Kajian dan pemerhatian ringkas tentang Al-Quran, As-Sunnah (hadis), agama-agama dunia, kitab-kitab suci pelbagai agama, manuskrip-manskrip kuno, alam semesta (bumi dan angkasa lepas), ilmu perbandingan agama, sejarah, peristiwa-peristiwa akhir zaman, kiamat, alam akhirat, alam ghaib, sains, astronomi (falak) dan lain-lain ilmu alam.

Thursday, September 27, 2012

Nasser Al-Yamani, Saqar Bukanlah Planet Nibiru


PENDAHULUAN

Nasser Mohamed Al-Yamani  mengaku sebagai Al-Mahdi. Abdul Aziz Muhammad Nasir di Lombok pula mengakui dirinya sebagai Pemuda Bani Tamim merangkap Al-Mahdi Cucu Nabi Ibrahim, malah kononnya Ka’abah didirikan oleh Nabi Ibrahim untuk diri Abdul Aziz.  Melampau hebatnya. Aziz Lombok juga mengakui Nasser Al-Yamani sebagai Al-Mahdi utama, iaitu Al-Mahdi Cucu Nabi Muhammad. Maksudnya ada dua Al-Mahdi sekaligus.

Selain itu, Nasser Al-Yamani turut mendakwa tafsirannya akan ayat-ayat Al-Quran datang terus daripada Allah. Oleh itu semua tafsirannya kebal daripada sebarang kesalahan melainkan betul dan tepat belaka. Namun hal itu ternyata tidak benar apabila banyak tafsirannya yang tersasar.

Sebelum ini saya sudah membentangkan kesalahan Nasser Al-Yamani yang mengatakan kalimah ‘SIJJIL’ dalam Al-Quran merujuk kepada Planet Nibiru/Planet X, jasad Nabi Isa sedang berada di sebuah gunung di Yaman dan Nabi Muhammad diambil jiwanya oleh Allah ketika peristiwa Mi’raaj. Kali ini akan dihidangkan pula kesalahan  Nasser yang mengatakan kalimah ‘SAQAR’ dalam Al-Quran ialah PLANET NIBIRU/PLANET X.

Sebenarnya ada banyak lagi kesilapan Nasser dalam mentafsir, yang insya-Allah akan kita bongkar dari semasa ke semasa. Yang benar daripadanya, tidak pernah kita tolak. Kita hanya menolak apa yang salah dan mempertikai apa yang lemah sahaja.

AYAT TENTANG ‘SAQAR’

Tuhan berfirman :
Lalu dia (?) berkata : “(Al-Quran) ini hanyalah sihir yang dipelajari (dari orang-orang terdahulu).”
“(Al-Quran) Ini hanyalah perkataan manusia.”
“(Maka) nanti Aku (Allah) akan memasukkannya ke dalam SAQAR.”
“Dan tahukan kamu apakah SAQAR itu?”
“Ia tidak meninggalkan dan tidak membiarkan.”
“Yang menghanguskan kulit manusia.”
 (Al-Mudaththir : 24-29)

SIAPAKAH ORANG ITU?

Siapakah orang yang dimaksudkan dalam ayat ini?  Orang itu ialah Al-Walid bin Mughirah, salah seorang penentang Nabi Muhammad saw di Makkah. Apa maklumat yang Quran berikan kepada kita tentang orang dalam surah ini?

“Dan Aku (Allah) berikannya kekayaan yang melimpah.”
“Dan anak-anak yang selalu bersama-samanya.”
(Al-Mudaththir : 12-13)

Lelaki yang dimaksudkan dalam Surah Al-Mudaththir ini ialah :
1.      Seorang yang kaya-raya.
2.      Anak-anaknya selalu berada bersama-sama dengannya.

Orang yang tidak ada ciri-ciri di atas bukanlah lelaki yang dimaksudkan dalam surah ini. Secara tepatnya, lelaki itu ialah Al-Walid bin Al-Mughirah.

APAKAH KESALAHANNYA?

Apakah kesalahan yang dilakukan oleh lelaki ini? Dia tidak percaya kepada Al-Quran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad saw, malah menganggap Al-Quran sebagai perkataan-perkataan sihir yang dipelajari aripada orang-orang terdahulu. Buktinya :
Lalu dia berkata : “(Al-Quran) ini hanyalah sihir yang dipelajari (dari orang-orang terdahulu).”
“(Al-Quran) Ini hanyalah perkataan manusia.”
“(Maka) Nanti Aku (Allah) akan memasukkannya ke dalam Saqar.”

Apakah balasan Allah terhadap Al-Walid bin Al-Mughirah? Dia akan dimasukkan ke dalam SAQAR.

SAQAR IALAH PLANET NIBIRU/SIJJIL?

Menurut Nasser Al-Yamani yang mengaku sebagai Al-Mahdi dan mengaku tafsirannya tentang ayat-ayat Al-Quran adalah kebal daripada kesalahan kerana tafsirannya datang terus daripada Allah SWT, SAQAR ialah PLANET NIBIRU/PLANET X/SIJJIL. Tentang SIJJIL, kita sudah buktikan kesalahan Nasser Al-Yamani kerana SIJJIL bukanlah PLANET NIBIRU. Kali ini kita akan buktikan Nasser tersilap tafsir lagi apabila dia percaya SAQAR ialah Planet Nibiru.

Menurut Nasser, SAQAR/NIBIRU akan datang melewati/melintasi bumi tidak lama lagi. Persoalannya, apakah Al-Walid bin Mughirah akan dimasukkan ke dalam PLANET NIBIRU? Bukankah Al-Walid bin Mughirah sudah lama meninggal dunia? Betulkah kulit Al-Walid bin Mughirah akan dibakar oleh PLANET NIBIRU? Bukankah kulitnya sudah lama hancur lebur di dalam tanah?

