Kajian dan pemerhatian ringkas tentang Al-Quran, As-Sunnah (hadis), agama-agama dunia, kitab-kitab suci pelbagai agama, manuskrip-manskrip kuno, alam semesta (bumi dan angkasa lepas), ilmu perbandingan agama, sejarah, peristiwa-peristiwa akhir zaman, kiamat, alam akhirat, alam ghaib, sains, astronomi (falak) dan lain-lain ilmu alam.

Thursday, December 08, 2011

11. Kemunculan 'Naga' di Bukit Naga







BAB 11 – Kemunculan ‘Naga’ di Bukit Naga

Perjalanan pulang tidaklah begitu sukar kerana mereka bersetuju untuk menggunakan jalan tar yang sudah tidak berapa jauh pun dari situ. Selepas meredah hutan selama lima belas minit, sampailah mereka di jalan tar. Mereka tidak berhenti rehat kerana terlalu seronok dan tidak sabar-sabar hendak sampai ke bawah.

Dalam perjalanan turun, mereka terserempak dengan sekumpulan pengakap dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tat Beng yang sedang dalam perjalanan ke atas. Kebetulan Piyan kenal dengan guru pasukan pengakap itu. Mereka berhenti dan berbual sebentar. Kesempatan ini digunakan oleh Khairi dan Seman untuk duduk dan meneguk air.

Melihatkan budak-budak pengakap itu, Seman terkenangkan rombongan kumpulan Silat Gayongnya ke puncak Gunung Bubu pada hujung tahun lepas. Yang lebih dikenangnya ialah seorang srikandi bernama Nur Azlina. Entah bagaimana hati Seman begitu terpikat dengan Azlina. Padahal Seman bukannya jenis jiwang. Dia tidak pernah terfikirpun tentang perempuan, cinta, kahwin dan yang sewaktu dengannya. “No women, no cry” kononnya. Cadangnya, apabila sudah tiba masa untuk mendirikan rumahtangga, ketika itulah dia akan mencari anak mana-mana karkun sebagai pasangannya.

Segala-galanya bermula apabila gelanggang Silat Gayong yang disertai Seman mengadakan aktiviti mendaki Gunung Bubu. Sepanjang perjalanan itu Seman banyak duduk di bahagian belakang sekali. Yang untungnya berada di belakang sekali ini, apabila ’take five’, Seman akan berjalan terus lalu berhenti rehat di hadapan sekali. Apabila orang lain mula bergerak kembali, Seman boleh meneruskan rehatnya sampailah habis kesemua 37 orang melintasinya. Kemudian barulah dia bergerak. Sambil-sambil itu dia boleh menegur kawan-kawan dan melihat gelagat ahli rombongan yang lain.

Dalam ramai-ramai ahli rombongan, Seman merasakan ada seorang gadis yang unik, lain dari yang lain. Gadis itu ialah Nur Azlina, tetapi ketika itu Seman belum mengetahui namanya. Bahkan serasa Seman, itulah kali pertama dia melihat gadis itu dalam kumpulan mereka. Padahal seminggu dua kali mereka bergelanggang. Tapi memang patut pun. Seman kalau di gelanggang, dia tidak ambil hirau pun kawasan pesilat wanita berlatih. Yang dia tahu, datangnya ke gelanggang itu ialah untuk bersilat. Hal-hal lain dia tidak ambil peduli.

Apa yang uniknya Si Azlina ini pada pandangan Seman? Orangnya bergaya sederhana. Gerak dan tuturnya sopan. Di sepanjang perjalanan mereka yang mencabar itu, tidak pernah Seman melihat Azlina mengeluh ataupun berubah muka. Walaupun sangat keletihan, wajahnya biasa sahaja, memaparakan ketenangan. Tidak ada gaya kepura-puraan atau dibuat-buat. Malahan sering kali mengukir senyum kalau ditegur dan berkata-kata. Padahal ketika itu orang lain sudah ada yang menghempas-hempas barang, bergaduh, merungut, marah-marah, mengeluh.. dan bermacam-macam kerenah lagi. Mana tidaknya, sudahlah letih, barang yang dibawa banyak, terpaksa bergilir-gilir membawanya. Sampai di laluan yang curam,mulalah terasa hendak putus nafas. Laluan dari Ulu Kenas ke kemuncak gunung memang mencabar. Ada satu tempat yang kecuramannya hampir-hampir 90 darjah. Terpaksa berpaut pada akar-akar untuk naik ke atas.


