Kajian dan pemerhatian ringkas tentang Al-Quran, As-Sunnah (hadis), agama-agama dunia, kitab-kitab suci pelbagai agama, manuskrip-manskrip kuno, alam semesta (bumi dan angkasa lepas), ilmu perbandingan agama, sejarah, peristiwa-peristiwa akhir zaman, kiamat, alam akhirat, alam ghaib, sains, astronomi (falak) dan lain-lain ilmu alam.

Sunday, August 23, 2009

5. Perjudian Pandawa

JEMPUTAN BERLAWAN DADU

Korawa sentiasa berfikir cara-cara untuk menjahanamkan Pandawa. PATEH SANGKUNI (saudara lelaki Dewi Gandari) mencadangkan agar Pandawa diajak lawan main dadu (berjudi). Lebih-lebih lagi Raja Darmawangsa memang minat berjudi tetapi tidak mahir sedangkan Pateh Sangkuni sangat mahir. Jemputan pun dibuat. Pandawa tidak dapat mengelak kerana sudah menjadi adat untuk mereka memenuhi undangan maharaja.


Dalam permainan dadu ini Darmawangsa terpaksa berhadapan dengan Pateh Sangkuni. Darmawangsa kalah teruk. Dia kalah semua pertaruhan dari permata, emas, perak, rata (kereta kuda), kuda, hamba, gajah, tentera dan para Pandawa sendiri. Akhirnya DEWI DRAUPADI (isteri para Pandawa) turut dipertaruhkan dan kalah juga. Pandawa kehilangan segala-galanya termasuklah diri mereka sendiri kepada Duryudana.


DEWI DRAUPADI MEMPROTES

Dewi Draupadi mempertikaikan hal dirinya dijadikan pertaruhan itu. Ketika Raja Darmawangsa meletakkan Dewi Draupadi sebagai taruhan, Darmawangsa sudahpun menjadi hamba kepada Duryudana (kerana sebelumnya Darmawangsa sudah kalah ketika mempertaruhkan para Pandawa). Mana boleh seorang yang tidak bebas (hamba) mempertaruhkan orang lain.


DURSANA (adik Duryudana) berlaku kasar dengan Dewi Draupadi di depan khalayak umum. Dursana juga cuba memalukan Dewi Draupadi dengan menarik kainnya. Namun sesuatu yang ajaib berlaku. Kain di tubuh Dewi Draupadi tidak habis-habis ditarik. Akhirnya Dursana yang terduduk keletihan.


Maharaja Dritarashtra tamatkan pertikaian itu dengan meminta para Pandawa dan Dewi Draupadi bersama-sama semua harta mereka pulang ke kota mereka.


PANDAWA TERUSIR 13 TAHUN

Korawa dan para penyokong mereka menghasut Maharaja Dritarashtra. Dritarashtra akhirnya bersetuju memanggil Pandawa berjudi lagi. Ketika utusan jemputan tiba, Pandawa dan rombongan mereka belum pun sempat sampai ke kota Inderapasta. Mereka pun terpaksa berpatah balik.


Dalam perjudian kali ini, Pandawa kalah lagi. Pandawa terpaksa mematuhi syarat perjudian yang berat iaitu mereka terpaksa menjalani pengasingan ke dalam hutan selama 12 tahun. Pada tahun ke-13 pula, mereka terpaksa menyembunyikan diri. Sekiranya ditemui oleh para Korawa pada tahun ke-13 itu, mereka akan menjalani pengasingan selama 12 tahun lagi.




bersambung...

4. Pandawa Kembali ke Astinapura

PANDAWA DIJEMPUT PULANG

Duryudana (Ketua Korawa) sangat susah hati setelah mendapat tahu yang para Pandawa masih hidup. Oleh kerana Pandawa belum dapat dikalahkan, mereka dipanggil pulang ke Astinapura.


