Dengan
kuasa Allah, pada suatu hari aku terjumpa semula buku Hikayat Abdullah oleh Abdullah
bin Abdul Kadiri Munshi (Munsyi Abdullah) di rumahku semasa mengemas rumah,
terbitan Pustaka Antara tahun 1965.
Pada
mukasurat 195, aku terjumpa cerita di bawah :
“Maka
pada masa itu didapat orang di hujung tanjung itu ada sebuah batu berhampar dalam
semak-semak itu serta dengan licinnya, ada kira-kira sedepa lebarnya, empat
persegi, maka semuanya penuh dengan tulisan dipahat, akan tetapi sungguhpun ada
tulisannya itu, tidaklah dapat dibaca orang, kerana kerana sudah bekas haus
dimakan air, entah beberapa ribu tahun, Allah yang tahu.”
Latar
belakang cerita ini ialah tokoh penjajah Stamford Raffles dan William Farquhar
sedang melaksanakan projek meluaskan kawasan di Singapura sekitar bulan Jun 1819.
Dalam masa 3-4 bulan, mereka berjaya meratakan sebuah bukit. Ketika itulah
dijumpai sebuah batu bersurat. Sebelum ini aku belum tahu pun tentang Batu
Bersurat Singapura ini.
Antara
maklumat penting yang aku faham daripada petikan di atas tadi ialah lebar batu
itu lebih kurang satu depa. Bentuknya empat persegi. Tulisannya sudah tidak
boleh dibaca kerana hakisan alam.
Aku
terfikir, mungkin usia batu ini adalah lebih lama berbanding Batu Bersurat
Terengganu. Hal ini kerana Batu Bersurat Terengganu (disiapkan pada 1303 M) yang
tenggelam dalam banjir dan dijadikan batu lapik kaki yang dipijak-pijak orang
untuk naik ke surau itu pun masih tertera dengan baik tulisannya. Bahkan Batu
Bersurat Muara Kanam, Kalimantan (abad ke-5 M), Kedukan Bukit, Palembang (683 M),
Talang Tuwo, Palembang (684 M), Kota Kapur, Pulau Bangka (686 M), Karang Brahi,
Jambi (686 M) dan Gandasuli, Jawa (832 M) pun masih boleh dibaca tulisannya.
Tapi tak tahulah kalau air laut yang masin menjadikan hakisannya sebegitu
pantas sehingga hilang tulisan padanya.
Munsyi
Abdullah juga menyatakan agakan peribadinya tentang usia batu itu yang mungkin
mencapai ribuan tahun. Hal ini memang menarik perhatianku. Manalah tahukan,
mungkin batu bersurat itulah yang paling awal di Nusantara.
Seterusnya
dalam Hikayat Abdullah diceritakan oleh pengarangnya bahawa ramai orang dari
pelbagai bangsa datang mengerumuni batu tersebut. Orang Hindu kata batu itu
bertulisan Hindu, orang China pula kata tulisan China, tapi masing-masing tidak
dapat membaca tulisannya. Munsyi Abdullah pula melihatnya seakan-akan huruf
Arab.
Pelbagai
kaedah digunakan oleh segala cerdik pandai untuk mengenal pasti jenis tulisan
dan membacanya tetapi tidak ada sesiapa pun yang berjaya.
Akhirnya
Raffles yang memang minat dan mahir dengan sejarah Nusantara itu berpendapat
tulisan itu ialah tulisan Hindu (mungkin dia maksudkan tulisan Sanskrit),
dengan alasan : “Bangsa itulah bangsa yang tua daripada bangsa-bangsa yang
telah datang ke bawah angin ini.” Pandangan Raffles ini menunjukkan dia
juga percaya bahawa Batu Bersurat Singapura ini sangat lama usianya, lebih
daripada batu-batu bersurat yang diketahui pada zaman itu di Nusantara ini.
Namun sampai ke sudah, tidak ada sesiapa pun yang mampu mengenal apatah lagi
membaca tulisan pada batu itu.
Masa
berlalu, pada zaman Coleman jadi engineer di Singapura, dia telah
memecahkan batu itu, diletupkannya. Entah apa penyakitnya Si Coleman ini,
sampaikan barang yang sangat berharga itu dimusnahkannya begitu sahaja. Munsyi
Abdullah sangat menyesali perbuatan Coleman itu.
Hmmm…
apa punya sawan Si Coleman ni? Mungkinkah dia khuatir kalau-kalau sesuatu
rahsia daripada batu itu terhurai pada kemudian hari? Ataupun rahsia pada batu
itu sudah diketahui lalu mesti dikuburkan atas sebab-sebab tertentu? Ataupun
boleh jadi juga dia terlalu stress kerana gagal menghuraikan batu itu lalu naik
syeikh dan menghancurkannya? Sebab-sebab lain? Entahlah. Wallahua’alam.
Perkara
ini membuatkan aku pun menyelongkarlah koleksi buku-buku di rumahku dan meronda
ke serata ruang maya internet.
Dalam
buku Sejarah Melayu susunan Tun Sri Lanang, versi selenggaraan WG Shellabear
terbitan Penerbit Fajar Bakti cetakan kedua 1977, ada sebuah cerita…….
“Maka
titah Raja Suran pada hakim dan utas, “Hendaklah kamu sekalian perbuatkan aku
alamat tanda kita masuk ke dalam laut ini. Akan kehendak hatiku biarlah kekal perbuatan
itu hingga hari kiamat, dan kamu suratkan segala hikayat kita masuk ke dalam
laut, supaya diketahui dan didengarnya oleh segala anak cucu kita yang
kemudian.”
