Kajian dan pemerhatian ringkas tentang Al-Quran, As-Sunnah (hadis), agama-agama dunia, kitab-kitab suci pelbagai agama, manuskrip-manskrip kuno, alam semesta (bumi dan angkasa lepas), ilmu perbandingan agama, sejarah, peristiwa-peristiwa akhir zaman, kiamat, alam akhirat, alam ghaib, sains, astronomi (falak) dan lain-lain ilmu alam.

Saturday, August 24, 2013

Alam Lautan dan Kesyukuran

1.0               PENDAHULUAN

Seluruh alam ini menjadi dalil kepada adanya Pencipta iaitu Allah. Mana mungkin alam ini wujud dengan sendirinya tanpa ada Penciptanya. Mana mungkin makhluk berakal seperti manusia dan jin boleh wujud dengan sendirinya ataupun dijadikan oleh alam yang tidak berakal atau tidak berpengetahuan. Tentunya makhluk berakal dijadikan oleh yang mempunyai pengetahuan juga iaitu Tuhan. Bahkan alam dan isinya menjadi bukti kepada kekuasaan Allah Taala jika kita perhatikan dari sudut keseimbangannya, keharmoniannya, ketepatan ukuran-ukurannya, kesempurnaan dan saling kebergantungannya.

Allah Taala berfirman dalam kitab suci Al-Quran :
 “Orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi, seraya berkata : ”Wahai Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia. Maha Suci Engkau, lindungilah kami daripada azab neraka.”  (Ali ‘Imran : 191)

Dalam ayat ini Allah mahu kita berfikir tentang kejadian langit dan bumi, dan tentunya berfikir juga tentang isi kedua-duanya supaya terlihatlah bukti-bukti kekuasaanNya kepada kita.

Apabila kita menyedari betapa hebatnya kekuasaan Allah melalui pemerhatian dan penghayatan kita pada alam ciptaaan-Nya, wajiblah kepada kita untuk menyatakan kesyukuran kita kepada-Nya melalui hati, kata-kata mahupun perbuatan.

Cacing berada di dalam lautan tanah, ikan berada di dalam lautan air, manusia berada di dalam lautan udara, dan planet bumi berada di dalam lautan alam semesta. Kesemua lautan yang disebutkan tadi ialah ciptaan Allah yang sangat luar biasa lagi mengasyikkan jika dibuat kajian dan renungan. Untuk pembentangan ini, kita akan khususkan bicara kita pada lautan air yang menguasai lebih daripada 2/3 permukaan planet bumi.

Secara keseluruhannya, tulisan ini akan menghidangkan beberapa bukti kekuasaan Allah Taala dengan bersandarkan kepada dalil-dalil naqli dan ‘aqli khususnya yang berkaitan dengan lautan, dan seterusnya cara-cara untuk kita mensyukuri nikmatNya.


2.0 BUKTI KEKUASAAN ALLAH PADA LAUTAN

Lautan ialah himpunan air masin yang sangat banyak, yang meliputi 71% permukaan planet bumi. Semua lautan dibatasi dari sudut sisinya oleh daratan sama ada dalam bentuk benua ataupun pulau. Dari sudut atas bawahnya pula, umumnya lautan berada di antara udara dan mukabumi dasar lautan. Bahagian lautan yang kecil disebut laut, selat ataupun teluk. Di dalam lautan terdapat pelbagai spesis haiwan dan tumbuhan. Setakat ini, dipercayai bahawa hanya planet bumi yang mempunyai lautan air.

Pada lautan dan isi kandungannya, terdapat banyak sekali bukti kekuasaan Allah, cuma mungkin tidak ramai manusia yang mahu memikirkannya dan mensyukurinya. Berikut dihidangkan beberapa bukti kekuasaan Allah pada lautan.


2.1 BANYAKNYA CIPTAAAN ALLAH DALAM LAUTAN

Khazanah lautan adalah lebih besar berbanding apa yang ada di daratan. Hal ini dinyatakan oleh Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali apabila dia mengaitkan peratusan lautan di planet bumi ini lebih daripada peratusan daratan. Haiwan-haiwan besar di dalam laut pula adalah jauh lebih besar berbanding haiwan di darat. Bukti yang kita sedia maklum adalah seperti besarnya gajah tidak dapat menandingi besarnya ikan paus.

Tentang kewujudan haiwan laut yang besar dinyatakan dalam Al-Quran :
“Maka dia (Yunus) ditelan oleh ikan besar dalam keadaan tercela.” (As-Saaffaat : 142)

Besarnya ikan itu sehingga boleh menelan manusia, padahal sebesar-besar gajah tidak mampu berbuat demikian.

Kata Al-Ghazali lagi, umumnya semua haiwan di darat ada yang semacam dengannya di dalam laut. Haiwan-haiwan ini seolah-olah datang daripada satu keluarga. Contoh yang boleh kita ambil ialah anjing dengan anjing laut, singa dengan singa laut, burung dengan ikan pari, kuda dengan kuda laut, gajah dengan gajah laut, kala jengking dengan udang kara dan labah-labah dengan ketam.  Bahkan banyak pula haiwan laut yang tidak ada yang semacam dengannya di darat. Maksudnya, lebih lagi spesis haiwan di dalam laut berbanding spesis yang ada di daratan. Dikatakan terdapat 230,000 spesis penghuni laut yang sudah dikenalpasti, sedangkan masih banyak yang belum diketahui atau ditemui.

Alangkah hebatnya Allah! Sebegitu banyak spesis haiwan dan tumbuhan dalam lautan yang dicipta-Nya sedangkan setiap spesis mempunyai rupabentuk yang berbeza. Kalau manusia yang diberi peluang untuk mencipta, baru beberapa spesis haiwan, tentu sudah habis ideanya. Itupun ciptaan-ciptaaan itu tidak dapat diberinya nyawa.

