PERSOALAN
4 :
Surah an-Nisaa : 157-158 menerangkan tentangkan Nabi Isa as. Namun
di akhir ayat 157 seperti orang yang menyaksikan kematian Isa di tiang itu tak
pasti yang mereka salib itu Isa as atau orang lain. Mungkin perwatakan dia atau
cara dia mereruh kesakitan berbeza dan membuatkan semua yang menyaksikan
tergamam.
PENJELASAN
:
Mula-mula kita petik ayat-ayat yang dimaksudkan :
“Dan (Kami
hukum mereka) kerana ucapan mereka : “Sesungguhnya kami sudah membunuh
Al-Masih, Isa anak Maryam, Rasul Allah”, padahal mereka TIDAK MEMBUNUHNYA dan TIDAK
MENYALIBNYA, tetapi (yang dibunuh ialah) ORANG YANG DISERUPAKAN DENGANNYA.
Sesungguhnya mereka yang berselisih pendapat tentang Isa, selalu dalam keraguan
tentang (orang) yang dibunuh itu. Mereka benar-benar tidak tahu melainkan
mengikut persangkaan belaka, jadi mereka TIDAK YAKIN telah membunuhnya.”
(An-Nisaa’ : 157)
“Tetapi
Allah telah mengangkat Isa kepada-Nya. Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana.”
(An-Nisaa’: 158)
“Sesungguhnya
kami SUDAH membunuh Al-Masih” memberi petunjuk kepada kita bahawa
kata-kata ini tercetus SELEPAS selesai peristiwa penyaliban dan pembunuhan
seseorang yang diserupakan dengan Nabi Isa itu. Begitu juga dengan kata-kata : “selalu dalam keraguan tentang (orang) yang
dibunuh itu” dan kata-kata : “mereka
tidak yakin TELAH membunuhnya”. Kalimah-kalimah yang saya petik di atas
tadi semuanya bercerita tentang peristiwa yang sudah berlaku.
Ya, mereka yang menyalibnya sebenarnya berasa ragu-ragu, benarkah
Nabi Isa yang disalib? Keraguan mereka ini timbul atas beberapa sebab. Sebab-sebab
itu tidak dinyatakan dalam Al-Quran tetapi kita boleh merujuk kepada Bible. Kita
tidak menyatakan Bible itu rujukan yang sahih, tetapi ia sekadar maklumat
tambahan. Samalah seperti kita merujuk buku-buku sejarah kerana Bile yang ada
hari ini tidak lebih daripada sebuah buku sejarah sahaja dari segi
kesahihannya.
Apa kata Bible? Ketika disalib, orang yang disalib itu menjerit :
“Kira-kira jam tiga berserulah (orang yang
disangkakan sebagai) Jesus (Nabi Isa) dengan suara yang nyaring: "Eli,
Eli, lama sabakhtani?” (Tuhanku, Tuhanku, mengapa Engkau meninggalkan aku?” (Matthew
27 : 46)
Sekiranya yang sedang disalib itu ialah Nabi Isa
(Jesus/Yesus/Essau/lain-lain nama mengikut sebutan daerah masing-masing) ,
mustahillah di akan menjerit mengatakan Tuhan meninggalkannya. Hal ini kerana
Tuhan sentiasa bersama-sama kita tidak kira di mana kita berada walaupun Zat
Tuhan tidak terpengaruh dengan tempat, lokasi, posisi dan lain-lain. Kita tidak
pernah terlepas daripada-Nya. Nabi Isa pastinya lebih maklum akan hal ini. Oleh
itu yang sedang disalib bukanlah Nabi Isa. Hal ini memang membuatkan mereka
ragu-ragu kerana Nabi Isa tidak akan menjerit dengan kata-kata sebegitu.
Kemudian, ada antara mereka yang kafir yang percaya bahawa Nabi
Isa memang datang untuk disalib, iaitu untuk menebus dosa-dosa manusia. Tapi
sekiranya benar dia datang memang untuk disalib sebagai menebus dosa manusia,
pastinya dia akan berasa gembira dan bersedia untuk disalib. Namun ketika
disalib, orang yang disalib itu menyeru dengan nada hampa, ketakutan,
penyesalan dan seumpamanya. Maksudnya dia bukanlah Nabi Isa yang mereka percaya
sebagai penebus dosa. Hal ini membuatkan mereka ragu-ragu.
Selepas ditangkap, orang itu dihadapkan ke muka pengadilan.
Pelbagai tuduhan dikenakan kepadanya tetapi dia tidak menjawab apa-apa pun.
