Kajian dan pemerhatian ringkas tentang Al-Quran, As-Sunnah (hadis), agama-agama dunia, kitab-kitab suci pelbagai agama, manuskrip-manskrip kuno, alam semesta (bumi dan angkasa lepas), ilmu perbandingan agama, sejarah, peristiwa-peristiwa akhir zaman, kiamat, alam akhirat, alam ghaib, sains, astronomi (falak) dan lain-lain ilmu alam.

Wednesday, December 22, 2010

Al-Quran Tetap Asli. Tapi Bible?

* Suatu ketika, saya berdialog dengan seorang penganut agama Kristian. Dalam dialog itu, dia mempertikaikan keaslian kitab suci Al-Quran. Berikut ialah penjelasan saya kepadanya.

Al-Quran yang asal itu ialah dari mulut Nabi Muhammad, sebagaimana yang dihafal oleh jutaan umat Islam zaman berzaman. PADA ZAMAN NABI MUHAMMAD SAHAJA sudah ada RIBUAN ORANG YANG MENGHAFAL KESELURUHAN AL-QURAN, tidak termasuk yang menghafaz 90 %, 50 %, 30 % dan sebagainya. Jika ada seorang sahaja yang cuba mengubah mana-mana ayat (malah satu perkataan pun) pada mana-mana zaman, orang itu itu tidak akan berjaya kerana ada jutaan penghafaz yang akan membuktikan orang itu bersalah. Jadi, salah satu kekuatan Al-Quran yang membuatkan ia kekal sebagai kitab SUCI ialah kerana IA DIHAFAZ KESELURUHANNYA ISINYA OLEH BEGITU RAMAI ORANG pada setiap zaman.

Maksudnya di sini, mustahil untuk berlaku sebarang kesalahan pada kitab suci Al-Quran sejak zaman Nabi Muhammad sehinggalah sekarang.

Kita ambil contoh. Anda menyampaikan sebuah ucapan. KESELURUHAN UCAPAN ANDA itu dihafal oleh 100 orang pendengar (tidak termasuk yang menghafal 80%, 50%, 25% dan sebagainya). Kemudian mereka ajarkan pula kepada orang lain sehingga ada 1,000 penghafal pada generasi pertama.

1,000 orang ini berjaya pula mengasuh 5,000 penghafal KESELURUHAN UCAPAN ANDA pada generasi anak anda.

5,000 orang itu pula berjaya mengasuh 10,000 penghafal pada generasi cucu anda. Begitulah seterusnya.

Jadi, tanpa Al-Quran yang bertulis pun sebenarnya, ia tetap asli 100% sebagaimana ketika ia diturunkan kepada Nabi Muhammad, kerana boleh disemak daripada hafazan jutaan penghafaznya.

Yang perlu kita sama-sama renungkan...... ada berapa orang yang menghafal keseluruhan Bible/ Alkitab? .......

Ataupun sekurang-kurangnya menghafal keseluruhan Injil/ Gospel? .......

Berapa orang yang menghafal keseluruhannya sejak zaman Jesus? .......

Berapa ramai yang menghafaz keseluruhannya pada zaman sekarang?

.......................... ???

Ajaran Jesus hidup dalam keadaan para penganutnya sedikit, terjajah, ditindas, dizalimi, melarikan diri, menyembunyikan diri, sukar untuk berkumpul dan berbincang, diperintah dan bukannya memerintah....

Berbanding dengan ajaran Nabi Muhammad. Ajarannya hidup dalam keadaan para sahabatnya puluhan ribu dan penganut agama Islam ratusan ribu, memerintah, punya negara, punya perlembagaan negara, hidup aman, saling bertemu untuk bertukar-tukar fikiran...

Antara kedua-dua ajaran ini, yang mana satu lebih mungkin terjaga keasliannya?

............................................

Tak mengapalah, itu perkara sampingan sahaja. Ia boleh anda renungkan pada masa-masa lapang.

