Kajian dan pemerhatian ringkas tentang Al-Quran, As-Sunnah (hadis), agama-agama dunia, kitab-kitab suci pelbagai agama, manuskrip-manskrip kuno, alam semesta (bumi dan angkasa lepas), ilmu perbandingan agama, sejarah, peristiwa-peristiwa akhir zaman, kiamat, alam akhirat, alam ghaib, sains, astronomi (falak) dan lain-lain ilmu alam.

Sunday, July 20, 2014

Bila, Dari Mana HAMAS Dapat Senjata?



Ramai yang tertanya-tanya... bila dan dari mana HAMAS dapat senjata dan peralatan yang hebat-hebat dalam perang kali ini? Padahal dalam perang-perang sebelum ini senjata mereka biasa-biasa sahaja.

Sebenarnya ketika pemerintahan singkat Mursi dan Ikhwanul Muslimin di Mesir tempoh hari, pelbagai peralatan, kepakaran, teknologi dan tenaga kerja telah diseludup masuk ke Gaza. Hal ini kerana HAMAS ialah cabang Ikhwan di wilayah Palestin.

Israel sedar akan hal ini lalu dengan segera mereka mengaktifkan kuncu-kuncu mereka di Mesir khususnya As-Sisi dan para penyokong utamanya untuk merampas kuasa. Maka tersekatlah sudah jalan HAMAS. Namun apa yang sempat diperolehi ketika itu sudah sangat besar manfaatnya, sebagaimana yang kita sedang saksikan ketika ini di Gaza.

Dalam tempoh masa sekejap sahaja pemerintahan Mursi, kini Israel sedang ketakutan dan menderita kekalahan. Bayangkan jika Mursi dan Ikhwan masih berkuasa di Mesir sehingga ke hari ini, silap-silap  Zionis Israel sudah lenyap dari bumi Palestin.

Apabila Israel sudah nampak kekalahan dan kehancuran yang bakal menimpa mereka, cepat-cepat mereka cucuk orang mereka di Mesir iaitu As-Sisi agar menganjurkan perdamaian atara Gaza-Israel. Harapan mereka, HAMAS tentulah akan berasa lega lalu menerima pelan damai tersebut memandangkan sudah ramai warga Gaza yang jadi korban.

Isarel cuba bertindak bijak dengan merahsiakan jumlah kematian warga dan askar-askarnya, agar dunia melihat perdamaian berlaku dalam keadaan HAMASlah pihak yang sedang tertekan manakala Israel sedang kuat. Jadi, nampak seolah-olah HAMAS yang terhegeh-hegeh mencari jalan untuk menghentikan perang kerana sedang menderita kekalahan.

Malang bagi Israel dan As-Sisi, Ikhwanul Muslimin Palestin ini iaitu HAMAS sudah cukup kenal kedua-dua belah pihak. HAMAS menolak pelan damai As-Sisi, sebaliknya tanpa gentar terus menjemput angkatan darat Israel menyerbu ke Gaza. Tembelang Israel mula pecah. Nampaklah hakikatnya kini bahawa merekalah sebenarnya pihak yang sedang tertekan dan kekecutan sekarang, lalu mencari-cari jalan agar perang dapat dihentikan.


Abu Zulfiqar
Maklumat setakat 2.24 pm 20 Julai 2014

*Kementerian Wakaf Mesir baru mengeluarkan kenyatan bahawa  bahawa Israel adalah jiran Mesir, dan Tuhan menyuruh berbuat baik dengan jiran.

Friday, July 18, 2014

Merenung-renung Tragedi MH17



MH17 dipercayai jatuh kerana terkena peluru berpandu bumi ke udara milik kumpulan pemisah pro-Rusia di Ukraine iaitu kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Donetsk People’s Republic (DPR). Komander DPR iaitu Igor Strelkov pada awalnya menyatakan pada lamannya tidak menolak kemungkinan yang kumpulannya tersilap serang. Hal ini kerana mereka ada menembak sebuah pesawat pengakut tentera di lokasi yang sama dengan lokasi MH17. http://satuumat.blogspot.com/2014/07/mh17-pemberontak-ukraine-mengaku.html .