Al-Walid sudah lama mati. Apabila NIBIRU melintas nanti (sekiranya benar ada planet Nibiru melintas), Al-Walid tidak ada dalam kalangan kita. Bagaimana dia hendak dimasukkan ke dalam NIBIRU/SAQAR? Kulit tubuh Al-Walid juga sudah tidak ada. Bagaimana kulitnya hendak dibakar oleh NIBIRU/SAQAR?

Maksudnya, PLANET NIBIRU bukanlah SAQAR. SAQAR ialah api (NAAR) iaitu salah satu daripada neraka. SAQAR ini akan menyeksa manusia selepas YAUMUL QIYAMAH (hari kebangkitan semula) di akhirat nanti, bukannya ia muncul dan menyeksa manusia di muka bumi hari ini.

BILA DAN DI MANA SAQAR ITU?

Apa bukti mengatakan SAQAR itu pada hari akhirat (Yaumul Qiyamah) nanti?
“Kecuali golongan kanan (orang-orang beriman).”
“(Mereka) berada di dalam JANNAH (SYURGA), mereka saling menanyakan.”
“Tentang orang-orang yang berdosa.”
“Apa yang menyebabkan kamu masuk ke dalam SAQAR?”
“Mereka (yang berdosa) menjawab : “Dahulu kami tidak termasuk orang-orang yang melaksanakan solat.”
“Dan kami tidak memberi makan orang miskin.”
“Bahkan kami biasa berbincang bersama-sama orang-orang yang membicarakannya.”
“Dan kami mendustakan hari AD-DIIN (pembalasan).”
“Sampai datang kepada kami AL-YAQIIN (perkara-perkara yang mendatangkan keyakinan).”
(Al-Mudaththir : 39-47)

Dialog di atas berlaku di alam akhirat ataupun alam dunia? Tentunya di alam akhirat kerana ketika itu orang-orang baik sudah pun berada di dalam syurga (jannah). Orang di dalam syurga bertanya/berdialog kepada orang-orang di dalam SAQAR. Begitulah cerita ayat-ayat di atas.

Persoalannya, betulkah orang-orang di dalam syurga berbicara dengan orang-orang di PLANET NIBIRU? Ataupun sebenarnya orang-orang di syurga berbicara kepada orang-orang di dalam neraka? Apakah di alam akhirat nanti ada PLANET NIBIRU/PLANET X?

APAKAH KRITERIA ORANG-ORANG YANG DIAZAB DENGAN SAQAR?

Kemudian, mengapakah mereka dimasukkan ke dalam SAQAR? Adakah kerana mereka menolak daripada mengakui Nasser Al-Yamani sebagai Al-Mahdi dan Aziz Lombok sebagai Pemuda Bani Tamim? Kita lihat apa kata Al-Quran :
“Apa yang menyebabkan kamu masuk ke dalam SAQAR?”
“Mereka (yang berdosa) menjawab : “Dahulu kami tidak termasuk orang-orang yang melaksanakan solat.”
“Dan kami tidak memberi makan orang miskin.”
“Bahkan kami biasa berbincang bersama-sama orang-orang yang membicarakannya.”
“Dan kami mendustakan hari AD-DIIN.”
“Sampailah datang kepada kami AL-YAQIIN (hal-hal yang mendatangkan keyakinan).”
(Al-Mudaththir : 42-47)

Ternyata mereka dimasukkan ke dalam SAQAR kerana tidak bersembahyang, DAN tidak menolong orang-orang miskin, DAN tidak percaya kepada hari pembalasan iaitu hari akhirat. Di sini pun sudah sangat jelas kepalsuan dan kesalahan tafsir yang dibuat oleh Al-Yamani.

Sekiranya SAQAR itu membakar manusia di dunia ini, bagaimana manusia yang beriman dengan yang terasing boleh diasing-asingkan? Bagaimana PLANET NIBIRU mahu membakar hanya orang –orang yang tidak bersembahyang, DAN tidak menolong orang-orang miskin, DAN tidak percaya kepada hari pembalasan iaitu hari akhirat, dan dalam masa yang sama tidak membakar orang-orang beriman? Siapa yang mengkelaskan dan mengasingkan antara orang-orang yang baik dengan orang-orang jahat (yang disebutkan dalam surah itu tadi)? Di akhirat memang akan ada pengasingan, tapi di dunia tidak ada.

APA BUKTI SAQAR ITU DI ALAM AKHIRAT?

Kemudian orang-orang yang diseksa dengan SAQAR mengakui kesalahan-kesalahan yang mereka lakukan sepanjang hayat mereka itu berterusan sehinggalah mereka mati. Sebab itulah mereka diseksa dengan SAQAR. Oleh itu mana mungkin SAQAR itu mengazab manusia sebelum alam akhirat. Buktinya :
“Sampailah datang kepada kami AL-YAQIIN (hal-hal yang mendatangkan keyakinan).”

Apakah maksud ‘AL-YAQIIN’? Keyakinan tentang apa? Sekali lagi kita semak ayat-ayat lain yang menggunakan perkataan ini.
“Maka alangkah eloknya kalau sewaktu (nyawa seseorang) sampai ke kerongkongnya.”
“Sedang kamu pada masa itu menyaksikan keadaannya.”
“Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada kamu.”
“Maka bukankah elok kalau kamu (iaitu) orang-orang yang tidak dikuasai (yang enggan tunduk kepada Tuhan).”
“Kamu  kembalikanlah nyawa itu jika betul kamu orang-orang yang benar.”
“Kesudahannya, jika ia (si mati) dalam kalangan orang-orang muqarrabiin.”
“Maka (dapatlah ia) rehat kesenangan, dan rahmat kesegaran, serta jannah (syurga) kenikmatan.”
“Dan jika ia daripada golongan kanan.”
“Maka selamat sejahteralah kepada kamu (yang) dari golongan kanan.”
“Dan jika ia daripada (golongan kiri) yang mendustakan, lagi sesat.”
“Maka sambutan yang disediakan baginya ialah air panas menggelegak.”
“Serta bakaran JAHIMM (neraka).”
“Sesungguhnya  itu adalah benar AL-YAQIIN.”
(Al-Waaqi’ah : 83-95)

