... LAMAN UTAMA ............... TENTANG LAMAN INI ............... TENTANG PENGARANG ............... BLOG PERIBADI ...
Kajian dan pemerhatian ringkas tentang Al-Quran, As-Sunnah (hadis), agama-agama dunia, kitab-kitab suci pelbagai agama, manuskrip-manskrip kuno, alam semesta (bumi dan angkasa lepas), ilmu perbandingan agama, sejarah, peristiwa-peristiwa akhir zaman, kiamat, alam akhirat, alam ghaib, sains, astronomi (falak) dan lain-lain ilmu alam.
Saturday, September 12, 2015
Video - Kuliah Khatam Kitab Tauhid
https://www.youtube.com/watch?v=zKyBw-KDiaI
Kuliah majlis khatam Kitab Tauhid (kitab ke-2 daripada 40 kitab dalam kitab besar Ihya' 'Ulumuddin karya Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali).
Wednesday, June 03, 2015
Batu Bersurat Singapura
Dengan
kuasa Allah, pada suatu hari aku terjumpa semula buku Hikayat Abdullah oleh Abdullah
bin Abdul Kadiri Munshi (Munsyi Abdullah) di rumahku semasa mengemas rumah,
terbitan Pustaka Antara tahun 1965.
Pada
mukasurat 195, aku terjumpa cerita di bawah :
“Maka
pada masa itu didapat orang di hujung tanjung itu ada sebuah batu berhampar dalam
semak-semak itu serta dengan licinnya, ada kira-kira sedepa lebarnya, empat
persegi, maka semuanya penuh dengan tulisan dipahat, akan tetapi sungguhpun ada
tulisannya itu, tidaklah dapat dibaca orang, kerana kerana sudah bekas haus
dimakan air, entah beberapa ribu tahun, Allah yang tahu.”
Latar
belakang cerita ini ialah tokoh penjajah Stamford Raffles dan William Farquhar
sedang melaksanakan projek meluaskan kawasan di Singapura sekitar bulan Jun 1819.
Dalam masa 3-4 bulan, mereka berjaya meratakan sebuah bukit. Ketika itulah
dijumpai sebuah batu bersurat. Sebelum ini aku belum tahu pun tentang Batu
Bersurat Singapura ini.
Antara
maklumat penting yang aku faham daripada petikan di atas tadi ialah lebar batu
itu lebih kurang satu depa. Bentuknya empat persegi. Tulisannya sudah tidak
boleh dibaca kerana hakisan alam.
Aku
terfikir, mungkin usia batu ini adalah lebih lama berbanding Batu Bersurat
Terengganu. Hal ini kerana Batu Bersurat Terengganu (disiapkan pada 1303 M) yang
tenggelam dalam banjir dan dijadikan batu lapik kaki yang dipijak-pijak orang
untuk naik ke surau itu pun masih tertera dengan baik tulisannya. Bahkan Batu
Bersurat Muara Kanam, Kalimantan (abad ke-5 M), Kedukan Bukit, Palembang (683 M),
Talang Tuwo, Palembang (684 M), Kota Kapur, Pulau Bangka (686 M), Karang Brahi,
Jambi (686 M) dan Gandasuli, Jawa (832 M) pun masih boleh dibaca tulisannya.
Tapi tak tahulah kalau air laut yang masin menjadikan hakisannya sebegitu
pantas sehingga hilang tulisan padanya.
Munsyi
Abdullah juga menyatakan agakan peribadinya tentang usia batu itu yang mungkin
mencapai ribuan tahun. Hal ini memang menarik perhatianku. Manalah tahukan,
mungkin batu bersurat itulah yang paling awal di Nusantara.
Seterusnya
dalam Hikayat Abdullah diceritakan oleh pengarangnya bahawa ramai orang dari
pelbagai bangsa datang mengerumuni batu tersebut. Orang Hindu kata batu itu
bertulisan Hindu, orang China pula kata tulisan China, tapi masing-masing tidak
dapat membaca tulisannya. Munsyi Abdullah pula melihatnya seakan-akan huruf
Arab.