Tidak lama kemudian kumpulan pemisah pro-Rusia ini membuat penafian pula memandangkan peralatan dan senjata yang ada pada mereka pada hakikatnya tidak dapat mencapai aras MH17 setinggi 10,000 meter. Oleh itu bukan mereka yang meletupkan MH17. http://www.arrahmah.com/news/2014/07/18/milisi-pro-rusia-menangkis-tuduhan-jatuhkan-mh17.html

Persoalannya, siapa yang meletupkan MH17?

Jika benar kumpulan pemisah pro-Rusia yang menjatuhkannya, bermaksud MH17 sudah turun ke paras yang rendah sehingga mampu dicapai oleh peluru berpandu mereka. Jadi, mengapa MH17 turun ke paras lebih rendah?

Sekiranya bukan pemisah pro-Rusia yang menembaknya dan MH17 masih di aras sekurang-kurangnya 10,000 meter, senjata pihak mana di kawasan itu yang mampu mencapainya?
Mengapa mereka melakukannya?

Jika tidak ada mana-mana senjata yang menghentam MH17, maka apa yang membuatkannya musnah? Meletup di udara ataupun meletup kerana terhempas?

Yang pasti, kejadian ini akan membuka ruang kepada seluruh dunia terutamanya wakil kuasa-kuasa besar untuk masuk ke wilayah Ukraine-Rusia yang sedang bergolak hebat dengan peperangan itu khususnya atas nama siasatan.

Terfikir-fikir sendiri… terasa hendak dikongsi…

Abu Zulfiqar
Setakat 9.45 am
18 Julai 2014
(*maklumat-maklumat selepas 9.45 am belum diambil kira)

* Maklumat awal termasuklah dari Ukraine mengatakan terdapat 295 orang berada dalam pesawat http://satuumat.blogspot.com/2014/07/pesawat-malaysia-kena-peluru-berpandu.html iaitu 280 orang penumpang dan 15 orang anak kapal. Kemudiannya MAS mengesahkan bahawa sebenarnya terdapat 298 orang iaitu 283 penumpang dan 15 anak kapal http://satuumat.blogspot.com/2014/07/mas-sahkan-ada-298-orang-dalam-mh17.html .

Tuesday, July 15, 2014

Kejutan2 dalam Perang Gaza-Israel 2014 (setakat 15 Julai)

Sehingga 15 Julai 2014, para pejuang Palestin khususnya HAMAS berjaya membuat beberapa kejutan hebat ke atas Israel sehinggakan Israel ketakutan dan terpaksa cenderung untuk melakukan gencatan senjata yang dikatakan tajaan Mesir. Namun pihak pejuang menolak gencatan senjata dan mahu terus bertempur, malah terus mengumpan agar tentera Israel melakukan serangan darat ke Gaza.

Bagi pihak Israel, mereka ketakutan dan berbelah bahagi samada mahu meneruskan dengan perang darat ataupun tidak. Tentera Israel sedar, apabila pihak pejuang yang serba kekurangan mahukan perang bersemuka, tentunya ada habuan-habuan yang sangat tidak terduga sedang menunggu mereka sekalipun tentera Israel bersenjata lengkap lagi canggih.

Berikut adalah antara kejutan hebat yang dilakukan oleh pejuang Palestin dalam seminggu perang Gaza- Israel pada tahun 2014 ini :

