PENDAHULUAN
Nasser Mohamed Al-Yamani mengaku sebagai Al-Mahdi. Abdul Aziz Muhammad
Nasir di Lombok pula mengakui dirinya sebagai Pemuda Bani Tamim merangkap
Al-Mahdi Cucu Nabi Ibrahim, malah kononnya Ka’abah didirikan oleh Nabi Ibrahim
untuk diri Abdul Aziz. Melampau
hebatnya. Aziz Lombok juga mengakui Nasser Al-Yamani sebagai Al-Mahdi utama,
iaitu Al-Mahdi Cucu Nabi Muhammad. Maksudnya ada dua Al-Mahdi sekaligus.
Selain itu, Nasser Al-Yamani turut mendakwa tafsirannya
akan ayat-ayat Al-Quran datang terus daripada Allah. Oleh itu semua tafsirannya
kebal daripada sebarang kesalahan melainkan betul dan tepat belaka. Namun hal
itu ternyata tidak benar apabila banyak tafsirannya yang tersasar.
Sebelum ini saya sudah membentangkan kesalahan Nasser
Al-Yamani yang mengatakan kalimah ‘SIJJIL’ dalam Al-Quran merujuk kepada Planet
Nibiru/Planet X, jasad Nabi Isa sedang berada di sebuah gunung di Yaman dan
Nabi Muhammad diambil jiwanya oleh Allah ketika peristiwa Mi’raaj. Kali ini
akan dihidangkan pula kesalahan Nasser
yang mengatakan kalimah ‘SAQAR’ dalam Al-Quran ialah PLANET NIBIRU/PLANET X.
Sebenarnya ada banyak lagi kesilapan Nasser dalam
mentafsir, yang insya-Allah akan kita bongkar dari semasa ke semasa. Yang benar
daripadanya, tidak pernah kita tolak. Kita hanya menolak apa yang salah dan
mempertikai apa yang lemah sahaja.
AYAT TENTANG
‘SAQAR’
Tuhan berfirman :
“Lalu dia (?) berkata : “(Al-Quran) ini hanyalah sihir yang dipelajari
(dari orang-orang terdahulu).”
“(Al-Quran) Ini hanyalah perkataan manusia.”
“(Maka) nanti Aku (Allah) akan memasukkannya ke dalam
SAQAR.”
“Dan tahukan kamu apakah SAQAR itu?”
“Ia tidak meninggalkan dan tidak membiarkan.”
“Yang menghanguskan kulit manusia.”
(Al-Mudaththir : 24-29)
SIAPAKAH ORANG ITU?
Siapakah orang yang
dimaksudkan dalam ayat ini? Orang itu
ialah Al-Walid bin Mughirah, salah seorang penentang Nabi Muhammad saw di
Makkah. Apa maklumat yang Quran berikan kepada kita tentang orang dalam surah
ini?
“Dan Aku (Allah) berikannya kekayaan yang melimpah.”
“Dan anak-anak yang selalu bersama-samanya.”
(Al-Mudaththir : 12-13)
Lelaki yang dimaksudkan
dalam Surah Al-Mudaththir ini ialah :
1. Seorang yang kaya-raya.
2. Anak-anaknya selalu berada bersama-sama dengannya.
Orang yang tidak ada
ciri-ciri di atas bukanlah lelaki yang dimaksudkan dalam surah ini. Secara
tepatnya, lelaki itu ialah Al-Walid bin Al-Mughirah.
APAKAH KESALAHANNYA?
Apakah kesalahan yang
dilakukan oleh lelaki ini? Dia tidak percaya kepada Al-Quran yang disampaikan
oleh Nabi Muhammad saw, malah menganggap Al-Quran sebagai perkataan-perkataan
sihir yang dipelajari aripada orang-orang terdahulu. Buktinya :
“Lalu dia berkata : “(Al-Quran) ini hanyalah sihir yang dipelajari (dari
orang-orang terdahulu).”
“(Al-Quran) Ini hanyalah perkataan manusia.”
“(Maka) Nanti Aku (Allah) akan memasukkannya ke dalam
Saqar.”
Apakah balasan Allah
terhadap Al-Walid bin Al-Mughirah? Dia akan dimasukkan ke dalam SAQAR.
SAQAR IALAH PLANET NIBIRU/SIJJIL?