Sungai Ulu Kenas di kaki Gunung Bubu.


Azlina? Dia tetap ‘cool’. Sesiapa yang menegurnya, dibalasnya dengan sopan,pendek dan dengan sedikit senyuman terlukis. Orang sebegini sukar untuk dicari, fikir Seman. Sejuk mata memandang, sedap telinga mendengar. Perempuan sebeginilah yang sesuai untuk dibuat pasangan hidup.

Seman sudah jatuh hati, tetapi perasaannya itu tidaklah dia panjang-panjangkan. Setiap kali malam latihan silat, Seman akan mencuri-curi memerhati perilaku Azlina. Seman bertambah yakin. Oleh itu dia menyimpan suatu niat. Seandainya suatu hari nanti dia sudah bersedia untuk mendirikan rumahtangga, dan seandainya ketika itu Azlina masih belum berpunya, Seman akan melamarnya. Tapi sekiranya Azlina sudah berpunya, Seman tidak ada apa-apa masalah. Dia akan berusaha mencari seorang wanita yang mempunyai cirri-ciri positif sebagaimana Azlina juga. Selesai masalah. Tidak perlu memberat-beratkan fikiran. Yang penting ialah doa dan usaha, bukan doa sahaja, dan bukan usaha sahaja.

Sebaik-baik sahaja Piyan selesai berborak, mereka bertiga kembali mengatur langkah menuruni bukit melalui jalan tar. Laluan ini lebih sunyi daripada laluan dalam hutan. Tidak ada sebarang bunyi unggas rimba. Yang kedengaran hanyalah detapan tapak kaki mereka di atas jalan tar dan sesekali bunyi dedaun bergeseran ditiup angin. Hendak berbual, masing-masing sudah kurang nafas. Jadi, diam sahajalah.

Khairi mengisi kekosongan itu dengan zikir langkahan pendekar yang diajarkan malah diasaskan oleh Ustaz Abu kepada anak buah usrahnya yang terpilih, termasuklah Piyan dan Seman. Tidaklah masa terbuang begitu sahaja. Langkahan ini berisi amalan membaca “Laa IlaahaillAllaah” dengan empat hayunan langkah. Sedap rasanya, seperti orang sedang berkawad.

Ketika melewati satu kawasan lereng yang cerah tanpa pokok-pokok besar, mereka dapat menyaksikan pemandangan luas indah dari Bukit Naga itu ke arah Kampung Matang Raja, Kampung Panchor dan pekan Pantai Remis. Khairi bertakbir, menyahut seruan sunnah bertakbir di tempat-tempat tinggi. Kedua-dua orang rakannya turut berbuat demikian.


Pemandangan ke arah pekan Pantai Remis dari atas Bukit Naga. Di sinilah Khairi dan kawan-kawannya berhenti dan menjamu mata mereka dengan pemandangan indah.


Jam sudah hampir pukul tiga setengah petang. Mereka bersetuju untuk menunaikan solat fardhu Zohor di situ. Mereka memiih tempat redup di seberang jalan. Nampaknya sebuah dusun. Ada sebuah pondok tinggi. Menggunakan air dari dalam botol yang dibawa oleh Seman, mereka mengambil wudhuk dengan cermat dan jimat. Menggunakan kompas Khairi, mereka mencari arah kiblat.Mereka pun solat berjemaah berimamkan Khairi.

Perjalanan diteruskan.

“Piyan, kata la naga tu tiba-tiba melintaih kat depan kita, apa hang nak buat?” cetus Seman.

Piyan menoleh ke arah Seman, tersengih, “Aku tanya la kat dia... apa keputusan pertandingan gusti antagha dia dengan ulaq kat laut tu dulu?”

