Kajian dan pemerhatian ringkas tentang Al-Quran, As-Sunnah (hadis), agama-agama dunia, kitab-kitab suci pelbagai agama, manuskrip-manskrip kuno, alam semesta (bumi dan angkasa lepas), ilmu perbandingan agama, sejarah, peristiwa-peristiwa akhir zaman, kiamat, alam akhirat, alam ghaib, sains, astronomi (falak) dan lain-lain ilmu alam.

Wednesday, November 30, 2011

Sembang-sembang Tentang Gautama Buddha

TULIS PEMBACA :

Assalammualaikum wahai Abu Zulfiqar,

Saya sudah baca blog saudara tentang Nabi Zulkifli adalah Buddha. Walaupun tiada bukti yang kukuh tentang mereka. Saya cukup yakin dari seseorang yang saya percayai mengatakan memang benar Gaustama Buddha itu adalah seorang nabi tapi bukan Nabi Zulkifli yang saya maksudkan.

ABU ZULFIQAR :

Wlksm. Selamat datang dan terima kasih atas kunjungan ke blog saya. Saya yakin, tulisan yang anda maksudkan ialah ‘Nabi Zulkifli dan Buddha Orang Yang Sama?’ http://myalexanderwathern.blogspot.com/2011/10/nabi-zulkifli-dan-buddha-orang-yang.html yang mana kesimpulannya adalah seperti berikut :

“Dengan hanya bersandarkan maklumat-maklumat yang kita perolehi di atas, tentulah masih belum memadai untuk mengatakan Nabi Zulkifli dan Gautama Buddha itu orang yang sama. Kita perlu mencari sandaran-sandaran yang lebih kukuh.”

SETAKAT INI nampaknya memang tidak ada bukti kukuh yang mengatakan Nabi Zulkifli dan Gautama Buddha ialah orang yang sama. Boleh jadi juga Buddha salah seorang nabi, tapi bahagian ini pun tidak terlepas daripada kebergantungan kita terhadap BUKTI-BUKTI yang baik untuk mengiyakannya.

Dalam blog saya ini juga ada sebuah artikel yang bertajuk ‘Buddha Yang Nabi Lagi Rasul?’ http://myalexanderwathern.blogspot.com/2008/11/buddha-yang-nabi-lagi-rasul_27.html . Tulisan saya ini berkisar tentang sejarah awal agama Buddha. Isi kandungannya antara lain membawa pembaca berfikir bahawa ADA KEMUNGKINAN Buddha seorang nabi.


TULIS PEMBACA :
Memang dia dari keturunan kerabat diraja. Beliau bermeditasi/bertapa di bawah pohon bodhi, maka Tuhan telah memberi gelaran kepadanya Gaustama Siddharta. Gaus/Gaustama bermakna gelaran paling tinggi macam Qutubul gaus para wali. Siddharta pula adalah Siddharta Muntaha (pendaharaan Allah). Beliau bermeditasi dengan memakai pakaian sami, cuba fikirkan pakaiannya itu seperti ihram (tawaf di Kaabah).Tidakkah itu perintah dari Allah....cuma warnanya kuning mungkin diseleweng oleh pengikut-pengikutnya yang sesat....

ABU ZULFIQAR :

Setakat sedikit maklumat yang saya ada (boleh jadi benar, boleh jadi salah), memang sedari lahir dia dinamakan Siddharta Gautama (dalam sebutan Sanskritnya ‘Siddhatta Gotama’ yang bermaksud ‘keturunan Gotama yang maksud/cita-citanya tercapai’), bukannya ketika dia bermeditasi di bawah pohon bodhi. WaAllahua’lam.

Tentang gelaran ‘gautama’ (ataupun dalam sebutan Sanskritnya berbunyi ‘gotama’) yang mungkin ada persamaan dengan ‘gaus’ dan ‘gaustama’, mungkin ada kebenarannya juga. Cuma setakat ini saya belum nampak jelas kaitan antara kedua-duanya. Masih samar-samar.

Antara sebabnya, bunyi ‘gotama’ dengan ‘gaus/ghous’ agak jauh berbeza. Kemudian, istilah ‘gaus/ghaus’ ini pun kalau tidak salah saya hanya wujud kemudian daripada zaman Nabi Muhammad. Pada zaman Gautama Buddha (yang berbeza lebih 1,000 tahun dengan zaman Nabi Muhammad), kemungkinan besar belum ada istilah gaus/ghaous (maaf jika saya tersilap). Seterusnya, gelaran gaus/ghous dipakai untuk para wali, tidak untuk para nabi sedangkan kita sedang cuba mengaitkan Gautama Buddha dengan pangkat kenabian.

Hubungan antara Siddharta (Yang Terkabul Cita-citanya) dengan Sidratul Muntaha (Pohon Bidara Yang Terakhir/Perbatasan) pun rasa saya belum cukup kuat. Maksud kedua-duanya pun berlainan.

Tentang pakaiannya, memang sami-sami agama Veda dan Hindu sebelum zaman Buddha sudah memakainya. Ahli-ahli falsafah di Yunani dan Rom pun memakainya, dan berwarna putih.


TULIS PEMBACA :

Pada asalnya sebelum kedatangan agama Islam, agama Buddha memang sah di bumi ini iaitu sembah Tuhan yang satu (monoteisme). Akibat banyak kerosakan dalam agama itu seperti mana agama Kristian yang asalnya dibawa oleh Nabi Isa adalah sah lalu Allah telah batal semua agama kecuali agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad sahaja.

ABU ZULFIQAR :

Memang ada kemungkinannya.

TULIS PEMBACA :
Maaf saya tidak pandai menyusun/membina ayat sebab saya orang biasa yang lagi kerdil di sisi Allah SWT. Tapi saya rasa terpanggil untuk menceritakan hal ini kepada saudara yang lagi bijak pandai...sekali lagi saya minta maaf...

ABU ZULFIQAR :

Sebenarnya kita sama sahaja. Sekiranya saya bijak pandai, tentu saya tidak duduk dalam keadaan saya sekarang, sekadar orang biasa. Eloklah kita kongsi-kongsi maklumat sebegini, saling memenuhi.

Terima kasih sekali lagi.


Abu Zulfiqar

28 November 2011

No comments:

Related Posts with Thumbnails