‘AL-YAQIN’ dalam ayat ini ialah sakaratul maut, kematian, alam akhirat, pembahagian manusia kepada 3 golongan di akhirat, syurga dan neraka jahannam.  Sebelum melalui peristiwa-peristiwa ini, ramai manusia yang tidak yakin tentangnya. Apabila tiba sakaratul maut, barulah mereka meyakini hal ehwal sakaratul maut itu. Apabila tiba hari akhirat, barulah mereka yakin akan hal ehwal hari akhirat itu. Apabila sudah terlihat syurga JANNAH dan neraka JAHIMM, barulah mereka yakin kedua-duanya. Jadi AL-YAQIN itu ialah peristiwa-peristiwa ghaib yang bakal terjadi kepada manusia, yang apabila mereka sudah bertemu dengannya, ketika itu tidak boleh tidak mereka pasti yakin ia memang ada.

Berbalik kepada orang-orang yang dikenakan azab neraka SAQAR, pada asalnya mereka tidak yakin tentang hal-hal ghaib lalu mereka tidak bersembahyang, DAN tidak menolong orang-orang miskin, DAN tidak percaya kepada hari pembalasan iaitu hari akhirat. Apabila tiba AL-YAQIN bermula dengan alam sakaratul maut, barulah orang-orang itu yakin/ percaya/ beriman dengan alama sakaratul maut. Apabila tiba alam akhirat, barulah mereka percaya/yakin kewudjuan alam akhirat. Apabila melihat syurga dna neraka, barulah mereka yakin/percaya kedua-duanya. Jadi mereka bertemu SAQAR sesudah kematian, iaitu di alam akhirat, bukannya di dunia ini.

Dalam surah lain, maksud firman Tuhan :
“Kamu akan melihat JAHIIM (neraka).”
“Kemudian kamu akan melihatnya dengan penglihatan AL-YAQIIN.” (At-Takaathur : 7)

Kisah ini juga berlatarbelakangkan alam akhirat, kerana neraka JAHIMM itu di akhirat, bukannya di dunia ini. Apabila manusia dan jin sudah melihat neraka JAHIMM, ketika itu mereka pasti yakin (walaupun sebelumnya ketika di dunia mereka tidak yakin) kewujudannya. Keyakinan mereka ketika ini ialah ditahap ‘AINUL YAQIIN’ iaitu yakin dengan melihat. Maksudnya, apabila sudah melihat, barulah percaya.

Dalam Surah Al-Waaqi’ah yang kita bincangkan sebelum ini, istilah yang digunakan ialah ‘HAQQUL YAQIIN’ iaitu yakin dengan sebenar-benar yakin, kerana mereka sudah pun merasai/dimasukkan ke dalam neraka JAHIIM itu. Keyakinan peringkat ‘rasa’ ini adalah lebih kuat daripada keyakinan peringkat ‘lihat’.

Jelaslah kepada kita bahawa seksaan SAQAR berlaku selepas manusia mati, iaitu selepas manusia dibangkitkan semula di akhirat nanti. Jadi seksaan SAQAR bukanlah berlaku di dunia ini tetapi di alam akhirat.

(*KEYAKINAN AKAN PERKARA-PERKARA GHAIB adalah dalam tiga peringkat. Umumnya orang-orang yang belajar tentang sakaratul maut, maut, alam akhirat, syurga neraka dan lain-lain di dunia ini berada pada YAKIN TAHAP 1 iaitu ILMU YAQIIN. Kita yakin perkara-perkara itu melalui ilmu-ilmu yang kita pelajari di dunia ini. Kita belum melihatnya dan belum merasainya.

Kemudian apabila tiba masanya dan kita mula melihat perkara-perkara itu, ketika itu keyakinan kita naik ke tahap kedua iaitu AINUL YAQIIN. Kita bertambah yakin kerana sudah melihatnya.

Kemudian apabila kita merasai sendiri hal-hal itu, maka sampailah kita ke tahap yakin dengan hak atau sebenar-benar yakin, iaitu HAQQUL YAQIIN.)

LAGI KATA QURAN TENTANG SAQAR

Kita lihat pula perihal SAQAR dalam surah yang lain :
“Bahkan AS-SAA’AH (saat kehancuran) itulah yang dijanjikan kepada mereka, dan AS-SAA’AH itu amat dahsyat dan amat pahit.”
“Sesungguhnya orang-orang berdosa dalam DALAL (kesesatan) dan dalam SU’UR (kegilaan).”
“Pada hari mereka diseret dalam NARR (neraka) atas muka mereka. Rasakanlah sentuhan/bakaran SAQAR (api neraka yang membakar kulit).”
(Al-Qamar : 46-48)

Bilakah manusia diseret di atas muka mereka di dalam neraka? Tentunya pada hari akhirat, bukannya di dunia ini. Mereka diseret dalam neraka lalu dikatakan kepada mereka : “Rasakanlah sentuhan/bakaran SAQAR”. Jadi di manakah SAQAR itu? Di dunia atau di akhirat? Tentulah di akhirat dan SAQAR itu ialah neraka.

Jelaslah kepada kita, SAQAR bukanlah PLANET NIBIRU/PLANET X. Sekiranya benarlah ada benda-benda angkasa yang melewati bumi (termasuklah Nibiru/Planet X) tidak lama lagi, ia tetap bukan SAQAR.

