Kajian dan pemerhatian ringkas tentang Al-Quran, As-Sunnah (hadis), agama-agama dunia, kitab-kitab suci pelbagai agama, manuskrip-manskrip kuno, alam semesta (bumi dan angkasa lepas), ilmu perbandingan agama, sejarah, peristiwa-peristiwa akhir zaman, kiamat, alam akhirat, alam ghaib, sains, astronomi (falak) dan lain-lain ilmu alam.

Saturday, December 10, 2011

12. Perangkap

BAB 12 – Perangkap

“Sila buat pilihan. Sama ada kamu berikan anak panah itu kepada saya... dan selepas itu saya tembak kamu satu-persatu... ataupun... saya tembak kamu semua satu-persatu...dan selepas itu saya ambil anak panah itu?” tanya Al Mayonis alias Kadiaq dengan sedikit loghat mat saleh. Pistol berpenyengap berwarna hitam teracung ke arah Khairi dan kawan-kawannya. Khairi dan rakan-rakannya saling berbalas pandangan, yang jika boleh bersuara, akan berbunyi : “Apa kita nak buat sekarang?”

“Lebih baik kamu jangan cuba buat apa-apa. Saya mahir menembak. Pistol ini pun... automatik. Dalam masa tidak sampai dua saat, saya boleh tembak kamu bertiga... dan pasti kena,” ancam Al Mayonis lambat-lambat sambil mengukir senyuman mengejek. Khairi dan kawan-kawannya serba salah. Dalam keadaan segenting itu, memang sang idea susah untuk memunculkan dirinya dalam kotak pemikiran mereka.

“Masih belum ada sebarang keputusan? Lambatnya... Kalau begitu, saya akan kira sampai tiga. Dan... saya anggap kamu memilih pilihan yang kedua.”

Masih senyap. Pilihan yang dicadangkan tidak membawa apa-apa perubahan. Al Mayonis tetap akan membunuh mereka pada petang itu juga.

“Ok... saya mula mengira ya? Satu... “

“Nanti! Saya pun hendak beri kamu dua pilihan!” kata Khairi tiba-tiba.

“What?” Al Mayonis begitu terkejut dengan jawapan Khairi. Jawapan yang memang tidak disangka-sangkanya sama sekali. Beberapa saat kemudian, Al Mayonis ketawa terbahak-bahak.

“Baiklah. Apa pilihan yang kamu hendak beri kepada saya? Ha ha ha.”

“Pilihan pertama....... Encik Kadiaq berikan pistol kepada kami... ikut kami ke balai polis...dan Encik Kadiaq tak perlu sakit kepala.”

“What? Apa yang kamu cakapkanni? Kamu main lawak dengan saya ye? Baik!” Al Mayonis mengacukan pistolnya ke arah Khairi, bersedia untuk menembak...

“Tubbb!” Seketul batu sebesar penumbuk orang dewasa singgah sebentar di bahagian belakang kepala Al Mayonis. Dia terhoyong-hayang buat beberapa saat. Khairi menerpa dan melepaskan satu tendangan lurus ke dada Al Mayonis. Al Mayonis terdorong ke belakang lalu terjatuh ke dalam semak-samun di lereng bukit. Sempat lagi Al Mayonis melepaskan dua tembakan rambang ke udara sebelum tubuhnya betul-betul mendarat di tepi lereng, lebih kurang lima meter ke bawah. Salah satu tembakannya berdesing di tepi telinga Khairi.

“Cepat, lari!” pekik Ustaz Abu dari belukar di atas bukit. Dialah yang melemparkan batu sebentar tadi. Sebenarnya Khairi sudah terperasan akan Ustaz Abu lalu berusaha melambat-lambatkan tindakan Al Mayonis. Mereka berlari sekuat hati. Kalau tadinya Seman di balakang sekali, kali ini dia yang terkehadapan. Bab lari serah padanya. Jarak dekat, jarak jauh semua dia sapu.

“Stop woi, stop!” pekik Khairi setelah mereka berlari sejuah lebih seratus lima puluh meter. Keempat-empat lelaki itu memperlahankan larian lalu berhenti.

“Kenapa Khairi?” tanya Ustaz Abu, termengah-mengah.