Bolehlah kita katakan bahawa seluruh pelusuk daratan sudah pun diterokai manusia, tetapi banyak lagi ruang dalam lautan yang manusia belum pernah sampai dan belum dipetakan. Setinggi-tinggi gunung di darat, dalam lagi jurang di dalam lautan sana. Jurang Mariana di Lautan Pasifik mempunyai kedalaman 10.9 kilometer sedangkan ketinggian gunung tertinggi di dunia iaitu Gunung Everest hanyalah sekitar 8.8 kilometer. Maksudnya Gunung Everest akan tenggelam jika diletakkan di dalam jurang ini. Bayangkan berapa banyaknya makhluk hidup dan tumbuhan yang Allah ciptakan sebagai penghuni alam lautan. Di sinilah terletaknya antara bukti kebesaran Allah Taala.


2.2 AIR LAUT KEKAL MASIN

Antara perkara yang menakjubkan kita ialah betapa banyaknya spesis hidupan laut yang boleh menjadi makanan kita dalam keadaan daging haiwan itu tidak masin sedangkan haiwan-haiwan itu hidup di dalam air laut yang masin.

Firman Allah Subahanahu wa Ta’ala :
“Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut dan makanan yang didapati dari laut, sebagai makanan bagi kamu dan juga bagi orang-orang yang dalam perjalanan, tetapi diharamkan bagi kamu memburu binatang buruan darat selama kamu sedang berihram. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kepadaNya kamu akan dikembalikan.” (Al-Maaidah : 96)

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam mengajar kita bahawa :
“Ia (lautan) adalah suci airnya, halal bangkainya.” (Turmizi, Ibnu Majah, Nasa’i)

Proses kitaran hujan juga pelik. Air laut yang masin diserap ke langit dalam bentuk wap. Tiba di langit, ia turun ke bumi dalam rupa hujan, tetapi airnya tawar. Air tawar ini mengalir pula ke laut melalui sungai-sungai, tetapi laut tetap masin.

Semua sungai menghala ke laut. Semua sungai airnya tawar. Tapi apabila semua aliran air tawar itu berkumpul di lautan, air laut tetap masin. Ke mana hilangnya sungai-sungai berair atwar itu? Hal ini memang aneh. Lebih mengkagumkan lagi apabila haiwan-haiwan di dalam lautan itu tidak terpengaruh zatnya dengan kemasinan air di sekelilingnya, walau berapa lama pun haiwan-haiwan itu hidup di dalamnya. Hal ini juga menjadi bukti kepada kebesaran Allah, bagi orang-ornag yang mahu menggunakan fikirannya.


2.3 LAUTAN SEBAGAI TENTERA ALLAH

Selautan air bermula dengan setitis air. Apalah sangat kuasa setitis air? Ya, setitis air kelihatan tidak mempunyai apa-apa daya, tetapi titis-titis air yang kelihatan lemah lagi mudah dipisah-pisahkan inilah yang berkumpul dan membentuk gelombang setinggi gunung. Titisan air ini membentuk tentera Allah berupa tsunami yang melanggar dan memusnahkan sekian banyak tumbuhan, petempatan, binaan, manusia dan haiwan di daratan. Kawanan titisan air inilah yang menghasilkan putaran air laut yang mampu menarik dan menenggelamkan kapal-kapal besar.

Kisah lautan sebagai tentera Allah membinasakan Firaun dan tenteranya dijelaskan dalam Al-Quran :
“Lalu Kami mengambil dia (Firaun) bersama-sama tenteranya. Kemudian Kami campakkan mereka ke dalam laut, dalam keadaan tercela.” (Az-Zaariyaat : 40)

Juga dalam Firman Allah yang berikut :
“Maka Kami pun membalas mereka, lalu Kami tenggelamkan mereka di laut dengan sebab mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya.” (Al-A’raaf : 136)

Lihat sahaja kejadian tsunami di Lautan Hindi pada tahun 2004 yang mengorbankan sekitar 230,000 jiwa di Indonesia, India, Sri Lanka, Thailand dan lain-lain. Air yang tidak pejal dan alunan ombak lembut gemalai diperintahkan oleh Allah bertukar menjadi tenteranya berupa ombak setinggi 9 meter lalu mengakibatkan bencana yang dahsyat.

Tentera Allah yang lain di dalam laut ialah kepanasan dan lahar api daripada kawah-kawah gunung-gunung berapi di dasarnya. Tentera-tentera ini sangat luar biasa keadaannya. Lahar bernyala ini bersuhu lebih daripada 1,000 darjah Celsius tetapi panasnya tidak meluapkan air laut dan air laut juga tidak membuatkan api ini terpadam. Alangkah ajaibnya! Dua unsur yang saling bertentangan iaitu api dan air dapat hidup rukun bersekali di dasar laut sana tanpa yang satu mengganggu yang satu lagi.

Buktinya ialah Firman Allah yang berbunyi :
“Dan demi laut yang di dalam tanahnya ada api.”  (Tur : 6)

Cerita tentang api di dalam lautan ini disokong pula oleh sebuah hadis iaitu :
“Sesungguhnya di bawah laut ada api, dan di bawah api ada laut.” (Abu Daud, Baihaqi, Al-Hakim)

Kita biasa mendengar atau membaca berita tentang letusan gunung-gunung berapi di dasar lautan. Letusan yang menggegarkan kerak bumi dan menghamburkan bahan-bahan panas membakar. Semua itu tidak lain ialah tentera Allah yang sentiasa patuh kepada kehendak Allah.

Hebatnya tentera-tentera Allah di dalam lautan sana, yang turut menjadi bukti kekuasaan Penciptanya.


2.4 KEAJAIBAN UKURAN LAUTAN

Ukuran luas lautan dan ukuran suhu air laut sangat seimbang. Hal ini membuktikan kehebatan kerja Penciptanya. Jumlah air laut dan suhunya sesuai untuk membolehkan manusia, haiwan dan tumbuhan hidup di atas planet bumi ini. Jika air laut berkurang dengan banyaknya, suhu bumi tidak dapat dineutralkan dan bumi akan menjadi sangat panas. Jika suhu air laut lebih panas pula, simpanan ais di Kutub Utara dan Kutub Selatan akan mencair menyebabkan paras laut menjadi tinggi mendadak dan banyaklah kawasan dunia akan tenggelam. Jika hidupan laut terlalu banyak, tidak cukuplah ruang alam lautan itu untuk dihuni. Jika terlalu kurang pula, akan semakin pupuslah spesis-spesis di dalamnya kerana kitaran hidup alam lautan sudah tidak sempurna.

