Pemandangan dari jalan besar di Bukit Gantang ke arah tapak Kota Long Jaafar. Dalam gambar ini ada 3 bukit. Kota itu berada di bukit pertama (yang kelihatan berwarna hijau) di belakang masjid. Saya terfikir... besar juga kawasan kota ini kerana ia sampai ke sebalik sana bukit. Dikatakan keluasannya sekitar 5 hektar. Di sinilah istana Raja Long Jaafar (yang dianggap sebagai pewaris kepada Kerajaan Islam Siam oleh sebahagian pengkaji) pernah didirikan. Saya cuba bayangkan yang tembok-tembok kotanya masih ada dan di dalamnya ada istana serta beberapa binaan lain... memang hebat kota ini.
Kedudukan di atas bukit memang jadi lokasi pilihan kebanyakan kota pada zaman dahulu. Masa 5 tahun diperlukan untuk menyiapkan kota ini. Tinggi tembok batu yang mengelilinginya sekitar 1 1/2 ke 2 meter. Di runtuhan pintu kota menuju ke makam, dalam semak-samun itu masih kelihatan sebahagian kecil batu-bata bercampur tanah yang menjadi tembok kota. Tebal juga temboknya.
Jalan masuk. Ketika ini kami berada di atas bukit, di depan makam Long Jaafar. Mula jalan masuknya terletak di bawah bukit. Boleh berkereta ke atas ini, tapi lebar jalannya cukup untuk sebuah kereta sahaja. Di kiri kanan jalan (seakan-akan kepingan batu disusun) ini ada longkang kecil pula. Silap kawal stereng, terpeleot tayar kereta, sangkut le jawabnya.
Kawasan ini begitu sunyi. Datang biarlah berkawan. Dari jalan di tepi kota ke makam di atas bukit, jaraknya lebih kurang 100 meter.
Inilah rupa makamnya. Di dalamnya ada beberapa kubur, mungkin kaum keluarga Long Jaafar.
Gambar sebahagian kubur yang ada di dalam tembok makam.
Nukilan tambahan...
Bukit Berapit merupakan satu kawasan tinggi yang menjadi pembahagi antara Bukit Gantang (dan kawasan sekitarnya seperti Matang, Taiping, Trong, Kamunting dan lain-lain) dengan Padang Rengas dan Kuala Kangsar. Saya tertarik dengan pendapat yang mengatakan kawasan sebelah sini Bukit Berapit pada zaman dahulu berada di bawah Maharaja Siam (beragama Islam) yang wakil pemerintahnya untuk sebelah sini ialah raja di Kedah. Ketika itu kawasan ini bukan di bawah negeri Perak. Di sebelah sana Bukit Berapit barulah wilayah negeri Perak.
Saya membesar di kawasan ini, khususnya di Taiping. Sejak kecil saya perhatikan, memang penduduk di sebelah sini Bukit Berapit bercakap dalam loghat Kedah ataupun dalam loghat Patani (Siam). Kami tidak bercakap loghat Perak. Tapi di sebelah sana Bukit Berapit, barulah penduduknya bercakap loghat Perak, dan di sana memang sangat kurang orang bercakap loghat Kedah dan Siam. Lagi pula, rata-rata keluarga yang sudah bertapak beberapa generasi di sekitar Bukit Gantang seperti Changkat Ibol, Changkat Jering, Air Kuning dan Bendang Siam (nama pun dah Siam) berasal dari Siam dan percakapan mereka bercampur dengan loghat Patani.
Jadi, dakwaan mengatakan Long Jaafar ialah Maharaja Siam (ataupun sekuarang-kurangnya pewarisnya), dibunuh dengan cara dipijak dengan gajah di Gurun, anaknya Ngah Ibrahim sebagai pewaris dan lain-lain memang elok dipanjangkan kajiannya. Mungkin benar, mungkin juga tidak. Yang penting, kajian perlu diteruskan.
Abu Zulfiqar
17 Mac 2011
1 comment:
Ada 2 makam Long Jaafar.1 di kawasan perkuburan diraja siam islam di mukim tualang kedah dan 1 lagi di bukit gantang.persoalannya kenapa ada 2 makam?dan yg manakah makam Long Jaafar yg benar?ada apa2kah yg berlaku?sbb mmg musykil sangat2.sbg org melayu islam yg membesar diTaiping cerita ini memberi 1 pelajaran baru sementelah selama ni hnya mengetahui makamnya hnya di bukit gantang.Dan siapakah yg sebenarnya yg digelar Pamglima Bukit Gantang utk kali pertama?
Post a Comment