Kajian dan pemerhatian ringkas tentang Al-Quran, As-Sunnah (hadis), agama-agama dunia, kitab-kitab suci pelbagai agama, manuskrip-manskrip kuno, alam semesta (bumi dan angkasa lepas), ilmu perbandingan agama, sejarah, peristiwa-peristiwa akhir zaman, kiamat, alam akhirat, alam ghaib, sains, astronomi (falak) dan lain-lain ilmu alam.

Sunday, March 20, 2011

Meneliti Hadith Syarik dalam Sahih Bukhari

Hadith daripada Syarik bin Abdullah (Ibnu Abi Namar) diriwayatkan oleh Imam Bukhari. Hadith ini mengisahkan peristiwa Isra’ dan Mi’raaj, ataupun lebih tepat lagi berkisar tentang MI’RAAJ (perjalanan Rasulullah dari Baitul Maqdis ke Sidratul Muntaha) SAHAJA kerana ia tidak menyentuh tentang Isra’ (perjalanan Rasulullah dari Makkah ke Baitul Maqdis).

Hadith ini kuat dikritik oleh para pengkaji. Antaranya:

1. Imam Nawawi mengatakan riwayat Syarik ini mengandungi keraguan yang diengkari oleh para ulama.

2. Imam Muslim pula mengatakan Syarik mendahulu dan mengakhirkan lafaz hadith, serta menambah dan mengurangkan riwayat.

3. Abu Sulaiman al-Basati, pengarang kitab Syarah Sunan Abu Dawud pula berkata : “Dalam kitab Sahih al-Bukhari, tidak ada hadith yang lebih jelek dari segi zahir dan dari segi isi kandungannya daripada hadith ini. Dikatakan tentang Syarik, bahawa dia adalah perawi yang sering bersendirian dengan lafaz-lafaz hadith yang asing, yang tidak pernah diriwayatkan oleh perawi lain.

4. Menurut Imam An-Nasa’i: “Syarik itu tidak kuat, yakni lemah.”

5. Kata Muhammad bin Hazam : “Syarik bin Abdullah goncang dalam hadith Mi’raaj ini dan buruk hafazannya, dan dia tidak ingat betul, yakni kurang kuat ingatannya.”

Di sini dibentangkan beberapa masalah pada hadith daripada Syarik ini, yang membuatkan saya tidak menjadikannya sandaran ketika mensyarahkan kitab Kifaayatul Muhtaaj fi Isra’ wal Mi’raaj susunan Syeikh Daud al-Fatani tempoh hari.

PERTAMA

Daripada Syarik bin Abdullah, dia berkata : “Aku mendengar Anas bin Malik berkata : “Pada malam Rasulullah diIsra’kan dari Ka’abah, datang kepada baginda 3 kelompok orang. Hal ini berlaku SEBELUM BAGINDA DIBERI WAHYU. Waktu itu baginda Nabi sedang tidur di dalam Masjidil Haram.”

Ulasan:

Kita sedia maklum, peristiwa Isra’ dan Mi’raaj berlaku selepas Nabi Muhammad dilantik sebagai Rasulullah. Maksudnya baginda sudah menerima wahyu. Sekali imbas, kelihatan seolah-olah hadith ini sudah terseleweng kerana ia berlaku sebelum Nabi Muhammad menerima wahyu. Dari sudut sejarahnya, jelas menyalahi kronologi. Namun...

Persoalan :

... Namun begitu, boleh jadi maksud “sebelum baginda diberi wahyu” itu ialah sebelum baginda diberi wahyu perintah kewajiban solat, bukannya wahyu-wahyu yang lain. Mungkinkah begitu?

Pandangan:

Sekiranya begitu, bermakna peristiwa Mi’raaj (tanpa Isra’) berlaku sekurang-kurangnya dua kali. Kita boleh terima jika Mi’raaj berlaku lebih dari sekali, tetapi dalam Mi’raaj riwayat Syarik ini sudah difardhukan solat 5 waktu sehari semalam. Mana mungkin Rasulullah dan para sahabat tidak melaksanakan solat fardhu 5 waktu sehinggalah berlakunya Mi’raaj yang kedua.

KEDUA

“Berkata seorang dari kelompok pertama : “Di manakah dia?” Dia menjawab : “Di tengah-tengah mereka. Dia ialah orang terbaik daripada mereka.” Berkata kelompok terakhir daripada mereka: “Ambillah orang yang terbaik daripada mereka.” Hal ini BERLAKU PADA WAKTU MALAM hinggakan MEREKA TIDAK DAPAT MELIHATNYA. Lalu mereka datang semula pada malam yang lain, pada malam itu kedua mata baginda tertidur, namun hatinya tidak tidur.”