“Setelah
segala hakim dan utas mendengar titah Raja Suran itu, maka diambil oleh mereka
itu suatu batu, maka disuratnya oleh mereka dengan bahasa Hindustan.”
Inilah
kisah Raja Suran yang pernah menyerang dan menakluk Semenanjung Tanah Melayu
apabila mengalahkan kerajaan Gangga Negara dan Ganggayu. Setelah tidak ada lagi
kerajaan yang mahu dilanggarnya, Raja Suran bercadang menyerang negara China.
Muslihat Maharaja China berjaya membuatkan Raja Suran membatalkan rancangannya.
Oleh kerana tidak ada apa lagi yang mahu dicapai di Nusantara ini, Raja Suran
pun masuk ke suatu alam di dalam laut. Panjanglah ceritanya, baca sendirilah.
Selepas
keluar dari dalam laut, Raja Suran memerintahkan agar dibuat batu bersurat yang
menceritakan tentang dirinya khususnya pengalamannya masuk ke alam di dalam
laut.
Berdasarkan
maklumat ini, tidak mustahil Batu Bersurat Singapura itulah batu bersurat Raja
Suran! Jika benar, maksudnya batu itu sudah sangat lama kerana zaman Raja Suran
ini pun masih diperselisihkan orang. Kini serpihan kecil batu bersurat ini ada
di Muzium Singapura.
Belum
habis lag! Dalam Sejarah Melayu terdapat pula kisah Badang, orang gagah
Singapura. Suatu ketika Badang dicabar oleh orang gagah dari India. Mereka
berlawan gusti. Badang menang.
Kemudian,
di hadapan balairong ada sebuah batu yang dikatakan “terlalu besar”. Orang kuat
India yang bernama Nadi Bijaya Pikrama itu mencabar Badang bertanding
mengangkat batu besar itu. Nadi Bijaya Pikrama berjaya mengangkat batu itu
separas lutut sahaja. Badang pula?
“Maka
oleh Badang diangkatnya batu itu lalu dilambungnya, dilontarkannya ke sungai
Kuala Singapura; itulah batunya yang ada sekarang di hujung Tanjung Singapura
itu.”
Kita
imbas balik… para pekerja Raffles menemui batu bersurat di hujung tanjung di
Singapura. Badang pula beberapa zaman sebelum itu melontarkan sebuah batu besar
ke hujung Tanjung Singapura. Ada kaitankah rasanya?
Tapi,
kalau benar batu pada zaman Badang itu batu bersurat, apa hal pulalah
pemerintah Singapura buang begitu sahaja batu yang berharga itu? Mungkinkah
kerana mereka tidak perasan? Ataupun oleh kerana tidak tahu membaca tulisan
Sanskrit atau Hind, mereka fikir tak penting sangat maklumat pada batu itu?
Boleh
jadi kedua-dua batu itu adalah batu yang sama, boleh jadi juga batu yang
berlainan. Wallahua’alam. Yang pastinya, jangan kita habiskan banyak masa dalam
hal-hal lagenda, mitos, mistik, hikayat dan yang sewaktu dengannya ini
sampaikan terabai urusan yang lebih penting iaitu dua ilmu jalan ke akhirat –
ilmu mukasyafah dan ilmu mu’amalah. Utamakan yang lebih penting berbanding yang
penting-penting. Jangan jadi sebaliknya.
Sekarang
tibalah ke bahagian yang mungkin sangat ditunggu-tunggu oleh sebahagian orang.
Selepas
batu bersurat itu siap, Raja Suran melakukan hel berikut :
“Setelah
segala hakim dan utas mendengar titah Raja Suran itu, maka diambil oleh mereka
itu suatu batu, maka disuratnya oleh mereka dengan bahasa Hindustan. Setelah
sudah disurat mereka, maka oleh Raja Suran diambilnya beberapa harta emas dan
perak dan permata ratna mutu manikam dan segala mata benda yang ajaib-ajaib,
maka ditaruhnya sama-sama batu surat itu.”
“Maka
titah Raja Suran : “Pada akhir zaman kelak ada seorang raja daripada anak
cucuku, ialah yang beroleh harta ini, dan raja itulah yang menaklukkan segala
negeri yang di bawah angin ini.”
Sudah
ditemuikah harta Raja Suran ini? Pencari harta karun atau geng tarik harta memang
minat cerita-cerita macam ni, sampaikan makhluk-makhluk ghaib pun terlibat
sekali. Agaknya ramai yang hendak mengaku anak cucu Raja Suran. Hollywood pun
boleh buat filem ni, ala-ala Indiana Jones ke, National Treasure ke.
Kesimpulannya
pada aku… sesuatu yang sangat berharga sudah hilang, hilang yang tak akan
kembali lagi… kecualilah puak-puak penjajah Inggeris dah berjaya salin apa yang
mereka mahu daripada batu itu dan dibawa pulang ke negera mereka dalam bentuk
tulisan di atas kertas, disembunyikan daripada pengetahuan dunia hingga
sekarang. Maksudnya slalinan tulisan asal itu masih ada hari ini, sebagaimana
harapan Raja Suran agar ia kekal hingga kiamat. Yang lebih penting ialah maklumatnya, bukan batunya. Tak
mustahil juga Raffles, Coleman dan yang sewaktu dengan mereka dah angkut habis
harta-harta itu semua. Dan pelbagai lagilah andaian dan teori.
Setakat ini
sahajalah tulisanku yang sambil-sambil memenuhi masa rehatku. Wallahua’alam.
Abu
Zulfiqar
3 Jun
2015
No comments:
Post a Comment