Sesungguhnya semua ciptaaan Allah termasuklah lautan dan isinya adalah mengikut kadar, sukatan, timbangan, ukuran dan had tertentu yang begitu sempurna. Hal ini dijelaskan dalam Al-Quran sebagai :
“Sesungguhnya Kami menjadikan sesuatu mengikut sukatan (ada ukuran tertentu).” (Al-Qamar : 49)

Tentang ukuran keluasan permukaaan laut berbanding darat dinyatakan di dalam Al-Quran melalui kod yang unik. Kajian moden mendapati lautan meliputi 71% daripada permukaan bumi manakala darat pula meliputi 29%. Memang Al-Quran tidak menyatakan secara terang-terangan tentang nisbah ini tetapi melalui cara yang tidak disangka-sangka.

Dalam Al-Quran, laut disebut sebanyak 32 kali manakala daratan sebanyak 13 kali, maka nisbahnya ialah 32:13. Apabila ditukarkan kepada bentuk peratusan nisbahnya ialah 71:29.  Nisbah lautan kepada daratan ini bersesuaian dengan pembuktian kajian zaman ini bahawa sememangnya lautan meliputi 71% permukaan planet bumi manakala daratan ialah sebanyak 29%. Nisbah ini sudah diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. sejak lebih 1400 tahun lalu. Bukankah ini satu lagi bukti kekuasaan Allah? 


3.0 CARA BERSYUKUR KEPADA ALLAH ATAS NIKMAT-NIKMATNYA

Bersyukur kepada Allah bermaksud menyatakan rasa berterima kasih melalui hati, perkataan atau perlakuan kepada-Nya. Nikmat pula dari segi bahasa bermaksud pemberian atau anugerah. Oleh itu cara mensyukuri nikmat Allah membawa erti cara-cara menyatakan penghargaan melalui hati, lidah atau perlakuan kepada Allah Taala atas segala pemberian dan anugerahNya kepada kita.

Antara kelebihan bersyukur yang dinyatakan dalam Al-Quran ialah mendapat ganjaran daripada Allah, sebagaimana FirmanNya :
“Dan setiap yang bernyawa tidak akan mati dengan izin Allah, sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya. Barang siapa menghendaki pahala dunia, nescaya Kami berikannya pahala itu, dna barang siapa menghendaki pahala akhirat, Kami berikan kepadanya pahala itu, dan Kami akan memberikan ganjaran kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali ‘Imran : 145)

Bersyukur ada cara-caranya. Di bawah ini dihuraikan beberapa cara untuk kita mensyukuri nikmat Allah kepada kita.


3. 1 PELIHARA NIKMAT YANG DIBERI OLEH ALLAH

Salah satu cara untuk kita bersyukur akan nikmat kurniaan Allah adalah dengan menghargai nikmat-nikmat itu. Lautan ialah salah satu nikmat yang besar dari-Nya, maka kita mestilah memelihara nikmat-Nya itu dengan sebaik-baiknya, bukan merosakkannya.

Allah anugerahkan kita air laut yang bersih, mensucikan, jernih, tidak berbau busuk, tanpa bahan cemar lagi sedap untuk dipandang mata. Sebagai bukti kita mensyukuri nikmat lautan itu, kita mestilah memelihara dan memulihara lautan. Bukankah tangan-tangan manusia yang telah dan sedang merosakkan beberapa bahagian lautan? Hal ini sudah dimaklumkan oleh Allah melalui FirmanNya :
“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bencana di darat dan di lautan dengan sebab tangan manusia, kerana Allah hendak mereka merasakan sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang telah mereka lakukan.” (Ar-Rum : 41)

Lautan menghadapi ancaman ujian nuklear, pembuangan sisa-sisa bahan berbahaya, pembangunan tidak terancang di pulau-pulau dan pinggiran pantai, penerokaan dasar lautan yang tidak mengikut peraturan dan sebagainya. Jika benar manusia bersyukur atas nikmat lautan ini, pastinya manusia tidak akan merosakkannya. Kita yang punya kesedaran janganlah melakukan hal-hal yang mendatangkan kecacatan kepada lauatan, dan dalam masa yang sama bersuara kepada masyarakat tentang kepentingan menjaga lautan. Bukan untuk lautan sahaja, bahkan kepada semua anugerah Allah di sekeliling kita seperti bukit-bukau, hutan-hutan, atmosfera, danau-danau, padang rumput dan sebagainya. Beginilah salah satu cara bersyukur melalui hati, kata-kata dan perbuatan.


3.2 MENGAMBIL PELAJARAN DARIPADA NIKMAT YANG DIKURNIAKAN

Seluruh alam yang dijadikan Allah ini ada manfaatnya kepada kita. Salah satunya ialah buat hati kita. Tidak ada makhluk yang dijadikan Allah sia-sia. Oleh itu semestinyalah hati kita mengambil pelajaran daripada alam sekeliling termasuklah daripada lautan. Pandang lautan, dengar bunyi lautan, sentuh lautan, dan rasa lautan, lalu ambillah pelajaran daripadanya. Itulah antara bukti kita hamba yang bersyukur.

Imam Al-Ghazali dalam kitab Ihya’ ‘Ulumuddin menggambarkan lautan itu seolah-olah ilmu Allah yang maha luas lagi tidak terduga. Jangankan hendak menyelaminya, para rasul pun hanya dapat berenang-renang di tepiannya sahaja, apatah lagi kita orang biasa. Dari sini hati kita mendapat pelajaran, bahawa pengetahuan kita sangat kerdil di sisi Allah. Tunduklah hati kita kepada Allah melalui penghayatan kita terhadap laut.

Allah Taala sendiri ada menjadikan lautan sebagai perbandingan iaitu FirmanNya yang berbunyi :
“Katakanlah (wahai Muhammad) : “Seandainya lautan menjadi dakwat untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, maka pasti habislah lautan itu sebelum selesai (penulisan) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu pula.” (Al-Kahfi : 109)

Antara tujuan Allah menyatakan perbandingan sebegini tentunya untuk menarik hati manusia untuk berfikir tentang salah satu nikmatnya iaitu lautan dan mensyukurinya.