KESIMPULAN

1.      Sekali lagi Nasser Al-Yamani tersilap mentafsir Al-Quran.
2.      Terbukti SAQAR bukannya Planet Nibiru/ Planet X.
3.      Terbukti lagi bahawa tafsirannya bukanlah datang terus daripada Allah dan kebal daripada sebarang kesalahan sebagaimana yang didakwanya. Tafsirannya hanyalah datang daripada pemikirannya sendiri dan dihembuskan secara halus oleh syaitan-syaitan yang disangkakannya Tuhan.
4.      Nasser Mohamed ini bukanlah Al-Mahdi.

Abu Zulfiqar
21 September 2012

Wednesday, September 26, 2012

Dajjal Itu Seorang Manusia?

PENDAHULUAN

Apakah Dajjal itu? Manusiakah? Jin? Kumpulan? Ideologi? Gergasi? Lain-lain? Ada pelbagai pandangan para ilmuwan dan pengkaji. Tulisan ini akan membentangkan beberapa sandaran berupa hadis dan atsar yang menyokong pendapat yang mengatakan Dajjal itu ialah manusia.

SANDARAN-SANDARAN DAN ULASAN

Suatu hari Rasulullah saw bermimpi bertawaf di Baitullah dan dia ternampak Nabi Isa dan Dajjal. Katanya : “Dia (Dajjal) itu seorang yang gemuk, berkulit merah, berambut keriting, matanya buta sebelah, dan matanya itu seperti buah anggur yang masak.” (Bukhari).

Mula-mula Rasulullah ternampak Nabi Isa dan kemudian dia ternampak Dajjal. Nabi Isa seorang manusia, maka berkemungkinan besar Dajjal itu juga seorang manusia. Tambahan lagi ciri-ciri seperti gemuk, berkulit merah, berambut keriting dan buta sebelah mata ialah ciri-ciri manusia.

(Nabi berkata kepada Saiyidina Umar) : “Jika dia (Ibnu Sayyad, seorang lelaki yang disangkakan Dajjal oleh sebahagian sahabat) ialah Dajjal, maka engkau tidak dapat menguasainya. Tapi jika dia bukan, maka tidak ada kebaikan untuk engkau membunuhnya.” (Bukhari). (1)

Berdasarkan hadis ini, Rasulullah sendiri tidak pasti sama ada Ibnu Sayyad itu Dajjal ataupun bukan. Dalam artikel ini, perbahasannya bukanlah Ibnu Sayyad itu Dajjal ataupun bukan, tetapi Dajjal itu manusia ataupun bukan manusia. Oleh itu kita terus kepada matlamat kita.

Nampaknya Rasulullah sendiri tidak menolak kemungkinan Dajjal ialah seorang manusia. Kalau tidak, sudah tentu awal-awal lagi dia sudah memberitahu kepada para sahabat bahawa Ibnu Sayyad bukanlah Dajjal.

Muhammad bin Al-Munkadir berkata, “Aku menyaksikan Jabir bin Abdullah bersumpah dengan nama Allah bahawa Ibnu Sayyad ialah Dajjal. Aku bertanya kepadanya, “Engkau bersumpah dengan nama Allah?” Dia menjawab , “Aku mendengar Umar bersumpah begitu di sisi Nabi tetapi baginda tidak mengengkarinya.” (Bukhari)

Jelasnya Rasulullah tidak menolak bahawa Dajjal itu seorang manusia. Jika tidak, sudah tentu dia mengengkari sumpah Saiyidina Umar yang mengatakan Ibnu Sayyad ialah Dajjal.

Abdullah bin Umar berkata : “Demi Allah, aku tidak ragu-ragu bahawa Al-Masih Dajjal ialah Ibnu Sayyad.” (Abu Daud)

Memang terdapat beberapa orang sahabat yang percaya Dajjal ialah manusia, kerana Ibnu Sayyad seorang manusia.

“Dajjal cacat mata kirinya dan rambutnya keriting seperti buih kerana lebatnya.” (Muslim)

Sekali imbas nampaknya ini ciri-ciri seorang manusia.

“Sesungguhnya Dajjal itu matanya terhapus dan di atasnya terdapat selaput mata yang tebal…….” (Muslim)

“Dajjal itu buta matanya sebelah kiri dan lebat rambutnya.” (Muslim)

Ini juga ciri-ciri seorang manusia.

Lagi bukti para sahabat tidak menolak bahawa Dajjal ialah manusia :
Ibnu Sayyad (yang dianggap Dajjal)  berkata kepada Abu Said, “Aku bertemu orang ramai dan mereka menyangka aku ini Dajjal. Bukankah engkau pernah mendengar Rasulullah saw bersabda  bahawa Dajjal tidak punya anak?” Abu Said menjawab , “Betul.” Kata Ibnu Sayyad lagi : “Padahal aku mempunyai anak…….” (Muslim)

Seterusnya :
“Sesudah itu Allah mengutus Isa ibnu Maryam, ia seperti ‘Urwah bin Mas’ud ats-Tsaqafi, lalu muncullah, kemudian dia membunuh Dajjal.” (Muslim, Ahmad)

Nabi Isa membunuh Dajjal. Pernyataan sebegini memang sesuai untuk manusia.

Dalam Sahih Muslim, diriwayatkan Tamim Ad-Dari bertemu dengan Dajjal di sebuah pulau. Lelaki itu badannya besar dan terbelenggu. Rasulullah sendiri mengesahkan orang itu ialah Dajjal.

KESIMPULAN

Berdasarkan sandaran-sandaran yang dikumpulkan ini, memang sukar untuk kita menafikan bahawa Dajjal bukan manusia. Wallahua’lam.

Abu Zulfiqar
26 September 2012


(1)   Ibnu Sayyad  beragama Islam, salah seorang sahabat Nabi, tinggal di Madinah, mengerjakan haji dan pernah berjihad. Masih kecil ketika Rasulullah tiba di Madinah. Ada maklumat mengatakan dia seorang Ansar dan ada yang kata dia asalnya Yahudi Madinah.

