Kajian dan pemerhatian ringkas tentang Al-Quran, As-Sunnah (hadis), agama-agama dunia, kitab-kitab suci pelbagai agama, manuskrip-manskrip kuno, alam semesta (bumi dan angkasa lepas), ilmu perbandingan agama, sejarah, peristiwa-peristiwa akhir zaman, kiamat, alam akhirat, alam ghaib, sains, astronomi (falak) dan lain-lain ilmu alam.

Friday, February 18, 2011

Dialog dengan Penganut Agama Asalama

MAHADAYA MENULIS:

Yang jelas Islam bukanlah agama Tuhan kerana mereka membuat hukum-hukum agama yang bercanggah dengan hukum-hukum Tuhan. Hukum-hukum Tuhan adalah jelas dan sesiapa yang menambah atau menukar hukum Tuhan jelaslah kufur. Apabila Islam menukarkan hukum-hukum Tuhan, mereka menyesatkan ramai manusia yang kini menganggap bahawa hukum-hukum yang diadakan itu terdapat di dalam al quran padahal ianya tidak.

Hamba berikan contoh:

"Dan dari buah kurma dan anggur, kamu buat minuman yang memabukkan dan REZEKI yang baik. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda bagi orang yang memikirkan. (67) Al Nahala (* An-Nahl)


Tuhan menyatakan bahawa arak iaitu minuman yang memabukkan adalah rezeki yang baik. Jadi, apa hukum Islam? Haram bukan? Jadi orang Islam mengharamkan apa yang Tuhan nyatakan sebagai rezeki yang baik. Manusia kemudian menolak al Quran kerana ianya bercanggah dengan pemahaman mereka bahawa arak itu halal namun Islam menyesatkan mereka dengan hukum buatan manusia. Jadi, Islam bukan agama Tuhan kerana ianya berhukum selain hukum Tuhan.

ABU ZULFIQAR MENULIS:

Hendak berinteraksi dengan ayat-ayat Al-Quran, kenalah tahu cara-caranya, bukan boleh ikut nafsu serakah dan pemahaman suka-suka sendiri. Sebaiknya tuan belajar dan berguru cara-cara hendak berinteraksi dengan ayat-ayat Quran terlebih dahulu sebelum mengupas sendiri.

Lihat maksud ayat yang tuan petik itu baik-baik:

“Dan dari buah KURMA DAN ANGGUR.”

Langkah pertama, kita hendak pastikan konteks penggunaan perkataan “DAN” dalam ayat di atas.


Buah kurma dan buah anggur... adakah kedua-duanya benda yang sama? Adakah kurma itu anggur dan anggur itu kurma? Tentulah jawapannya “tidak sama”. Kedua-duanya membicarakan dua perkara yang berbeza walaupun kedua-duanya jenis buah. Maka fahamlah kita bahawa perkataan “DAN” dalam konteks ayat itu TIDAK MENYAMAKAN kedua-dua benda tadi, bahkan membezakannya.

Lihat pula perkataan seterusnya: “MINUMAN YANG MEMABUKKAN dan REZEKI YANG BAIK.” Adakah minuman yang memabukkan dan rezeki yang baik itu perkara yang sama? Tentulah tidak juga kerana yang memabukkan bukan rezeki yang baik, dan rezeki yang baik bukan yang memabukkan. Buktinya, perkataan “DAN” di tengah-tengah itu kegunaannya ialah untuk MENUNJUKKAN PERBEZAAN, bukan untuk menunjukkan persamaan walaupun kedua-duanya ialah hasil daripada buah-buah tadi.

Untuk menghalalkan usaha anda menghalalkan arak dan mendakwa rosaknya agama Islam, ayat itu sepatutnya berbunyi :

“Kurma dan anggur, kamu buat minuman yang memabukkan lagi/ iaitu rezeki yang baik.”

“Kurma dan anggur, kamu beroleh rezeki yang baik berupa minuman yang memabukkan.”

Dan seumpamanya.

Malangnya maksud ayat Quran itu berbunyi : “Minuman yang memabukkan DAN rezeki yang baik.” Sudah dijelaskan tadi, perkataan “DAN” dalam konteks ayat itu kegunaannya ialah untuk MENUNJUKKAN PERBEZAAN. (* Minuman yang memabukkan = arak. Rezeki yang halal = cuka)

Selain itu, tuan sepatutnya faham mengapa MINUMAN YANG MEMABUKKAN diletakkan di hadapan REZEKI YANG BAIK. Ceritanya begini. Apabila kurma dan anggur diperam dengan proses tertentu, ia akan bertukar jadi arak yang memabukkan, lagi haram. Selepas melalui proses tertentu pula, arak (kurma atau anggur) tadi akan berubah sifatnya menjadi cuka yang halal pula (rezeki yang baik). Begitu maksud ayat Al Quran itu.

Sebab itulah diletakkan kalimah “minuman yang memabukkan” dan kemudiannya barulah diikuti dengan kalimah “rezeki yang baik”. Alangkah indahnya susunan bahasa dan maklumat dalam Al Quran... bagi mereka yang menggunakan fikirannya.

Mengapalah tuan boleh mentafsir sesuka hati?.......

Sekarang, saya kembalikan kata-kata tuan. Nampaknya tuanlah yang membuat hukum-hukum agama yang bercanggah dengan hukum-hukum Tuhan. Tuhan kata kurma dan anggur yang jadi arak itu haram, dan arak (kurma dan anggur) yang jadi cuka itu halal, iaitu rezeki yang baik. Sedangkan tuan ubahsuai maksud kalam Tuhan dengan berdusta atas nama Tuhan dan Kitabullah, kononnya kurma dan anggur yang dijadikan arak itu halal diminum kerana ia rezeki yang halal.

Sebagaimana kata tuan, hukum Tuhan adalah jelas (*buah yang jadi arak itu haram, buah yang jadi cuka itu halal) dan sesiapa yang menambah atau menukar hukum Tuhan jelas kufur. Tuan menukarkan hukum-hukum Tuhan, menyebarkannya, menyesatkan diri sendiri dan orang lain (terutamanya orang yang hampir dengan tuan). Tuan katakan Al Quran berkata begini begini hukumnya, padahal tidak.

Dalam ayat yang tuan petik itu, Tuhan tak pernah menyatakan arak itu rezeki yang baik. Rezeki yang baik itu ialah cuka. Apa hukum Islam? Sama dengan hukum Tuhan. Apa hukum agama Asalama yang tuan anuti? Tak sama dengan hukum Tuhan. Cuba tuan berfikir dengan hati yang jernih.

Tuan menghalalkan apa yang Tuhan nyatakan sebagai haram. Kemudian tuan menolak kitab Al Quran yang jadi pegangan umat Islam kerana ia bercanggah dengan nafsu tuan yang MENGHALALKAN ARAK. Tuan menyesatkan diri sendiri dan cuba menyesatkan orang lain dengan hukum buatan tuan sendiri. Jadi agama Asalama yang tuan perjuangkan itu bukanlah agama yang diredhai Tuhan kerana ia berhukum dengan selain hukum Tuhan.



Abu Zulfiqar

18 Februari 2011

2 comments:

nikkierich said...

Alhamdulillah...

Jawapan yang bernas

Nurun Nur 9111 said...

salam,

nice answer!

Related Posts with Thumbnails