PENDAHULUAN
Apakah Dajjal itu? Manusiakah? Jin? Kumpulan? Ideologi?
Gergasi? Lain-lain? Ada pelbagai pandangan para ilmuwan dan pengkaji. Tulisan
ini akan membentangkan beberapa sandaran berupa hadis dan atsar yang menyokong
pendapat yang mengatakan Dajjal itu ialah manusia.
SANDARAN-SANDARAN
DAN ULASAN
Suatu hari Rasulullah saw bermimpi bertawaf di Baitullah
dan dia ternampak Nabi Isa dan Dajjal. Katanya : “Dia (Dajjal) itu seorang yang gemuk, berkulit merah, berambut
keriting, matanya buta sebelah, dan matanya itu seperti buah anggur yang
masak.” (Bukhari).
Mula-mula Rasulullah ternampak Nabi Isa dan kemudian dia
ternampak Dajjal. Nabi Isa seorang manusia, maka berkemungkinan besar Dajjal
itu juga seorang manusia. Tambahan lagi ciri-ciri seperti gemuk, berkulit
merah, berambut keriting dan buta sebelah mata ialah ciri-ciri manusia.
(Nabi berkata kepada Saiyidina Umar) : “Jika dia (Ibnu Sayyad, seorang lelaki yang
disangkakan Dajjal oleh sebahagian sahabat) ialah Dajjal, maka engkau tidak
dapat menguasainya. Tapi jika dia bukan, maka tidak ada kebaikan untuk engkau
membunuhnya.” (Bukhari). (1)
Berdasarkan hadis ini, Rasulullah sendiri tidak pasti
sama ada Ibnu Sayyad itu Dajjal ataupun bukan. Dalam artikel ini, perbahasannya
bukanlah Ibnu Sayyad itu Dajjal ataupun bukan, tetapi Dajjal itu manusia ataupun
bukan manusia. Oleh itu kita terus kepada matlamat kita.
Nampaknya Rasulullah sendiri tidak menolak kemungkinan
Dajjal ialah seorang manusia. Kalau tidak, sudah tentu awal-awal lagi dia sudah
memberitahu kepada para sahabat bahawa Ibnu Sayyad bukanlah Dajjal.
Muhammad bin Al-Munkadir berkata, “Aku
menyaksikan Jabir bin Abdullah bersumpah dengan nama Allah bahawa Ibnu Sayyad
ialah Dajjal. Aku bertanya kepadanya, “Engkau bersumpah dengan nama Allah?” Dia
menjawab , “Aku mendengar Umar bersumpah begitu di sisi Nabi tetapi baginda
tidak mengengkarinya.” (Bukhari)
Jelasnya Rasulullah tidak menolak bahawa Dajjal itu
seorang manusia. Jika tidak, sudah tentu dia mengengkari sumpah Saiyidina Umar
yang mengatakan Ibnu Sayyad ialah Dajjal.
Abdullah bin Umar berkata : “Demi Allah, aku
tidak ragu-ragu bahawa Al-Masih Dajjal ialah Ibnu Sayyad.” (Abu Daud)
Memang terdapat beberapa orang sahabat yang percaya
Dajjal ialah manusia, kerana Ibnu Sayyad seorang manusia.
“Dajjal cacat mata
kirinya dan rambutnya keriting seperti buih kerana lebatnya.” (Muslim)
Sekali imbas nampaknya ini ciri-ciri seorang manusia.
“Sesungguhnya
Dajjal itu matanya terhapus dan di atasnya terdapat selaput mata yang tebal…….”
(Muslim)
“Dajjal itu buta
matanya sebelah kiri dan lebat rambutnya.” (Muslim)
Ini juga ciri-ciri seorang manusia.
Lagi bukti para sahabat tidak menolak bahawa Dajjal ialah
manusia :
Ibnu Sayyad (yang dianggap Dajjal) berkata kepada Abu Said, “Aku bertemu orang
ramai dan mereka menyangka aku ini Dajjal. Bukankah engkau pernah mendengar
Rasulullah saw bersabda bahawa Dajjal
tidak punya anak?” Abu Said menjawab , “Betul.” Kata Ibnu Sayyad lagi : “Padahal
aku mempunyai anak…….” (Muslim)
Seterusnya :
“Sesudah itu Allah
mengutus Isa ibnu Maryam, ia seperti ‘Urwah bin Mas’ud ats-Tsaqafi, lalu
muncullah, kemudian dia membunuh Dajjal.” (Muslim, Ahmad)
Nabi Isa membunuh Dajjal. Pernyataan sebegini memang
sesuai untuk manusia.
Dalam Sahih Muslim, diriwayatkan Tamim Ad-Dari bertemu
dengan Dajjal di sebuah pulau. Lelaki itu badannya besar dan terbelenggu.
Rasulullah sendiri mengesahkan orang itu ialah Dajjal.
KESIMPULAN
Berdasarkan sandaran-sandaran yang dikumpulkan ini,
memang sukar untuk kita menafikan bahawa Dajjal bukan manusia. Wallahua’lam.
Abu Zulfiqar
26 September 2012
(1) Ibnu Sayyad
beragama Islam, salah seorang sahabat Nabi, tinggal di Madinah,
mengerjakan haji dan pernah berjihad. Masih kecil ketika Rasulullah tiba di
Madinah. Ada maklumat mengatakan dia seorang Ansar dan ada yang kata dia
asalnya Yahudi Madinah.
No comments:
Post a Comment