Menurut Nasser Al-Yamani
yang mengaku sebagai Al-Mahdi dan mengaku tafsirannya tentang ayat-ayat
Al-Quran adalah kebal daripada kesalahan kerana tafsirannya datang terus
daripada Allah SWT, SAQAR ialah PLANET NIBIRU/PLANET X/SIJJIL. Tentang SIJJIL,
kita sudah buktikan kesalahan Nasser Al-Yamani kerana SIJJIL bukanlah PLANET
NIBIRU. Kali ini kita akan buktikan Nasser tersilap tafsir lagi apabila dia
percaya SAQAR ialah Planet Nibiru.
Menurut Nasser,
SAQAR/NIBIRU akan datang melewati/melintasi bumi tidak lama lagi. Persoalannya,
apakah Al-Walid bin Mughirah akan dimasukkan ke dalam PLANET NIBIRU? Bukankah
Al-Walid bin Mughirah sudah lama meninggal dunia? Betulkah kulit Al-Walid bin
Mughirah akan dibakar oleh PLANET NIBIRU? Bukankah kulitnya sudah lama hancur
lebur di dalam tanah?
Al-Walid sudah lama mati.
Apabila NIBIRU melintas nanti (sekiranya benar ada planet Nibiru melintas),
Al-Walid tidak ada dalam kalangan kita. Bagaimana dia hendak dimasukkan ke
dalam NIBIRU/SAQAR? Kulit tubuh Al-Walid juga sudah tidak ada. Bagaimana
kulitnya hendak dibakar oleh NIBIRU/SAQAR?
Maksudnya, PLANET NIBIRU
bukanlah SAQAR. SAQAR ialah api (NAAR) iaitu salah satu daripada neraka. SAQAR
ini akan menyeksa manusia selepas YAUMUL QIYAMAH (hari kebangkitan semula) di
akhirat nanti, bukannya ia muncul dan menyeksa manusia di muka bumi hari ini.
BILA DAN DI MANA SAQAR ITU?
Apa bukti mengatakan SAQAR
itu pada hari akhirat (Yaumul Qiyamah) nanti?
“Kecuali golongan kanan (orang-orang beriman).”
“(Mereka) berada di dalam JANNAH (SYURGA), mereka saling
menanyakan.”
“Tentang orang-orang yang berdosa.”
“Apa yang menyebabkan kamu masuk ke dalam SAQAR?”
“Mereka (yang berdosa) menjawab : “Dahulu kami tidak
termasuk orang-orang yang melaksanakan solat.”
“Dan kami tidak memberi makan orang miskin.”
“Bahkan kami biasa berbincang bersama-sama orang-orang
yang membicarakannya.”
“Dan kami mendustakan hari AD-DIIN (pembalasan).”
“Sampai datang kepada kami AL-YAQIIN (perkara-perkara
yang mendatangkan keyakinan).”
(Al-Mudaththir : 39-47)
Dialog di atas berlaku di alam
akhirat ataupun alam dunia? Tentunya di alam akhirat kerana ketika itu
orang-orang baik sudah pun berada di dalam syurga (jannah). Orang di dalam
syurga bertanya/berdialog kepada orang-orang di dalam SAQAR. Begitulah cerita
ayat-ayat di atas.
Persoalannya, betulkah
orang-orang di dalam syurga berbicara dengan orang-orang di PLANET NIBIRU?
Ataupun sebenarnya orang-orang di syurga berbicara kepada orang-orang di dalam
neraka? Apakah di alam akhirat nanti ada PLANET NIBIRU/PLANET X?
APAKAH KRITERIA ORANG-ORANG YANG DIAZAB DENGAN SAQAR?
Kemudian, mengapakah
mereka dimasukkan ke dalam SAQAR? Adakah kerana mereka menolak daripada
mengakui Nasser Al-Yamani sebagai Al-Mahdi dan Aziz Lombok sebagai Pemuda Bani
Tamim? Kita lihat apa kata Al-Quran :
“Apa yang menyebabkan kamu masuk ke dalam SAQAR?”
“Mereka (yang berdosa) menjawab : “Dahulu kami tidak
termasuk orang-orang yang melaksanakan solat.”
“Dan kami tidak memberi makan orang miskin.”
“Bahkan kami biasa berbincang bersama-sama orang-orang
yang membicarakannya.”
“Dan kami mendustakan hari AD-DIIN.”
“Sampailah datang kepada kami AL-YAQIIN (hal-hal yang
mendatangkan keyakinan).”