Ada orang-orang soleh yang berdiri di tepi pantai, lalu mereka membayangkan lautan luas lagi dalam itu seolah-olah api neraka yang mereka mungkin akan dihumbankan ke dalamnya. Dari situ hati mereka beroleh pelajaran, lalu meningkatkan rasa takut dan harap kepada Allah.

Ada pula orang yang menjadikan lautan sebagai terapi jiwa melalui hasil karya mereka yang berinspirasikan lautan seperti syair, lagu-lagu yang bermanfaat, kalimah-kalimah indah, pelahiran estetika kesusateraan seeprti perumpamaan, metafora, hiperbola, personifikasi dan sebagainya.

Beginilah salah satu cara mensyukuri nikmat Alah khususnya lautan, iaitu dengan cara kita ambil peduli dan menghayati, bukannya buat tidak peduli dan tidak menghargai.


3.3 BERSYUKUR MELALUI IBADAH

Mensyukuri nikmat Allah tidak akan lengkap tanpa menyempurnakannya dengan berabdi dan beribadah kepada Allah. Apalah ertinya rasa bersyukur sedangkan amalan-amalan yang fardhu dan wajib tidak ditunaikan, dan amalan-amalan sunat tidak bertambah? Orang yang benar-benar bersyukur pasti akan lebih berusaha untuk mendekatkan diri kepada Allah, bukannya sekadar membuat dakwaan kosong kononnya dirinya berada dalam kalangan hamba-hamba Allah yang mensyukuri nikmatNya.

Lagi kuat rasa bersyukur, lebih kuat pulalah rasa kehambaan dan keimanan. Bertambahnya rasa kehambaan dan keimanan, melonjaklah amal-amal soleh khususnya dalam ibadah dan amalan sehari-hari. Antara ibadah dan amalan yang berkaitan ialah solat fardhu, solat sunat, berzikir, membaca Al-Quran, memberi sedekah atau hadiah, dan sebagainya.
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan : “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambahkan (nikmat) kepada kamu. Tetapi jika kamu mengengkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat.” (Ibrahim : 7)

Sebelum kita mengharapkan Allah menambahkan nikmat-nikmat-Nya kepada kita, maka kita pun kenalah terlebih dahulu menambahkan amal-amal kita, sebagai bukti kesyukuran kita ke atas nikmat-nikmat sedia ada.


3.4 IKUT PERINTAH ALLAH.

Mensyukuri nikmat Allah mestilah dengan berusaha untuk mengerjakan segala yang diperintah oleh Allah sekalipun yang kecil-kecil, dan berusaha untuk meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah sekalipun dalam hal yang kecil-kecil.  Pendek kata, bersyukur mestilah dengan kepatuhan.

Seluruh alam patuh kepada Allah tanpa soal-soal lagi. Planet-planet berputar pada paksinya mengikut arah yang diperintahkan Allah, lautan akur pada perintah pasang surut, awan patuh bergerak ke tujuan, gunung-ganang setia pada tempatnya berperanan sebagai pasak bumi, dan pelbagai lagi contoh kepatuhan makhluk kepada Khalik. Oleh itu manusia dan jin yang diberi anugerah akal sudah semestinyalah menyatakan kesyukuran mereka dengan meletakkan sesuatu bersesuaian dengan tempatnya, iaitu dengan mengerjakan segala yang disuruh dan meninggalkan segala yang dilarang. Langit, bumi, lautan dan gunung-ganang yang besar itu pun patuh sepenuhnya akan perintah Allah, apatah lagi kita yang kerdil ini.

Ketundukan dan kepatuhan alam dan isinya ini dinyatakan oleh Allah :
“Dan semuanya bersujud (patuh) kepada Allah, baik yang di langit mahupun yang di bumi, baik dengan kemahuan sendiri ataupun terpaksa dan (sujud pula) bayang-bayang mereka pada waktu pagi dan petang.” (Ar-Ra’d : 15)

Nyatalah bahawa kepatuhan kepadaNya juga merupakan salah satu daripada cara untuk mensyukuri nikmatNya.


4.0 KESIMPULAN

Begitulah rapatnya kaitan antara lautan, nikmat Allah dan kesyukuran kepada-Nya. Hal ini dibuktikan melalui Firman Allah iaitu :
“Tidakkah engkau perhatikan bahawasanya kapal-kapal belayar di lautan dengan nikmat Allah, agar diperlihatkan-Nya kepada kamu sebahagian daripada tanda-tanda(kebesaran)-Nya?Sungguhlah pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda-Nya bagi setiap orang yang teguh pendiriannya dan banyak bersyukur.” (Luqman : 31)

Lihatlah bagaimana ketiga-tiga perkara utama yang menjadi pokok huraian kita di sepanjang tulisan ini iaitu lautan, nikmat dan syukur berada dalam ayat yang sama.

Jelaslah kepada kita bahawa seluruh alam ini sebenarnya menjadi tanda dan bukti kepada kewujudan dan kekuasaan Penciptanya iaitu Allah Taala. Beruntunglah manusia dan jin yang memanfaatkan mata hati dan mata akalnya untuk menyaksikan bukti-bukti kewujudan dan kekuasaan Allah pada alam ini. Dari situ kita akan menyedari bahwa seluruh alam ini tidak lain ialah nikmat anugerah Tuhan kepada kita. Bumi dijadikan untuk kita berpijak dan bercucuk-tanam, awan untuk kita beroleh hujan, langit untuk kita mengambil pelajaran, gunung-ganang untuk kita tenangkan fikiran, hutan-hutan untuk kita manfaatkan hasilnya dan sebagainya yang semuanya untuk kita. Alangkah pemurah dan pengasihnya Tuhan kepada kita dengan segala nikmatNya itu.

Apabila kita sudah menyedari hal yang sedemikian, maka wajiblah untuk kita bersyukur kepada Tuhan dengan sebenar-benar bersyukur. Tidak cukup sekadar mendakwa diri bersyukur tanpa membuktikan kesyukuran itu dengan hati, perkataan dan perbuatan.  Dengan merenung dan menghayati kekuasaan Allah pada lautan sahaja sebenarnya sudah cukup untuk membuatkan kita tersungkur bersujud penuh kesyukuran, belum lagi kita meneliti bukti-bukti kebesaran Allah yang lain.

