Kajian dan pemerhatian ringkas tentang Al-Quran, As-Sunnah (hadis), agama-agama dunia, kitab-kitab suci pelbagai agama, manuskrip-manskrip kuno, alam semesta (bumi dan angkasa lepas), ilmu perbandingan agama, sejarah, peristiwa-peristiwa akhir zaman, kiamat, alam akhirat, alam ghaib, sains, astronomi (falak) dan lain-lain ilmu alam.

Wednesday, June 03, 2015

Sentuhan Hakikat & Makrifat dalam Al-Hikam Al-Ghazali

3.
Pengetahuan menuju ke akhirat itu terbahagi kepada ilmu mu'amalah dan ilmu mukasyafah.
Dan ilmu mu'amalah itu adalah jalan kepada ilmu mukasyafah.
Adapun ilmu mukasyafah, mereka (para nabi) tidak memperkatakannya selain dengan jalan rumus dan isyarat, yang berupa contoh dan kesimpulan. Kerana para nabi itu tahu akan singkatnya pemahaman orang ramai untuk memikulnya.

4.
Ilmu mu'amalah itu terbahagi kepada ilmu zahir dan ilmu batin.
Ilmu zahir ialah ilmu tentang amal perbuatan anggota badan.
Ilmu batin ialah ilmu tentang amal perbuatan hati.

14.
Wara’ itu mempunyai 4 tingkat :
Wara’ tingkat pertama (wara’ orang awam).
Wara’ para solihin.
Wara’ para muttaqin.
Wara’ para siddiqin (peringkat tertinggi).

15.
Ilmu mukasyafah itu ialah ilmu batin. Dan itulah kesudahan segala ilmu. Telah berkata sebahagian ‘ariffin : “Orang yang tidak mempunyai bahagian daripada ilmu mukasyafah ini, aku khuatir akan buruk kesudahannya. Sekurang-kurangnya ialah membenarkan ilmu itu dan tunduk kepada ahlinya.”

16.
Kami maksudkan dengan ilmu mukasyafah itu ialah terangkat hijab yang menutupi sehingga jelaslah kenyataan kebenaran Allah pada semuanya itu dengan sejelas-jelasnya, laksana mata memandang, yang tidak diragukan lagi.

17.
Ulama zahir itu hiasan bumi dan kerajaan.
Ulama batin itu hiasan langit dan alam malakut.

18.
Adapun mengenal Allah Ta’ala, sifat dan af’alNya serta sekalian yang telah kami isyaratkan dalam ilmu mukasyafah, maka tidaklah diperoleh dari ilmu kalam. Malahan hampir sahaja ilmu kalam itu menjadi hijab dan penghalang.

19.
Tauhid mempunyai dua kulit.
Kulit pertama - mengucapkan Laa Ilaahaillallaah.
Kulit kedua – hati tidak berlawanan dengan ucapan tadi.

Manakala isi tauhid – melihat seluruh keadaan daripada Allah Ta’ala dengan tidak menoleh kepada perantaraan. Dan beribadah kepadaNya dengan ibadah yang tunggal kepadaNya. Tidak ia beribadah kepada yang lain.

21.
Seorang yang bertauhid, dia tidak melihat melainkan Yang Esa dan tidak menghadapkan wajahnya melainkan kepada Yang Esa itu.

22.
Adapun ilmu yang terpuji setinggi-tingginya ialah ilmu tentang Allah Ta’ala, sifatNya, af’alNya, sunnahNya dalam menjadikan makhlukNya dan hikmahNya pada tertibnya akhirat di atas dunia.

23.
Ilmu (tasawuf peringkat tinggi) itu adalah laut yang tak diketahui dalamnya. Para perenang hanya dapat merenangi pantai dan tepinya sahaja, sekadar yang mungkin ditempuhnya. Tidak dapat menempuh segala tepinya selain para nabi, wali dan para ahli menurut tingkat masing-masing, yang berbeza kesanggupan dan berlebih kurang takdir yang dianugerahi Allah Ta’ala.

Itulah ilmu yang tersembunyi, yang tidak ditulis pada halaman kitab. Yang menolong untuk mengetahuinya ialah dengan jalan belajar dan menyaksikan perihal keadaan ulama akhirat.