“Hah ha ha ha!” Seman tertawa. Tidka disangkanya Piyan akan menjawab secara berjenaka.

“Woi, aku tengah letih-letih ni hangpa jangan dok buat lawak. Tak laghat aku nak gelak satgi. Stamina dah la tinggai ciput ja ni,” kata Khairi.

“Kalau dia tak mau jawab?” tanya Seman, menduga Piyan.

“Kalau dia tak mau jawab... aku penyepak (penampar) sekali. Lepaih tu aku koyak mulut dia besaq-besaq...” dengan gaya mengoyak mulut buaya... “... aku taghik gigi dia bawak keluaq, aku pintai-pintai lidah dia macam peghah kain basah.”

“Haa ha hahaa,” ketawa Seman. Khairi turut tertawa kecil sambil menepuk dahinya.

“Allahu Akbar!” jerit mereka bertiga serentak. Terkejut betul mereka apabila seekor ular muncul dari semak-semak di kanan jalan dan melintas. Khairi melompat ke belakang manakala Piyan sudah berkuda-kuda. Seman? Berdiri lurus dalam kekagetan.

Memang begitulah biasanya bunyi latahan mereka. Susah hendak mendengar budak-budak bertiga ini melatah “aduh”, “alamak”, “ops”,”oi mak hang”, “ohpocot” dan lain-lain. Apatah lagi yang mencarut-carut. Tarbiyyah Ustaz Abu memang melekat di hati mereka. Menurut Ustaz Abu, sekiranya kita ditembak, dibom, tercucuk kayu tajam dan sebagainya, biarlah kalimah terakhir kita sekurang-kurangnya “Allahu Akbar” kalau pun tidak sempat mengucapkan “Lailahaillallah”.

Si ular tadi melintas perlahan-lahan. Kemudian ia menghilang dalam semak-semak di kiri jalan. Khairi,Piyan dan Seman saling berpandangan. Kemudian...bersembur ketawa mereka memecah kesunyian Bukit Naga hari itu. Khairi ketawa sampai mengalir air mata. Piyan pula sampai terduduk. Seman membongkok seperti sedang rukuk manakala tangannya memegang perut yang mengeras.

“Tu laa... sembang deghaih sangat! Kan dah kena?” ucap Khairi sebaik-baik sahaja tawa mereka mereda.

“Hang la Piyan! Nak koyak mulut la, nak taghik gigi bawak keluaq la...” sambung Seman.

“Last-last ulaq lidi ja pun melintaih!” balas Khairi. Tertawa kecil.

“Siap pasang kekuda silat pulak tu!” perli Seman.

“Tu bukan kekuda silat tu. Tu nama dia kekuda siap nak laghi. Silat Seribu Langkah,” pintas Khairi. Mereka semua tertawa lagi.

“Tu dia baghu hantaq dia punya prebet baghu, belum kapten dia lagi, hang dah kelam-kabut,” kata Seman.

“Kapten dia mau dua pemeluk punya besaq,” sambung Khairi.

“Dah la tu woi, aku dah tobat dah ni. Lepaih ni tak mau cakap besaq lagi dah,” balas Piyan sambil menghembuskan nafas kelegaan. Sisa-sisa ketawa masih ada pada diri masing-masing.

Beberapa minit kemudian tibalah mereka di kaki bukit. Beberapa meter lagi mereka akan menjejakkan tapak kasut di jalan mendatar. Selamat tinggal jalan curam. Perjalanan akan jadi lebih mudah dan lebih ‘rileks’.

Tiba-tiba dari belukar di sebelah kanan mereka, keluar menerpa satu lembaga. Kali ini besar jasadnya, bukan ular lidi lagi. Lebih tinggi daripada Khairi dan rakan-rakannya. Mereka bertiga terhenti serentak tanpa sebarang bunga silat dan kekuda seperti tadi. Masing-masing terpaku dan terpukau.

“Naga betul dah datang......!”cetus Khairi perlahan.