“Kita perangkap dia kat sini!” tegas Khairi.

“Perangkap? Macam mana?” tanya Piyan. Khairi pun memberi penjelasan seringkas mungkin. Semua mendengar dengan bersungguh-sungguh. Setelah masing-masing faham rancangannya, mereka menyusup ke dalam belukar di kiri kanan jalan.

Tidak berapa lama kemudian, kedengaran tapak kaki orang berlari dari arah belakang. Al Mayonis. Cepat betul lariannya. Di tangannya masih tergenggam kemas pistol tadi.

“Sekarang!” pekik Khairi. Mereka berempat menyerbu keluar dari tempat persembunyian masing-masing lalu berlari dengan sekuat hati. Al Mayonis terkejut melihat mereka. Dia pun melajukan lariannya sementara tangannya dihalakan ke hadapan, bersedia untuk menembak. Dia melepaskan dua tembakan tetapi jauh dari sasaran. Lagi pun pistol seperti itu bukannya sesuai untuk menembak dalam jarak lima puluh meter.

Ustaz Abu dan budak-budak bertiga melintasi rumah tauke kebun yang beranjing itu. Hentakan kaki mereka mengejutkan dua ekor anjing di belakang rumah. Anjing-anjing inilah yang mengejar Khairi dank wan-kawannya awal pagi tadi. Anjing-anjing itu mula menyalak dan tidak lama kemudian muncul dari sisi kiri rumah, meluru dengan lajunya.

“Allahu Akbar!” jerit Ustaz Abu. Dia berlari dengan sekuat hati walaupun dia yang terkebelakang. Badannya yang semakin montel itu memang memberatkan. Anjing-anjing itu tiba di pintu pagar selepas lima saat Ustaz Abu melintasinya.

“Sikit lagi ustaz! Anjing-anjing ni kejar separuh jalan je!”jerit Khairi sepuluh meter di depan Ustaz Abu. Memang benar. Tidak berapa jauh mengejar, anjing-anjing itu pun berhenti. Kedua-duanya menyalak-nyalak galak. Tapi... Al Mayonis baru sampai! Terdengar sahaja hentakan kaki Al Mayonis di belakang mereka, anjing-anjing itu pun berpaling dan menerpa ke arahnya. Perangkap Khairi menjadi. Al Mayonis yang sedang berlari sekuat hati tidak sempat untuk memberhentikan lariannya. Terbeliak matanya melihat dua ekor anjing itu. Dia sempat melepaskan satu tembakan ke arah anjing-anjing itu. Kena seekor lalu jatuh terseret di jalan tar. Seekor lagi...ia lebih dahulu membaham bahagian hadapan betis Al Mayonis. Kali ini dia terjatuh dan pistolnya tercampak ke atas jalan.

“Arghhh!” Al Mayonis menjerit kesakitan. Sungguhpun begitu, sebagai seorang perisik yang berpengalaman, Al Mayonis tidak mudah mengalah. Dia mencabut pen dari poket bajunya, membuka penutupnya lalu menikam kepala si anjing. Terpacak pen di kepala sang anjing. Si anjing kesakitan lalu melepaskan gigitannya. Terus ia berlari masuk ke dalam pagar kebun tuannya.

Ketika itu tauke kebun dan anak isterinya sudah ke luar rumah untuk menyiasat riuh-rendah di depan rumah mereka. Al Mayonis tak boleh tunggu lagi. Dia mesti pergi. Dengan susah payah dia bangun, mencapai pistolnya lalu menyelinap ke dalam hutan di seberang jalan.

@@@@@@@@@@

Mereka keluar seolah-olah berbaris dari dalam Balai Polis Padang Gajah. Mereka melihat sahaja tiga anggota polis menaiki motosikal keluar ke jalan besar, membelok ke kiri menuju ke Kampung Jawa.

“Harap-harap diorang dapat tangkap si Mayonis tu,’ ujar Ustaz Abu kepada Khairi dan kawan-kawannya. Mereka baru sahaja selesai membuat laporan kepada pihak polis.

“Saya nak terus ke rumah tok khadi, kamu semua nak ikut ke?” tanya Ustaz Abu.

