Kajian dan pemerhatian ringkas tentang Al-Quran, As-Sunnah (hadis), agama-agama dunia, kitab-kitab suci pelbagai agama, manuskrip-manskrip kuno, alam semesta (bumi dan angkasa lepas), ilmu perbandingan agama, sejarah, peristiwa-peristiwa akhir zaman, kiamat, alam akhirat, alam ghaib, sains, astronomi (falak) dan lain-lain ilmu alam.

Wednesday, August 21, 2013

Sesuatu Yang Lebih Besar daripada Allah?

PERSOALAN : Salamun alaik ustaz.
Macam mana nak jawab soalan ni - dia kata kalau Allah Maha Besar, boleh tak Allah cipta sesuatu benda yang lagi besar daripada Dia? Kalau tak boleh, maknanya Allah tu lemah.. kalau boleh, bermakna ada benda yang lebih Maha Besar daripada Allah....

JAWAPAN :  Wlksm Mxxxxxx Fxxxxx.
Yang pertama dan paling penting - Orang yang bertanya itu selama ini ada tersalah faham tentang zat Allah. "Allah Maha Besar" itu bukannya bermaksud zat/diri Allah itu BESAR sebagaimana besarnya bukit, besarnya laut, besarnya langit dan sebagainya. Besarnya bukit, laut, langit dan lain-lain itu melibatkan saiz dan ukuran, tetapi "MAHA BESAR" pada Allah itu bukannya saiz atau ukuran. Zat Allah tidak terpengaruh dengan saiz dan ukuran sebagaimana saiz dan ukuran zat makhluk.
Zat Allah tidak dipengaruhi oleh jisim, tempat, ruang, masa, batasan, tepi, posisi, arah, langit, bumi dan sebagainya sedangkan BESAR yang dimaksudkan oleh penanya tadi ialah BESAR yang terlibat dengan saiz, ukuran, jisim, tempat, ruang dan sebagainya.

BESAR Allah tidak mengambil ruang dan tempat, sedangkan besar langit, alam dan seluruh isinya mengambil ruang dan tempat. Oleh itu, kita tak boleh samakan atau bandingkan MAHA BESAR Allah dengan BESARNYA makhluk, kerana kedua-duanya hal yang berbeza.

Mustahil Allah dapat menciptakan sesuatu yang lebih besar saiz dan ukurannya daripada diriNya, kerana diriNya bukanlah terlibat dengan saiz dan ukuran.

Contoh (sekadar untuk menghampirkan kepada faham) : Bolehkah kita buat sesuatu yang lebih besar daripada basikal? Ya, kita boleh buat kereta api. Hal ini mampu berlaku kerana kedua-dua basikal dan kereta api adalah berjisim, ada saiz, ada ukuran. Memanglah boleh dibandingkan mana yang lebih besar.

Tapi bolehkah kita buat sesuatu yang lebih besar daripada bahagia? Takkan kita nak buat bangunan 1,000 tingkat lalu kita katakan yang bangunan itu lebih besar daripada bahagia? Mana mungkin, kerana bahagia bukan ada saiz atau ukuran sepertimana saiz dan ukuran bangunan.

Yang kedua - Kita sarankan kepada orang yang bertanya agar dia berusaha belajar :
1. Sifat-sifat atau perkara-perkara yang layak bagi Allah.
2. sifat-sifat atau perkara-perkara yang tidak layak (mustahil) bagi Allah.

Perkara yang dibangkitkan oleh penanya berkait dengan sifat-sifat atau perkara-perkara yang tidak layak bagi Allah.

Contohnya :
1. Tidak layak (mustahil) bagi Allah untuk wujud kemudian daripada mana-mana makhluk. Ketidakmampuan Allah untuk wujud kemudian daripada makhluk bukanlah bererti Dia lemah, malah itulah bukti Dia Maha Awal.

2. Mustahil bagi Allah untuk membuang mana-mana makhluk keluar daripada pemerintahan-Nya/kerajaan-Nya. Ketidakmampuan Allah untuk membuang mana-mana makhluk keluar daripada kerajaan-Nya bukanlah bermaksud Dia lemah, bahkan itulah bukti Dia Maha Kuat.

3. Tidak layak bagi Allah untuk terlupa. Ketidakmampuan Allah untuk lupa bukanlah bukti Dia lemah, tapi itulah bukti Dia Maha Mengetahui.

4. Mustahil untuk Allah menciptakan satu Tuhan yang lebih berkuasa daripada diriNya. Ketidakmampuan Allah untuk menciptakan satu Tuhan yang lain bukanlah bermaksud Dia lemah, bahkan itulah bukti hanya Dialah yang Maha Berkuasa.

5. Begitu jugalah...mustahil untuk Allah menciptakan sesuatu yang lebih hebat daripada diriNya, kerana Dialah yang terhebat, Maha Hebat bahkan satu-satunya yang hebat. Hebat mana-mana makhluk pun adalah atas kurniaan/anugerah/pemberian-Nya.

Maka, mustahil untuk Allah menciptakan sesuatu yang lebih MAHA BESAR daripada diri-Nya. Ketidakmampuan Allah mengadakan sesuatu yang lebih MAHA BESAR daripada-Nya bukanlah hujah mengatakan Dia lemah, bahkan itulah bukti bahawa Dialah Yang Maha Besar.

Semoga dengan jawapan ini diharapkan dapat membantu pemahaman si penanya. Wallahualam.

Abu Zulfiqar
25 Julai 2013


3 comments:

Andi_Husin said...

Salam Ustaz,

Saya ada pendapat untuk soalan ini..

Katakan padanya, Andai Sang Maha Besar itu mencipta yang lebih besar dariNya, bukankah lebih besar itu masih tertakluk kepada kuasa yang menciptaNya,Ketuhanan itu bukan tertakluk siapa lebih besar mahupun lemah.

Semut saja mampu mengangkat beban 10 x ganda dirinya..Makanya siapa lebih berkuasa apakah bebannya itu atau semut itu..

Katakan juga padanya, Tuhan Maha Besar itu adalah 'INFINITI' ,'nol' atau apa-apa saja dikalikan 0 ((?) X 0 ).apakah ada lebih baik dari (0)'..

Sekian terima kasih..

Alexanderwathern said...

Wlksm Andi Husin.
Terima kasih banyak atas perkongsian. Semoga kita semua dirahmati Allah.

Unknown said...

Benar itu sahabat kenal lah Dan saksikan lah sifat kosong dgn reality Dan lepas itu kosong pun tiada baru lah yg bertanya itu mdh2an Allah beri kefahaman

Related Posts with Thumbnails