PANDAWA MEMBINA KOTA

Maharaja Dritarashtra minta Pandawa membina semula sebuah kota lama bernama Kandavrapasta. Pandawa akan memerintah di sana. Setelah dibangunkan, kota itu diberi nama baru iaitu Inderapasta. Pandawa memerintah kota ini selama 36 tahun. Rajanya ialah DARMAWANGSA (ketua Pandawa).


Mengikut adat, Darmawangsa melakukan korban rajasuya untuk mengisytiharkan dirinya sebagai seorang raja. Dia menjemput KRISHNA tetapi Krishna minta Darmawangsa melaksanakan satu tugas terlebih dahulu iaitu mengalahkan raja negeri Magoda yang kejam bernama Jarasanda.


SANG BIMA MELAWAN JARASANDA

Untuk melaksanakan misi itu, Krishna, Bima dan Rajuna pergi ke Magoda dengan menyamar sebagai brahmana. Mereka berjaya masuk mengadap Jarasanda dan menerangkan maksud kedatangan mereka. Jarasanda tidak gentar lalu memilih Sang Bima sebagai lawannya.


Jarasanda dan Bima bergusti selama 13 hari 13 malam tetapi masih tiada keputusan. Pada hari ke-14 barulah nampak Jarasanda mulai lemah. Bima berjaya mengangkat Jarasanda dan memutarkannya 100 kali sebelum dihempas. Bima memegang kedua-dua belah kaki Jarasanda lalu mengoyakkan tubuhnya kepada dua bahagian. Namun secara ajaib tubuh Jarasanda kembali bercantum.


Bima terpandang Krishna sedang memberi isyarat kepadanya. Krishna mengambil sebatang jerami, dipatahkan dua lalu dilempar ke dua penjuru yang bertentangan. Bima faham maksudnya. Bima pun mengoyakkan tubuh Jarasanda sekali lagi dan melemparkan dua bahagian tubuh itu ke dua penjuru. Jarasanda gagal bercantum semula lalu mati.


Semua tawanan di Magoda dibebaskan manakala anak Jarasanda dirajakan sebagai pengganti bapanya.


KRISHNA DIKURNIAKAN PANGKAT

Raja Darmawangsa mengurniakan pangkat kebesaran tertinggi kepada Krishna atas jasanya. Hal ini membuatkan raja-raja (pembesar-pembesar) lain tidak berpuas hati kerana Krishna bukan dari golongan bangsawan. Dia hanya anak seorang penggembala lembu dan hamba. Para raja dan satria bertengkar tentang hal ini sewaktu upacara korban itu. Seorang satria bernama Sisupala mengancam keselamatan Krishna tetapi berjaya dibunuh Krishna.


RAMALAN VYASA

Darmawangsa berasa gusar dengan kejadian itu lalu meminta Vyasa (guru Darmawangsa) meramalkan kesan terbunuhnya Sisupala pada hari itu. Menurut Vyasa, dalam 13 tahun akan datang para Pandawa akan menderita. Ratusan raja akan terbunuh. Para Pandawa akan bermusuhan dengan Korawa dan seluruh bangsa satria akan musnah.


Darmawangsa bertambah sedih. Oleh itu dia bersumpah tidak akan bertengkar dengan para Korawa sepanjang 13 tahun itu.



bersambung...

Wednesday, August 12, 2009

3. Para Pandawa dalam Pelarian

SANG BIMA BUNUH RAKSASA BAKASURA

Para Pandawa tiba di Ekachakra lalu menyamar sebagai brahmana. Mereka tinggal di rumah seorang brahmana bernama Darmaputra. Tiba-tiba pada suatu hari Darmaputra dan isterinya yang baik itu bergaduh. Dewi Kunti cuba menyelesaikan masalah mereka.

Rupa-rupanya sudah tiba giliran anak mereka akan diberikan kepada seorang raksasa bernama BAKASURA. Pada setiap hari Bakasura perlukan seorang manusia untuk dijadikan makanannya. Dewi Kunti menawarkan anaknya SANG BIMA sebagai ganti.