Pelbagai
kaedah digunakan oleh segala cerdik pandai untuk mengenal pasti jenis tulisan
dan membacanya tetapi tidak ada sesiapa pun yang berjaya.
Akhirnya
Raffles yang memang minat dan mahir dengan sejarah Nusantara itu berpendapat
tulisan itu ialah tulisan Hindu (mungkin dia maksudkan tulisan Sanskrit),
dengan alasan : “Bangsa itulah bangsa yang tua daripada bangsa-bangsa yang
telah datang ke bawah angin ini.” Pandangan Raffles ini menunjukkan dia
juga percaya bahawa Batu Bersurat Singapura ini sangat lama usianya, lebih
daripada batu-batu bersurat yang diketahui pada zaman itu di Nusantara ini.
Namun sampai ke sudah, tidak ada sesiapa pun yang mampu mengenal apatah lagi
membaca tulisan pada batu itu.
Masa
berlalu, pada zaman Coleman jadi engineer di Singapura, dia telah
memecahkan batu itu, diletupkannya. Entah apa penyakitnya Si Coleman ini,
sampaikan barang yang sangat berharga itu dimusnahkannya begitu sahaja. Munsyi
Abdullah sangat menyesali perbuatan Coleman itu.
Hmmm…
apa punya sawan Si Coleman ni? Mungkinkah dia khuatir kalau-kalau sesuatu
rahsia daripada batu itu terhurai pada kemudian hari? Ataupun rahsia pada batu
itu sudah diketahui lalu mesti dikuburkan atas sebab-sebab tertentu? Ataupun
boleh jadi juga dia terlalu stress kerana gagal menghuraikan batu itu lalu naik
syeikh dan menghancurkannya? Sebab-sebab lain? Entahlah. Wallahua’alam.
Perkara
ini membuatkan aku pun menyelongkarlah koleksi buku-buku di rumahku dan meronda
ke serata ruang maya internet.
Dalam
buku Sejarah Melayu susunan Tun Sri Lanang, versi selenggaraan WG Shellabear
terbitan Penerbit Fajar Bakti cetakan kedua 1977, ada sebuah cerita…….
“Maka
titah Raja Suran pada hakim dan utas, “Hendaklah kamu sekalian perbuatkan aku
alamat tanda kita masuk ke dalam laut ini. Akan kehendak hatiku biarlah kekal perbuatan
itu hingga hari kiamat, dan kamu suratkan segala hikayat kita masuk ke dalam
laut, supaya diketahui dan didengarnya oleh segala anak cucu kita yang
kemudian.”
“Setelah
segala hakim dan utas mendengar titah Raja Suran itu, maka diambil oleh mereka
itu suatu batu, maka disuratnya oleh mereka dengan bahasa Hindustan.”
Inilah
kisah Raja Suran yang pernah menyerang dan menakluk Semenanjung Tanah Melayu
apabila mengalahkan kerajaan Gangga Negara dan Ganggayu. Setelah tidak ada lagi
kerajaan yang mahu dilanggarnya, Raja Suran bercadang menyerang negara China.
Muslihat Maharaja China berjaya membuatkan Raja Suran membatalkan rancangannya.
Oleh kerana tidak ada apa lagi yang mahu dicapai di Nusantara ini, Raja Suran
pun masuk ke suatu alam di dalam laut. Panjanglah ceritanya, baca sendirilah.
Selepas
keluar dari dalam laut, Raja Suran memerintahkan agar dibuat batu bersurat yang
menceritakan tentang dirinya khususnya pengalamannya masuk ke alam di dalam
laut.
Berdasarkan
maklumat ini, tidak mustahil Batu Bersurat Singapura itulah batu bersurat Raja
Suran! Jika benar, maksudnya batu itu sudah sangat lama kerana zaman Raja Suran
ini pun masih diperselisihkan orang. Kini serpihan kecil batu bersurat ini ada
di Muzium Singapura.