Satu hal yang pasti, rasa bersyukur itu pada hakikatnya adalah milik Allah. Dialah yang berkuasa untuk mencampakkan rasa bersyukur itu kepada mana-mana satu makhluk-Nya. Sesiapa yang dianugerahkan-Nya rasa bersyukur, jadilah dia hamba yang bersyukur. Sesiapa yang tidak dianugerahi-Nya, tidaklah terpilih sebagai hamba yang ebrsyukur. Oleh itu, di samping kita sendiri berusaha menjadi hamba yang bersyukur, marilah kita bermohon kepada-Nya agar kita termasuk ke dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang dipilihNya untuk dianugerahkan rasa bersyukur itu.

Semoga Allah terus melimpahkan nikmatNya kepada kita di dunia ini, dan berterusan pula sehingga ke akhirat nanti, iaitu sehingga mendapatkan syurga-Nya. Amin ya Allah.

Abu Zulfiqar Al-Amsyari
Julai 2013



RUJUKAN


Buku

Abdul Majid Aziz Az-Zindani.(2004). Kitab Tauhid – Diperakui Oleh Fakta Sains. Kuala Lumpur : Pustaka Salam.

Achmad Sunarto.(1989). Keutamaan Berfikir. Jakarta : Pustaka Amani.

Choiruddin Hadhiri.(1993). Klasifikasi Kandungan Al-Quran. Jakarta : Gema Insani Press.

Ismail Yakub.(1988). Ihya Ulumiddin Jiwa Agama. Kuala Lumpur : Victory Agensi.

Al-Quran Terjemahan Resm Uthmani.(2007). Kuala Lumpur : Pustaka Darul Iman.


Internet



Hijazi Ibrahim Tsarya. Cara Bersyukur dengan Perkataan dan Perbuatan. http://zadud-duat.blogspot.com/2011/04/cara-bersyukur-dengan-perbuatan-dan.html#.UcUkTNhHUyk



Akhbar

Cuaca Ubah Rasa Air Laut. Berita Harian 29 April 2013


Video





Majalah

Majalah Terumbu. (Julai-Disember 2011). 25 Bubu Dirampas di Kawasan Taman Laut. Jabatan Taman Laut Malaysia

Wednesday, August 21, 2013

Sesuatu Yang Lebih Besar daripada Allah?

PERSOALAN : Salamun alaik ustaz.
Macam mana nak jawab soalan ni - dia kata kalau Allah Maha Besar, boleh tak Allah cipta sesuatu benda yang lagi besar daripada Dia? Kalau tak boleh, maknanya Allah tu lemah.. kalau boleh, bermakna ada benda yang lebih Maha Besar daripada Allah....

JAWAPAN :  Wlksm Mxxxxxx Fxxxxx.
Yang pertama dan paling penting - Orang yang bertanya itu selama ini ada tersalah faham tentang zat Allah. "Allah Maha Besar" itu bukannya bermaksud zat/diri Allah itu BESAR sebagaimana besarnya bukit, besarnya laut, besarnya langit dan sebagainya. Besarnya bukit, laut, langit dan lain-lain itu melibatkan saiz dan ukuran, tetapi "MAHA BESAR" pada Allah itu bukannya saiz atau ukuran. Zat Allah tidak terpengaruh dengan saiz dan ukuran sebagaimana saiz dan ukuran zat makhluk.
Zat Allah tidak dipengaruhi oleh jisim, tempat, ruang, masa, batasan, tepi, posisi, arah, langit, bumi dan sebagainya sedangkan BESAR yang dimaksudkan oleh penanya tadi ialah BESAR yang terlibat dengan saiz, ukuran, jisim, tempat, ruang dan sebagainya.

BESAR Allah tidak mengambil ruang dan tempat, sedangkan besar langit, alam dan seluruh isinya mengambil ruang dan tempat. Oleh itu, kita tak boleh samakan atau bandingkan MAHA BESAR Allah dengan BESARNYA makhluk, kerana kedua-duanya hal yang berbeza.

Mustahil Allah dapat menciptakan sesuatu yang lebih besar saiz dan ukurannya daripada diriNya, kerana diriNya bukanlah terlibat dengan saiz dan ukuran.

Contoh (sekadar untuk menghampirkan kepada faham) : Bolehkah kita buat sesuatu yang lebih besar daripada basikal? Ya, kita boleh buat kereta api. Hal ini mampu berlaku kerana kedua-dua basikal dan kereta api adalah berjisim, ada saiz, ada ukuran. Memanglah boleh dibandingkan mana yang lebih besar.

Tapi bolehkah kita buat sesuatu yang lebih besar daripada bahagia? Takkan kita nak buat bangunan 1,000 tingkat lalu kita katakan yang bangunan itu lebih besar daripada bahagia? Mana mungkin, kerana bahagia bukan ada saiz atau ukuran sepertimana saiz dan ukuran bangunan.

Yang kedua - Kita sarankan kepada orang yang bertanya agar dia berusaha belajar :
1. Sifat-sifat atau perkara-perkara yang layak bagi Allah.
2. sifat-sifat atau perkara-perkara yang tidak layak (mustahil) bagi Allah.

Perkara yang dibangkitkan oleh penanya berkait dengan sifat-sifat atau perkara-perkara yang tidak layak bagi Allah.

Contohnya :
1. Tidak layak (mustahil) bagi Allah untuk wujud kemudian daripada mana-mana makhluk. Ketidakmampuan Allah untuk wujud kemudian daripada makhluk bukanlah bererti Dia lemah, malah itulah bukti Dia Maha Awal.

2. Mustahil bagi Allah untuk membuang mana-mana makhluk keluar daripada pemerintahan-Nya/kerajaan-Nya. Ketidakmampuan Allah untuk membuang mana-mana makhluk keluar daripada kerajaan-Nya bukanlah bermaksud Dia lemah, bahkan itulah bukti Dia Maha Kuat.