Ketika Sang Bima tiba, raksasa Bakasura sedang tidur. Sang Bima yang nakal memakan kesemua sajian yang ada. Bakasura jadi marah tetapi dibunuh dengan mudah oleh Sang Bima.

RAJUNA MENANG SAYEMBARA MEMANAH

Raja Drupada dari Panchala mengadakan satu sayembara. Sesiapa yang berjaya menggunakan busur khas yang disediakan akan dikahwinkan dengan anaknya DEWI DRAUPADI. Pelbagai acara dibuat selama 14 hari 14 malam sempena sayembara itu.

Busur dan anak panah khas itu diperbuat daripada besi. Tali busur itu hendaklah dipasang. Kemudian ada satu piring besi bundar yang mesti dipanah 5 kali berturut-turut. Dalam sayembara itu, semua peserta gagal memasang tali busur tersebut. KARNA ialah salah seorang peserta dan hampir-hampir berjaya memasang tali busur yang sangat ketat itu.

Rajuna menyamar sebagai seorang brahmana lalu mencuba nasibnya. Para penonton endah tak endah saja kerana para satria pun gagal, mana mungkin seorang yang bukan satria melakukannya. Rajuna ‘mengheningkan cipta’ (berdoa) kepada Betara Narayana- ketua segala dewa. Rajuna berjaya memasang tali busur dan memanah tepat piring besi 5 kali berturut-turut.

Anak-anak raja dan para satria tidak berpuas hati dan cuba menyerbu Rajuna. Nasib baik mereka berjaya disekat oleh BETARA KRISHNA (*mungkin seorang nabi/ rasul zaman itu) dan Maharaja Balarama.

PARA PANDAWA MENDAPAT ISTERI

Kemenangan Rajuna membolehan dia memperolehi DEWI DRAUPADI. Ibu para Pandawa iaitu DEWI KUNTI minta Dewi Draupadi dikahwinkan secara ‘poliandri’ dengan para Pandawa. Maksudnya para Pandawa berkongsi seorang isteri. : )



bersambung...

2. Zaman Awal Pandawa & Korawa

ZAMAN AWAL PANDAWA & KORAWA

Pembesar-pembesar yang mengasuh mereka ialah:

  1. Begawan Bisma – ajar seni tempur
  2. Arya Widura – ajar tatanegara
  3. Dangyang Drona – ajar ilmu memanah

(*Zaman itu panah merupakan senjata utama)

Yang paling besar dan gagah dalam kalangan Pandawa dan Korawa ialah SANG BIMA (anak kedua Maharaja Pandu). Sang Bima agak nakal dan suka menyakat para Korawa. Dia selalu tarik rambut, seret dan pukul para Korawa. Salah seorang yang suka disakatnya ialah DURYUDANA (*Kemudian hari akan jadi musuh nombor 1 para Pandawa). Duryudana sangat benci akan Sang Bima.

Kadang-kadang Sang Bima membawa beberapa orang Korawa di atas bahunya lalu menyelam dalam air lama-lama. Akibatnya para Korawa itu kelemasan. Jika para Korawa memanjat pokok, Sang Bima akan menendang pokok dengan kuat sehinggakan para Korawa jatuh dan ada yang patah tulang mereka.

(*Kenakalan, kegagahan dan panas baran Sang Bima berterusan hingga ke tua)

KORAWA CUBA BUNUH SANG BIMA

Dewi Gandari (Ibu para Korawa) ada seorang saudara lelaki bernama Pateh Sangkuni. Mereka selalu menghasut para Korawa agar membenci para Pandawa terutamanya Sang Bima. Akhirnya para Korawa buat satu rancangan untuk menghapuskan Sang Bima.

Mereka ajak Sang Bima mandi di Sungai Gangga. Sang Bima diracun lalu dilempar ke dalam ranjau di dalam sungai. Di ranjau itu ada banyak ular berbisa. Sang Bima dipatuk oleh ular-ular itu tetapi bisa ular-ular itu menjadikan tubuhnya semakin kuat dan bertambah kebal pula.