1.       Komando Laut HAMAS dari Briged Izzuddin Al-Qassam berjaya menyusup masuk melalui selaman dalam laut ke markas tentera laut Israel di tepi laut Ashkelon. Beberapa orang komando laut HAMAS mendapat anugerah syahid dan dipercayai tujuh orang askar Israel terbunuh atau tercedera.
2.       Setiap hari lebih kurang 100 buah roket berjaya dilancarkan ke Israel dari Gaza. Bayangkan betapa ketakutannya penduduk Israel setiap hari.
3.       Iron Dome ialah sistem dan peralatan yang didakwa tercaggih untuk menangkis serangan roket. Namun banyak roket dari Gaza yang gagal ditangkis oleh Iron Dome. Rupa-rupanya sebahagian daripada roket HAMAS dilengkapi dengan teknologi yang dapat mengelak daripada dikesan atau ditangkis oleh Iron Dome.
4.       Buat pertama kalinya roket dari Gaza mampu mencapai Tel Aviv. Roket R160 dan M302 boleh mencapai jarak 160 km. Malah rumah Perdana Menteri Netanyahu di kota Kaisarea sendiri sudah berada dalam jangkauan roket-roket dari Gaza.
5.       Cubaan kali pertama tentera Israel masuk ke Gaza berjaya dipatahkan. Empat orang askar cedera.
6.       HAMAS menggunakan pesawat tanpa pemandu (drone). Setakat ini dipercayai HAMAS memiliki tiga jenis drone termasuk drone yang boleh membawa bahan peledak.
7.       Komando cyber HAMAS berjaya memintas siaran televisyen Israel Chanel 2 dan Chanel 10 ketika siaran sedang berlangsung. Pihak hacker sempat menayangkan amaran mengerikan kepada seluruh penduduk Israel.

Kejutan-kejutan ini membuatkan Israel semakin kaget dan tidak nyenyak tidur. Pihak Gaza semkain hari semakin bersemangat, pihak Israel pula semakin hari semakin mengendur semangatnya.

Begitulah situasinya setakat tulisan ini disiapkan. Wallahua’lam.

Abu Zulfiqar
15 Julai 2014

Saturday, March 08, 2014

Projek : Terjemahan Kitab Tao Te Ching

FASAL 1

Tao yang dapat dibicarakan bukanlah Tao yang abadi (yang kekal, yang bertahan dan tidak terubah).
Nama yang dapat dinamakan bukanlah nama yang abadi.

Tanpa bernama (kekosongan) ialah asal langit dan bumi.
Dengan bernama, ibu segala benda (ciptaan).

Tiadakanlah (“tetap tiadalah”), maka ternyatalah yang ghaib (yang rahsia) itu.
(Tetapi jika masih dengan) “tetap ada”, (yang ternampak/kelihatan) ialah manifestasi (hanyalah bingkai luaran semua yang kita lihat).

Kedua-duanya asalnya adalah (dari sumber yang) sama, tetapi menerima nama-nama yang berbeza.
(Itulah) misteri/ rahsia/ keghaiban.
Misteri dalam misteri (misteri yang terdalam daripada segala yang terpendam dan mengkagumkan/ rahsia dalam rahsia).
Gerbang segala keghaiban/kerahsiaan.

FASAL  2

Apabila dunia (manusia khususnya) tahu apa yang dikatakan cantik, maka (daripada itu) lahirlah ketidakcantikan (sebagai lawannya).
Apabila semua tahu apa itu kebaikan, maka (daripada itu) zahirlah keburukan (sebagai lawannya).

Jadi begitulah, ada (keberadaan) dan tidak ada (ketidakberadaan) itu saling melahirkan antara satu sama lain.

Kemudahan dan kesukaran saling melengkapi.
Pendek dan panjang saling melahirkan (lahir daripada kontra antara kedua-duanya).
Tinggi dan rendah saling mengimbangi (saling bersandaran, muncul daripada pertentangan antara kedua-duanya).
Nada (muzik/bunyi) dan suara menjadi harmoni melalui interaksi antara kedua-duanya.

Oleh itu Yang Bijaksana (Yang Budiman, Yang Berhikmah) bekerja tanpa tindakan dan memberi pelajaran tanpa ucapan/ kata-kata.
KeranaNya segala-galanya berkembang tanpa Dia mendorongnya.
Hidup (segalanya) tanpa dakwaan memiliki (semua makhluk itu).
Berbuat tanpa Dia menjadi sandarannya.

Walaupun berjasa, Dia tidak membuat apa-apa tuntutan.
Oleh itu Dia tetap berterusan/berkelanjutan (kerana Dia tidak untung/bertambah apa-apa dan tidak rugi/ berkurang apa-apa pun… maksudnya Dia sempurna)

FASAL 3

(Apabila kita ) tidak mengangkat kebijaksanaan (secara melampau), manusia akan terhindar daripada saling bersaing dan berlumba-lumba.