Belum
habis lag! Dalam Sejarah Melayu terdapat pula kisah Badang, orang gagah
Singapura. Suatu ketika Badang dicabar oleh orang gagah dari India. Mereka
berlawan gusti. Badang menang.
Kemudian,
di hadapan balairong ada sebuah batu yang dikatakan “terlalu besar”. Orang kuat
India yang bernama Nadi Bijaya Pikrama itu mencabar Badang bertanding
mengangkat batu besar itu. Nadi Bijaya Pikrama berjaya mengangkat batu itu
separas lutut sahaja. Badang pula?
“Maka
oleh Badang diangkatnya batu itu lalu dilambungnya, dilontarkannya ke sungai
Kuala Singapura; itulah batunya yang ada sekarang di hujung Tanjung Singapura
itu.”
Kita
imbas balik… para pekerja Raffles menemui batu bersurat di hujung tanjung di
Singapura. Badang pula beberapa zaman sebelum itu melontarkan sebuah batu besar
ke hujung Tanjung Singapura. Ada kaitankah rasanya?
Tapi,
kalau benar batu pada zaman Badang itu batu bersurat, apa hal pulalah
pemerintah Singapura buang begitu sahaja batu yang berharga itu? Mungkinkah
kerana mereka tidak perasan? Ataupun oleh kerana tidak tahu membaca tulisan
Sanskrit atau Hind, mereka fikir tak penting sangat maklumat pada batu itu?
Boleh
jadi kedua-dua batu itu adalah batu yang sama, boleh jadi juga batu yang
berlainan. Wallahua’alam. Yang pastinya, jangan kita habiskan banyak masa dalam
hal-hal lagenda, mitos, mistik, hikayat dan yang sewaktu dengannya ini
sampaikan terabai urusan yang lebih penting iaitu dua ilmu jalan ke akhirat –
ilmu mukasyafah dan ilmu mu’amalah. Utamakan yang lebih penting berbanding yang
penting-penting. Jangan jadi sebaliknya.
Sekarang
tibalah ke bahagian yang mungkin sangat ditunggu-tunggu oleh sebahagian orang.
Selepas
batu bersurat itu siap, Raja Suran melakukan hel berikut :
“Setelah
segala hakim dan utas mendengar titah Raja Suran itu, maka diambil oleh mereka
itu suatu batu, maka disuratnya oleh mereka dengan bahasa Hindustan. Setelah
sudah disurat mereka, maka oleh Raja Suran diambilnya beberapa harta emas dan
perak dan permata ratna mutu manikam dan segala mata benda yang ajaib-ajaib,
maka ditaruhnya sama-sama batu surat itu.”
“Maka
titah Raja Suran : “Pada akhir zaman kelak ada seorang raja daripada anak
cucuku, ialah yang beroleh harta ini, dan raja itulah yang menaklukkan segala
negeri yang di bawah angin ini.”
Sudah
ditemuikah harta Raja Suran ini? Pencari harta karun atau geng tarik harta memang
minat cerita-cerita macam ni, sampaikan makhluk-makhluk ghaib pun terlibat
sekali. Agaknya ramai yang hendak mengaku anak cucu Raja Suran. Hollywood pun
boleh buat filem ni, ala-ala Indiana Jones ke, National Treasure ke.
Kesimpulannya
pada aku… sesuatu yang sangat berharga sudah hilang, hilang yang tak akan
kembali lagi… kecualilah puak-puak penjajah Inggeris dah berjaya salin apa yang
mereka mahu daripada batu itu dan dibawa pulang ke negera mereka dalam bentuk
tulisan di atas kertas, disembunyikan daripada pengetahuan dunia hingga
sekarang. Maksudnya slalinan tulisan asal itu masih ada hari ini, sebagaimana
harapan Raja Suran agar ia kekal hingga kiamat. Yang lebih penting ialah maklumatnya, bukan batunya. Tak
mustahil juga Raffles, Coleman dan yang sewaktu dengan mereka dah angkut habis
harta-harta itu semua. Dan pelbagai lagilah andaian dan teori.