Mengapa? Kerana dia bukan Nabi Isa. Jika Nabi Isa tentu sahaja dia boleh
berhujah dengan baik menjelaskan segala pertuduhan
itu kerana dia terkenal dengan bijaknya berkata-kata.
Buktinya :
“Tetapi atas tuduhan yang diajukan imam-imam ketua
dan tua-tua terhadapnya (orang yang disangkakan Nabi Isa), DIA TIDAK MENJAWAB
APA PUN. Maka kata Pilatus kepadanya: "Tidakkah engkau dengar betapa
banyaknya tuduhan saksi-saksi ini terhadap engkau? Tetapi dia tidak menjawab
satu perkataanpun, sehingga pemerintah negeri itu BERASA SANGAT HAIRAN.” (Matthew
27 : 12-14)
Pilatus bertanya lagi, tetapi orang yang ditangkap sudah tidak ada
selera untuk menjawab. Buktinya :
“Pilatus bertanya kepada-Nya: "Engkaukah
raja orang Yahudi?" Jawab (orang yang disangkakan sebagai) Jesus:
"Engkau sendiri mengatakannya." (Mark 15 : 2)
Lihatlah cara lelaki itu menjawab. Acuh tak acuh sahaja, seperti
orang yang sudah berputus asa. Hal ini berlaku kerana dia bukan Jesus dan dia
tidak punya jalan untuk menerangkan kedudukannya kepada orang ramai.
Bukti lain dalam majlis pertuduhan itu juga :
“Katanya: "Jikalau engkau adalah Mesiah,
katakanlah kepada kami." Jawab (orang yang disangkakan sebagai ) Jesus:
"Sekalipun aku mengatakannya kepada kamu, namun KAMU TIDAK AKAN PERCAYA.
Dan sekalipun aku bertanya sesuatu kepada kamu, namun kamu tidak akan menjawab.
Mulai sekarang ANAK MANUSIA (Jesus) akan duduk di sebelah kanan Allah Yang Maha
Kuasa." (Luke 22 :
67-69)
Orang akan percayakah jika lelaki itu mengatakan : “Sebenarnya aku
bukan Jesus, aku orang lain, tetapi aku sudah diserupakan dengan Jesus. Jesus
yang sebenar sudah diselamatkan Tuhan.” Rasa-rasanya orang-orang di situ percaya
tidak? Tentulah tidak percaya. Tambahan pula rupa lelaki itu saling tak tumpah
seperti Jesus. Oleh itu dia mengambil keputusan untuk berdiam diri sahaja,
kerana dia tahu tidak ada sesiapapun yang akan mempercayai kata-katanya itu,
buang masa sahaja. Dia sedar, itulah hukuman yang terpaksa diterimanya kerana
mengkhianati Jesus. Dia sedar dirinya bersalah lalu sanggup menerima apa sahaja
hukuman.
Saya melihat Qisasul Abiya’ (terjemahan) turut memuatkan cerita
yang seakan-akan iaitu :
“Maka kata Sibarong (orang yang bakal disalib)
itu : “Bukan(nya) aku ini Isa, bahawa aku ini daripada kaum kamulah juga,
namaku Sibarong.” Maka seorang pun tiada mahu mendengarkan katanya itu,
beberapa pun ia mengatakan dirinya bukannya aku ini Isa itu pun tiada didengar
oleh mereka itu katanya itu. Maka dibunuhnya lalu disulakan akan dia, maka
segala Yahudi itu pun sukacitalah maka pada hatinya sekalian telah matilah Nabi
Allah Isa itu, maka dengan seketika itu juga Sibarong itu pun kembalilah seperi
rupanya yang dahulu itu. Maka menyesallah segala Yahudi itu oleh membunuh kaumnya
itu, maka telah diketahuinyalah oleh segala Yahudi itu bahawa Nabi Allah Isa
alaihissalam dilepaskan Tuhan seru sekalian alam daripada kejahatan itu.”
Sambung sumber dari Bible, tambah lelaki itu lagi :
“Mulai sekarang Anak Manusia akan duduk di
sebelah kanan Tuhan Yang Maha Kuasa."
Maksudnya lelaki itu tahu, Tuhanlah yang menyelamatkan Jesus dengan
cara yang luar biasa. Dia tidak mahu panjang bicara lalu menyebut Jesus sebagai ‘Anak Manusia’ sahaja.