@@@@@@@@@@

“Abi nak pergi mana bi?” tanya Zul kepada bapanya. Budak kecil berusia tujuh tahun itu sedang meniarap melihat kakaknya melukis.

“Abi nak pergi rumah tok qhadi kejap,” jawab Ustaz Abu sambil mengenakan serban hitamnya di hadapan cermin. Cara lilitannya ada persamaan dengan cara pemakaian serban oleh para pengikut Darul Arqam. Ekor serbannya diletakkan di sebelah kiri, depan. Setelah melihat rupanya di cermin buat seketika, Ustaz Abu menolak ekor serbannya ke belakang. Yah, lebih selesa.

“Yang duduk di Kampung Air Terjun tu ye?” tanya Syakirah, anak perempuannya yang berusia sebelas tahun.

“Ye, ada orang nak berubat, minta abi tolong ubatkan.” Ustaz Abu mengambil beg galasnya di atas meja.

“Kerasukan ke abi?” tanya Syakirah lagi. Dia tahu, dalam beg galas bapanya sudah tersedia alatan untuk berbekam, minyak burung but-but, minyak penawar racun, sarung tangan palstik, pisau kecil dan beberapa barang lagi. Beberapa tahun dulu Syakirah dan adiknya suka menyelongkar beg rawatan bapanya itu.

“Agaknyalah. Abi suruh datang ke rumah kita. Kalau tak mahu, ke surau pun boleh. Tapi diorang nak berubat di rumah tok kadhi jugak. Anak buah tok kadhi tu le, dari Johor. Segan katanya nak datang sini.”

“Abi kata tak mahu merawat orang dah. Tak mahu jadi mu’allij,” sambung Syakirah. Dia memang seorang yang petah berkata-kata.

“Bila pulak abi kata tak mahu? Abi masih merawat, tapi tak mahu aktif macam dulu sangat dah. Banyak sangat tanggungjawab abi dalam kerja-kerja agama ni, tak ter’cover’ dah. Itu sebabnya abi nak ‘slow’ sikit bab merawat ni.”

“Ooo...,” balas Syakirah. Dia menyambung lukisannya semula.

“Abi, nak ikut!” kata Zul pula. Dia bangun duduk.

“Isy,tak payahlah! Abi nak merawat orang, bukan nak pergi berjalan-jalan.”

“Adik nak ikuttt... adik nak lawan dengan hantu.”

“Eh, adik kecik lagi! Esok ni abi ajar adik ye?”

“Bila? Esok ke?” tanya Zul lagi.

“Bukan le esok. Maksudnya... esok-esok ni le, bila Zul dah besar nanti.”

“Bila? Masa adik umur sepuluh tahun ke?”

“Isy,nantilah! Tak tahu lagi.”

“Yea, yea! Nanti adik nak lawan dengan syaitan! Adik nak baca ayat Quran!”sorak Zul sambil melompat dan bertepuk tangan.

“Ye lah tu,” balas kakaknya.

“Abi, adik doakan abi berjaya.Ya Allah, Engkau bagilah abi aku menang mengalahkan syaitan-syaitan. Amin.”

Ustaz Abu tertawa kecil melihat gelagat anak kecilnya itu.

“Abang tak mahu makan cucur durian dulu ke bang?” laung Sarina dari dapur. “Tinggal nak goreng je lagi ni.”

Ustaz Abu berhenti di tengah pintu depan. “Cucur durian?... Tak pe la Rina. Makanlah dengan anak-anak. Abang nak pergi dah ni.”

“Tak pe ummi, bahagian abi biar kakak aje yang makan,” sahut Syakirah.

“Abi,adik nak main lastik boleh tak?” pinta Zul.

“Jangan lastik burung, haiwan-haiwan, orang... Pergi lastik sasaran yang abi buat kat belakang rumah tu aje.”

“Ok, abi. Terima kasih abi. Jom kakak!”

“Tak mahu. Kakak nak main dart.Kakak tak suka main lastik-lastik.”

“Ok lah, nak pergi dah. Assalamu’alaikum,” kata Ustaz Abu.

@@@@@@@@@@

No comments:

Related Posts with Thumbnails