Kajian dan pemerhatian ringkas tentang Al-Quran, As-Sunnah (hadis), agama-agama dunia, kitab-kitab suci pelbagai agama, manuskrip-manskrip kuno, alam semesta (bumi dan angkasa lepas), ilmu perbandingan agama, sejarah, peristiwa-peristiwa akhir zaman, kiamat, alam akhirat, alam ghaib, sains, astronomi (falak) dan lain-lain ilmu alam.

Wednesday, February 10, 2016

Peringkat2 Ma'rifah dan Cinta Allah


Peringkat-peringkat ma’rifah dan cinta :

1.       Peringkat MENOLAK.
2.       Peringkat RAGU-RAGU.
3.       Peringkat YAKIN.
4.       Peringkat TAHU.
5.       Peringkat TUNDUK PATUH (beriman).
6.       Peringkat KENAL.
7.       Peringkat CINTA.


Huraian peringkat-peringkat ma’rifah dan cinta :

1.       Peringkat MENOLAK - Golongan ini tidak percaya adanya Tuhan. Mereka menolak adanya Tuhan. Ini golongan ateis atau mulhid.

2.       Peringkat RAGU-RAGU – Golongan ini mula ragu-ragu sama ada Tuhan itu ada ataupun tidak. Apabila mereka buat pemerhatian dan kajian, mereka dapati memang ada kemungkinan adanya satu kuasa yang disebut sebagai Tuhan.

3.       Peringkat YAKIN – Golongan ini sudah yakin bahawa Tuhan itu memang ada, tetapi mereka belum menganut mana-mana agama. Hasil pemerhatian dan kajian mereka menunjukkan Tuhan memang ada.

4.       Peringkat TAHU – Golongan ini pula sudah tahu siapakah Tuhan itu. Mereka mencari-cari yang mana satukah Tuhan daripada sekian banyak yang didakwa sebagai Tuhan. Akhirnya mereka mendapati Tuhan hanya satu iaitu Allah. Sekadar tahu, belum kenal (belum ma’rifah), belum cinta.

5.       Peringkat TUNDUK PATUH (beriman/percaya) - Tidak setakat tahu, mereka beriman pula dengan Allah. Mereka pun memeluk agama Islam. Namun mereka umumnya sekadar beriman tanpa mengenal akan Allah.

6.       Peringkat KENAL – Tidak setakat beriman/percaya, tetapi sudah sampai ke peringkat mengenal Allah. Mereka berupaya membezakan antara Allah dengan makhluk. Tidak mudah-mudah diperdaya oleh makhluk.

7.       Peringkat CINTA – Tidak sekadar kenal, tetapi sudah sampai ke tahap cinta Allah.

·         Setiap satu peringkat ini ada pecahan2nya lagi.
·         Rata-rata umat Islam mencapai peringkat YAKIN, TAHU dan TUNDUK PATUH.
·         Para saintis tidak beragama, kajian mereka memang boleh  membawa mereka kepada peringkat YAKIN adanya Tuhan. Namun ilmu kajian mereka tak bawa mereka ke tahap wahyu. Untuk naik lagi, mereka terpaksa guna Al Quran. Hal ini kerana syariat tak datang dengan fikiran melainkan dengan wahyu.
·         Pelajaran tasawuf berusaha membawa kita sampai ke peringkat KENAL dan CINTA.

Abu Zulfiqar
Januari 2016

Sejauh Mana Mencapai Tuhan dengan Akal Sahaja?



Cerdik pandai dan para pengkaji (khususnya yang tidak beragama/ateis/mulhid) memang boleh menemui Tuhan hasil pemikiran mereka, tetapi setakat mana?

1.       Tak percaya adanya Tuhan. Semua yang berlaku di alam ini adalah secara semulajadi, secara tabi’i. Ada yang terhenti setakat ini sahaja. Terhijab dengan hijab gelap berlapis gelap.

2.       Percaya ada satu kuasa yang mendasari dan berperanan mengatur seluruh alam ini, tetapi tidak yakin itu ialah Tuhan. Maka tidak perlu menyembah kuasa itu dan tidak perlu menganut mana-mana agama.

3.       Percaya ada sesuatu yang mendasari dan mengatur seluruh alam ini, tetapi tidak tahu sama ada itu Tuhan ataupun tidak. Ada pula yang terhenti setakat ini.

4.       Percaya ada satu kuasa yang sangat bijaksana yang mendasari dan mengatur seluruh alam ini, dan yakin itulah yang dikatakan orang sebagai Tuhan. Tetapi tidak perlu untuk menyembah Tuhan itu, dan tidak perlu juga untuk menganut mana-mana agama. Golongan ini terhijab dengan campuran antara kegelapan dengan kecerahan.

5.       Percaya ada satu kuasa yang sangat bijaksana yang mendasari dan mengatur seluruh alam ini, dan yakin itulah yang dikatakan orang sebagai Tuhan. Tuhan itu mesti disembah tetapi mengikut cara sendiri-sendiri. Setiap orang ada jalan sendiri. Tidak perlu menganut dan mengikut syariat mana-mana agama. Ada yang terhenti di sini.

6.       Percaya ada satu kuasa yang sangat bijaksana yang mendasari dan mengatur seluruh alam ini, dan yakin itulah yang dikatakan orang sebagai Tuhan. Tuhan mesti disembah, boleh mengikut semua agama kerana semua agama pun sama. Campur aduk.

7.       Percaya ada satu kuasa yang sangat bijaksana yang mendasari dan mengatur seluruh alam ini, dan yakin itulah yang dikatakan orang sebagai Tuhan. Tuhan itu mesti disembah dan kita mesti mengikut salah satu agama.

8.       Percaya ada satu kuasa yang sangat bijaksana yang mendasari dan mengatur seluruh alam ini, dan yakin itulah yang dikatakan orang sebagai Tuhan. Tuhan mesti disembah dan mesti mengaut dan mengikut syariat Islam.

Para pengkaji yang bersandarkan kepada akal semata-mata tanpa mahu mengikut mana-mana agama, ringkasnya mereka akan tersangkut pada tahap yang kelima sahaja.

Abu Zulfiqar
Februari 2016
Related Posts with Thumbnails