(Jika kita) tidak menghargai benda-benda yang berharga/ sukar diperolehi (secara melampau), (akan dapat) mencegah daripada (manusia menjadi) pencuri.

(Jika) tidak diperlihatkan (kepada kita dan mereka) apa yang dapat membangkitkan keinginan (kita dan mereka), akan dapat mencegah daripada kekalutan fikiran.

Oleh itu, (pemerintah) yang bijaksana/ yang berhikmah memerintah dengan
mengosongkan hati/fikiran mereka (daripada kehendak-kehendak nafsu),
mengisi perut mereka,  
melemahkan keinginan/ nafsu mereka,
meneguhkan/menguatkan tulang mereka.

Membuatkan mereka tidak tahu dan (apabila mereka tidak tahu, maka mereka pun akan) tidak terpengaruh dengan nafsu.
Bagi mereka yang tahu pula, tahan mereka daripada berbuat (melayani kehendka nafsu itu).
Dengan tidak berbuat, semua akan jadi teratur.

FASAL 4

Tao adalah kekosongan suatu bekas, yang dalam memanfaatkannya hendaklah kosong, bukannya melalui kepenuhan.

(Dia) Agung lagi mendalam, Dialah sumber sejati segala-galanya.

Tumpulkan ketajaman.
Huraikan segala.
Melembutkan/ menawarkan/ menyembunyikan kecerahan/ gemerlapan. (agar bersesuaian dengan kekaburan yang lain).
Merata/ menyatu dengan debu.
Tenang/ lembut/ sunyi dan sentiasa ada.

(Aku dan kita) tidak tahu hakikat-Nya (dari mana asal-Nya, seperti apakah Dia)
Dia sudah ada sebelum adanya dewa (Tuhan).

FASAL 5

Langit dan bumi tidak berbelas-kasihan, memandang/ perlakukan segala sesuatu bagaikan anjing padang rumput (terbuang dan berkeliaran).
Yang Budiman tidak berperikemanusiaan, perlakukan semua orang seperti anjing padang rumput.

Ruang di antara langit dan bumi itu seperti peniup (pengepam) angin.
Kosong tetapi bukannya tanpa daya (tenaga).
Makin bergerak, makin banyak udara.

Banyak bercakap, membuang tenaga (menyebabkan keletihan/ kelelahan).
Lebih baik menjaga diri yang batin.

FASAL 6

Ruh/ semangat lembah nan abadi (tidak pernah berhenti, berterusan, sentiasa begitu).
Itulah ibu (segala) keghaiban/ misteri.
Gerbangnya itulah akar kepada langit dan bumi.
Tidak terputus (berterusan/ sentiasa ada).
Digunakan tanpa ada habisnya.

FASAL 7

 Langit dan bumi bertahan lama dan berlanjutan
kerana langit dan bumi tidak hidup dari diri mereka sendiri.
Sebab itulah kedua-duanya bertahan dan berlanjutan.

Yang Suci meletakkan diriNya terkebelakang (tidak menzahirkan diriNya)
maka Dia yang terhadapan.

Dia mengesampingkan diriNya
oleh itu diriNya tetap sebegitu.

Kerana Dia tidak mempunyai kepentingan peribadi (tidak berhajat kepada apa-apa)
maka Dia sempurna.

FASAL 8

Keterkemukaan (kepintaran/ kebaikan/ pemanfaat)  tertinggi itu laksana air.
Memberi manfaat kepada segala benda tanpa perebutan/ pertikaian, menempati tempat-tempat yang rendah yang tidak disukai orang.
Demikianlah kedekatan dengan Tao.

(Keutamaan/ keterkemukaan) tempat tinggal adalah dari segi lokasinya.
(Bagi) pemikiran ialah dari segi ketenangannya yang mendalam.
Memberi dengan kebaikan hati.
Berbicara dengan keikhlasan/ ketulusan.
Pemerintahan dengan peraturan/ ketertiban.
Bekerja/ berurusan dengan ketrampilan.
Bertindak dengan ketepatan masa.