Mari kita lihat pula peristiwa pelik yang berlaku ketika
penangkapan Jesus :
“Maka Jesus, yang tahu semua yang akan menimpa
dirinya, maju ke depan dan berkata kepada mereka (orang-orang yang mahu menangkapnya):
"Siapakah yang kamu cari?" Jawab mereka: "Jesus dari
Nazareth." Katanya kepada mereka: "Akulah dia." JUDAS yang
mengkhianati dia berdiri juga di situ bersama-sama mereka. Ketika dia (Jesus) berkata
kepada mereka: "Akulah dia," BERUNDURLAH MEREKA DAN JATUH KE TANAH.” (John 18 : 4-6)
Mengapa orang-orang yang mahu menangkapnya terundur ke belakang
dan jatuh ke tanah? Takkanlah dengan pengakuan Jesus : “Ya, akulah orangnya
yang kamu cari” membuatkan mereka terjatuh! Bible menyorokkan peristiwa ganjil
ini, dan hanya menceritakan secara tiba-tiba kumpulan penyerang itu
terpelanting ke belakang. Maksudnya ketika itu berlaku sesuatu yang mengejutkan
sehingga mereka terlentang ke belakang yang mungkin seperti letupan, sinaran
terang, gegaran atau sebagainya. Ada kemungkinan ketika inilah Tuhan menukarkan
Jesus dengan lelaki lain. Antara calon yang selalu disebut-sebut ialah Judas
sendiri. WaAllahua’lam. Maka yang ditangkap selepas itu ialah seorang lelaki
yang diserupakan dengan Jesus.
Katakanlah Nabi Muhammad saw akan disalibkan sebentar lagi,
sedangkan anda ialah para sahabatnya yang berada berhampiran tempat itu. Adakah
anda akan berdiam diri ataupun keluar mengamuk untuk menyelamatkan baginda?
Sudah tentulah kita sanggup berkorban nyawa untuk menyelamatkan
Nabi Muhammad. Tapi hal itu tidak berlaku kepada para hawari Jesus. Mereka
tidak berusaha untuk menyelamatkan Jesus, bahkan ada antara hawarinya yang
datang menyaksikan penyaliban itu. Hal ini juga kemudiannya membuatkan orang-orang
kafir itu mula melakukan penilaian semula, siapakah yang disalib itu?
Orang yang disalib itu diturunkan dengan cepat sedangkan dia belum
mati. Apa bukti mengatakan dia belum mati?
Menurut Bible, bersama-sama lelaki itu ada dua orang penyamun yang
disalib. Seorang di kanan dan seorang di kirinya. Jumlahnya tiga orang disalib
sekaligus.
“Bersama-sama dengannya (Jesus) disalibkan dua
orang penyamun, seorang di sebelah kanan dan seorang di sebelah kirinya.“ (Matthew
27 : 38)
“Ketika mereka sampai di tempat yang bernama
Tengkorak, mereka menyalibkan Jesus di situ dan juga kedua-dua orang penjahat
itu, yang seorang di sebelah kanannya dan yang lain di sebelah kirinya.” (Luke 23
: 33)
Penyaliban memakan masa yang lama untuk mematikan seseorang.
Penyaliban berlaku pada hari Jumaat sedangkan hari Sabtu ialah hari suci bagi
orang-orang Yahudi. Oleh kerana mereka tahu bahawa ketiga-tiga orang yang
disalib itu lambat lagi putus nafasnya, mereka mengusulkan akan kematian
dipercepatkan. Untuk mempercepatkan kematian dalam proses penyaliban, kaki orang
yang disalib hendaklah dipatahkan. Askar-askar pun mematahkan kaki kedua-dua
orang penyamun, tapi mereka tidak mematahkan kaki Jesus. Mengapa? Kerana mereka
lihat Jesus sudah mati. Begitulah kata Bible. Sebab-musabab yang sebenar tidaklah
kita ketahui.
“Kerana hari itu hari persiapan dan supaya
pada hari Sabat mayat-mayat itu tidak tinggal tergantung pada kayu salib--sebab
Sabat itu adalah hari besar--maka datanglah orang-orang Yahudi kepada Pilatus
dan meminta kepadanya supaya kaki orang-orang itu dipatahkan dan mayat-mayat
mereka diturunkan. Maka datanglah perajurit-perajurit lalu mematahkan kaki
orang yang pertama dan kaki orang yang lain yang disalibkan bersama-sama dengan
Jesus. Tetapi ketika mereka sampai kepada Jesus dan melihat dia sudah mati,
mereka tidak mematahkan kakinya. Tetapi seorang dari antara perajurit itu
menikam rusuknya dengan tombak, dan segera mengalir keluar darah dan air.” (Yohanes
19 : 31-34)
Selepas selesai peristiwa ini, barulah orang-orang mula berfikir,
benarkah mereka sudah membunuh orang yang disalib? Dari segi tempoh penyaliban,
memang belum cukup untuk mematikan orang itu. Tambahan pula, kakinya tidak
dipatahkan. Lagi, ketika ditikam rusuknya, keluar darah dan air. Darah dan air
akan keluar sekiranya seseorang itu belum mati.
