Kajian dan pemerhatian ringkas tentang Al-Quran, As-Sunnah (hadis), agama-agama dunia, kitab-kitab suci pelbagai agama, manuskrip-manskrip kuno, alam semesta (bumi dan angkasa lepas), ilmu perbandingan agama, sejarah, peristiwa-peristiwa akhir zaman, kiamat, alam akhirat, alam ghaib, sains, astronomi (falak) dan lain-lain ilmu alam.

Monday, October 31, 2011

SJ - Yohanes, Nabi Yahya, Hawari dan Injil

SOALAN OLEH CHE WAN :

Salam ustaz.

Saya nak tanya beberapa soalan. Soalan saya mungkin lari sikit daripada tajuk asal di atas iaitu berkaitan dengan penulis Injil Yohanes. Setahu saya Yohanes itu adalah Yahya. Adakah Yahya ini adalah sama dengan Nabi Yahya yang diimani oleh orang Islam?

1 lagi soalan saya ialah adakah kesemua keempat-empat kitab Bible pada hari ini ditulis oleh hawariyun (murid Nabi Isa)? Setahu saya laig kitab Bible yang ada sekarang ditulis selepas beratus tahun kewafatan Nabi Isa. Jaid bagaimanakah mereka yang berempat ini menulis kitab-kitab tersebut? Takkanlah umur mereka panjang sangat..

Harap ustaz dapat betulkan saya jika ada kesalahan berkaitan persoalan-persoalan saya di atas.

Sekian terima kasih.


PENJELASAN SAYA :

Wlksm Che Wan,

Selamat datang dan terima kasih atas soalan yang diajukan.

Dalam tradisi agama Kristian, ada beberapa orang tokoh bernama Yohanes/ Johanes/ Yuhanis/ John. Antaranya Yohanes Pembaptis (John the Baptist), Yohanes Penginjil (John the Evangelist) iaitu salah seorang hawari (12orang sahabat Jesus), Yohanes dari Patmos (John of Patmos) dan lain-lain.

Yohanes yang juga Nabi Yahya ialah Yohanes Pembaptis (John the Baptist). Yohanes Pembaptis ialah anak kepada Zacarias, samalah dengan maklumat agama Islam iaitu Nabi Yahya anak kepada Nabi Zakaria.

Menurut sumber-sumber Kristian, Yohanes Pembaptis ialah anak kepada Zakaria dan Elizabeth. Elizabeth sendiri merupakan sepupu Maria (Maryam), ibu kepada Jesus (Nabi Isa). Pada mulanya Zakaria dan Elizabeth tidak punya anak, kerana dipercayai Elizabeth mandul. Suatu hari Gabriel (Malaikat Jibril) datang kepada Zakaria dan memaklumkan kelahiran seorang anak lelaki yang akan diberi nama Yohanes. Zakaria sangat terkejut kerana dia dan isterinya yang mandul sudah tua. Sebagai petanda, Tuhan membuatkan Zakaria jadi bisu buat sementara waktu. Kisah ada ada banyak persamaan dengan kisah Nabi Zakaria dan Nabi Yahya dalam Al-Quran.

Yohanes (John) Penginjil pula ialah anak kepada Zabedeus (Zabidi) dan Salome. Dia salah seorang hawari Jesus.

4 Injil/ Gospel yang masih ada hari ini bukanlah yang ditulis oleh para hawari. Kesemuanya ditulis oleh orang-orang yang tidak diketahui identitinya tetapi mereka menisbahkan tulisan mereka kepada tokoh-tokoh awal ajaran Jesus termasuklah para hawari. Sebab itu pada sebahagian Alkitab/ Bible biasanya ditulis “Injil menurut Markus (Mark)”, “Injil menurut Lukas (Luke)”, “Injil menurut Matius (Matthew)” dan “Injil menurut Yohanes (John)”. Perkataan yang digunakan ialah “menurut” dan bukannya “oleh” Markus, Lukas, Matius atau Yohanes.

Maksudnya kesemua Injil itu tidak ditulis oleh keempat-empat tokoh tetapi oleh orang lain. Boleh jadi penulis itu mendengar pengajaran mereka ataupun orang-orang selepas mereka, lalu membuat catatan sendiri agar ajaran-ajaran tersebut tidak hilang. Catatan itu tentunya dibuat berdasarkan pemahaman mereka sendiri ke atas kata-kata penyampainya. Sebab itulah pada catatan mereka tertulis “Injil menurut (ajaran) Yohanes” dan lain-lain.

Terdapat perselisihan pendapat tentang 12 individu hawari Jesus/Nabi Isa, namun Mark dan Luke sendiri tidaklah termasuk dalam kalangan mereka. John dan Matthew ialah hawari tetapi Injil/Gospel yang ada pada hari ini bukanlah tulisan mereka.

Antara bukti Matthew tidak menulis Injil yang ada hari ini ialah ayat dalam Injil Matthew yang berbunyi :

"Jesus meninggalkan tempat itu. Ketika dia sedang berjalan, dia (Jesus) nampak seorang pemungut cukai bernama Matthew sedang duduk di tempat memungut cukai. Jesus berkata padanya, "Ikutlah aku". Dia (Matthew) berdiri lalu mengikut Jesus."

(Matius 9:9)

Ternyata Matthew tidak menulis ayat-ayat di atas. Kalau benar Matthew yang menulisnya, pasti ayat tersebut berbunyi:

“Ketika dia (Jesus) berjalan, dia ternampak aku (Matthew) yang bekerja sebagai pemungut cukai sedang duduk di tempat memungut cukai. Jesus berkata kepadaku: “Ikutlah aku.’ Aku pun berdiri lalu mengikut Jesus.”

Tidak dapat dinafikan lagi, memang ayat-ayat ini tidak ditulis oleh Matthew tetapi oleh orang lain. Sebab itu dikatakan “Injil menurut Matthew.”

Siapakah penulis Gospel John/Yohanes?

"A. Feuillet mengatakan bahawa pengarangnya tidak dapat dipastikan"

("Dictionary of the Bible" oleh John McKenzie )

Adakah John (Yohanes) akan menulis begini dalam Injilnya:

"Dia (John)lah pengikut yang memberikan kesaksian tentang perkara-perkara ini. Dia (John) juga sudah menulis semuanya itu. Kita tahu bahawa apa yang dikatakannya benar."

(Yohanes 21:24)

Kan ini bahasa penceritaan orang ketiga? Maksudnya John/Yohanes tidak menulis Injil ini.

Kesimpulannya, Yohanes yang dinisbahkan kepada Injil Yohanes itu buaknlah Nabi Yahya, dan keempat-empat Injil yang ada hari ini bukanlah hasil tulisan para hawari.

WaAllahua’lam.


Abu Zulfiqar

31 Oktober 2011

No comments:

Related Posts with Thumbnails