Oleh kerana tidak berebut-rebutan

maka tidak adalah kesalahan dan kekesalan.


*bersambung...

Monday, March 03, 2014

Firaun Akhenaton - Sejarah dan Aqidahnya (video kuliah)


http://www.youtube.com/watch?v=jWxwqP3UR2I
- Perbandingan konsep keTuhanan Islam vs agama-agama lain.
- Kisah Fir'aun Akhenaton dan aqidahnya.
- Benarkah Akhenaton menyembah Tuhan Yang Esa?
- Beza antara Tuhan Amun dengan Tuhan Aton.
- Kisah anak Akhenaton iaitu Fir'aun Tutankhaton (Tutankhamun).
- Apa pula agama Tutankhamun?
- Kematian Tutankhamun yang misteri, sebagaimana bapanya juga.


http://www.youtube.com/watch?v=Vadj4GTI8jg
- Sambungan kisah Firaun Tutankhamun dan misteri kematiannya.
- Peranan Aye sebagai penasihat kepada Fir'aun Akhenaton dan Tutankhamun.
- Sedikit tentang Fir'aun Horemheb dan Ramses 1.


http://www.youtube.com/watch?v=70WdKqS65s4
- Imbas kembali sejarah dan aqidah Fir'aun Akhenaton.
- Kisah Fir'aun Tutankhamun, Aye, Horemheb, Ramesses 1, Seti 1, Ramesses 2 dan Merneptah.
- Kajian moden ke atas jasad Fir'aun Ramesses 1 yang membesarkan Nabi Musa dan Fir'aun Merneptah yang memburu Nabi Musa di Laut Merah.

Monday, February 10, 2014

SJ - Minat Perbandingan Agama dan Aliran

Aslm. Saya ada satu masalah ni nak minta pendapat dan pandangan.

Masa-masa sendirian di rumah selalunya saya akan habiskan dengan mendengar Youtube kuliah-kuliah agama termasuk kuliah-kuliah tuan. Satu kecenderungan saya kebelakangan ini ialah mengkaji perbezaan amalan beragama.

Masa kecoh pasal Syiah saya banyak follow Ustaz xxxxx. Pastu saya follow pasal Wahhabi. Saya suka juga dengar xxxxx xxxx, xxxxx xxxxxx. Kebelakangan ni saya follow ustaz-ustaz mualaf macam xxx xxx xxx, Ustaz xxxxx. Minggu lepas ada follow Sheikh xxxxx xxxxxxx. Ada juga dengar debat-debat dari ulama-ulama Indon tentang bidaah, sunnah dll. Minggu ni saya banyak dengar xxxx xxx. Banyak juga mendengar tentang perbezaan antara Kristian dan agama suci kita Islam.

Saya suka mendengar perbezaan fahaman mereka dan buat perbandingan dengan apa yang kita pegang selama ini. Bagi saya dengan melihat perbezaan dapat menambahkan kecintaan kita pada agama. Kita boleh yakin bahawa yng kita pegang selama ni memang dah betul tanpa ragu-ragu dah.

Malangnya suami saya tak senang dengan apa yang saya buat. Dia kata boleh rosakkan iman. Yang kita pegang ni belum ngaji sampai habis lagi buat apa nak ambik tahu yang lain-lain yang tak wajib kita belajar. Pegang kukuh dulu apa yng kita dah ada. Banyak lagi yang belum dipelajari daripada nak ambil tahu sangat pasal Syiah, bidaah, Dajjal dll.

Ok saya trima apa yng dia ckp.  Saya hormat pendirian dia. Tapi salah ke apa yang saya buat ni...mohon penjelasan. Terima kasih.


PENJELASAN

Wlksm,
Saya pun memang minat ilmu perbandingan agama dan ilmu perbandingan aliran ni.

Dengan ilmu perbandingan agama ni kita dapat menangkis serangan virus-virus dari luar agama Islam yang mahu menjatuhkan Islam seperti dakyah Kristian, Yahudi, Hindu, ateis/mulhid, penyembah syaitan dan lain-lain.