3. Tidak layak bagi Allah untuk terlupa. Ketidakmampuan Allah untuk lupa bukanlah bukti Dia lemah, tapi itulah bukti Dia Maha Mengetahui.

4. Mustahil untuk Allah menciptakan satu Tuhan yang lebih berkuasa daripada diriNya. Ketidakmampuan Allah untuk menciptakan satu Tuhan yang lain bukanlah bermaksud Dia lemah, bahkan itulah bukti hanya Dialah yang Maha Berkuasa.

5. Begitu jugalah...mustahil untuk Allah menciptakan sesuatu yang lebih hebat daripada diriNya, kerana Dialah yang terhebat, Maha Hebat bahkan satu-satunya yang hebat. Hebat mana-mana makhluk pun adalah atas kurniaan/anugerah/pemberian-Nya.

Maka, mustahil untuk Allah menciptakan sesuatu yang lebih MAHA BESAR daripada diri-Nya. Ketidakmampuan Allah mengadakan sesuatu yang lebih MAHA BESAR daripada-Nya bukanlah hujah mengatakan Dia lemah, bahkan itulah bukti bahawa Dialah Yang Maha Besar.

Semoga dengan jawapan ini diharapkan dapat membantu pemahaman si penanya. Wallahualam.

Abu Zulfiqar
25 Julai 2013


Thursday, August 15, 2013

Pendedahan Liku-liku Jalan KeTuhanan

Tuan Guru Tokku Haji Ibrahim Haji Mohamad Pualu Manis ialah seorang syeikh dalam Tariqat Satariyyah aliran Tok Pulau Manis (yang terkenal dengan kitab syarah Hikam itu). Tokku Ibrahim banyak menulis buku khususnya yang berkaitan dengan tasawuf. Beliau banyak pengalaman dalam meneliti ajaran-ajaran yang kontroversi. Dalam kalamnya, beliau sering menyebut Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali, Tuan Guru Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah, Tuan Guru Prof. Madya Dr. Haji Jahid Sidek, Tuan Guru Haji Ismail Bukit Payung, Tuan Guru Mustafa Mohamad Al-Jiasi dan lain-lain.

Bukunya yang bertajuk “Liku-liku Jalan KeTuhanan – Tinjauan & Pengalaman Mengenai Permasalahan Tariqah di Malaysia” sangat menarik. Ada pelbagai pembongkaran di dalamnya. Kita ikuti salah satu pengalamannya yang menarik itu.

PENGALAMAN TOKKU IBRAHIM

Saya pernah berguru dengan seorang guru yang pada zahirnya begitu kuat berpegang kepada syariat dan sentiasa mengekalkan sunnah. Dia adalah dari kalangan guru yang majzub dalam ilmu tasawuf.

Saya yang jahil dalam tasawuf, banyak merujuknya pada peringkat awal kerana tertarik dengan latar belakangnya di mana dia dahulunya seorang yang jahil dan lalai dengan agama, tiba-tiba menjadi alim dan berpegang kuat dengan syariat.

Namun apa yang saya lihat, beliau ASYIK BERCAKAP TENTANG mimpi, kasyaf, firasat dan ilham yang dialaminya. Begitu juga dengan mudah menghukum seseorang itu sesat dengan kasyafnya, malah MENDAKWA DIRINYA SEBAGAI WALI QUTUB ZAMAN INI. Dia banyak bercakap bersandarkan ilham yang didakwanya merupakan petunjuk dari Allah. SETIAP HARI ADA SAHAJA ILHAM ATAU MIMPI YANG BARU. Murid yang lain tanpa banyak soal terus menerima kata-katanya kerana menganggapnya dari Allah.

Saya tidak mahu berhujah dengan lebih panjang apabila guru majzub itu mengatakan bahawa SAYA TIDAK BOLEH MEMBANTAH PERCAKAPANNYA kerana beliau adalah ketua  para Wali Allah, bahkan SEMUA WALI ALLAH SELURUH DUNIA PADA HARI INI MESTI MENDENGAR DAN TUNDUK KEPADANYA.

Saya yang kebingungan merujuk kepada guru saya, TUAN GURU HAJI MAMAT MERBAU PATAH. Saya ceritakan bahawa guru tersebut amat suka bercakap tentang ilham dan karamah serta AMAT MUDAH MENGHUKUM ORANG LAIN SEBAGAI MUNAFIK dengan hanya bersandarkan mimpi dan ilhamnya. Saya merujuk kitab Al-Hikam yang mengatakan siapa yang mencintai hal-hal tersebut tandanya dia JAUH DARI TUHAN. Lalu Tuan Guru Haji Mamat dengan senyum berkata, “Alhamdulillah, kamu diberi ilmu oleh Allah dengan faham. Cukuplah kamu mengikutinya.” Saya memahami kalam beliau dan meninggalkan guru tersebut.

[ *Tuan Guru Haji Mamat Merbau Patah berasal dari Sungai Derhaka, Terengganu. “Merbau Patah” ialah nama kampung isterinya, iaitu tempat TG Haji Mamat mengajar ilmu agama. Mahir mensyarahkan kitab Hikam Tok Pulau Manis dan kitab Minhajul Abidin Imam Al-Ghazali. TG Haji Mamat Merbau Patah tidak mengamalkan apa-apa tariqat, tetapi hanya mengamalkan aurad biasa lepas solat. Menurut TG Merbau Patah, tasawuf bukannya pada zikir, salasilah, banyak ibadah, suluk dan mujahadah, tetapi hakikat tasauwuf ialah hidupnya jarum hati memandang hakikat keTuhanan dalam setiap masa. Pandanglah segala dari Allah, dengan Allah dan kepada Allah, berpegang teguh dengan syariat dan hakikat serta memelihara diri dari yang haram, syubhat dan makruh.]

Kembali kepada cerita guru saya yang majzub itu. Bila saya meninggalkannya, beliau yang mengaku ketua wali tadi AMAT MARAH, lebih-lebih lagi ramai murid-muridnya yang lain yang selama ini turut berasa curiga tapi tidak berani meninggalkannya mengikut tindakan saya. Akibat tindakan tersebut, RAMAI SAHABAT SAYA YANG DIPUKUL. Saya sendiri DIDOAKAN KHUSUS SUPAYA GILA.