Friday, September 21, 2012

Nabi Isa, Ruh, Jiwa, Zat Allah, Qalb, Arasy


SAHABAT MENULIS :
Salam Ustaz..
Minta maaf kerana persoalan saya menganggu ustaz.Saya hanyalah pelajar baru yang mengikuti pelajaran tasawuf dan masih banyak persoalan tentang kehidupan. Minta ustaz perbetulkan saya andai tersalah dari syariat Islam..

ABU ZULFIQAR :
Wlksm tuan,
Sebenarnya tuan tidak mengganggu saya pun, kerana memang minat saya mengkaji. Kita sama sahaja, masing-masing sedang belajar. Jadi kita di sini berkongsi maklumat untuk menambahkan pengetahuan dan keimanan, insya-Allah.


SAHABAT MENULIS :
Izinkan saya menambah pendapat saya di persoalan ustaz. Bagi saya, memang Nabi Isa as telah naik ke hadrat Ilahi, akan tetapi apa yang naik? Jasadnya atau rohnya?

ABU ZULFIQAR :
Ayat yang berkaitan dengan hal ini ialah :
“Ketika Allah berfirman : “Wahai Isa! Aku mengambilmu (MUTAWAFFIIKA) dan Aku mengangkatmu (RAAFI’UKA) kepada-Ku, dan menyucikanmu daripada orang-orang yang kafir, dan menjadikan orang-orang yang mengikutimu di atas orang-orang yang kafir hingga hari kiamat. Kemudian kepada-Ku engkau kembali (MARJI’UKUM), lalu Aku beri keputusan tentang apa yang kamu perselisihkan.” (Ali Imran : 55)

Yang diangkat (RAAFI’UKA) ialah jasad Nabi Isa, sedangkan jiwanya ‘DIPEGANG’ oleh Allah SWT (MUTAWAFFIIKA). Tentang rohnya, saya tidak tahu kerana persoalan ruh ini sangat rumit untuk diperkatakan.

Firman Tuhan :
“Dan mereka bertanya kepadamu tentang ruh. Katakanlah : “Ruh itu dari perintah Rabbku, sedangkan kamu diberi pengetahuan hanya sedikit.” (Al-Isra’ : 85)

Ketika kita tidur, jiwa kita ‘dipegang’ Allah tapi badan kita masih bernyawa. Maksudnya pada badan kita yang sedang lena itu masih ada ruh walaupun jiwa sudah ‘dipegang’ oleh Allah.

Buktinya :
“Allah mengambil jiwa (YATAWAFFA) seseorang ketika matinya dan (juga kepada  seseorang) yang belum mati (iaitu) ketika tidurnya, maka Dia tahan jiwa (orang) yang telah Dia tetapkan kematiannya dan Dia lepaskan jiwa yang lain (yang belum sampai waktu kematiannya) sehinggalah waktu yang ditentukan. Sesungguhnya pada yang demikian terdapat tanda-tanda Allah bagi kaum yang berfikir.” (Az-Zumar : 42)

“Dan Dialah yang menidurkan kamu (YATAWAFFAAKUM) pada malam hari dan Dia mengetahui apa yang kamu kerjakan pada siang hari. Kemudian DIA MEMBANGUNKAN KAMU PADA SIANG HARI untuk disempurnakan umur kamu yang telah ditetapkan. Kemudian kepada-Nya tempat kamu kembali (MARJI’UKUM), lalu Dia memberitahukan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Al-An’am ; 60)

Kedua-dua ayat di atas menunjukkan ketika kita tidur, jiwa kita diambil/dipegang Tuhan. Sungguhpun jiwa kita sedang diambil/dipegang oleh Tuhan, tapi jasad kita yang sedang lena masih bernyawa, masih ada ruh.
Hujah mengatakan jasadnya yang diangkat kepada Tuhan boleh disemak semula dalam tulisan saya bertajuk “Naser, Jasad Nabi Isa Bukan di Yaman” http://myalexanderwathern.blogspot.com/2012/09/nasser-jasad-nabi-isa-bukan-di-yaman.html .

Untuk memahami perbezaan antara RUH dan JIWA (NAFS), boleh rujuk semula tulisan saya bertajuk “Perbezaan Antara Roh dan Jiwa” http://myalexanderwathern.blogspot.com/2012/09/perbezaan-antara-roh-dan-jiwa.html .


SAHABAT MENULIS :
Pada setiap manusia ada Dzat Allah swt iaitu ROH, kerana telah dicampakkan sewaktu kejadian Adam as. Maka, sudah tentu yang kembali kepadaNya adalah roh Nabi Isa. Namun, tidaklah menyatakan jasad itu bukan dari Allah swt, akan tetapi penciptaanNya sudah tidak secara langsung berbanding ROH ALLAH yang dicampakkan terus ke jasad Adam as.

ABU ZULFIQAR :
Pada setiap manusia tidak ada Zat Allah, kerana Zat Allah dan zat manusia (dan zat semua makhluk) saling berlawanan. Zat Allah tidak bersentuh dengan zat manusia, tetapi tidak juga terpisah. Kata ulama dulu-dulu, tidak bersekutu tidak bercerai. Ruh bukan Zat Allah. Zat Allah juga bukan ruh.

Bukti mengatakan Zat Allah tidak sama dengan zat manusia ialah :
“Tidak ada suatu apa apapun yang serupa dengan-Nya.” (Asy-Syura : 11)

“Tidak ada suatu pun yang sekufu/setanding/semacam dengan-Nya.” (Al-Ikhlass : 4)

Jika kita menganggap roh itu Zat Allah, maka kita mesti berabdi dan menyembah roh sebagai Tuhan juga,  kita mesti berIlahkan roh. Namun kita sedia tahu, roh bukan Tuhan, bukan Ilah, bukan Rabb. Sebab itu kita tidak menganggap roh sebagai Tuhan. Tuhan ialah Allah SWT, sedangkan roh bukan Tuhan, bukan Allah SWT.