“Tak apalah ustaz. Sekejap lagi bapa saya datang ambil kami. Nak sampai dah tu,” jawab Khairi.

“Kalau macam tu, saya pergi dululah ye.”

“Baik ustaz.” Mereka bersalaman dan mencium tangan Ustaz Abu. Ustaz Abu bergegas ke keretanya.

“Fuh, memang geghak daghipada Allah betoi la! Nasib baik Dia hantaq Ustaz Abu. Kalau tidak... dah arwah dah kita tadi,” kata Piyan.

SEbenarnya tadi Ustaz Abu dalam perjalanan menuju ke rumah tok khadi di Kampung Air Terjun. Ketika sampai di simpang Surau Kampung Jawa, dia ternampak kereta lama berwarna cerah yang dilihatnya bersama budak-budak itu di Restoran Sharif tempoh hari. Kereta itu membelok masuk ke jalan menuju Bukit Naga. Seingat Ustaz Abu, hari itu memang Khairi dan kawan-kawannya mendaki Bukit Naga. Dia mula berasa curiga. Tergerak hatinya untuk mengikut kereta itu.

Ustaz Abu memberhentikan keretanya apabila kereta yang dikutinya berhenti. Dilihatnya pemandu kereta itu keluar dari keretanya. Perlahan-lahan Ustaz Abu mengundurkan keretanya agar terselindung di sebalik selekoh. Ketika menoleh ke belakang untuk mengundurkan kereta, dia ternampak teropong mainan anaknya Zulfaqar di kerusi belakang. Boleh guna juga ni, fikirnya. Tak ada rotan, akar pun jadi.

Ustaz Abu keluar dari keretanya dengan membawa teropong. Pemandu berkepala botak itu sedang berdiri di tepi keretanya. Ustaz Abu pun mendekatkan teropong tadi ke matanya untuk melihat dengan lebih dekat. Terkejut betul dia apabila melihat si pemandu sedang mengenakan penyengap pada sepucuk pistol. Cepat-cepat Ustaz Abu berzikir. Hatinya berdebar-debar. Kemudian secara senyap-senyap dia mengikut si pemandu dari jarak jauh.

Ketika si botak menahan Khairi dan kawan-kawannya, Ustaz Abu dengan segera menyelinap ke atas lereng bukit. Khairi terperasan Ustaz Abu.Tajam betul mata Khairi. Ustaz Abu memberikan isyarat agar Khairi bercakap, supaya melambatkan sedikit tindakan si botak. Muslihatnya berjaya. Seterusnya Ustaz Abu mencapai seketul batu sebesar penumbuk. Batu itu dilontarnya dengan agak kuat tetapi berhati-hati, disertai zikir.

Lontaran Ustaz Abu tepat mengenai belakang kepala si botak, menyebabkan si botak pening lalat sekejap sebelum diterajang oleh Khairi sehingga terjatuh ke bawah lereng. Sememangnya Ustaz Abu berkemahiran dalam melontar ke arah sasaran sejak kecil. Anak perempuannya si Syakirah dilatihnya bermain dart. Anak lelakinya si Zulfaqar dilatihnya melastik. Memang bakat Ustaz Abu turun kepada anak-anaknya. Kedua-duanya mahir dalam bidang masing-masing.

Selepas berjaya memerangkap si botak dengan anjing-anjing tauke kebun, Ustaz Abu dan tiga orang remaja itu menaiki kereta Ustaz Abu menuju ke Balai Polis Padang Gajah.

@@@@@@@@@@

Seorang anggota polis sedang menyoal siasat tauke kebun dan keluarganya. Mereka berbual di halaman kebun berpagar milik tauke itu. Dua orang lagi anggota meneliti tempat kejadian, di jalan tar menuju ke Bukit Naga.

Darah Al Mayonis yang digigit anjing masih jelas kelihatan di atas jalan walaupun tidak banyak. Kesan darah itu membawa dua orang anggota polis itu ke hutan di tepi jalan. Mereka bergerak perlahan-lahan meredah hutan mengikut arah tumbangnya pokok-pokok kecil yang diredah oleh Al Mayonis. Pistol mereka tergenggam erat di tangan, menghadapi sebarang kemungkinan.