Perkara pokoknya:

Jesus dan para sahabatnya berbahasa Aramaic atau Syriac. Oleh kerana mereka hanya berdakwah kepada orang-orang Yahudi, maka tentulah mereka tidak menggunakan bahasa Greek (Yunani) yang digunakan oleh pemerintah. Sungguhpun Jesus dan para hawarinya berbahasa Aramaic, tetapi keempat-empat Injil yang dinisbahkan kepada Matius (Matthew), Markus (Mark), Lukas (Luke) dan Yohanes (John) semuanya dalam bahasa Greek, iaitu bahasa yang digunakan oleh Gereja Paul dan pemerintah. Di sini saja kita sudah boleh merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Ke mana perginya Injil terawal yang tentunya dalam bahasa pertuturan sehari-hari Jesus dan para hawari?

Perlu diingat juga bahawa keempat-empat Injil di atas datangnya 300 ke 400 tahun selepas zaman Jesus. Inil-Injil pada zaman Jesus dan zaman hawarinya entah ke mana. Nabi Jesus membawa satu Injil, sebagaimana Nabi Muhammad membawa satu Al-Quran, tetapi ia hilang lalu digantikan dengan pelbagai Injil yang saling tidak bersamaan.

"Tulisan-tulisan Kristian awal yang kekal terpelihara untuk kita hanyalah surat-surat hawari Paul"

("Religions in Ancient History", oleh Prof. Brandon, m.s. 228)

Sehingga ke hari ini, manuskrip-manuskrip ASAL dalam bahasa Greek tidak didedahkan kepada orang ramai. Umat Kristian sendiri tidak pernah melihat tulisan-tulisan awal New Testament, yang mereka baca hari ini hanyalah terjemahannya sahaja dalam pelbagai bahasa. Semua manuskrip asal itu disimpan dalam muzium, disorokkan dalam gereja, disembunyikan di Vatican dan sebagainya. Tidak dibenarkan sesiapa untuk melihatnya, kecuali beberapa kerat orang besar agama Kristian.

Bahkan manuskrip-manuskrip asal tersebut pun hanya berusia 300-400 TAHUN SELEPAS JESUS pergi, iaitu pada ZAMAN GEREJA TRINITI BERKUASA. Manuskrip-manuskrip yang lebih tua daripada itu telah dimusnahkan atau dihilangkan oleh pemerintah dan gereja trinity, ataupun hilang sendiri. Maka manuskrip tertua Injil yang ada kini adalah manuskrip-manuskrip yang didokong oleh puak triniti.

"Kadang-kala terbukti bahawa teks tersebut telah diubahsuai dan tidak ada satu versi pun yang dapat memberikan pembetulan yang memuaskan. Di sini, kami hanya dapat mengikut penilaian terbaik para sarjana yang kompeten UNTUK MEMBINA SEMULA TEKS ASAL."

(Pengenalan "The New Revised Standard Version of the Bible" terbitan Oxford Press)

"Begitu pun, hakikatnya adalah setiap buku Perjanjian Baru, kecuali empat Surat oleh St. Paul, adalah perkara kontroversi pada masa ini, dan SISIPAN BERLAKU walaupun di dalam empat Surat tersebut."

("Encyclopedia Brittanica", Edisi ke-12, Jilid 3, m.s. 643)

Surat-surat Paul sendiri pun masih ada penyelewengan. Bagaimana dengan selain itu?

Sky... anda tidak akan menemukan sebarang sisipan pada kitab suci Perjanjian Terakhir – Al Quran.

"Banyak ayat-ayat [Perjanjian Baru] telah melalui PENGUBAHSUAIAN MAKNA YANG SERIUS sehinggakan amat sukar untuk kita memastikan apa yang sebenarnya telah ditulis oleh hawari-hawari."

("Secrets of Mount Sinai", James Bentley, m.s. 117)

Untuk memastikan apa yang ditulis oleh para hawari sajapun sudah sedemikian kacau. Bagaimana untuk memastikan apa yang sebenarnya diperkatakan oleh Jesus sendiri?

"Dalam sebarang keadaan, TIDAK ADA SATU PUN (manuskrip asal Gospel) wujud hari ini. Apa yang ada hanyalah salinan-salinan yang telah dibuat dalam tempoh beberapa abad, atau lebih tepat lagi, SALINAN KEPADA SALINAN KEPADA SALINAN, yang berasal daripada zaman abad kedua sehingga abad ke enam belas, di mana sejumlah 5,366 daripadanya adalah di dalam bahasa Greek. Yang menarik adalah tiada dua salinan yang benar-benar sama butir-butirnya, kecuali sebahagian kecil. Tiada siapa yang tahu berapa banyak perbezaan, atau variasi bacaan, telah berlaku di kalangan manuskrip yang wujud, tetapi bilangannya adalah dalam lingkungan RATUSAN RIBU."