Maka di sini ada satu lagi keraguan yang menghantui mereka. Orang
yang disalib itu mati atau tidak? Sehingga ke hari ini orang-orang Kristian
berbeza pandangan.
Begitulah sedikit maklumat yang saya temui dalam Bible. Namun hal
sebenar yang menyebabkan mereka ragu-ragu, belumlah saya temui jawapannya.
PERSOALAN
5 :
(Saya) Juga berpendapat sama, bahawa Isa as akan turun ke bumi,
tetapi bagaimana dia turun masih menjadi persoalan sebab kalau jasadnya dibawa
ke hadrat Allah swt, nak diletak di langit mana sedangkan jasad manusia hanya
sesuai di bumi sahaja, dan Allah swt tidak akan melanggar hukum yang ditetapkanNya.
Kalau dibandingkan kisah Adam as dengan Hawa hidup di syurga dan di samping
Allah swt, persoalannya di mana Syurga itu, yang membolehkan jasad manusia
bernafas? Sekian dari saya yang masih mencari kebenaran. Wassalam
PENJELASAN
:
Kita tidak tahu di mana Allah meletakkan jasad Nabi Isa, tetapi
yang pasti bukannya di planet bumi di alam nyata ini, apatah lagi kalau mahu
dikatakan berada di gunung di Yaman oleh Nasser Mohamed El-Yamani, Abdul Aziz
Lombok dan Juniyati Puchong. Jika ia berada di dimensi lain, ia tetap tidak berada di planet bumi yang nyata ini.
Tidak menjadi masalah untuk jasad manusia di tempatkan di selain
bumi, atas kekuasaan Allah SWT. Dalam peristiwa Mi’raaj, jasad Rasulullah pergi
ke tujuh-tujuh langit tanpa mengalami sebarang masalah atau kerosakan, dalam
keadaan jaga dan tentunya bernafas. Jasad Nabi Yunus berada dalam perut ikan di
dalam laut, tidak rosak dan masih bernafas.
Tentang lokasi syurga atau jannah Adam dan Hawa, para ulama berbeza
pandangan. Boleh jadi ia di bumi, boleh jadi juga di langit, ataupun di
tempat-tempat lain. Tapi yang pasti, jasad manusia tidak punya masalah
pernafasan baik di syurga Adam dan Hawa, di mahsyar ataupun di syurga pada hari
akhirat kelak.
“Dan
bersegeralah kamu mencari ampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga (JANNAH)
yang luasnya sSELUAS LANGIT DAN BUMI yang disediakan untuk orang-orang yang
bertaqwa.” (Aali ‘Imraan : 133)
Tentang Allah sudah membuat ketetapan bahawa tubuh manusia hanya
sesuai di planet bumi ini, saya belum jumpa ketetapan yang sebegitu. Jika ada,
maka ia bertentangan dengan peristiwa jasad Rasulullah yang melalui peristiwa
Mi’raaj.
Yang pentingnya, kita percaya Nabi Isa tidak dibunuh, tidak
disalib, dipegang jiwanya oleh Allah SWT dan diangkat jasadnya kepadaNya, dan
akan diturunkan ke alam planet bumi ini pada akhir zaman. WaAllahua’lam.
Abu
Zulfiqar
16 September 2012
3 comments:
salam boleh saudara bantu saya dalam untuk mendapatkan rujukan mengenai tentang kisah penyaliban dan paulus dalam penyelewangan yang dilakukannya.saya harap saudara dapat balas..mohd idzwan..013 2507371
Alhamdulillah. Info yg berguna untuk sume umat islam. Daripada surah annisa' ayat 157 & 158 pun da menunjukkan bukti yg nyata sekaligus menyangkal dakwaan yg nabi isa dibunuh..harapan agar iman kta akan bertambah dan sentiasa yakin dgn Allah.
bagaimana tentang peristiwa jasad 'Isa' yang dikatakan bangkit semula selepas dikebumikan dalam gua? satu peristiwa yg dikenang sebagai "easter" oleh 'nasrani' masa kini?
Post a Comment