Selepas sepuluh minit menjejak, mereka keluar semula ke jalan tar. Nampaknya Al Mayonis sudah keluar ke jalan tar. Dia bersembunyi sekejap sahaja di kawasan hutan kecil itu. Kedua-dua anggota polis berpatah balik ke motosikal mereka. Kemudian mereka bertiga beriringan bermotosikal ke arah kereta Al Mayonis lebih kurang lapan puluh meter dari situ.

Kereta Al Mayonis kosong. Maksudnya Al Mayonis masih ada di sekitar kawasan itu.Kalau dia cuba pergi pun, tidak jauh. Salah seorang anggota polis membuang angin dari tayar kereta Al Mayonis, agar kereta itu tidak boleh digunakan untuk melarikan diri.

Seorang anggota lagi berjalan ke arah belukar di sebelah kanan. Dia tunduk melihat sesuatu. Darah. “Eh, ni ada...” Sebelum sempat dia menghabiskan kata-katanya, dua butir peluru hinggap di depan bahunya. Terpercik darah ke udara dan dia terlentang ke belakang.

“Mat!” jerit rakannya yang masih di atas motosikal. Dia melepaskan motosikalnya, mencabut pistol lalu meluru ke arah kereta Al Mayonis mencari perlindungan. Sahabatnya yang sedang mengeluarkan angin dari tayar sudah pun mengambil posisi dan mengacukan pistol ke arah belukar di hadapan mereka, tapi dia tidak melepaskan apa-apa tembakan kerana belum tahu kedudukan musuh.

“Dia kat mana Din?”

“Aku tak tau. Pistol dia kan tak berbunyi kuat?”

“Mat, hang macam mana Mat?” jerit Lan kepada rakan mereka yang masih terlentang di atas tanah. Mat tidak menjawab apa-apa tapi dia masih bergerak ke kiri dan ke kanan menahan kesakitan.

“Hang baring terus Mat, jangan bangun! Bahaya!” jerit Lan lagi.

“Prang!” cermin kereta Al Mayonis pecah terkena tembakan. Cepat-cepat mereka merendahkan diri.

Sudah lima minit mereka berlindung di sebalik kereta itu. Tiada sebarang pergerakan. Mereka masih belum berani keluar. Sahabat mereka si Mat juga turut senyap. Entah pengsan entah mati.

“Macam mana ni Din? Takkan nak duduk kat sini ja?”

Kedengaran riuh-rendah suara orang dari arah atas Bukit Naga. Tidak lama kemudian kelihatan beberapa orang remaja. Makin lama makin ramai. Budak-budak pengakap sudah turun kembali.

“Hoi! Semua tunduk!” jerit Lan ke arah para pelajar itu sambil memebri isyarat tangan. Budak-budak itu terkejut melihat anggota polis berpistol sedang berlindung di sebalik kereta. Dari arah atas, mereka dapat melihat dengan jelas situasi di bawah. Mereka juga nampak seorang anggota polis berlumuran darah, terlentang di atas tanah dan tidak bergerak-gerak.

“Semua tunduk! Jangan bergerak! Ada penjenayah bersenjata!” jerit Lan lagi.

“Tu dia encik, kat pokok tu!” jerit salah seorang pengakap. Memang mereka boleh melihat seorang berkepala botak dari paras dada ke atas dari kedudukan mereka. Ketika itu juga belukar yang dimaksudkan bergerak-gerak. Ya, sasaran sudah dikenalpasti. Kedua-dua anggota polis melepaskan tembakan demi tembakan ke arah yang dimaksudkan. Belukar-belukar itu terus bergerak. Semakin lama semakin jauh dan akhirnya pergerakan itu hilang di hutan yang agak tebal. Keadaan senyap seketika.

“Dia dah pergi.”

“Ya, dia dah pergi. Kita jangan kejar dia. Nanti unit khas sampai kejap lagi. Mereka ramai dan guna M-16. Kerja kita sekarang uruskan Mat dan pastikan budak-budak ni selamat.”

“Baik.”

@@@@@@@@@@

2 comments:

Lasqarpelangi said...

assalamualaikum ustaz..
makin suspen ni...

Alexanderwathern said...

Wlksm Lasqar Pelangi : )

Related Posts with Thumbnails