(Al-Mudaththir : 42-47)
Ternyata mereka dimasukkan
ke dalam SAQAR kerana tidak bersembahyang, DAN tidak menolong orang-orang
miskin, DAN tidak percaya kepada hari pembalasan iaitu hari akhirat. Di sini
pun sudah sangat jelas kepalsuan dan kesalahan tafsir yang dibuat oleh
Al-Yamani.
Sekiranya SAQAR itu
membakar manusia di dunia ini, bagaimana manusia yang beriman dengan yang
terasing boleh diasing-asingkan? Bagaimana PLANET NIBIRU mahu membakar hanya
orang –orang yang tidak bersembahyang, DAN tidak menolong orang-orang miskin,
DAN tidak percaya kepada hari pembalasan iaitu hari akhirat, dan dalam masa
yang sama tidak membakar orang-orang beriman? Siapa yang mengkelaskan dan
mengasingkan antara orang-orang yang baik dengan orang-orang jahat (yang
disebutkan dalam surah itu tadi)? Di akhirat memang akan ada pengasingan, tapi
di dunia tidak ada.
APA BUKTI SAQAR ITU DI ALAM AKHIRAT?
Kemudian orang-orang yang
diseksa dengan SAQAR mengakui kesalahan-kesalahan yang mereka lakukan sepanjang
hayat mereka itu berterusan sehinggalah mereka mati. Sebab itulah mereka
diseksa dengan SAQAR. Oleh itu mana mungkin SAQAR itu mengazab manusia sebelum
alam akhirat. Buktinya :
“Sampailah datang kepada kami AL-YAQIIN (hal-hal yang
mendatangkan keyakinan).”
Apakah maksud ‘AL-YAQIIN’?
Keyakinan tentang apa? Sekali lagi kita semak ayat-ayat lain yang menggunakan
perkataan ini.
“Maka alangkah eloknya kalau sewaktu (nyawa seseorang)
sampai ke kerongkongnya.”
“Sedang kamu pada masa itu menyaksikan keadaannya.”
“Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada kamu.”
“Maka bukankah elok kalau kamu (iaitu) orang-orang
yang tidak dikuasai (yang enggan tunduk kepada Tuhan).”
“Kamu
kembalikanlah nyawa itu jika betul kamu orang-orang yang benar.”
“Kesudahannya, jika ia (si mati) dalam kalangan
orang-orang muqarrabiin.”
“Maka (dapatlah ia) rehat kesenangan, dan rahmat
kesegaran, serta jannah (syurga) kenikmatan.”
“Dan jika ia daripada golongan kanan.”
“Maka selamat sejahteralah kepada kamu (yang) dari
golongan kanan.”
“Dan jika ia daripada (golongan kiri) yang
mendustakan, lagi sesat.”
“Maka sambutan yang disediakan baginya ialah air panas
menggelegak.”
“Serta bakaran JAHIMM (neraka).”
“Sesungguhnya itu adalah benar AL-YAQIIN.”
(Al-Waaqi’ah : 83-95)
‘AL-YAQIN’ dalam ayat ini
ialah sakaratul maut, kematian, alam akhirat, pembahagian manusia kepada 3
golongan di akhirat, syurga dan neraka jahannam. Sebelum melalui peristiwa-peristiwa ini, ramai
manusia yang tidak yakin tentangnya. Apabila tiba sakaratul maut, barulah
mereka meyakini hal ehwal sakaratul maut itu. Apabila tiba hari akhirat,
barulah mereka yakin akan hal ehwal hari akhirat itu. Apabila sudah terlihat
syurga JANNAH dan neraka JAHIMM, barulah mereka yakin kedua-duanya. Jadi
AL-YAQIN itu ialah peristiwa-peristiwa ghaib yang bakal terjadi kepada manusia,
yang apabila mereka sudah bertemu dengannya, ketika itu tidak boleh tidak
mereka pasti yakin ia memang ada.
Berbalik kepada
orang-orang yang dikenakan azab neraka SAQAR, pada asalnya mereka tidak yakin
tentang hal-hal ghaib lalu mereka tidak bersembahyang, DAN tidak menolong
orang-orang miskin, DAN tidak percaya kepada hari pembalasan iaitu hari
akhirat. Apabila tiba AL-YAQIN bermula dengan alam sakaratul maut, barulah orang-orang
itu yakin/ percaya/ beriman dengan alama sakaratul maut. Apabila tiba alam
akhirat, barulah mereka percaya/yakin kewudjuan alam akhirat. Apabila melihat
syurga dna neraka, barulah mereka yakin/percaya kedua-duanya. Jadi mereka
bertemu SAQAR sesudah kematian, iaitu di alam akhirat, bukannya di dunia ini.