Sang Bima pulang. Para Korawa terkejut. Para Pandawa ambil langkah berdiam diri kerana tidak mahu perkara yang lebih buruk berlaku. Namun mereka lebih berwaspada.

KARNA MUNCUL

Begawan Bisma (guru seni tempur) mengadakan satu pertandingan seni tempur. Tiba-tiba muncul KARNA dan mencabar RAJUNA (adiknya). Mereka saling tidak tahu hubungan persaudaraan mereka. DEWI KUNTI mengenal Karna sebagai anak sulungnya. Hal ini membuatkan dia bersedih lalu pengsan.

Mengikut adat, Karna yang dipandang sebagai orang awam tidak layak bertarung dengan golongan bangsawan/ satria. DURYUDANA (ketua para Korawa) buat helah agar Karna dibenarkan melawan Rajuna. Caranya ialah dengan melantik Karna sebagai seorang bangsawan bergelar Raja Anga. Pertarungan akan diadakan kemudian.

KARNA DAPAT SENJATA SAKTI

Betara Indera (malaikat- bapa Rajuna) muncul sebagai sami di depan Karna. Dia meminta subang dan baju besi Karna. Karna pula meminta satu senjata sakti. Betara Indera memberikannya dengan satu syarat- senjata itu hanya boleh bunuh 1 orang manusia. Karna bertekad untuk membunuh Rajuna dengan senjata itu.

KARNA MENCARI RAHSIA MEMANAH RAJUNA

Karna pula menyamar jadi brahmana (sami) lalu berguru dengan DANGYANG DRONA (guru ilmu memanah para Pandawa dan Korawa). Tujuannya ialah untuk mencari rahsia ilmu memanah Rajuna namun ilmu itu hanya diajar kepada Rajuna sahaja.

Satu hari Dangyang Drona tertidur. Paha Karna digigit oleh seekor cacing berbisa. Karna menahan kesakitan dan tidak mengaduh. Dia tidak mahu tidur gurunya terganggu.

Selepas Dangyang Drona terjaga, dia sedar apa yang berlaku. Dia tahu Karna bukan orang biasa tetapi seorang satria kerana hanya seorang satria yang mampu menahan kesakitan. Dangyang Drona marah kerana ditipu lalu menyumpah Karna. Suatu hari nanti, Karna tidak akan boleh mempraktikkan ilmu memanahnya.

CUBAAN MEMBAKAR PARA PANDAWA

Para Korawa menghasut Maharaja Dritarashtra agar memerintahkan para Pandawa dan Dewi Kunti ke Varanata. Varanata satu kawasan yang indah. Ketiak itu satu upacara sajian diadakan untuk Dewa Siva (*Tuhan). Alasan yang diberikan- penduduk Varanata teringin melihat para Pandawa.

Dalam diam-diam Maharaja Dritarashtra menyuruh seorang bernama Purochana untuk bergegas terlebih dahulu ke Varanata. Di sana Purochana diarahkan membina sebuah istana daripada bahan-bahan yang mudah terbakar. Istana itu nanti akan dijadikan ‘hotel’ para Pandawa.

Ketika para Pandawa berada dalam hotel itu, Purochana dan 5 orang lagi datang membakar. Nasib baik para Pandawa sedar akan helah itu lalu menyelamatkan diri ke hutan melalui sebuah lubang rahsia. Sebaliknya Purochana berenam yang tidak sempat lari lalu mati terbakar.

Para Korawa bergembira melihat 6 mayat terbakar yang mereka sangkakan para Pandawa dan Dewi Kunti.



bersambung...

Asal-usul Pandawa & Korawa

BAGAIMANA CERITA INI BERMULA?