44.
Apabila usia itu biasanya tidak berkesempatan mempelajari segala ilmu pengetahuan, maka yang lebih utama diambil, iaitu yang lebih baik daripada segala pengetahuan itu dan dicukupkan dengan sekadarnya. Lalu dikumpulkan seluruh kekuatan dari pengetahuan tadi untuk menyempurnakan suatu pengetahuan yang termulia dari segala macam ilmu pengetahuan, iaitu ilmu akhirat.

Yang aku maksudkan dengan ilmu akhirat ialah dua jenis iaitu ilmu mu’amalah dan ilmu mukasyafah.

Tujuan ilmu mu’amalah ialah ilmu mukasyafah. Dan tujuan ilmu mukasyafah ialah mengenal Allah Ta’ala.

45.
Ilmu yang paling mulia dan matlamat yang paling utama ialah mengenal Allah Ta’ala. Itulah lautan yang dalamnya tidak dapat diduga. Tingkat yang tertinggi untuk itu dari manusia ialah tingkat para nabi, kemudian para wali, kemudian orang-orang yang mengikuti mereka.

48.
Yang paling mulia ialah ilmu tentang Allah ‘Azza wa Jalla, tentang para malaikatNYa, tentang kitab-kitabNYa, tentang rasul-rasulNya, dan ilmu tentang jalan yang menyampaikan kepada yang demikian. Berwaspadalah agar kegemaran tidak ditumpahkan kepada selain ilmu-ilmu tadi, dan bersungguh-sungguhlah mempelajarinya.

50.
Kebahagiaan adalah di belakang ilmu mukasyafah. Dan ilmu mukasyafah adalah di belakang ilmu mu’amalah.

51.
Yang berjalan kepada Allah untuk mencapai dekatNya adalah hati, bukan badan. Bukanlah maksudku dengan hati itu daging yang boleh dilihat, tetapi adalah suatu rahsia daripada rahsia Allah ‘Azza wa Jalla yang tidak diketahui oleh pancaindera. Sesuatu yang halus daripada segala yang halus kepunyaan Allah. Sesekali disebut dengan perkataan “ruh”, sesekali dengan perkataan “an-nafs al-mutmainnah (jiwa yang tenteram)”.

Agama menyebutnya sebagai “al-qalb” (hati) kerana hatilah kenderaan pertama bagi rahsia itu. Dan dengan perantaraan hatilah maka seluruh badan menjadi kenderaan dan alat kenderaan untuk tubuh halus itu.

Menyingkap tabir sir itu adalah sebahagian daripada ilmu mukasyafah – payah diperolehi bahkan tidak mudah menerangkannya.

52.
Seluruh makhluk dihubungkan kepada Tuhan, tetapi hubungan ruh (al-qalb) kepadaNya adalah lebih mulia daripada hubungan seluruh anggota badan yang lain. Kepunyaan Allah seluruh makhluk dan ruh. Ruh lebih tinggi daripada makhluk lain.

Zat yang sangat bernilai itu yang membawa amanah Allah, suatu tugas yang pernah ditawarkan kepada langit, bumi dan bukit tetapi enggan menerimanya dan takut kepada zat yang bernilai itu.

Dan janganlah difahamkan dari hal tersebut sekaan-akan dibayangkan dengan qadimnya zat itu. Orang yang mengatakan qadimnya ruh adalah tertipu dan bodoh, tidak mengerti apa yang harus dikatakannya.

53
Tubuh halus itulah yang berusaha mendekati Tuhan kerana dia daripada urusan Tuhan. Dari Tuhan sumbernya dan kepada Tuhan kembalinya.

Adapun tubuh badan adalah kenderaan tubuh halus itu, yang dikenderainya dan diusahakannya sesuatu dengan perantaraannya.

61.
Al-abrar (orang-orang baik) adalah kuburan ilmu al-asrar (ilmu yang tinggi-tinggi). Oleh itu, tidak wajarlah bagi seseorang yang berilmu menyiarkan seluruh ilmu pengetahuannya kepada orang.