Apabila melihat tindakbalas mereka tidak menjejaskan saya dan yang lain, SAYA DIAJAK BERTUMBUK ‘one by one’. Sedangkan pangkatnya IBARAT SEORANG AYAH kepada saya, bagaimana beliau boleh mengajak saya bertumbuk. Bila mengingat peristiwa ini saya tersenyum sendirian kerana terasa lucu dengan tindakan yang penuh emosi itu.

Syeikh al-Junaid berpesan : “Tinggalkan mereka yang mengaku wali.”

Berkata Tuan Guru Imam Ibrahim : “Mereka yang mengaku ia wali adalah dusta, mereka ialah manusia yang tidak malu dengan Allah.”

[ *Tuan Guru Imam Ibrahim ialah mursyid dalam Tariqat Satariyyah aliran Tokku Pulau Manis]

Inilah contoh manusia yang menjadikan jubbah, serban serta janggut yang panjang sebagai topeng untuk kepentingan diri. Ia bercakap ilmu sufi tetapi APABILA DATANG UJIAN, LATAHNYA LEBIH DARIPADA ORANG AWAM YANG JAHIL.  Dulu saya sangat menghormatinya, tetapi peristiwa tersebut telah menghilangkan terus rasa hormat saya terhadapnya.

TAMAT SALAH SATU PENGALAMANNYA

Banyak lagi cerita menarik di dalam buku itu. Ringkasannya :

1.       Ajaran yang mendakwa jika mencapai maqam fana’, boleh meninggalkan syariat, boleh tidak menutup aurat dengan sempurna.
2.       Ajaran seorang wanita yang mendakwa menerima jubah dan mahkota daripada Nabi Khidhir. Pada setiap malam Nabi Khidhir akan datang dari laut dengan menunggang kuda lalu mengajarnya. Auratnya tidak bertutup sempurna. Lengannya dihiasi banyak gelang emas. Melantik dirinya sebagai amil zakat kerana kononnya amil-amil lelaki sudah tidak jujur. Tidak bersolat kerana setiap kali mahu mengerjakan solat, dia akan mengalami fana’ zat.
3.       Ajaran yang gurunya mendakwa menerima  pendidikan kerohanian secara langsung daripada Syeikh Abdul Wahab Rokan dan Tok Pulau Manis. Kononnya mencapai maqam maqam zikir di atas ‘Arasy. Ketika bersuluk, penjuru suraunya akan dijaga oleh Syeikh Abdul Qadir Jilani, Syeikh Abdul Wahab Rokan dan Nabi Khidhir. Menerima surat pengesahan sebagai wali qutub daripada Rasulullah ketika di Madinah.
4.       Ajaran yang gurunya mendakwa sering dikunjungi Rasulullah. Begitu rapat dengan baginda sehingga dipanggil “Abang Mad” sahaja. Mendakwa pernah pada suatu malam dibawa oleh Rasulullah ke Baitul Maqdis, lalu Rasulullah memintanya menjadi imam solat kepada Rasulullah dan para wali.
5.       Ajaran seorang guru buta yang mengaku sebagai Al-Mahdi. Mendakwa Siti Fatimah ra bukanlah anak Rasulullah saw.

Dan pelbagai lagi pendedahan yang menarik. Wallahua’lam.

Abu Zulfiqar
15 Ogos 2013

Tuesday, August 13, 2013

Simbol-simbol Dajjal pada Sejadah?

Sudah banyak kali kita mendengar cerita ataupun menyaksikan sendiri sejadah-sejadah yang dikatakan memaparkan gambar-gambar yang tidak sepatutnya. Ada gambar yang nampaknya memang sengaja dicetak sedemikian rupa, dan ada pula yang tidak dimaksudkan begitu tetapi mata kita (fikiran kita) yang mereka-reka untuk memandangnya begitu sedangkan pereka corak asalnya tidak memaksudkan begitu. Contohnya dikatakan ada gambar salib, kepala anjing, adegan seks dan sebagainya yang mungkin terjadi secara tidak sengaja kerana corak awan larat, simbol, rupa geometri dan rupa organik yang boleh digambarkan sebagai apa sahaja menurut mata yang memandang. Namun kita tidak nafikan memang ada gambar yang tak boleh tidak, kita yakin memang disengajakan.

Kali ini kita kongsikan corak dan gambar sejadah yang dikatakan terselit simbol-simbol Dajjal yang ditemui di Banjarmasin, Kalimantan, Indonesia. Sejadah ini tersebar luas kerana harganya yang agak murah berbanding sejadah-sejadah lain. Para penjual tentunya tidak ambil kisah dengan corak dan gambar sejadah kerana umumnya mereka tidak ada ilmu pun perihal simbol-simbol berkenaan.




Secara peribadi, saya memandang gambar bulan bintang dan dua menara itu biasa sahaja kerana simbol bulan bintang memang sudah lama digunakan oleh umat Islam dan bukannya dengan tujuan untuk meniru apa-apa simbol yang tidak elok, begitu juga dengan menara masjid. Yang dikatakan gambar zakar di mihrab masjid itu rasanya bukanlah disengajakan. Dan ada perbezaan pula antara gambar pertama dengan gambar kedua. Gambar pertama itu macam sudah diubahsuai. Wallahua'lam.

Gambar simbol jangka lukis Freemason pun nampaknya tidak jelas, lebih kepada corak biasa sahaja. Piramid Mesir pun tak cukup kuat untuk dikaitkan. Piramid Maya... lagilah tak kena. Tentang "mata satu", mungkinlah sesuai untuk dikaitkan, tapi itupun tidaklah kukuh.

Jika mahu ditambah, mata saya pun boleh sahaja mahu mengaitkan dua rupa (seakan-akan burung) di kiri kanan "piramid Maya" itu sebagai sepasang kerub yang kononnya berada di atas tabut, sebagaimana kepercayaan kaum Yahudi.