Setakat ini
sahajalah tulisanku yang sambil-sambil memenuhi masa rehatku. Wallahua’alam.
Abu
Zulfiqar
3 Jun
2015
Sentuhan Hakikat & Makrifat dalam Al-Hikam Al-Ghazali
3.
Pengetahuan menuju ke
akhirat itu terbahagi kepada ilmu mu'amalah dan ilmu mukasyafah.
Dan ilmu mu'amalah itu
adalah jalan kepada ilmu mukasyafah.
Adapun ilmu mukasyafah,
mereka (para nabi) tidak memperkatakannya selain dengan jalan rumus dan
isyarat, yang berupa contoh dan kesimpulan. Kerana para nabi itu tahu akan
singkatnya pemahaman orang ramai untuk memikulnya.
4.
Ilmu mu'amalah itu
terbahagi kepada ilmu zahir dan ilmu batin.
Ilmu zahir ialah ilmu tentang amal perbuatan anggota badan.
Ilmu batin ialah ilmu tentang amal perbuatan hati.
Ilmu zahir ialah ilmu tentang amal perbuatan anggota badan.
Ilmu batin ialah ilmu tentang amal perbuatan hati.
14.
Wara’ itu mempunyai 4 tingkat :
Wara’ tingkat pertama (wara’ orang awam).
Wara’ para solihin.
Wara’ para muttaqin.
Wara’ para siddiqin (peringkat tertinggi).
15.
Ilmu mukasyafah itu ialah ilmu batin. Dan itulah kesudahan segala ilmu.
Telah berkata sebahagian ‘ariffin : “Orang yang tidak mempunyai bahagian
daripada ilmu mukasyafah ini, aku khuatir akan buruk kesudahannya.
Sekurang-kurangnya ialah membenarkan ilmu itu dan tunduk kepada ahlinya.”
16.
Kami maksudkan dengan ilmu mukasyafah itu ialah terangkat hijab yang
menutupi sehingga jelaslah kenyataan kebenaran Allah pada semuanya itu dengan
sejelas-jelasnya, laksana mata memandang, yang tidak diragukan lagi.
17.
Ulama zahir itu hiasan bumi dan kerajaan.
Ulama batin itu hiasan langit dan alam malakut.
18.
Adapun mengenal Allah Ta’ala, sifat dan af’alNya serta sekalian yang
telah kami isyaratkan dalam ilmu mukasyafah, maka tidaklah diperoleh dari ilmu
kalam. Malahan hampir sahaja ilmu kalam itu menjadi hijab dan penghalang.
19.
Tauhid mempunyai dua kulit.
Kulit pertama - mengucapkan Laa Ilaahaillallaah.
Kulit kedua – hati tidak berlawanan dengan ucapan tadi.
Manakala isi tauhid – melihat seluruh keadaan daripada Allah Ta’ala
dengan tidak menoleh kepada perantaraan. Dan beribadah kepadaNya dengan ibadah
yang tunggal kepadaNya. Tidak ia beribadah kepada yang lain.
21.
Seorang yang bertauhid, dia tidak melihat melainkan Yang Esa dan tidak
menghadapkan wajahnya melainkan kepada Yang Esa itu.
22.
Adapun ilmu yang terpuji setinggi-tingginya ialah ilmu tentang Allah
Ta’ala, sifatNya, af’alNya, sunnahNya dalam menjadikan makhlukNya dan hikmahNya
pada tertibnya akhirat di atas dunia.
23.
Ilmu (tasawuf peringkat tinggi) itu adalah laut yang tak diketahui
dalamnya. Para perenang hanya dapat merenangi pantai dan tepinya sahaja,
sekadar yang mungkin ditempuhnya. Tidak dapat menempuh segala tepinya selain
para nabi, wali dan para ahli menurut tingkat masing-masing, yang berbeza
kesanggupan dan berlebih kurang takdir yang dianugerahi Allah Ta’ala.
Itulah ilmu yang tersembunyi, yang tidak ditulis pada halaman kitab.
