Kajian dan pemerhatian ringkas tentang Al-Quran, As-Sunnah (hadis), agama-agama dunia, kitab-kitab suci pelbagai agama, manuskrip-manskrip kuno, alam semesta (bumi dan angkasa lepas), ilmu perbandingan agama, sejarah, peristiwa-peristiwa akhir zaman, kiamat, alam akhirat, alam ghaib, sains, astronomi (falak) dan lain-lain ilmu alam.

Saturday, August 04, 2012

Apakah Ciri-ciri Budaya?


Apakah ciri-ciri budaya? Ferraro (2006) menyenaraikan lapan ciri budaya.

1.       BUDAYA ITU DIKONGSI

Ahli-ahli masyarakat yang berkongsi sesuatu budaya tentunya sedia maklum tentang maksud sesuatu objek, idea atau kelakuan dalam masyarakat itu.

Contohnya seorang lelaki di suatu tempat di Afrika akan berasa besar hati apabila dia terjumpa seorang lelaki lain dari kelompoknya sedang menjelirkan lidah kepadanya. Hal ini kerana bagi masyarakat itu, jeliran lidah bermaksud “hello”.

Umumnya apabila seorang Melayu masuk ke rumah seorang Melayu lain, tanpa disuruh pun dia akan terus menanggalkan kasutnya. Umumnya apabila seorang Jepun didatangi tetamu, mereka sama-sama akan membongkokkan diri tanpa disuruh. Perlakuan-perlakuan ini terjadi dengan sendirinya kerana elemen budaya itu sudah dikongsi menyebabkan ia dimaklumi oleh ahli-ahli dalam masyarakat tersebut.

Apabila budaya tidak dikongsi, akan berlakulah kekecohan dan ada kalanya kelucuan. Seorang ‘mat saleh’ akan terus masuk ke rumah temannya orang Melayu tanpa membuka kasut. ‘Mat saleh’ itu pula akan terasa hati apabila sahabatnya orang Melayu tadi meletakkan tuala dan persalinan di katil. Baginya perlakuan itu seolah-olah mengatakan dirinya busuk dan mesti segera mandi. Padahal memang menjadi adab orang Melayu untuk menyediakan tuala dan pakaian salin dengan segera kepada tetamu yang mahu bermalam, tidak kira bila si tetamu hendak mandi. Budaya ‘mat saleh’ dan budaya Melayu kan banyak perbezaannya?

Jelasnya di sini, budaya itu dikongsi oleh sesuatu masyarakat.

2.       BUDAYA ITU DIPELAJARI
Budaya tidak diturunkan dari satu generasi ke satu generasi secara genetik. Budaya dipelajari oleh ahli-ahli dalam sesuatu masyarakat apabila mereka saling berinteraksi dengan persekitaran sosial mereka.

Contohnya apabila seseorang itu hendak berkahwin, dengan sendirinya dia akan berusaha mengambil tahu tentang adat budaya perkahwinan dalam masyarakatnya. Ilmu itu tidak sedia ada pada dirinya melainkan mestilah dipelajari.

3.       BUDAYA ITU TIDAK KELIHATAN
Budaya dikatakan tidak kelihatan kerana ia mempengaruhi tindak-tanduk dan pemikiran kita kerana ia sudah menjadi tabiat yang dilakukan secara automatik.

Contohnya ada orang-orang Cina di Tanah Melayu pada zaman dahulu tidak membuka kelambunya selepas bangun pada waktu pagi. Malam nanti terus sahaja masuk tidur. Ia bukan satu kejanggalan kerana hal itu sudah sebati dalam diri masing-masing ahli masyarakat Cina itu. Orang Melayu pula sebaliknya apabila bangun pagi terus membuka dan melipat kelambu serta menggulung tilam. Begitu juga dengan perlakuan kita menggosok gigi pada setiap pagi. Kita tidak perlu berfikir tentangnya lagi, tapi terus melakukannya sebagai rutin.

