.”

Dari ‘Ataa’ bin Rabah, dari Ibnu ‘Abbas telah berkata : “Rasulullah saw bersabda : “Ambillah orang (bangsa) KULIT HITAM, kerana sesungguhnya tiga orang daripada mereka ialah dari kalangan penghulu ahli syurga – Luqman al-Hakim, An-Najashi dan Bilal.”

KESIMPULANNYA, bangsa Luqman al-Hakim tidak sama dengan bangsa Socrates. Luqman al-Hakim juga tidak berasal dari tempat asal Socrates. Berdasarkan sandaran-sandaran setakat ini, Socrates bukanlah Luqman al-Hakim. Nampaknta perbezaan antara mereka berdua semakin ketara. Kita smabung lagi dengan sandaran-sandaran seterusnya.


DI MANAKAH MAKAM LUQMAN AL-HAKIM?

Hassan al-Basri : “Luqman telah membina sebuah singgahsana di RAMLAH, SYAM. Pada masa itu, tempat tersebut masih lagi belum dibangunkan. Dia berada di sana sehinggalah lanjut usianya dan meninggal dunia.”

Ibrahim bin Adham : “Aku telah diberitahu bahawa kubur Luqman adalah di antara MASJID AR-RAMLAH dan tempat didirikan pasar pada hari ini. Di tempat itu terdapat 70 kubur nabi-nabi sebelum Luqman...”

Kitab Ruhul Bayan : “Kuburnya (Luqman) berada di desa Sharfanad, lambAng bagi KOTA AR-RAMLAH, dari hasil usaha orang Palestin dan ada tanda di atasnya.”

Qatadah : “Kuburnya di AR-RAMLAH, di antara masjid Ar-Ramlah dan pasarnya.”

KESIMPULANNYA, Luqman al-Hakim meninggal dunia dan dimakamkan di kota Ar-Ramlah, Syam. Padahal Socrates meninggal dunia di Athens dan dikebumikan di sekitarnya. Sandaran-sandaran ini juga membuktikan Socrates bukanlah Luqman al-Hakim. Belum cukup? Kita sambung lagi.


APAKAH PEKERJAAN LUQMAN AL-HAKIM?

Ibnu al-Jauzi memetik, dari Makhul, bahawa Luqman al-Hakim ialah seorang HAMBA kepada seorang lelaki dari kaum Bani Israil...”

Ath-Tha’labi berkata: “Abdullah bin Husain telah memberitahu kami, dari Akramah, bahawa Luqman al-Hakim ialah antara HAMBA yang paling disenangi oleh tuannya.”

Dari Ibnu Umar, bahawa Rasulullah bersabda : “Luqman bukanlah seorang nabi tetapi dia seorang HAMBA yang banyak berfikir...”

Ibnu Abbas : “Luqman bukanlah seorang nabi ataupun raja, tetapi dia hanyalah seorang PENGGEMBALA ternakan yang berkulit hitam.”

Ibnu Abbas : “Dia ialah seorang PENGGEMBALA kambing.”

Daripada Ibnu Hatim, dari Abdul Rahman bin Yazid bin Jabir, katanya... “(Seorang lelaki terjumpa Luqman al-Hakim lalu berkata) Bukankah engkau HAMBA seorang dari bani fulan YANG MENGGEMBALA kambing ternakanku dulu?”

Satu riwayat dari Ibnu Wahab yang ceritanya lebih kurang sama dengan cerita di atas tadi... seorang lelaki bertanya kepada Luqman , “Bukankah engkau Luqman, HAMBA Berian-Nuhas?”... “Dan engkau ialah PENGGEMBALA kambing yang berkulit hitam itukah?”

Ibnu Qutaibah : “Luqman ialah seorang HAMBA Habsyi kepada seorang lelaki dalam kalangan Bani Israil. Kemudian dia dibebaskan dan diberikannya harta.”

Khalid ar-Rab’i : “Luqman ialah seorang HAMBA Habsyi yang bekerja sebagai tukang kayu.”

Al-Alusi : “Kebanyakan pihak mengatakan dia ialah seorang HAMBA Habsyi.”

