Kajian dan pemerhatian ringkas tentang Al-Quran, As-Sunnah (hadis), agama-agama dunia, kitab-kitab suci pelbagai agama, manuskrip-manskrip kuno, alam semesta (bumi dan angkasa lepas), ilmu perbandingan agama, sejarah, peristiwa-peristiwa akhir zaman, kiamat, alam akhirat, alam ghaib, sains, astronomi (falak) dan lain-lain ilmu alam.

Sunday, December 04, 2011

10. King of the Dragon Hill

BAB SEPULUH – King of the Dragon Hill

“Kita kena caghi sesuatu yang ‘special’. Macam besa la, cagha menyimpan sesuatu yang bernilai tinggi tentunya luaq besa,” cetus Khairi setelah mereka terdiam agak lama. Kakinya terus melangkah pantas meranapkan belukar-belukar kecil.

“Bagai pungguk merindukan bulan... bagai pungguk... merindukan bulan... bagai pungguk rindukan bulan...” ulang Piyan berulang kali. Dia hampir-hampir tersembam apabila kakinya tersadung akar kayu. “Allah!” latahnya. Dia berpaling melihat akar itu, kemudian meneruskan perjalanannya.

Piyan membuat sifir lagi dalam kepalanya...

Bagai pungguk merindukan bulan... maksudnya ada dua benda, iaitu busur dan anak panah.

Bagai pungguk merindukan bulan.. berkait dengan percintaan, iaitu kedudukan anak panah itu di ‘hati’ sang naga.

Bagai pungguk merindukan bulan.......

Burung pungguk... boleh terbang, hinggap di pokok...

Bulan... terang-benderang, terletak di langit.

“Khairi. Aku ghasa ‘pungguk merindukan bulan’ tu... kena panjat pokok la, menuju ke ataih,” saran Piyan.

Khairi berhenti berjalan. Tangannya yang memegang parang dijatuhkan ke sisi. Dia berfikir sebentar. Kemudian dia berpaling ke arah Piyan dan Seman. “Boleh jadi la,” katanya sambil mengangguk-angguk.

“Maksudnya sekaghang... kita kena caghi satu pokok yang lain daghi yang lain dalam perjalanan kita ni,” kata Seman.

“Kalau macam tu, kita kena patah balik!” kata Khairi, bersungguh-sungguh.

“Awatnya?” tanya Seman.

“Tadi memang ada satu pokok lain daghi yang lain.”

“Lain yang macam mana?”

“Pokok yang paling besaq aku ghasa kat bukit ni.”

“Ya tak ya. Aku pun peghasan jugak tadi,” kata Seman. “Memang besaq betoi. Ghatoih-ghatoih taon punya pokok tu.”

Mereka berpatah balik dengan tergesa-gesa dalam seratus meter dan tiba di bawah sepohon pokok raksasa yang rendang. Dahan-dahannya digayuti akar-akar kayu. Pangkal dan batangnya juga seolah-olah bersalut dengan akar-akar kayu.

“Nampak gaya... pokok ni lagi veteran daghipada pokok-pokok kat Taman Tasik Taiping,” ujar Piyan.

“Yang tu aku tak pasti la. Tapi... memang tua betoi dah pokok ni,” balas Seman.

Mereka menebas dan menebang di sekeliling pokok itu. Sambil-sambil itu mereka meneliti pokok itu dari bawah ke atas.

“Habih tu, sapa yang nak panjat?” tanya Seman.

“Buat tak tau pulak. Macam biasa aaa,” jawab Piyan sambil tersengih memandang Khairi. Khairi tersenyum sahaja. Dia sudha tahu, bahagian yang atas-atas selalunya diserahkan kepadanya.

Khairi mencacakkan parangnya ke tanah. Seluarnya dibetul-betulkan. Kemudian dengan tangkas tangan dan kakinya menjamah batang pokok dan akar-akar yang berselirat untuk naik ke atas. Batang pokok itu lurus setinggi lebih kurang dua puluh kaki sebelum berpecah kepada empat cabang besar. Daripada empat cabang besar itu berpecah lagi kepada puluhan cabang yang kecil sedikit. Seterusnya barulah berpecah kepada ratusan cabang kecil dan ribuan ranting. Besar betul.

Khairi memanjat dengan cermat. Sampai di empat cabang besar, Khairi mencelah dan menghilang ke tengahnya. Rupa-rupanya di tengah-tengah empat cabang besar itu, terdapat satu ruang mendatar yang boleh muat lima enam orang duduk. Sangat sesuai sebagai tempat persembunyian.