Dengan ilmu perbandingan aliran ni pulak kita dapat menangkis serangan virus-virus dari dalam iaitu Syiah, Salafi Wahhabi, SIPLIS (sekularisme, pluralisme, liberalisme), golongan anti-hadith, Qadiyani dan ajaran-ajaran sesat.

Tapi memang benarlah yang kita hendaklah punya ilmu dan kefahaman agama yang kukuh khususnya dalam bab tauhid/aqidah/usuluddin. Hal ni kerana khuatir kalau-kalau kita pulak yang terpesona dengan hujah-hujah mereka lalu nanti kita cenderung atau terus berfaham dengan fahaman mereka.

Pada saya ok je kalau nak dengar, tonton atau baca tentang semua tu tetapi kena hati-hatilah jugak. Satu, kita takut kita terpengaruh dengan hujah mereka. Kedua, kita takut terpengaruh dengan hujah orang yang menentang mereka sedangkan orang yang menetang mereka itu sendiri pun datang daripada fahaman salah yang lain (tanpa kita sedari). Contohnya kita tonton kuliah yang menolak golongan Qadiyani dan tertarik dengan fahaman si penghujah, tapi kita tak tahu yang penghujah itu sendiri sebenarnya berfaham anti-hadith. Niaya je…

Oleh itu kena pilih-pilih jugak penghujah yang kita nak jadikan rujukan kita tu.

Memang dengan mengikuti perbandingan agama ni boleh membantu menguatkan keimanan kita, tapi dalam perbandingan aliran kena sangat hati-hati kerana boleh membantu meragu-ragukan kita.

“Boleh merosakkan iman.”
Ya, memang tidak mustahil boleh merosakkan iman jika ilmu tauhid/aqidah/usuluddin kita tidak mencukupi. Tapi jika mencukupi, insya-Allah tidak akan merosakkan iman bahkan mengukuhkannya lagi. Oleh itu kita kena mantapkan pengetahuan dan pemahaman kita dalam tauhid/aqidah/usuluddin.

Memang tak wajib belajar tapi kita kena ingat bahawa generasi hari ini termasuk anak-anak kita sangat terdedah luas dengan segala macam ajaran, bukan macam zaman kita dulu. Dia buka je internet, semua ajaran tu di depan mata dan meresap masuk secara disedari ataupun tidak.

Yang kita rasa… hantar anak ke sekolah agama, hantar ke Timur Tengah… ok dah. Asal nama aliran agama tu ok le, bagi kita. Tapi rata-rata ibu bapa tak tahu anak-anak mereka tu aliran apa, tempat dia belajar bawa fahaman apa, di Timur Tengah dia bergaul dengan kawan-kawan aliran mana… Kita sangka anak kita orang agama tapi silap-silap dia sedang ditarbiyyah dengan ajaran/fahaman yang bermasalah dan berpegang dengannya. Kita nak saring pun tak reti sebab kita tak kenal yang mana fahaman Syiah, Salafi Wahhabi, SIPLIS, Qadiyani, ajaran sesat dan anti-hadith. Kalau kita ada ilmu sikit-sikit dalam hal tu, boleh le jugak kita ‘detect’ dan cuba usaha nak sekat atau pulihkan. Di sinilah terletaknya antara kelebihan ambil tahu hal ehwal perbandingan agama dan perbandingan aliran ni. Kita mungkin tak tahu semua ilmu dalam bidang ni, tapi kata orang tua-tua… jangan sampai tak ambil tahu semua.

Dari sudut yang lain, memang betul kata suami tu. Ramai orang menyibukkan diri dalam hal ehwal agama tetapi bukan yang utama, bukan yang wajib, bukan yang fardhu ‘ain tetapi yang fardhu kifayah. Yang fardhu kifayah ni kalau kita tak buat pun, asal ada orang dekat-dekat kita dah tolong buat, kita semua lepas dah. Tapi yang fardhu ‘ain, setiap orang mesti lepas sendiri.

Antara ilmu fardhu ni ialah ilmu mukasyafah dan ilmu mua’malah. Tapi cuba kita tanya pada orang ramai, nescaya ramai belum lepas, malah yang tak pernah dengar pun ada. Padahal bertaraf fardhu tu.