Sufyan ath-Thauri mengatakan, dari Ibnu Abbas : “Dia ialah seorang HAMBA Habsyi, bekerja sebagai tukang kayu. Demikian juga diriwayatkan oleh Ibnu Jarir.

KESIMPULANNYA, Luqman al-Hakim pernah jadi seorang hamba yang antara kerja yang diamanahkan kepadanya ialah menggembala kambing. Pernahkah Socrates jadi hamba yang menggembala kambing? Sandaran-sandaran ini mengukuhkan lagi pandangan bahawa Socrates bukanlah Luqman al-Hakim.


BAGAIMANAKAH FIZIKAL LUQMAN AL-HAKIM?

Mujahid : “Dia (Luqman) mempunyai dua bibir yang tebal, kedua-dua belah kakinya terbuka luas.”

Amru bin Qais : “Luqman ialah seorang hamba KULIT HITAM yang mempunyai bibir tebal dan terbuka luas kedua-dua belah kakinya.”

Mujahid : “(Luqman berkata kepada seorang lelaki yang memandangnya) Sekiranya engkau melihat diriku ini mempunyai dua bibir yang tebal, maka telah keluar daripadanya perkataan yang indah dan sekiranya engkau melihat diriku ini kerana HITAM LEGAM, maka hatiku ini putih bersih.”

Diriwayatkan oleh Ibnu Abi hatim, Ibnu Jarir dan Ibnu Munzir, dari Ibnu al-Musayyab: “Sesungguhnya Luqman LEBIH HITAM daripada orang Sudan Mesir, mempunyai dua bibir yang tebal.”

Satu riwayat dari Ibnu Wahab , seorang lelaki bertanya kepada Luqman , “Bukankah engkau Luqman, HAMBA Berian-Nuhas?”... “Dan engkau ialah PENGGEMBALA kambing yang BERKULIT HITAM itukah?”

Ibnu Abbas, Ibnu al-Musayyab dan Mujahid mengatakan Luqman berketurunan NAUBAH (kulit gelap Sudan), kakinya terbuka luas dan mempunyai bibir yang tebal.”

Qatadah menukilkan, dari Abdullah bin Zubair : “Aku telah bertanya kepada Jabir bin Abdullah: “Apakah cerita terakhir yang sampai kepadamu tentang diri Luqman?” Jabir menjawab : “Dia ialah seorang yang pendek, pesek hidungnya dari BERKETURUNAN NAUBAH”

Ibnu Abbas : “Luqman bukanlah seorang nabi ataupun raja, tetapi dia hanyalah seorang penggembala ternakan yang BERKULIT HITAM.”

KESIMPULANNYA, ciri-ciri fizikal Luqman al-Hakim sangat berbeza dengan cirri-ciri fizikal Socrates.


KESIMPULAN BESAR UNTUK BAHAGIAN INI

Luqman al-Hakim jauh berbeza dengan Socrates dari segi zaman hidup, bangsa/ keturunan, tempat asal, tempat meninggal dunia, lokasi makam, pekerjaan dan ciri-ciri fizikal. Kajian pada bahagian ini jelas menunjukkan Socrates bukanlah Luqman al-Hakim.

Jika sekadar inilah sandaran-sandaran yang diberikan untuk mengaitkan Luqman al-Hakim dengan Socrates, nampaknya belum boleh lagi. Namun sekiranya ada maklumat-maklumat dan penemuan yang lebih baru dan bersesuaian, tidak mustahil kita akan membuat penilaian semula. Begitulah adab mengkaji.

Kita akan berpindah ke bahagian yang lain pula. Selepas ini kita akan meneliti KESEPAKATAN PARA ULAMA tentang Luqman al-Hakim. Bahagian itu nanti sangat penting dan akan mengukuhkan pandangan bahawa Socrates bukanlah Luqman al-Hakim. Sebagaimana yang kita sedia maklum akan kaedah... MUSTAHIL PARA ULAMA BERSEPAKAT DALAM SESUATU KESALAHAN.

Para pembaca jangan terlepas bahagian ketiga nanti.



Jumpa lagi insyaallah : )
Related Posts with Thumbnails