Dalam surah lain, maksud
firman Tuhan :
“Kamu akan melihat JAHIIM (neraka).”
“Kemudian kamu akan melihatnya dengan penglihatan
AL-YAQIIN.” (At-Takaathur : 7)
Kisah ini juga
berlatarbelakangkan alam akhirat, kerana neraka JAHIMM itu di akhirat, bukannya
di dunia ini. Apabila manusia dan jin sudah melihat neraka JAHIMM, ketika itu mereka
pasti yakin (walaupun sebelumnya ketika di dunia mereka tidak yakin)
kewujudannya. Keyakinan mereka ketika ini ialah ditahap ‘AINUL YAQIIN’ iaitu
yakin dengan melihat. Maksudnya, apabila sudah melihat, barulah percaya.
Dalam Surah Al-Waaqi’ah
yang kita bincangkan sebelum ini, istilah yang digunakan ialah ‘HAQQUL YAQIIN’
iaitu yakin dengan sebenar-benar yakin, kerana mereka sudah pun merasai/dimasukkan
ke dalam neraka JAHIIM itu. Keyakinan peringkat ‘rasa’ ini adalah lebih kuat
daripada keyakinan peringkat ‘lihat’.
Jelaslah kepada kita
bahawa seksaan SAQAR berlaku selepas manusia mati, iaitu selepas manusia
dibangkitkan semula di akhirat nanti. Jadi seksaan SAQAR bukanlah berlaku di
dunia ini tetapi di alam akhirat.
(*KEYAKINAN AKAN PERKARA-PERKARA GHAIB adalah dalam tiga peringkat.
Umumnya orang-orang yang belajar tentang sakaratul maut, maut, alam akhirat,
syurga neraka dan lain-lain di dunia ini berada pada YAKIN TAHAP 1 iaitu ILMU
YAQIIN. Kita yakin perkara-perkara itu melalui ilmu-ilmu yang kita pelajari di
dunia ini. Kita belum melihatnya dan belum merasainya.
Kemudian apabila tiba masanya dan kita mula melihat
perkara-perkara itu, ketika itu keyakinan kita naik ke tahap kedua iaitu AINUL
YAQIIN. Kita bertambah yakin kerana sudah melihatnya.
Kemudian apabila kita merasai sendiri hal-hal itu,
maka sampailah kita ke tahap yakin dengan hak atau sebenar-benar yakin, iaitu
HAQQUL YAQIIN.)
LAGI KATA QURAN TENTANG SAQAR
Kita lihat pula perihal
SAQAR dalam surah yang lain :
“Bahkan AS-SAA’AH (saat kehancuran) itulah yang
dijanjikan kepada mereka, dan AS-SAA’AH itu amat dahsyat dan amat pahit.”
“Sesungguhnya orang-orang berdosa dalam DALAL (kesesatan)
dan dalam SU’UR (kegilaan).”
“Pada hari mereka diseret dalam NARR (neraka) atas
muka mereka. Rasakanlah sentuhan/bakaran SAQAR (api neraka yang membakar kulit).”
(Al-Qamar : 46-48)
Bilakah manusia diseret di
atas muka mereka di dalam neraka? Tentunya pada hari akhirat, bukannya di dunia
ini. Mereka diseret dalam neraka lalu dikatakan kepada mereka : “Rasakanlah sentuhan/bakaran SAQAR”. Jadi
di manakah SAQAR itu? Di dunia atau di akhirat? Tentulah di akhirat dan SAQAR
itu ialah neraka.
Jelaslah kepada kita,
SAQAR bukanlah PLANET NIBIRU/PLANET X. Sekiranya benarlah ada benda-benda angkasa
yang melewati bumi (termasuklah Nibiru/Planet X) tidak lama lagi, ia tetap
bukan SAQAR.
KESIMPULAN
1. Sekali lagi Nasser Al-Yamani tersilap mentafsir
Al-Quran.
2. Terbukti SAQAR bukannya Planet Nibiru/ Planet X.
3. Terbukti lagi bahawa tafsirannya bukanlah datang terus
daripada Allah dan kebal daripada sebarang kesalahan sebagaimana yang
didakwanya. Tafsirannya hanyalah datang daripada pemikirannya sendiri dan
dihembuskan secara halus oleh syaitan-syaitan yang disangkakannya Tuhan.
4. Nasser Mohamed ini bukanlah Al-Mahdi.
Abu Zulfiqar
21 September 2012