Beberapa tahun lalu saya ada membaca sebuah buku bertajuk ‘Warisan Perubatan Melayu’ terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka yang diselenggarakan oleh A. Samad Ahmad. Baru-baru ini saya terjumpa balik buku ini lalu membacanya semula.
Buku ini sebenarnya diterjemahkan dari manuskrip asalnya yang bertulisan jawi. Penulis manuskrip itu bernama Muhammad Salleh ibni Ahmad Penambang. Tulisan jawinya sangat kemas dan cantik, menunjukkan penulisnya memang seorang pakar tulisan jawi. Ia disiapkan pada tahun 1288 Hijrah.
Menurut Muhammad Salleh, dalam usaha untuk menjadi seorang perawat atau tabib, kita hendaklah meminta tolong pada ‘RIJALULGHAIB’ empat bersahabat. Pada akhir tulisan ini nanti kita akan melihat siapakah ‘rijalulghiab’ yang dimaksudkan oleh buku Warisan Perubatan Melayu ini.
Untuk mendapatkan rijalulghaib ini kita mulakan dengan solat hajat. Pada rakaat pertama dibacakan ayat Kursi manakala pada rakaat kedua dibacakan surah al-Ikhlas tiga kali, surah al-Falaq dan surah an-Naas. Kemudian kita hendaklah melihat jadual ‘langkah rijalulghaib’. Dipercayai rijalulghaib berada di tempat dan arah tertentu mengikut kalendar bulan sebagaimana kalendar Islam. Jadualnya tidaklah saya salin. Selepas mengetahui kedudukan rijalulghaib, satu bacaan mentera hendaklah diamalkan.
Menteranya berbunyi:
“XXXXXXXXX perbakeulu. XXXXXXXX sangkakeulu. Ada apa-apa si pertapa. Aku XXXX Betara Guru. Kupinta padamu, aku ambil akan saudaraku, aku ambil akan sahabatku. Barang kusuruh segera jadi, barang kucita segera datang.”
Sengaja saya sembunyikan beberapa perkataan kerana khuatir ada pembaca yang nakal yang boleh jadi akan menyalahgunakannya. : )
Mentera di atas dibaca 1000 kali bersesuaian dengan 1000 butir batu sebesar kelingking yang dikumpulkan sebelum itu. Dibaca satu sekali mentera untuk sebiji batu, tiga kali sehari selama tiga hari. Maksudnya 3000 mentera sehari, 9000 mentera dalam tiga hari.
Teringat saya pada mereka yang terperangkap dalam kegiatan ‘tarik duit’. Solat berjemaah ke surau pun tidak, berzikir banyak pun tidak. Tiba-tiba dengan senang hati pergi duduk berzikir berseorangan di tempat-tempat sunyi atas permintaan ‘naqib usrah’ mereka. Di tepi lombong, kaki bukit, pinggir hutan dan lain-lain jadi lokasi berzikir KERANA DUIT, bukan kerana Allah. Apabila ditegur, mereka menjawab, “Alaah, ustaz sekian-sekian ulama sekian-sekian pun buat jaga. Takkan salah!” Lantaklah! Tapi sampai hari ini sudah berbelas berpuluh ribu habis, yang dapatnya cuma beberapa puluh ringgit. Itu pun masih ada hati hendak buat lagi. Malangnya bangsaku.
Sambung semula. Amalan ‘3 hari’ itu hendaklah pula diulangi dengan satu lagi zikir yang berbunyi:
“Sidang FaXXX, Sidang PeXXXXX, Sidang ArXXXXX, Sidang UrXXX. Adam bapamu, Hawa ibumu.”
Jadilah kesemuanya enam hari. Dalam filem ‘Pendekar Bujang Lapok’, ‘rijalulghaib’ silat dipanggil sebagai Mambang Kuning, Mambang Biru dan lain-lain.
Upacara seterusnya selepas tamat semua yang di atas tadi ialah ialah upacara menyeru. Pasang sebatang lilin, tabur dengan bertih lalu diseru nama keempat-empat ‘mambang’. Sekalipun mereka bersetuju untuk datang berdamping tetapi kita tidak dapat melihat mereka. Kehadiran mereka boleh diketahui dengan melihat reaksi api lilin. Jika apinya hitam, yang datang ialah Sidang FaXXX, putih untuk Sidang PeXXXXX dan Hijau untuk Sidang UrXXX. Petunjuk kehadiran Sidang ArXXXXX tidak pula disertakan.
Setelah mendapat petunjuk itu, batu-batu yang dibuat amalan itu hendaklah dibuang ke laut.
Perkara yang cuba saya bawa di sini ialah identiti ‘rijalulghaib’ yang dimaksudkan oleh ‘Warisan Perubatan Melayu’. Berdasarkan kalimah ‘Adam bapamu, Hawa ibumu’, saya menyangkakan mereka ialah manusia. Mungkin wali Allah, roh-roh suci ataupun lain-lain. Namun dengan jelas disebut oleh pengarang asal kemudiannya:
“Inilah nama-nama JIN (4 Sidang tadi) yang dicita (yang kita ingini) dan yang diamalkan akan jadi sahabat (pendamping kita) itu.”