Khairi mengambil ranting lalu menguis-nguis longgokan daun di situ. Sebahagian ranting dan dahan patah di situ dicampakkannya ke bawah.

“Woi, baling tu tengok la oghang sama! Satgi tak pasai-pasai aku arwah kat sini,” pekik Seman kepada Khairi. Dia mengelak beberapa ranting yang dilemparkan oleh Khairi.

“Seman!” kata Piyan. Matanya membulat besar. Suaranya tajam.

“Apa dia?” tanya Seman. Pelik dia melihat kelakuan Piyan. “Hang tersampuk apa?”

“Tu!” Piyan memuncungkan mulutnya menunjuk ke arah longgokan ranting-ranting kayu dan daun-daun yang dilemparkan Khairi dari atas. Di tengah-tengah longgokan itu tercacak sebatang anak panah. Ketika Khairi mengaut ranting-ranting di tengah cabang empat itu tadi, tanpa disedarinya dia terkaut sekali anak panah yang mereka cari-cari selama ini.

“Allahu Akbar!” laung Khairi dengan nada gembira dari atas pokok. Keterujaan hatinya tidaklah dapat digambarkan lagi, lalu dia cuba terjun terus dari atas pokok itu.

“Nanti!” jerit Piyan. “Jangan teghejun Khairi! Tinggi tu! Bawak sabaq sikit!” Hampir-hampir sahaja Khairi hendak terjun.Tubuhnya sudah terdorong ke hadapan tapi amaran Piyan membuatkan dia menarik balik gerak tubuhnya.

“Tinggi tu Khairi. Aku ghasa tak lepaih. Hang ingat dak aku teghejun kat empangan Taman Melawati dulu?” Piyan memujuk lagi.

Khairi mengukir senyuman. “Ok Piyan. Terima kasih. Hang laa sahabat aku dunia akhirat.” Dia berpaut pada batang, akar, lekukan dan apa sahaja yang boleh dicapai atau diinjaknya.

Khairi masih ingat ketika mereka bertiga berlumba lari menunju ke sebuah sungai yang diempang di hujung Taman Melawati, Selangor dua tahun lepas. Sungai yang diempang itu memang sesuai untuk dibuat tempat ebrmandi-manda. Ada sebatang palung air besar yang merentasi sebuah lembah kecil. Khairi dan Piyan berlari di atas palung bulat itu, Khairi di depan. Seman pula lebih sanggup berlari menuruni dan menyeberangi lembah kecil, kerana dia yakin jalan itu lebih pantas.

Tiba di tengah-tengah palung, Piyan mula berasa gayat. Tingginya dari tanah lebih kurang bangunan tiga tingkat. Kalau bergerak ke hadapan lagi, ketinggiannya bertambah. Kalau tadinya dia berlari-lari anak, kini langkahannya mula perlahan. Khairi yang tidak terpengaruh dengan ketinggian itu terus sahaja berlari dan sesekali menoleh kea rah Piyan. Palung silinder sebesar lebih kurang tiga pemeluk itu bukan sesuatu yang mengganggu lariannya. Tapi Piyan mulai gementar. Mana tidaknya,palung itu bukanlah sebesar mana, bulat pula. Tersilap letak kaki sedikit, tergelincir dan menjunamlah ke bawah.

Piyan berubah fikiran. Dia tidak sanggup lagi melintasi palung. Dia berpatah balik ke belakang agar jarak antara palung dengan tanah lebih hampir, agar dia dapat terjun dan berlari bersama-sama Seman. Ketika Piyan melihat ke bawah, dilihatnya Seman sudah pun melewati lembah dan sedang mendaki ke atas. Piyan fikir dia sudah terlambat. Dalam keadaan terdesak sebegitu, tanpa berfikir panjang Piyan terus terjun dari palung setinggi bangunan tiga tingkat itu.

Melayang Piyan jatuh ke tanah. Deru geseran angin dengan tubuhnya begitu kuat terdengar, seolah-olah desa dilanggar ribut. Dia mendarat dalam keadaan mencangkung. Sebaik-baik sahaja kakinya terhempas ke tanah, secara automatik tubuhnya terlambung semula ke udara, terpusing kuang ke belakang dan mendarat dalam keadaan mencangkung juga. Piyan terdiam buat beberapalama.

Piyan selamat, tetapi tumit kakinya retak. Walaupun dia boleh berjalan seperti biasa, selama enam bulan Piyan kesakitan kerana kakinya berdenyut-denyut. Begitulah kisahnya.

Khairi sudah berjejak ke tanah. Dia menyapu-nyapu tubuh dan pakaiannya. Kemudian dia bergerak ke arah Seman dan Piyan yang berada di tepi anak panah yang masih terpacak.