Jika pada diri manusia ada Zat Allah, maka manusia juga sepatutnya dinobatkan sebagai Allah. Tapi kita tahu hal itu tidak berlaku. Mustahil untuk Zat Tuhan bersekutu dengan makhluk.

Ruh Nabi Isa juga belum KEMBALI (IRJA’) kepada Allah, kerana KEMBALI kepada Allah (IRJA’) hanya berlaku selepas Yaumul Qiyamah (Hari Kiamat) iaitu Hari Kebangkitan Semula di akhirat sana. Mati atau meninggal dunia disebut ‘MAUT’, bukannya IRJA’.

Bukti mengatakan KEMBALI (RAJA’A) hanya berlaku selepas hari kehancuran :
“Bagaimana kamu engkar kepada Allah, padahal kamu (asalnya) mati (iaitu sebelum kita dilahirkan), lalu Dia menghidupkan kamu (di dunia), kemudian Dia mematikan kamu (meninggal dunia), lalu Dia menghidupkan kamu kembali (pada hari akhirat). KEMUDIAN kepada-Nyalah kamu dikembalikan (TURJA’UN, dari perkataan IRJA’).” (Al-Baqarah : 28)

Selepas kita dihidupkan kembali di alam akhirat, barulah kemudiannya kita KEMBALI (IRJA’/TURJA’UN). Oleh Itu, Nabi Isa belum KEMBALI kepada Allah. Ruhnya belum kembali kepada Allah.

Bukti mengatakan mati/meninggal dunia menggunakan kalimah ‘MAUT’ :
“Dan mereka (orang-orang Yahudi) tidak akan mengharapkan MAUT (KEMATIAN) itu selamanya disebabkan kejahatan yang telah mereka perbuat dengan tangan sendiri.” (Al-Jumu’ah : 7)

“Bagaimana kamu engkar kepada Allah, padahal kamu (asalnya) mati (iaitu sebelum kita dilahirkan), lalu Dia menghidupkan kamu (di dunia), kemudian Dia mematikan kamu (YUMIITUKUM, daripada perkataan MAUT), lalu Dia menghidupkan kamu kembali (pada hari akhirat). Kemudian kepada-Nyalah kamu dikembalikan.” (Al-Baqarah : 28)

Di sini kita perhatikan terdapat perbezaan antara MAUT dengan KEMBALI KEPADA ALLAH. Kesimpulannya, ruh Nabi Isa belum kembali kepada Allah.


SAHABAT MENULIS :
Dan ke 2 adalah mana mungkin Allah swt mencipta 'rule' atau ketetapan bahawa jasad manusia tempatnya di bumi akan menidakkan dengan membenarkan jasad manusia keluar dari ketetapan itu. Contohnya orang ke bulan tanpa memakai sut untuk ke sana.. pasti hancurlah jasad itu kerana tekanan vakum di atas sana..

ABU ZULFIQAR :
Tentang kesesuaian jasad manusia di langit, hal itu tidak menjadi masalah kerana jasad Nabi Muhammad melewati ketujuh-tujuh langit dalam peristiwa Mi’raaj. Nabi Adam dan Hawa pun sebelum turun ke planet bumi, jasad mereka tidak mengalami sebarang masalah. Seandainya benar pulalah kisah Nabi Idris ‘diangkat’ ke langit dalam keadaan jaga, hal itu juga menjadi bukti tidak rosaknya jasad manusia di luar planet bumi.

Lagi pun Allah berkuasa memelihara jasad mana-mana makhluk di mana sahaja. Sefaham kita, apabila jasad manusia dikebumikan di dalam tanah, akan hancurlah jasad itu akibat tanah dan makhluk-makhluk di dalamnya. Tapi kan selalu kita terdengar jasad manusia yang soleh-soleh tidak rosak akibat tanah dan haiwan-haiwan di dalamnya itu? Jika di dalam tanah yang mengahancurkan pun jasad sebahagian manusia tidak rosak, maka di tempat selain palent bumi pun jasad manusia boleh tidak rosak, atas izin Allah. Maksudnya ketentuan Allah yang tuan maksudkan itu boleh kita pertikaikan dan buat penyelidikan lanjut lagi.


SAHABAT MENULIS :
Namun, Ia juga tidak mustahil kerana oleh kerana Allah swt itu boleh ada di mana-mana, mungkin bumi ini adalah syurga dan neraka..dan Nabi Isa as diletakkan di sampingNya di bumi kerana Allah swt itu lebih hampir dengan manusia lebih dari urat leher manusia dan lebih hampir dari hati manusia. Maka jikalau manusia dibumi, pastilah Allah swt ada di sini...penciptaan Adam as juga di sini..Iblis juga di sini..dan para malaikat juga di sini..juga Arash Allah swt juga di sini..

ABU ZULFIQAR :
Zat Allah SWT tidak boleh berada di mana-mana. Hal ini kerana Zat Allah tidak terpengaruh dengan tempat, lokasi, posisi dan tidak terpengaruh dengan “di mana-mana”. Sebelum adanya tempat, lokasi dan posisi, ZatNya sudah sedia ada. Sebelum ada langit dan bumi, ZatNya sudah sedia ada, tanpa dipengaruhi oleh apa-apa makhluk termasuklah langit dan bumi.

Imam Al-Ghazali berkata dalam Ihya’ ‘Ulumiddin :
“Maha Suci Dia daripada dipengaruhi oleh tempat, sebagaimana Maha Suci Dia daripada dibataskan oleh waktu. Tetapi adalah Dia sebelum dijadikan zaman dan tempat.”

Selepas Dia menciptakan makhluk termasuklah tempat, lokasi dan posisi, ZatNya masih seperti dulu juga, langsung tidak mengalami sebarang perubahan. Jika ZatNya pernah mengalami walau sekelumit perubahan, bermaksud dia bukan Tuhan. Allah tidak terpengaruh dengan perubahan. Oleh itu, Allah tidak berada di mana-mana. Yang tepatnya, Allah tidak terpengaruh dengan tempat. Oleh itu juga, Allah tidak berada di planet bumi.