Ada sebuah negeri bernama ASTINAPURA (di India). Negeri ini diperintah oleh Maharaja Janamejaya. Suatu hari dia mengadakan upacara korban Ashvameda, iaitu satu upacara korban besar-besaran yang dilakukan oleh seseorang maharaja sebagai tanda kemaharajaannya. Upacara korban ini dilakukan sekali saja sepanjang pemerintahan.

Pada hari tersebut, Maharaja Jayamejaya minta Vaisampayana untuk menceritakan kisah nenek moyangnya yang masyhur itu. Bermulalah kisah Pandawa Lima.

CERITA BERMULA

Kerajaan Astinapura pernah diperintah oleh seorang maharaja bernama Vicitravirya. Maharaja Jayamejaya sendiri ialah anak Parikasti anak Sang Bimanyu anak RAJUNA (ARJUNA yang terkenal itu) anak Pandu anak Maharaja Vicitravirya.

Maharaja Vicitravirya mempunyai 2 orang anak lelaki iaitu:

  1. DRITARASHTRA (yang sulung, buta)
  2. PANDU

Oleh kerana Dritarashtra buta, adiknya Pandu dijadikan Maharaja Astinapura.

ANAK-ANAK VICITRAVIRYA MENDAPAT ISTERI

Satu sayembara diadakan di negeri Yadava untuk merebut puteri negeri Yadava yang bernama DEWI KUNTI. Maharaja Pandu menyertainya dan berjaya masuk ke pertandingan akhir. Yang tinggal hanyalah putera negeri Madra bernama Narasoma. Narosama tawarkan adiknya DEWI MADRI kepada sesiapa yang berjaya mengalahkannya.

Narasoma seorang yang sakti, namun Maharaja Pandu bijak mengatur strategi. Maharaja Pandu biarkan dirinya digasak oleh Narasoma sehinggalah lama-kelamaan kesaktian Narasoma semakin hilang. Ketika itu barulah Maharoja Pandu mengalahkan Narasoma. Maharaja Pandu berjaya mendapat Dewi Kunti dan Dewi Madri.

Di pertengahan jalan pulang, Maharaja Pandu ditahan oleh seorang satria. Satria itu mencabar Maharaja Pandu dengan mempertaruhkan seorang wanita bernama DEWI GANDARI. Sebaliknya jika dia menang, dia mahukan kedua-dua orang wanita milik Maharaja Pandu.

Mereka pun bertempur dan Maharaja Pandu menang. Maksudnya Maharaja Pandu memperolehi 3 orang wanita sekaligus:

  1. DEWI KUNTI
  2. DEWI MADRI
  3. DEWI GANDARI

DEWI GANDARI MULA BERDENDAM

Maharaja Pandu tidak sampai hati melihat abangnya Dritarashtra yang buta tidak punya wanita. Jadi dia menawarkan mana-mana seorang daripada 3 orang wanitanya. Dritarashtra meraba ketiga-tiga wanita lalu memilih DEWI GANDARI.

Dewi Gandari sangat tidak puas hati lalu berdendam. Ia mengancam yang anak-anaknya nanti akan jadi musuh yang ganas kepada anak-anak Maharaja Pandu.

MAHAJARA PANDU TERKENA SUMPAHAN

Maharaja Pandu belum juga memperolehi anak. Dia berasa gusar lalu kelua berburu bersama-sama pasukannya. Satu ketika dia masuk jauh ke dalam hutan seorang diri lalu membunuh sepasang kijang. Rupa-rupanya kijang itu ialah Bahmana Kamandaka (*mungkin jin) yang baru turun dari kahyangan bersama-sama isterinya. Maharaja Pandu disumpah tidak boleh menyentuh isteri-isterinya. Jika dibuat juga, dia akan mati seta-merta. Kemudian kijang-kijang itu pun ghaib.

DEWI GANDARI DAPAT ANAK

Dewi Gandari melahirkan segumpal darah beku. Dia sangat marah kerana cita-citanya untuk melahirkan anak-anak yang akan melawan anak-anak Maharaja Pandu tidak kesampaian. Akhirnya dia memijak-mijak ketulan darah itu sehingga terpencar ke serata tempat. Dengan tak semena-mena darah-darah ini menjadi 100 orang bayi yang berselerak di sekitar taman.