Sebaliknya kita sibuk dengan yang fardhu kifayah seperti khidmat masyarakat, menganjurkan program-program, siasah/politik, jayakan halaqah-halaqah usrah, buat malam kebudayaan Islam dan lain-lain sedangkan yang fardhu ‘ain kita abaikan.

Kesimpulannya (pada pandangan saya yang dhaif ni le), apa yang suami cakap tu betul, dan apa yang anda sedang usahakan ni pun tak salah. Cuma kena pandai-pandailah imbangkan antara tuntutan yang fardu ‘ain dengan yang fardhu kifayah. Dan di samping tu kena mantapkan lagi pengetahuan dan pemahaman dalam hal ehwal tauhid/aqidah/usuluddin. Apabila dah mantap tu, kita dengar siapa cakap atau baca kitab agama mana pun insya-Allah tak goncang punya.

Pengajian kitab Ihya’ ‘Ulumuddin yang saya bawak pun start fail kuliah no. 602 dah masuk perbandingan dengan agama-agama lain dalam bab tauhid. Saya akan sentuh tentang Bible, Tao Te Ching, Bhagavad Gita, Veda, Tripitaka, Zand Avesta dan lain-lain sikit-sikit. Sesuai jugak untuk yang minat perbandingan agama.

Sekadar itu sahaja pandangan saya. Salah silap dan kekurangan mohon maaf J

- Abu Zulfiqar

Sunday, February 02, 2014

Makhluk Yang Melanggar Matahari

Sedang kami minum-minum, seorang sahabat menunjukkan satu video yang dikatakan dirakam oleh NASA dalam telefon bimbitnya tentang “sesuatu yang melanggar matahari”, katanya. Kelihatan satu objek berupa satu sinaran cahaya yang bergerak dengan laju di langit sana lalu melanggar sang matahari. Katanya makhluk bercahaya itu 3 kali ganda lebih besar daripada matahari. Ditunjukkan juga gambar makhluk bercahaya itu yang dikatakan bersayap. Oleh itu ada kemungkinan makhluk itu berkait dengan malaikat kerana memang kita ketahui ada malaikat yang sangat besar dan bersayap, contohnya malaikat Jibril.

Pada awalnya saya tidak bercadang untuk menulis tentang hal ini, tetapi beberapa hari kemudiannya seorang lagi kenalan ada menyebut tentang bintang berekor. Tiba-tiba sahaja datang keinginan untuk menulis sedikit tentangnya sekalipun saya bukanlah orang yang selayaknya dan sangat kekurangan ilmu. Sekadar perkongsian ringkas sahajalah kerana saya turut punay minat dalam hal ehwal benda-benda angkasa ini.

Sebenarnya video yang ditunjukkan kepada saya itu ialah tentang komet ISON. Apa itu komet ISON? Jom kita berkenalan dengannya.

BERKENALAN DENGAN KOMET ISON

Komet ISON ialah salah satu komet yang berada di angkasa lepas sana. Manusia tidak tahu akan kewujudan dan kehadirannya sehinggalah komet ini berjaya dikesan buat pertama kali oleh ahli astronomi Rusia pada 24 September 2012 yang lalu. Mereka ialah Vitali Nevski dan Artyom Novichonok.

Mengapa namanya ISON? Nama ini diambil sempena nama pihak yang menemuinya iaitu International Scientific Optical Network (ISON) yang berpangkalan di Rusia. Namun nama rasmi komet ini ialah C/2012 S1.

C = membawa maksud tidak berkala (non-periodic).
2012 = tahun ditemui.
S = bermaksud ditemui pada separuh bulan iaitu petengahan bulan September.
1 = bermaksud komet pertama yang ditemui pada separuh bulan September itu.

ASAL-USUL KOMET ISON

Komet ISON berasal dari satu lokasi di angkasa lepas sana yang dikenali sebagai Awan Oort (Oort Clouds). Awan Oort ialah awan komet yang jaraknya 50,000 Astronomical Unit dari matahari.  Sejauh mana 50,000 AU itu?