Firman Tuhan :
“Segala sesuatu pasti binasa melainkan Wajah Allah.” (Al-Qasas : 88)
‘Binasa’ akan berlaku selepas berlakunya perubahan. Apabila berlaku perubahan barulah boleh binasa, padahal Zat Allah tidak terpengaruh dengan perubahan.

Imam Al-Ghazali mengatakan dalam Ihya’ ‘Ulumiddin :
“Dia Maha Suci daripada perubahan dan perpindahan.”

Hasan Al-Banna dalam Allah Dan Aqidah Islamiyyah pula berkata :
“Maka sifat berjisim itu ternafi daripada Allah kerana benda itu berubah-ubah, sedangkan Al-Khaliq jauh sekali daripada sifat-sifat berubah.”

Hampirnya Allah dengan urat leher kita, tidaklah sama dengan hampirnya makhluk dengan makhluk. Contoh hampir sesama makhluk : pen di sebelah buku. Ya, itu hampir dari segi tempat dan jasad kerana kedua-duanya berjisim. Maksudnya kedua-dua benda itu rapat dari segi jarak dan jasad.  Tapi hampirnya Allah dengan urat leher tidak boleh kita samakan dengan hampirnya sesama makhluk. Hal ini kerana Zat Allah tidak terpengaruh dengan tempat dan lokasi, ZatNya tidak terpengaruh dengan jisim. Ia tidak membawa maksud Zat Allah ada di dalam tengkuk kita. Apa sahaja yang hampir ataupun berada di dalam tengkuk/leher kita, itu ialah makhluk, kerana Zat Allah tidak terpengaruh dengan tempat termasuklah leher manusia.

Imam Al-Ghazali menulis dalam Ihya’ ‘Ulumiddin :
“(Zat Allah) tidak menyerupai kehampiranNya dengan kehampiran di antara tubuh-tubuh.”

Bercakap tentang hati manusia, kita kena pastikan, ‘hati’ yang manakah yang dimaksudkan? Ada dua jenis hati :
1.       QALB Iaitu hati berupa daging jantung yang berada di dalam rongga dada manusia, yang mengalir keluar masuk darah di dalamnya dan mempunyai salur-salur. Jantung ini boleh dilihat, dipegang, dipotong dan dimusnahkan.
2.       QALB Iaitu hati yang berkaitan dengan ruh, akal fikiran, perasaan, jiwa, kalbu dan seumpamanya. Hati jenis ini tidak boleh dilihat, dijamah, dipotong dan dihancurkan.

Mengapa saya menyamakan hati dengan daging jantung dan bukannya daging hati? Kerana kekeliruan tafsiran bahasa Melayu tentang istilah ‘hati’ dalam bahasa Arab iaitu QALB. Apabila berbicara tentang PERASAAN/KALBU, Al-Quran dan hadith menyebutnya sebagai QALB.

Contoh mudah, orang Arab mengatakan : “QALB aku sakit melihat perangai jahat budak itu.”
Apabila diterjemah ke bahasa Melayu sepatutnya ia berbunyi : “JANTUNG aku sakit melihat perangai jahat budak itu.” Hal ini kerana QALB ialah JANTUNG, bukannya HATI.
Tapi apabila ayat di atas diubah ke bahasa Melayu, orang Melayu menyebutnya sebagai : “HATI aku sakit melihat perangai jahat budak itu.” Di situlah terubahnya istilah yang sebenar.

QALB ialah JANTUNG. Untuk hati, bahasa Arab menyebutnya sebagai KABID. Sebab itulah saya menyamakan hati dengan jantung, bukannya dengan daging hati.

Bukti kata-kata saya ini ialah sebuah hadith :
“Seseungguhnya di dalam jasad ada seketul daging, apabila (ia) baik nescaya baiklah seluruh jasad, dan apabila (ia) jahat nescaya jahatlah seluruh jasad.” Ketahuilah, itulah QALB.” (Bukhari dan Muslim)

QALB dalam hadith ini ada dua jenis :
1.       QALB berupa daging jantung. Kalau jantung sudah rosak atau lemah, rosaklah atau lemahlah seluruh anggota.
2.       QALB berupa perasaan, nurani, akal, fikiran dan seumpamanya. Jika yang ini rosak/jahat, maka rosak’jahat jugalah seluruh anggota badan.

Dari segi bahasa Arab, QALB ialah jantung. Tapi dari segi bahasa Melayu, QALB itu diterjemah sebagai hati.

Memang manusia ada di bumi, tetapi Zat Allah tidak ada di bumi. Kita kembali kepada persoalan usul, iaitu Zat Allah tidak terpengaruh dengan tempat termausuklah planet bumi. Apa sahaja yang terpengaruh dengan tempat, itu bukanlah Tuhan, bukanlah Allah. Jadi, Zat Allah tidak berada di planet bumi.

Iblis memang berada di planet bumi. Para malaikat pula, mereka berada di merata tempat, bukan di planet bumi sahaja tetapi di seluruh alam semesta.

Tentang arasy Allah, ia merupakan benteng pemisah antara alam makhluk dengan zat Allah SWT. Oleh itu antara pengertian yang sesuai untuk arasy Allah ialah ‘lapisan’ paling luar bagi seluruh alam semesta ini. Contohnya, katakanlah seluruh alam makhluk ini berbentuk bulat (di dalamnyalah 7 petala langit, bumi dan semua yang lain-lain), maka ‘lapisan’ paling luar itulah arasy Allah. Ada juga orang beranggapan arasy Allah itu ialah seluruh alam makhluk ini. Perkataan ini juga ada benarnya kerana seluruh alam makhluk inilah pembatas/benteng antara Zat Allah dengan zat  selain Allah. Juga dikatakan arasy Allah itu meliputi seluruh alam makhluk. Wallahua’lam. Oleh itu, Zat Allah tidak berada di planet bumi. Apa sahaja yang bertempat di planet bumi, ialah makhluk.