Dewi Gandari sudah ada 100 orang anak (*yang akan dikenali sebagai KORAWA).

RAHSIA DEWI KUNTI

DEWI KUNTI ada satu rahsia. Dia memiliki satu azimat yang boleh memanggil para dewa (* mungkin malaikat). Ketika dia belum bertemu dengan Maharaja Pandu, dia pernah mengaktifkan azimat itu. Datang kepadanya Dewa Surya. Ketika itu juga Dewi Kunti melahirkan seorang anak lelaki. Setelah melahirkan, Dewi Kunti kembali dara (*Sama seperti kejadian Jesus Christ).

Dewi Kunti risau bapanya tahu dia sudah mempunyai seorang anak. Oleh itu Dewi Kunti menghanyutkan anak itu di sungai dalam sebuah peti. Bayi itu akhirnya dipungut oleh seorang tukang membuat kereta kuda dan dinamakannya KARNA (* dikemudian hari akan jadi musuh kepada Pandawa 5).

MAHARAJA PANDU PULA DAPAT ANAK

Sedih dengan sumpahan yang kena atas dirinya, Maharaja Pandu dan isteri-isterinya pergi bertapa di gunung. Menggunakan azimat DEWI KUNTI, Dewi Kunti berjaya mengundang 3 orang dewa:

  1. Dewa Darma yang mengurniakan (secara ajaib) anak bernama DARMAWANGSA
  2. Dewa Bayu yang mengurniakan anak bernama SANG BIMA
  3. Betara Indera yang mengurniakan anak bernama RAJUNA

Kemudian DEWI MADRI pula mengaktifkan azimat itu dan mendatangkan Dewa Ashvin. Dewa Ashvin ini kembar, lalu mengurniakan sepasang kembar kepada Dewi Madri iaitu:

  1. SAKULA
  2. SADEWA

Kelima-lima orang anak inilah yang kemudiannya dikenali sebagai PANDAWA berlima. Ceritera ini dinamakan sempena mereka berlima iaitu CERITERA PANDAWA LIMA.

Kelima-lima orang budak ini diserahkan kepada para brahmana (sami) di gunung untuk diajar ilmu agama dan ilmu pertempuran.

MAHARAJA PANDU DAN DEWI MADRI MATI

Suatu hari Maharaja Pandu berasa berahi akan Dewi Madri. Walaupun sudah diperingatkan akan sumpahan, dia tetap mahu ‘bersama’ Dewi Madri. Sebaik-baik sahaja dia menyentuh Dewi Madri, Maharaja Pandu pun mati.

Dewi Madri rasa bersalah. Oleh itu ketika mayat Maharaja Pandu dibakar, Dewi Madri secara sukarela masuk ke dalam api itu untuk mati bersama-sama suaminya.

Pemerintahan Astinapura dipegang oleh Maharaja Dritarashtra yang buta tetapi mengikut adatnya nanti akan diserahkan juga kepada anak-anak Maharaja Pandu.

KEWUJUDAN PANDAWA & KORAWA

Darmawangsa (anak Maharaja Pandu yang sulung) berusia 16 tahun ketika Maharja Pandu dan Dewi Madri mati. Dia, adik-adik dan para sepupunya (anak Dewi Gandari dan Dritarashtra) dijaga oleh seorang pembesar bernama Arya Widura. Mereka dilatih dengan gigih. Namun ternyata mereka berlima lebih berbakat dalam pelbagai hal.

Anak-anak Maharaja Pandu dinamakan PANDAWA.

Anak-anak Maharaja Dritarashtra dinamakan KORAWA.

(Pandawa dan Korawa akan berperang besar. Isi utama Ceritera Pandawa Lima ini ialah permusuhan antara Pandawa dengan Korawa)



bersambung...

Related Posts with Thumbnails