62.
Tidaklah kurang zalimnya antara memberikan kepada yang tidak berhak dengan tidak memberikan kepada yang berhak.

81.
Tidak ada yang maujud selain Dia. Yang lain itu ada dengan perbuatanNya, yang melimpah daripada keadilanNya dengan bentuk yang sebaik-baiknya, sesempurna-sempurnanya dan seadil-adilnya.

Dia Maha Bijaksana dalam segala perbuatanNya, Maha Adil dalam segala hukumNya. Tidak dapatlah dibandingkan keadilanNya dengan keadilan hambaNya. Kerana hamba itu tergambar daripadanya kezaliman dalam mengurus hak milik orang lain, Dan tidak tergambar kezaliman daripada Allah Taala kerana tidak dijumpai milik bagi yang lain daripada Allah, sehingga ada pengurusanNya itu zalim.

85.
Sesungguhnya hakikat ruh itu adalah antara yang menumpulkan pemahaman daripada mengetahuinya, dan menyingkatkan sangka waham daripada menggambarkan keadaan hakikatnya.

86.
Dia yang menjadikan makhluk, yang membuatnya dan yang mengadakan qudrah dan gerak bagi makhluk itu. Maka sekelian af’al hamba-Nya adalah makhluk-Nya dan bergantung dengan qudrahNya.

87.
Allah sendirilah yang Maha Suci, menjadikan segala gerak hamba-Nya, yang tidak dikeluarkan-Nya gerak-geri itu dari kekuasaan hamba-Nya sendiri atas jalan usaha. Tetapi Allah Ta’ala yang menjadikan qudrah hamba dan yang dikuasainya. Dialah yang menjadikan usaha dan yang diusahakan.

88.
Pekerjaan hamba meskipun merupakan usaha hamba sendiri, tetapi tidaklah keluar dari adanya dengan kehendak Allah SWT. Maka tidaklah berlaku di alam nyata (alam al-mulki) dan alam yang tidak nyata (alam al-malakuT) suatu kerlingan mata, suatu lintasan hati dan sejenak pandangan orang yang memandang melainkan dengan qadha, qudrah, iradah dan kehendakNya.

89.
DaripadaNyalah buruk dan baik, bermanfaat dan melarat, Islam dan kufur, mengakui dan mengengkari, kemenangan dan kerugian, kesesatan dan petunjuk, taat dan maksiat, syirik dan iman. Tidak ada yang menentang bagi hukumNya. DisesatkanNYa sesiapa yang dikehendakiNya dan ditunjukkanNya sesiapa yang dikehendakiNya.

90.
Bahawa jaiz (tidak wajib dan tidak mustahil) bagi Allah untuk memikulkan (mentaklifkan) atas makhluk apa yang tidak disanggupinya. Hal ini bertentangan dengan pandangan Mu’tazilah.

91.
Bahawa bagi Allah Ta’ala menyakitkan dan mengazabkan makhlukNya tanpa ada dosa yang terdahulu dan tanpa ada pahala yang akan datang. Bertentangan dengan pandangan Mu’tazilah.

92.
Mengenal (ma’rifah) akan Allah Tala dan berbuat taat kepadaNya adalah wajib.

95.
Alangkah banyaknya perbezaan setelah mengetahui sempadan antara rasa biasa dan kenyang.

99.
Sesungguhnya bukan aku yang menggerakkan tetapi Dia yang menggerakkan aku. Bukan aku yang berusaha tetapi Dia yang memperalatkan aku.

100.
Jika rahsia itu dikeluarkan, hanya orang-orang jahil sahaja yang akan menafikannya. Walau seramai manapun orang-orang jahil itu, rahsia-rahsia itu mestilah dipelihara dan jangan biar dinodai oleh ornag-orang yang berdusta.

101.
Aku tidak teragak-agak membawa saudara menuju hakikat yang mulia dan suci itu kerana kesalahan menyembunyikan ilmu daripada orang-orang yang menghendakinya samalah dengan kesalahan mengeluarkan ilmu kepada orang-orang yang mensia-siakannya.

102.
Cahaya hakiki ialah Allah. Selain itu, nama “cahaya” hanyalah perumpamaan yang tidak membawa maksud sebenar.

108.
Alam ghaib itu digelar alam tinggi, alam ruh atau alam nur. Alam nyata ini digelar alam bawah, alam rendah, alam benda atau alam gelap.