("The Orthodox Corruption of Scripture", Bart Ehman, m.s. 27)

Hanya salinan kepada salinan kepada salinan. Dan tak ada salinan-salinan yang sama butir-butirnya.

Jadi... dari mana datangnya kitab Bible (terutamanya New Testament) yang diimani oleh penganut agama Kristian hari ini? Padahal sudah diberi peringatan:

“Yang terutama mesti kamu ketahui ialah bahawa perkhabaran-perkhabaran dalam kitab suci TIDAK BOLEH DITAFSIRKAN MENGIKUT KEHENDAK SENDIRI.”

(Surat Petrus Kedua 1: 20-21)

"Bagaimanakah kamu berani berkata: “Kami bijaksana, dan kami mempunyai Taurat Tuhan?” Sesungguhnya pena palsu pengarang sudah membuatnya jadi bohong?"

(Jeremiah 8:8 RSV)

Kemudian, pada zaman Jesus lagi memang sudah ada kitab suci Injil yang bertulis. Dan tentunya kitab ini ditulis dalam bahasa yang dipertuturkan oleh Jesus dan kaumnya, kerana Jesus diutuskan hanya kepada kaumnya, bukan kepada orang-orang Rom dan selainnya. Saya punya banyak sandaran dalam hal ini, namun tidaklah saya panjangkan di sini, kecuali jika keadaan memerlukan.

Kita fikir begini saja...

Wahyu yang turun kepada Jesus dalam bahasa apa?

Ketika Jesus menuturkan wahyu-wahyu itu kepada para hawarinya, dalam bahasa apa? Apakah Jesus menggunakan bahasa Greek dengan para hawarinya?

Jika para hawarinya menyalin semula perkataan-perkataan Jesus, agaknya dalam bahasa apa? Apakah Jesus berbicara dalam bahasa mereka tetapi hawarinya menyalin dalam bahasa Greek? Tak mungkin. Kerana itu sudah jadi terjemahan, bukannya kitab suci.

(...Kata Sky...)

“Yang dipentingkan adalah sifat kitabnya. Bukan bahasa kitab.”

Di sinilah antara perbezaan besar antara The Last Testament dengan Bible. Jika berlaku sebarang perbezaan dalam terjemahan-terjemahan Al-Quran dalam pelbagai bahasa di seluruh dunia, kita boleh rujuk sumber asalnya, untuk dipastikan apakah perkataan yang digunakan.

Tapi kalau terjemahan-terjemahan Bible dalam pelbagai bahasa di seluruh dunia mengalami masalah yang sama... di mana hendak dirujuk?

Sebenarnya bahasa asal kitab suci itulah yang menentukan maksud sebenar sesuatu perkataan yang telah diterjemah ke bahasa lain.

Begitulah cara terbaik untuk mengelakkan kitab Al-Quran daripada rosak sebagaimana kitab-kitab terdahulu, termasuklah Taurat, Zabur dan Injil. Jika hal yang sama dilakukan oleh para hawari Jesus ... mereka berkumpul beramai-ramai di suatu tempat bersama puluhan ribu umat Nasrani lain, kemudian bincang penulisan terbaik untuk kitab suci Injil mengikut bahasa asal Jesus dan para hawari, hapuskan mana-mana kitab Injil yang gaya penulisannya tidak menepati loghat asal bahasa Jesus dan para hawari... mungkin kitab suci Injil dapat dihidangkan kepada seluruh dunia hari ini.

Jika ada mana-mana terjemahan atau versi Injil yang didapati ada masalah atau bercanggahan maklumat, terus kita boleh rujuk kitab suci Injil yang asal itu.

Malangnya ... usaha-usaha di atas tidak berlaku. Usaha-usaha itu berlaku ke atas kitab Perjanjian Terakhir iaitu Al-Quran. Sebab itulah sehingga ke hari ini, kita masih dapat melihat dan membaca Firman-Firman Suci Tuahn di dalamnya, sebagaimana ketika ia diturunkan dahulu.

Abu Zulfiqar

No comments:

Related Posts with Thumbnails