SAHABAT MENULIS :
Contoh: Arash Allah swt ada lapan malaikat yang mengangkatnya..maka, jikalau bumi itu Arash Allah swt, 8 planet lainnya mungkin malaikat kerana planet ini tugasnya menstabilkan bumi..ini sebagai contoh..kalau ada yang musykil, saya terima dengan rendah hati..

ABU ZULFIQAR :
Yang pertama – Planet bumi bukanlah ‘arasy Allah, kerana ‘arasy ialah ‘pembatas/benteng’ antara Zat Allah dengan zat makhluk, sekaligus merupakan ‘singgahsana’ bagai Zat Allah.  Hal ini sudah diperkatakan di atas tadi.

Yang kedua - Planet-planet bukanlah para malaikat dan para malaikat juga bukan planet-planet. Tapi memang ada malaikat yang bertugas ke atas planet-planet itu. Planet-planet boleh dilihat dengan mata kasar, diteropong, diambil gambar dan divideokan. Tapi kepada para malaikat tidak boleh. Planet-planet berasal daripada benda-benda maujud yang boleh dipegang. Para malaikat berasal daripada nur.

Kata Nabi Muhammad saw :
“Malaikat diciptakan daripada nur, dan jin diciptakan daripada nyala api, dan Adam diciptakan daripada sesuatu yang sudha disebutkan kepada kamu.” (Muslim)

Yang ketiga – Jumlah planet kalau dipandang dari sudut sains adalah tidak tetap. Para pengkaji sentiasa berselisih pandangan tentang bilangan planet. Dari sudut maklumat dalam Al-Quran pula, dalam mimpinya Nabi Yusuf melihat 11 buah planet. Jika dicampur dengan dirinya sendiri, akan jadi 12 buah planet.

Buktinya :
“(Ingatlah) ketika Yusuf berkata kepada bapanya : “Wahai bapaku! Sesungguhnya aku (bermimpi) melihat sebelas KAUKAB (PLANET), matahari dan bulan. Kulihat semuanya bersujud kepadaku.” (Yusuf : 4)

Yang keempat – Cerita tentang 8 malaikat penanggung ‘arasy itu yang saya temui dalam Quran, berlaku selepas Hari Kehancuran, iaitu pada Hari Kebangkitan (Yaumul Qiyamah). Maka pada hari ini tidak sesuailah untuk kita kaitkan planet-planet itu dengan lapan malaikat penanggung ‘arasy, apatah lagi jika kita mahu kaitkan dengan 8 planet.

Buktinya :
“Maka pada saat itu berlakulah AL-WAAQI’AH (hari kehancuran).Dan terbelahlah langit, lalu jadilah ia ketika itu rapuh. Sedang malaikat-malaikat mengawal segala penjurunya, dan ‘arasy Rabbmu pada hari itu dipikul oleh lapan malaikat di atas malaikat-malaikat itu.” (Al-Haaqah : 15-17)

Kesimpulannya, 8 planet itu tidak sesuai untuk kita kaitkan dengan para malaikat penanggung ‘arasy.


SAHABAT MENULIS :
Maka persoalan disini:-
1.Siapakah yang jasadnya diserupakan Allah swt dengan Isa as?

ABU ZULFIQAR :
Sehingga kini saya belum dapat keputusan yang kuat tentang identiti individu yang diserupakan dengan Nabi Isa. Ada beberapa calon tetapi hasil kajian saya belum memungkinkan untuk saya memilih mana-mana satu calon. Tapi calon yang popular diperkatakan orang ialah Judas yang mengkhianati Nabi Isa. Wallahua’lam.


SAHABAT MENULIS :
2.Jikalau jasad Isa as diganti, dimanakah ditanamnya jasad sebenar Nabi Isa as itu? ini menyamai saranan Imam Mahdi celup dan orang Syiah yang telah ustaz bahaskan.

ABU ZULFIQAR :
Berdasarkan kajian saya yang faqir ini setakat ini, jasad Nabi Isa diangkat kepada Allah. Jasadnya tidak ditanam di mana-mana tempat di muka bumi ini. Jasadnya tidak berada di planet bumi.


SAHABAT MENULIS :
3.Oleh kerana jasad tidak boleh dibawa keluar bumi,maka, pendapat saya ialah Rohnya Nabi Isa as telah dipegang oleh Allah swt dan dibawa kehadratnya melalui tidur, manakala jasadnya telah diisi dengan roh seseorang. Seperti filem Freaky Friday. Ini saya tidak pasti dan diharap ustaz boleh menghuraikan samada pendapat saya ini benar atau ada khilaf. Diharap ustaz dapat berkongsi maklumat dengan saya yang tidak seberapa ini. Wassalam.

ABU ZULFIQAR :
Tentang ruh Nabi Isa, sudah kita jelaskan sebelum ini bahawa kita tidak tahu kedudukannya. Hal ruh sangat sulit untuk diperkatakan.  Yang pasti, sebagaimana yang dimaksudkan oleh Al-Quran, yang ‘dipegang’ oleh Allah SWT ialah JIWA (NAFS) Nabi Isa. Itu hal yang jelas yang dapat kita pegangi.

Tentang jasad Nabi Isa diisi dengan ruh orang lain, ini kali pertama saya mendengar teori sebegitu. Setakat ini saya tidak beranggapan begitu kerana jasad para nabi tentunya tidak layak untuk diisi oleh ruh-ruh selain mereka sendiri. Jasad para nabi jasad yang suci, tentunya tidak layak untuk diduduki oleh ruh-ruh yang tidak sedarjat dengannya. Wallhua’lam.

Wassalam.

Abu Zulfiqar
19 September 2012
Related Posts with Thumbnails