4.       BUDAYA ITU MEMPENGARUHI PROSES-PROSES BIOLOGI
Manusia mempunyai kehendak-kehendak biologi yang sama iaitu makan, minum, buang air, rehat, tidur, berlindung dan sebagainya, walaupun cara manusia memenuhi tuntutan biologi itu adalah mengikut acuan adat budaya masing-masing.

Contohnya (secara umum) orang Melayu suka makan menggunakan tangan dengan duduk bersila di bawah, orang Arab suka dihidangkan roti terus di atas meja tanpa berlapik, orang Cina menggunakan penyepit dan orang Barat menggunakan sudu dan garfu. Orang Cina suka melebihkan sayur manakala orang Arab suka melebihkan daging. Orang Iran makan nasi sebagai makanan ruji, orang Mesir makan gandum (roti), sementara ada masyarakat lain di dunia ini yang makan jagung.

Ringkasnya, semua ahli masyarakat di atas tadi makan, sekalipun bentuk makanan dan cara makannya ada perbezaan.

5.       BUDAYA ITU MENGALAMI PERUBAHAN
Budaya berubah dari semasa ke semasa, sedikit atau banyak, cepat atau lambat. Perubahan budaya berlaku melalui proses inovasi atau difusi. Inovasi ialah idea-idea baru yang boleh digunakan untuk memajukan sesebuah masyarakat seperti kemajuan komputer dan media telah merubah budaya hidup dan budaya sosial kita. Penciptaan dapur gas membuatkan makanan lebih cepat disediakan berbanding dapur kayu, maka masyarakat makan dengan lebih menu. Begitu juga dengan perkhidmatan bas, penciptaan motosikal, telefon bimbit dan sebagainya.

Difusi budaya pula berlaku apabila elemen-elemen dalam sesuatu budaya merebak kepada budaya-budaya lain. Contohnya budaya MTV yang berasal dari Amerika Syarikat. Budaya ini begitu banyak mempengaruhi tingkah laku remaja secara global.

6.       BUDAYA ITU SEJAGAT
Umumnya dalam masyarakat yang mana pun di serata pelusuk dunia ini, mereka mempunyai unsur-unsur budaya sejagat iaitu wujudnya seni beladiri, tarian, peraturan moral atau agama, berpantang selepas bersalin, perubatan, upacara pengkebumian, hiasan tubuh, istilah kekerabatan, pembahagian tugas, keraian dan pelbagai lagi.

7.       BUDAYA ITU ADAPTIF DAN MALADAPTIF
Budaya dikatakan adaptif kerana ia memastikan kelangsungan masyarakat manusia. Contohnya manusia mencipta peralatan untuk memasak, memburu, membela diri, menghidupkan api dan sebagainya. Sifat adaptif budaya ini membuatkan manusia terus kekal dan dominan di atas muka bumi.

Namun begitu budaya juga bersifat maladaptif. Maksudnya dalam masa yang sama juga ia tidak menyumbang kepada kelangsungan manusia. Contoh paling mudah ialah budaya merokok yang tersebar ke serata ceruk dunia. Maladaptifnya budaya merokok ini adalah kerana ia menjejaskan kesihatan manusia dan kesihatan alam sekitar. Budaya minum sesuatu yang memabukkan juga bersifat maladaptif.

Pendek kata, budaya itu ada yang adaptif dan ada yang maladaptif.

8.       BUDAYA ITU BERSIFAT INTEGRATIF
Budaya merangkumi pelbagai aspek yang saling berkait rapat antara satu sama lain seperti aspek agama, politik, ekonomi, social, kekeluargaan, perubatan, hiburan dan sebagainya. Aspek-aspek ini saling mempengaruhi antara satu sama lain. Jika berlaku sesuatu perubahan kepada salah satu aspek, aspek-aspek yang lain akan turut mengalami perubahan.

Contohnya apabila sesuatu masyarakat itu menerima agama baharu, segenap aspek kehidupan mereka akan turut berubah.


Abu Zulfiqar
3 OGOS 2012

No comments:

Related Posts with Thumbnails