"Sesunguhnya Akulah Allah. Tiada Ilah selain Aku. Maka, BERABDILAH KEPADA AKU dan DIRIKANLAH SOLAT untuk ingat akan Aku." (Thaha : 14)
Wahai hamba-KU! Sesungguhnya Akulah Allah, Ilahmu. Ketahuilah bahawa sebelum adanya alam, sebelum adanya makhluk, YANG ADA HANYALAH AKU. Tidak ada sesuatu selain Aku. Ketika itu (pada azali itu) tidak ada (belum ada) ruang, arah, tempat dan posisi, kerana belum Aku adakan. Maka tidak ada hadapan, belakang, kanan, kiri, atas dan bawah. Yang ada hanyalah Aku.
Katakanlah (imanilah) : "Allah menjadikan segala sesuatu (100%)." (Ar-Ra'd : 16)
Akulah Allah, Ilahmu. Sejak azali Aku Maha Sempurna. Begitulah sampai bila-bila pun. Oleh kerana Aku Maha Sempurna, maka Aku tidak berhajat kepada suatu apa pun. Atas kemurahan-Ku, Aku SUKA untuk dikenali lalu Aku jadikan makhluk untuk mengenali Aku, dan Aku jadikan engkau untuk mengenal Aku. Maka sudah semestinyalah engkau membanyakkan syukur kepada Aku. Aku tidak memerlukanmu, tetapi engkau sentiasa memerlukan Aku.
Ingatlah firman-Ku : "Wahai manusia! Engkaulah yang sentiasa berhajat (bergantung) kepada Allah, sedangkan Allah Maha Kaya (tidak perlu kepada apa-apa termasuklah tidak perlu kepada engkau) lagi Maha Terpuji." (Faatir : 15)
Ketahuilah bahawa untuk berabdi kepada Aku, engkau hendaklah MENGENAL AKU, agar TIDAK TERSALAH PENGABDIANMU itu kepada selain Aku.
"Dan Aku tidak menjadikan jin dan manusia melainkan untuk berabdi kepada Aku." (Adz-Dzaariyaat : 56)
Ketahuilah, bahawa pada azali itu MASA (waktu) belum ada, kerana belum Aku mengadakannya. Saat pertama belum wujud kerana belum Aku mewujudkannya. Maka tidak ada urusan yang terdahulu dan tidak ada yang kemudian. Tidak ada yang lebih awal dan tidak ada yang lebih akhir. Tidak ada sebelum dan tidak ada sesudah. Segala urusan pada azali itu sudah siap sempurna, sudah sedia ada sebegitu. KEMUDIAN (selepas azali), yakni apabila bermulanya masa (saat yang pertama), maka barulah ada dahulu dan kemudian, awal dan akhir, sebelum dan sesudah.
Akulah Allah, Ilahmu. Ketahuilah bahawa pada azali itu Aku sudah sedia Maha Mengetahui akan segala-galanya. Segala maklumat tentang hal-hal yang akan berlaku sesudah azali sampailah selama-lamanya, sudah sedia Aku maklumi, kerana Akulah yang merancang segala-galanya, dan perancangan-Ku itu sempurna.
Aku berfirman : "Tidakkah Allah yang menciptakan makhluk itu Maha Mengetahui (akan segala hal ehwal makhluk ciptaan-Nya), sedangkan Dia Maha Latif (halus, teliti) dan Maha Mendalam Tahunya?" (Al-Mulk : 14)
Oleh itu, segala rahsia makhluk termasuklah RAHSIAMU ada pada-Ku.
Akulah satu-satunya Yang Maha Mengatur (merancang, menentukan, memutuskan). Segala yang berlaku adalah urusan-Ku, bukan urusanmu. Maka JANGAN sesekali engkau bersibuk-sibuk dengan urusan-Ku, melainkan bersibuk-sibuklah engkau dengan URUSANMU sahaja.
Bukankah Aku berfirman : "Dia (Allah) tidak dipersoal tentang apa (segala urusan) yang Dia lakukan , tetapi merekalah (engkaulah wahai makhluk-Ku) yang AKAN DIPERSOAL (tentang segala urusanmu)." (Al-Anbiya' : 23)
Maka segala urusan (pekerjaan) Aku, engkau terima, yakin dan redha sahaja. Ingatlah, jangan sesekali engkau bersibuk-sibuk (mempersoal, menolak, mengkritik, mempertikai) dengan WILAYAH URUSAN-KU (wilayah haqiqat). Tidak ada di sana sebarang yang boleh engkau usahakan kerana itu bukan wilayah urusanmu, dan Engkau tidak akan dipersoalkan tentangnya.
Tetapi Kuperintahkan agar engkau bersibuk-sibuklah dengan WILAYAH URUSANMU (wilayah syariat) kerana di sana ada yang boleh malahan WAJIB ENGKAU USAHAKAN, dan engkau akan DIPERSOALKAN SEHALUS-HALUSNYA tentangnya di hadapan-Ku kelak. Janganlah engkau berani cuba-cuba untuk melangkahi wilayah yang Kuharamkan engkau berjejak di sana.
"Sesungguhnya Akulah Allah. Tiada Ilah selain Aku. Maka, berabdilah kepada Aku dan dirikanlah solat untuk ingat akan Aku. Sesungguhnya As-Sa'ah (saat itu, hari qiamat, hari bersoal-jawab dan saat pembalasan) itu tetap akan datang, yang sengaja Aku sembunyikan waktunya agar TIAP-TIAP DIRI DIBALAS akan apa yang IA USAHAKAN." (Taha : 14)
Wilayah urusan-Ku tidak akan dipersoal dan dibalas, tetapi WILAYAH URUSANMULAH yang pasti akan dipersoal seteliti-telitinya lalu Ku-balas.
Wahai hamba-Ku! Hendaklah engkau sedar akan dirimu. Jangan sesekali engkau terlupa bahawa Zat-Ku dan zatmu tidak pernah sama. Zat-Ku sudah sedia ada sedangkan zatmu baru Kuadakan (selepas azali). Aku qadim, engkau baharu. ZatKu Maha Sempurna sedangkan zatmu lemah segala. Aku Maha Mengetahui segala-galanya (100%) sedangkan engkau hanya mengetahui sangat sedikit perkara. Aku Maha Melihat dan Maha Mendengar (segala-galanya 100%) sedangkan engkau hanya melihat dan mendengar sangat sedikit perkara. Aku melakukan segala-galanya sedangkan engkau hanya melakukan sedikit perkara. Dan Aku tidak layak dipersoal sedangkan engkau akan dipersoal sehalus-halusnya (seteliti-telitinya).
"Dan
tiadalah yang (berjaya) mengambil pelajaran melainkan ulul
albab (orang-orang yang bijaksana menggunakan
pemikirannya)." (Ali 'Imraaan : 7)
No comments:
Post a Comment