1 AU bersamaan 149 597 871 kilometer. Kalau 50,000 AU? Subhanallah… alangkah jauhnya… Dikatakan menyamai 1,000 kali jarak antara matahari ke Pluto.

SIFAT KOMET ISON

Seperti komet-komet lain yang datang dari Awan Oort, komet ISON juga boleh terpengaruh dengan kegravitian bintang-bintang lain dalam perjalanannya menuju ke Sistem Suria, iaitu satu tempat di dalam kerajaan Allah SWT mana kita berada sekarang, yang terdiri daripada bumi, matahari, bulan dan planet-planet lain.

Komet-komet yang mampu mencapai jarak yang sangat dekat dengan matahari dikenali sebagai komet sungrazer. Oleh itu komet ISON ialah komet sungrazer. Nasib komet-komet sungrazer ini tidak menentu. Ada yang habis terbakar dan terlebur habis oleh kekuatan matahari yang menyebabkan kehancuran komet itu, dan ada yang terselamat.

Badan komet ISON ini terdiri daripada ais, debu dan gas. Apabila semakin hampir dengan matahari, komet ini akan mula terhakis sedikit demi sedikit. Badannya yang terdiri daripada gas ais akan meluap, debu-debu dan gasnya akan berhamburan. Keadaan ini membuatkan komet ini kelihatan mempunyai ekor yang panjang. Panjang ekor komet biasanya jutaan kilometer. Perkataan “komet” itu sendiri datang daripada bahasa Yunani yang bermaksud “rambut panjang”.

Komet ISON dikatakan akan melintasi matahari dalam jarak terdekatnya iaitu 1,200,00 kilometer dari permukaan matahari pada 28 November 2013 (disebut perihelion atau closest approach to the sun). Memang dekat. Adakah komet ISON yang berdiameter lebih kurang 3kilometer ini akan terus hidup dan berenang-renang terus dalam kerajaan Allah di langit sana ataupun akan musnah dibakar matahari?

KEISTIMEWAAN KOMET ISON

Kemunculan komet ISON menarik minat ramai orang khususnya para ahli astronomi. Hal ini kerana komet ini dijangka dapat dilihat dengan mata kasar kerana sangat cerahnya. Diramalkan kecerahannya akan melebihi kecerahan bulan purnama, dan merupakan komet paling terang dalam tempoh 50 tahun terakhir ini. Namun kemudiannya ternyata ia tidaklah secerah bulan purnama walaupun masih tetap cerah.

Dikatakan komet ISON meninggalkan Awan Oort sejak lebih kurang 10,000 tahun yang lalu menuju matahari. Kemuncak perjalanannya ialah pada November 2013.

KESUDAHAN CERITA KOMET ISON

Komet ini berusaha melintasi matahari tetapi kemudiannya ternyata terlebur dan tamat riwayatnya pada 28 November 2013. Namun ada juga pihak yang meyakini ia tidak hancur sepenuhnya tetapi sudah menjadi sangat kecil sehingga dapat dikesan lagi.


Video menunjukkan detik-detik komet ISON melintasi matahari dan kemusnahannya.


Video yang lebih lengkap.

KAITAN KOMET ISON DENGAN CERITA KITA

1.       Ternyata makhluk bersinar yang melanggar matahari itu ialah komet ISON.
2.       Komet ISON tidak melanggar matahari tetapi hanya melalui permukaannya sahaja.
3.       Sebenarnya video perlanggaran itu memakan masa lebih kurang dua hari tetapi telah dipercepatkan sehingga kita dapat menontonya dalam masa beberapa saat sahaja.
4.       Yang kelihatan seperti sayap dan ekor itu ialah ais, debu dan gas yang meluap akibat pemanasan oleh matahari. Ekor gas berbentuk lurus manakala ekor debu berbentuk melengkung (yang dikatakan seperti sayap itu).
5.    Komet ISON tidaklah sebesar mana.

Wallahua’alam.

*Sekiranya ada sebarang kesalahan maklumat dalam tulisan saya ini, mereka yang berkeahlian bolehlah membuat pembetulan.

Abu Zulfiqar
2 Februari 2014

Related Posts with Thumbnails