Alam nyata ini adalah satu daripada kesan-kesan alam tinggi itu. Alam nyata ini adalah keluaran atau terbitan dari alam ghaib itu.

109.
Peringkat-peringkat cahaya ini bukanlah naik ke atas tanpa had. Had atau peringkat muktamadnya ialah cahaya yang bercahaya dengan sendirinya. Cahaya tidak didatangkan dari punca yang lain, bahkan cahaya itulah yang mengeluarkan cahaya kepada yang lain, menurut susunan dan peringkat masing-masing.

110.
Wujud hakiki ialah Allah SWT dan cahaya hakiki juga ialah Allah SWT.

111.
Setiap sesuatu mempunyai dua wajah – wajahnya dan Wajah Allah. Wajahnya itu tidak ada apa-apa, tetapi Wajah Allah itulah yang sebenar wujud. Dengan itu, tidak ada Yang Wujud kecuali Allah. Segala yang lain adalah binasa dan hancur lebur melainkan Allah yang Kekal Sentiasa.

112.
Allah itu Nur (cahaya), dan selain Dia tidak ada cahaya. Setiap cahaya dalah Dia dan cahaya keseluruhan adalah Dia juga.

113.
Golongan pertama – mereka melihat Allah terus.
Golongan kedua – mereka melihat Allah melalui perbuatan-perbuatan atau kerja-kerjaNya.

Golongan pertama itu aulia’ Allah.
Golongan kedua itu orang-orang arif yang telah yakin dalam ilmunya.

Selain dua golongan itu tidak lain hanyalah orang-orang yang lalai, di hadapan mereka ada hijab.

114.
Cahaya biasa itu boleh hilang apabila matahari terbenam, dan datanglah gelap yang menjadi hijab.
Tetapi cahaya keTuhanan itu tidak boleh hilang. Cahaya itu mesti ada untuk membolehkan penglihatan. Mataharinya tidak pernah terbenam. Ia kekal selamanya dengan semua perkara.

115.
Mungkin mereka memahami bahawa Allah itu ada pada setiap tempat. Maha Suci dan Maha Tinggi Allah dikaitkan dengan tempat.

116.
3 kategori besar golongan yang terhijab :
Mereka yang terhijab dengan kegelapan.
Mereka yang terhijab dengan campuran antara cahaya dan kegelapan.
Mereka yang terhijab dengan cahaya.

117.
Memang sudah menjadi adat bahawa orang jahil memang selalu mengengkari.

118.
Orang yang mempunyai ilmu tauhid ini adalah yang paling utama antara ulama.

119.
Allah menjadikan manusia terdiri daripada dua keadaan yang berbeza :
Jisim yang gelap, tebal, termasuk di bawah kejadian dan kebinasaan, yang tersusun, bersifat ketanahan, yang tidak dapat melaksanakan urusannya melainkan dengan yang lain.
Jiwa jauhari yang tunggal, bercahaya, mencapai, bertindak serta menggerakkan dan menyempurnakan alat-alat dan jisim-jisim.

120.
Oleh kerana ruh itu adalah urusan Allah Ta’ala, maka keberadaan ruh itu dalam badan adalah sebagai orang dagang. Wajahnya mengarah kepada asalnya dan tempat datangnya.

126.
Kimia kebahagiaan terdiri daripada empat elemen iaitu :
Mengenal diri
Mengenal Allah
Mengenal dunia
Mengenal akhirat

127.
Tidak ada yang lebih dekat kepada kamu melainkan diri kamu sendiri. Jika kamu tidak mengetahui dirimu sendiri, bagaimana kamu dapat mengetahui yang lain?

128.
Ketahuilah, ada 3 sifat yang bersemayam di dalam dirimu iaitu :
Sifat haiwan
Sifat syaitan
Sifat malaikat

129.
Pancaindera manusia bagaikan lima pintu yang terbuka menghadap dunia luar. Namun yang paling menakjubkan daripada semua ini ialah hatinya yang memiliki jendela terbuka ke dunia ruh yang ghaib.

130.
Sangat sesuai jika manusia disebut alam as-saghir.





No comments:

Related Posts with Thumbnails