“Laa... awat hampa tak ambik?”tegur Khairi.

“Tunggu hang la rasmi. Hang kan boss?” balas Seman. Piyan menggerakkan tangannya ke arah anak panah menggayakan perkataan “silakan” kepada Khairi.

“Bismillahirrahmanirrahim,” Khairi memagang batang anak panah itu lalu mencabutnya.

Mereka membelek-belek anak panah itu. Matanya diperbuat daripada logam yang kalis karat. Batangnya daripada kayu yang nampak seperti kayu biasa, tidak ada sebarang hiasan dan kemasan. Tapi yang pasti kayu itu bukan sebarangan kayu kerana langsung tidak dimakan usia dan alam walau sudah ratusan tahun berhujan berembun.

Khairi mengangkat anak panah itu ke belakang kepalanya lalu dilemparkannya ke arah batang pohon beringin. Berdesup anak panah itu membelah, angin mengerat ruang, menelusuri arah dan akhirnya terpacak pada batang pohon beringin itu. Terkejut betul mereka kerana hanya dengan balingan tangan yang tidak sekuat mana itu, separuh batang anak panah itu tenggelam ke dalam batang beringin.

“Ya Allah, biaq betoi!” kata Seman memecah kesunyian. “Baling dengan tangan ja pun boleh masuk setengah?”sambungnya.

Mereka bergerak ke arah anak panah. Setelah hampir, Khairi cuba mencabutnya, gagal. Piyan pula memeriksa batang pohon beringin, memang keras dan teguh. Mereka berpandangan sesama sendiri.

“Amboih mak, macam tak pecaya ja aku!”cetus Khairi sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

Leman pula mengerahkan kekuatannya cuba menarik keluar anak panah sakti. Tiga kali diterannya seluruh kekuatan, gagal juga. “Allah... nak teputuih oghat kentut aku!”

“Tak pakai busur pun dah tajam gila macam ni, kalau pakai busur dia... mau tembuih tujuh lapan oghang ni,” kata Piyan. Matanya merenung tepat ke arah anak panah.

“Huh,apa ceghita Khairi? Nak buat lagu mana ni?” tanya Seman. Tangan kanannya diletakkan di atas bahu Khairi.

“Hmmm...nampak gayanya... kita nak kena kopak batang pokok ni,” jawab Khairi.

“Woih, keghaih tu! Nak kopak dengan hapa? Kokak dengan gigi? Nanti sat aku nak pi caghi babun kat hutan ni, nak pinjam gigi dia. Kuat sikit,” balas Seman.

“Dak laa... kita kan ada paghang soghang satu? Kita pakat takik pakat tetak la soghang sikit. Asai terbukak sikit jalan anak panah tu nak keluaq, dah la. Jangan pulak sampai terbalik pokok ni.”

“Ooo macam tu! Wokeh!”

“Sapa dapat cabut Excalibur ni, akan dinobatkan sebagai King Arthur. Apa macam?” tanya Piyan. Dia memandang wajah Seman dan Khairi silih berganti.

“Tak sedap, tak sedap!” balas Seman. “Apa kata kita boh nama ‘King of The Dragon Hill’?”

“Cantik jugak nama tu.”

“Woi, woi! Sudah la tu, oghang nak cepat ni. Banyak songeh pulak depa ni. Satgi aku ‘flying-kick’ Arab” soghang-soghang, terpelanting jatuh kot daghi ataih Bukit Naga ni,” rungut Khairi.

“MasyaAllah, ‘flying-kick’ Arab pun ada ka? Yang selalu aku dengaq, ‘penampaq Jepun’ ja,” balas Seman, tersengih.

Mereka menakik batang pokok itu berganti-ganti. Akhirnya anak panah itu berjaya dikeluarkan. Orang bertuah mendapat gelaran ‘King of the Dragon Hill’ ialah Seman.

“Ok Seman. Disebabkan hang dah jadi King of the Dragon Hill, hang la yang paling sesuai bawak anak panah tu sampai ke bawah,” putus Khairi.

‘Hang jangan dok cucuk meghata sudah. Satgi jenoh nak cabut balik,” sambung Piyan.

“Hail to King of the Dragonnn Hilllll...! jerit Seman dengan bangganya sambil menjulang anak panah sakti.

@@@@@@@@@@

2 comments:

Lasqarpelangi said...

Assalamualaikum best pulak cite ni...teruskan ustaz...

Alexanderwathern said...

Wlksm Lasqarpelangi. InsyaAllah kita teruskan. Bab seterusnya bakal menyusul.

Related Posts with Thumbnails