Kesimpulannya, MENURUT TUAN KITAB ‘Warisan Perubatan Melayu’, ‘rijalulghaib’ yang dicarinya tidak lain ialah dari bangsa jin.
Wallahualam.
Abu Zulfiqar ' Alexanderwathern'
7 comments:
Salam...
Boleh ke kita meminta bantuan bangsa Jin (sebagai asbab) selain dari Allah S.W.T?
Jika dilihat mentera-mentera yang dibaca jelas boleh menimbulkan keraguan dan fitnah.
Wlksm Midkazen.
Umumnya boleh jika kita minta tolong mereka sebagaimana kita minta tolong kepada manusia atapun binatang.
Contoh 1:
Kita telefon anak kita: "Hamid, kau tolong tebas rumput di belakang rumah petang ni ye."
Kita faham, si Hamid tak ada kuasa langsung untuk membuatkan rumput tertebas melainkan Allah.
Contoh 2:
Kita nampak penjahat di tepi pagar kebun kita, sedangkan anjing kita yang bernama Gondoi tertidur nun jauh di bangsal, tak nampak pada pandangan kita. Kita pun memekik, "Gondoi, Gondoi!" dengan niat minta si Gondoi tolong usir penjahat.
Kita faham, si Gondoi tidak ada kuasa walau sebesar habuk untuk membuatkan penjahat terusir melainkan Allah.
Contoh 3:
Kerbau yang hendak kita korbankan terlepas ke dalam hutan. Kita pun menyeru, "Wahai hamba-hamba Allah yang soleh, tolonglah sekat kerbauku!"
Kita faham, jin-jin itu tidak ada kuasa walau sekecil zarah untuk membuatkan kerbau itu tersekat melainkan Allah.
Tapi jika kita beranggapan memang Hamid, Gondoi dan jin-jin itu pada hakikatnya punya kuasa untuk melakukan itu semua, jadilah salah malah syirik. Kita minta isteri kita tolong gorengkan ikan pun sudah syirik jika kita beranggapan isteri kita yang berkuasa membuatkan ikan tergoreng.
Begitu ceritanya.
Tentang mentera-mentera dalam artikel itu, jangan baca atau amalkan.
Itulah yang saya musykilkkan. Para pengamal perubatan nusantara dahulu banyak yang mengamal melalui pertolongan bangsa jin.
Terdapat jgk pengamal perubatan zaman sekarang masih menggunakan khidmat jin. Terkadang menjadi satu kekeliruan dalam masyarakat pula.
Terima kasih kerana pencerahan dari tn. rumah.
Barakallahufika...
Assalam Tuan Alex
Jin kita tak nampak takut dia tipu tapi isteri goreng ikan kita nampak. Itu sebabnya kita tak digalakkan minta tolong jin
Wlksm tuan,
Betullah tu, TAK DIGALAKKAN minta bantuan jin. Saya pun tak pernah minta khidmat jin setakat ini. Dan umumnya memang tak tahu pun cara untuk minta khidmat mereka. : )
Tentang isteri goreng ikan...
Suami di tempat kerja, cakap melalui telefon bimbit, tak nampak isteri pun:
"Yang, tolong goreng ikan ye malam nanti."
assalammualaikum wbt...
apa pendapat tuan mengenai sejenis makhluk yang seakan2 malaikat tetapi bukan malaikat? makhluk ini kebanyakkannya ada pada org sabah ( mgkin jgk ada pd org selain sabah) tetapi bukan kategori jin. makhluk ini hanya menolong manusia yg ALLAH kehendaki shj. sepanjang pengetahuan saya, makhluk ini tinggal di langit. mereka hidup macam manusia. ada raja. agama mereka sepanjang yg saya tau islam. mereka makan buah kurma n minum air shj. mereka hy memakai pakaian warna putih shj. kerja mrk plak berzikir n memuji-muji ALLAH. diberitahu panggilan/gelaran mereka ialah putera/puteri. keluarga saya ada yg dapat makhluk ini. ada juga di kalangan rakan taulan. mohon tuan perjelaskan tang makhluk ini. keliru saya...
setahu saya makhluk ghaib hanya lah jin, syaitan, iblis, malaikat, wali ALLAH, bunian. jadi makhluk putera/puteri ini kategori mana?
Wlksm.
Dalam kalangan muallij (perawat perubatan Islam) ada perbezaan pandangan (kebetulan saya sendiri seorang muallij). Setakat hari ini, saya berpegang dengan pandangan yang mengatakan makhluk-makhluk yang disebut jin, bunian, dewa, peri, mambang dan lain-lain seumpamanya termasuklah yang anda nyatakan itu, tidak lain ialah jin.
WaAllahua'lam.
Post a Comment