Ulasan:

Yang datang itu ialah beberapa orang malaikat. Benarkah pandangan para malaikat itu terhalang oleh kegelapan malam sehingga mereka terpaksa datang pada malam yang lain? Benarkah penglihatan para malaikat terhadang oleh gelap? Boleh jadi ya, boleh jadi tidak. WaAllahua’lam.

KETIGA

“....... setelah itu dicopkan ke badan baginda. Kemudian baginda DINAIKKAN KE LANGIT DUNIA, dan Jibril mengetuk pintu langit tersebut.”

Ulasan:

Menurut hadith ini, selepas Rasulullah dicop badannya, baginda terus dinaikkan ke langit (terus Mi’raaj) tanpa pergi ke Baitul Maqdis (Isra’). Jika benar sekalipun riwayat ini, ia tidaklah berkaitan dengan Isra’ dan Mi’raaj yang terkenal itu. Ia merupakan Mi’raaj (tanpa Isra’) yang berlaku sebelum peristiwa Isra’ dan Mi’raaj.

Persoalan:

Adakah maksudnya riwayat ini benar?

Pandangan:

Katakanlah benar peristiwa ini hanyalah Mi’raaj yang berlaku sebelum peristiwa Isra’ wa Mi’raaj, tapi di mana kita hendak letakkan perintah kewajiban solat 5 waktu sehari semalam?

KEEMPAT

“... antara mereka ialah Nabi Idris yang berada di langit ketiga, Nabi Harun yang berada di langit keempat, sedangkan yang lain berada di langit kelima DAN AKU TIDAK HAFAL NAMANYA.”

Ulasan:

Bahagian ini tidaklah merosakkan kekuatan hadith ini tetapi sekurang-kurangnya ia menarik perhatian kita juga. Boleh jadi memang betul Anas bin Malik tidak ingat, boleh jadi juga Syarik yang tidak ingat.

KELIMA

“... sedangkan Nabi Musa berada di LANGIT KETUJUH. Hal ini berlaku kerana anugerah Allah yang pernah bercakap dan berbincang dengannya.”

Ulasan:

Hadith-hadith lain tentang Mi’raaj menunjukkan Nabi Musa tidak berada di langit ketujuh. Yang berada di langit ketujuh ialah Nabi Ibrahim.

KEENAM

“Hingga jarak antara dia (Nabi Muhammad) dan Engkau (Allah) SEKADAR DUA KAKI, bahkan lebih dekat lagi. Lalu Allah berikan wahyu kepadanya berupa kewajipan solat sebanyak 50 kali dalam sehari semalam.”

Ulasan:

Zat Allah tidak terpengaruh dengan jarak, arah dan tempat. Hal ini kerana jarak, arah dan tempat (termasuklah langit dan bumi) ialah makhluk yang pada asalnya tidak wujud, tidak qadim. Ketika azali itu Zat Allah sudah sedia ada, tanpa jarak, arah dan tempat (serta tanpa langit dan bumi). Setelah diciptakan oleh Allah, barulah jarak, arah dan tempat (termasuklah langit dan bumi) wujud.

Zat Allah pula bersifat kekal dan kebal daripada sebarang perubahan. Jika pada azali (sebelum makhluk diciptakan) Dia tidak terpengaruh dengan jarak, arah dan tempat (teramsuklah langit dan bumi), maka selepas makhluk diciptakan pun ZatNYa tetap tidak terpengaruh dengan semua itu selama-lamanya. Apa sahaja yang terpengaruh dengan jarak, arah dan tempat (serta langit dan bumi), maka itu ialah makhluk, bersifat baharu (kerana mengalami perubahan).

Apabila dikatakan jarak antara Nabi dengan Allah kira-kira dua kaki, kita khuatir ia seolah-olah memberi jarak, arah dan tempat kepada Zat Allah.

KESIMPULAN

Dengan himpunan nukilan para ulama, dicampur dengan HIMPUNAN 6 ulasan saya di atas tadi, membuatkan saya meninggalkan hadith riwayat Syarik ini ketika membicarakan kitab Kifaayatul Muhtaaj sekalipun ia berada dalam Sahih Bukhari. Sayyid Muhammad Alawi juga meninggalkan hadith ini dalam bukunya tentang Isra’ dan Mi’raaj. WaAllahua’lam.


Abu Zulfiqar

9 Mac 2011

No comments:

Related Posts with Thumbnails