Kesimpulannya, tidaklah kukuh untuk kita kaitkan gambar-gambar pada sejadah ini dengan simbol-simbol Dajjal. Namun begitu, sekiranya gambar-gambar ini sudah mengundang kontroversi dan ketidaksenangan kepada umat Islam, ada baiknya penyebarannya di tarik balik. Memang ada masjid-masjid yang menutup sejadah ini dengan kain putih apabila dibentangkan.

Secara peribadi, saya lebih suka jika sejadah dibiarkan kosong tanpa gambar. Rasa tidak selesa juga gambar masjid-masjid diletakkan ditapak kaki dan dipijak-pijak orang yang lalu-lalang. Sekadar corak-corak seni tak mengapalah. Wallahua'lam.

Abu Zulfiqar
13 Ogos 2013
7 Syawal 1434

*Adakah orang yang hobinya mengumpul sejadah pelbagai "design" sebagai koleksi, sebagaimana hobi mengumpul jersi, setem, sampul surat, wang kertas, bendera dan sebagainya?


Tuesday, August 06, 2013

Mikraj Nabi Bukti Allah Dipengaruhi oleh Tempat?

PERSOALAN : Seorang sahabat yang menggunakan nama NS bertanyakan pandangan tentang petikan di bawah, yang disiarkan dalam sebuah akhbar tempatan tulisan Mohd Radzi Othman (*tak pasti sama ada orang ini sama dengan Mohd Radzi Othman dari ulama muda UMNO atau tidak) :

“Ada juga antara kaum Muslimin yang membaca kisah ini (*kisah Israk dan Mikraj) tanpa mengerti; dalam masa mereka menetapkan peristiwa turun naik yang dilakukan Nabi untuk berjumpa ALLAH bagi mengurangkan jumlah solat, mereka menetapkan ALLAH wujud tanpa tempat (*maksudnya si penulis meyakini bahawa zat Allah itu dipengaruhi oleh tempat). Seandainya ALLAH bukan bersemayam di atas Arasy, malah sebaliknya ALLAH wujud tanpa tempat, lalu mengapa berlakunya Mikraj? Lebih ironi mengapa Musa menyuruh Nabi Muhammad SAW menghadap ALLAH di Sidratul Muntaha berulang kali? Cukup sahaja di langit ke enam - tempat Nabi Musa tinggal - Rasulullah SAW menyeru Tuhannya, tidak perlulah baginda naik turun berulang kali. Lalu di sinilah pemisah antara golongan yang beriman kepada naqal dan akal.”

PENJELASAN SAYA : (*Memang sedap jika dijawab panjang lebar, tapi ketika menjawab persoalan ini tempoh hari memang saya sedang kesibukan. Namun dengan jawapan ringkas ini pun rasanya sudah memadai untuk memahami kedudukan sebenar 

Jawapan ringkasnya :

1. Peristiwa Mi'raj itu berkait dengan di mana Allah mahu Rasulullah berinteraksi dengan-Nya, bukannya berkait tentang zat Allah berada di mana. Boleh saja jika Allah mahu Rasulullah berinteraksi denganNya di bumi, di dalam Kaabah, di rumah, di medan perang, di Bukit Tursina (sebagaimana Nabi Musa), tapi Allah sendiri yang berkehendak Rasulullah berinteraksi dengannya hanya di Sidratul Muntaha. (*Agaknya ketika Allah mahu menampakakan diriNya kepada Nabi Musa dulu, Allah sedang berada di sekitar Bukit Sinai itulah ye?)

2. Rasulullah tak pergi melewati ‘arasy, sedangkan penulis itu percaya Allah bersemayam di atas ‘arasy. Sidratul Muntaha bukan ‘arasy dan bukan di atas ‘arasy. Maksudnya Rasulullah bertempat di Sidratul Muntaha, sedangkan Allah tidak duduk di Sidratul Muntaha. (*Penulis itu tidak tahu bahawa di atas daripada ‘arasy bukanlah tempat, bukanlah ruang, bukan juga gelap atau cerah, tidak ada sebarang warna di sana. Hendak bicara soal ini kenalah terlebih dahulu belajar tentang apa itu ‘arasy, bagaimana keadaan di atas daripada ‘arasy, dan bagaimana keadaan di bawah daripada ’arasy).

3. Peristiwa Mikraj itu juga sebenanya hendak menunjukkan siapa sebenarnya Rasulullah (*apa sebenarnya jasad dan rohani Rasulullah saw), kerana di tempat yang malaikat Jibril pun tak boleh sampai, tapi zat (*jasad dan rohani) Rasulullah boleh sampai. (*bahagian ini kenalah berguru, baru mudah untuk dipindahkan ilmu tentangnya, tetapi memakan masa yang bukan sedikit, mengikut kemampuan masing-masing)

Wallahua’alam.

Saturday, August 03, 2013

Simbol Syaitan Raksasa di Kazakhstan?

Berita ini boleh jadi benar, boleh jadi juga tidak benar. Bukan untuk terus dipercaya, sekadar berkongsi berita-berita panas di internet :)

Kononnya ditemui satu simbol yang biasanya dikaitkan dengan syaitan di Lisakovsk, utara Kazakhstan, dan simbol itu memang besar jika dilihat dari udara, berdiameter 366 meter.

Ini peta negara Kazakhstan yang terletak di selatan Rusia. Lihat kedudukan bandar Lisakovsk.

Simbol itu terletak di tepi sebuah tasik.

Kelihatan di sana bintang bucu 5 yang sering dikaitkan dengan syaitan. Kawasan itu dikatakan tidak berpenghuni. Petempatan terhampir ialah perkampungan Lisakovsk yang terletak kira-kira 20 kilometer dari situ (tidaklah jauh sangat pun).

Pelbagai pendapat dilontarkan oleh orang ramai seperti :
1. Simbol itu dibuat oleh seorang atau sekumpulan pemuja syaitan.
2. Simbol itu ialah bekas tapak markas tentera Soviet.
3. Simbol itu dibuat oleh orang-orang yang sengaja mahu bikin isu panas.
4. Dibuat oleh makhluk asing.
5. Tempat pelancaran roket.
6. ......... macam-macam lagilah.

Boleh buat tarikan pelancong ni.

Wallahua'lam.


Abu Zulfiqar
3 Ogos 2013
Related Posts with Thumbnails