Kajian dan pemerhatian ringkas tentang Al-Quran, As-Sunnah (hadis), agama-agama dunia, kitab-kitab suci pelbagai agama, manuskrip-manskrip kuno, alam semesta (bumi dan angkasa lepas), ilmu perbandingan agama, sejarah, peristiwa-peristiwa akhir zaman, kiamat, alam akhirat, alam ghaib, sains, astronomi (falak) dan lain-lain ilmu alam.

Tuesday, December 18, 2012

Di Mana Nabi Ibrahim dalam Peristiwa Mi'raj?


Datang satu persoalan kepada saya, di manakah kedudukan Nabi Ibrahim dalam peristiwa Isra’ dan Mi’raj?

Mula-mula kita melihat dalam karangan Sayyid Muhammad bin Sayyid Alawi yang meneliti 41 kitab yang membicarakan tentang Isra’ dan Mi’raj. Keputusan beliau, Nabi Ibrahim berada di langit ketujuh. Hal ini berdasarkan satu hadis riwayat Imam Muslim dan 2 hadis riwayat Imam Baihaqi. Di langit ketujuh itu juga terdapat Baitul Makmur.

Namun begitu, ada satu hadis riwayat Imam Bukhari yang mengatakan Nabi Ibrahim berada di langit keenam, tetapi kata-kata Abu Zar dalam hadis ini agak mengelirukan. Kekeliruan itu tidaklah saya panjangkan di sini. Jadi hadis-hadis yang disebutkan di atas tadi adalah lebih wajar dijadikan sandaran.

Kemudian saya membuka karangan Imam Jalaluddin As-Sayuti. Keputusannya sama, Nabi Ibrahim berada di langit ketujuh. Selain hadis-hadis yang terdapat dalam karangan Sayyid Muhammad bin Sayyid Alawi, Imam Sayuti turut memuatkan hadis riwayat Imam Ahmad dan Imam Abu Hatim, yang kedua-duanya mengatakan Nabi Ibrahim berada di langit ketujuh.

Selepas itu saya meneliti karangan Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani. Sama juga, keputusannya Nabi Ibrahim berada di langit ketujuh.

Selain itu saya ada juga membaca karangan Hasan bin Ahmad bertajuk “Isra’ & Miraj” terjemahan Noraine Abu, terbitan Al-Hidayah. Keputusannya, Nabi Ibrahim berada di langit ketujuh.

Keismpulan kita, berdasarkan hadis-hadis yang dikaji oleh tokoh-tokoh di atas, jelaslah bahawa Nabi Ibrahim berada pada langit ketujuh dalam peristiwa Mi’raj.

Untuk mendapatkan gambaran yang lebih baik tentang peristiwa Isra’ Mi’raj ini, para pembaca bolehlah mengikuti audio kuliah saya yang membahaskan peristiwa Isra’ dan Mi’raj dengan terperinci di Youtube. Tuliskan “kembara ke sidratul muntaha”. Kuliah itu ialah syarahan kepada kitab “Kifayatul Muhtaj fil Isra’ wal Mi’raj” karya Syeikh Daud Al-Fatani. Ada 123 fail audio kuliah semuanya di Youtube.

Abu Zulfiqar
18 Disember 2012

No comments:

Related Posts with Thumbnails