Yang menolong untuk mengetahuinya ialah dengan jalan belajar dan menyaksikan
perihal keadaan ulama akhirat.
44.
Apabila usia itu biasanya
tidak berkesempatan mempelajari segala ilmu pengetahuan, maka yang lebih utama
diambil, iaitu yang lebih baik daripada segala pengetahuan itu dan dicukupkan
dengan sekadarnya. Lalu dikumpulkan seluruh kekuatan dari pengetahuan tadi
untuk menyempurnakan suatu pengetahuan yang termulia dari segala macam ilmu
pengetahuan, iaitu ilmu akhirat.
Yang aku maksudkan dengan
ilmu akhirat ialah dua jenis iaitu ilmu mu’amalah dan ilmu mukasyafah.
Tujuan ilmu mu’amalah
ialah ilmu mukasyafah. Dan tujuan ilmu mukasyafah ialah mengenal Allah Ta’ala.
45.
Ilmu yang paling mulia dan
matlamat yang paling utama ialah mengenal Allah Ta’ala. Itulah lautan yang
dalamnya tidak dapat diduga. Tingkat yang tertinggi untuk itu dari manusia
ialah tingkat para nabi, kemudian para wali, kemudian orang-orang yang
mengikuti mereka.
48.
Yang paling mulia ialah
ilmu tentang Allah ‘Azza wa Jalla, tentang para malaikatNYa, tentang
kitab-kitabNYa, tentang rasul-rasulNya, dan ilmu tentang jalan yang
menyampaikan kepada yang demikian. Berwaspadalah agar kegemaran tidak
ditumpahkan kepada selain ilmu-ilmu tadi, dan bersungguh-sungguhlah
mempelajarinya.
50.
Kebahagiaan adalah di
belakang ilmu mukasyafah. Dan ilmu mukasyafah adalah di belakang ilmu
mu’amalah.
51.
Yang berjalan kepada Allah
untuk mencapai dekatNya adalah hati, bukan badan. Bukanlah maksudku dengan hati
itu daging yang boleh dilihat, tetapi adalah suatu rahsia daripada rahsia Allah
‘Azza wa Jalla yang tidak diketahui oleh pancaindera. Sesuatu yang halus
daripada segala yang halus kepunyaan Allah. Sesekali disebut dengan perkataan
“ruh”, sesekali dengan perkataan “an-nafs al-mutmainnah (jiwa yang tenteram)”.
Agama menyebutnya sebagai “al-qalb”
(hati) kerana hatilah kenderaan pertama bagi rahsia itu. Dan dengan perantaraan
hatilah maka seluruh badan menjadi kenderaan dan alat kenderaan untuk tubuh
halus itu.
Menyingkap tabir sir itu
adalah sebahagian daripada ilmu mukasyafah – payah diperolehi bahkan tidak
mudah menerangkannya.
52.
Seluruh makhluk
dihubungkan kepada Tuhan, tetapi hubungan ruh (al-qalb) kepadaNya adalah lebih
mulia daripada hubungan seluruh anggota badan yang lain. Kepunyaan Allah
seluruh makhluk dan ruh. Ruh lebih tinggi daripada makhluk lain.
Zat yang sangat bernilai
itu yang membawa amanah Allah, suatu tugas yang pernah ditawarkan kepada
langit, bumi dan bukit tetapi enggan menerimanya dan takut kepada zat yang
bernilai itu.
Dan janganlah difahamkan
dari hal tersebut sekaan-akan dibayangkan dengan qadimnya zat itu. Orang yang
mengatakan qadimnya ruh adalah tertipu dan bodoh, tidak mengerti apa yang harus
dikatakannya.
53
Tubuh halus itulah yang
berusaha mendekati Tuhan kerana dia daripada urusan Tuhan. Dari Tuhan sumbernya
dan kepada Tuhan kembalinya.
Adapun tubuh badan adalah
kenderaan tubuh halus itu, yang dikenderainya dan diusahakannya sesuatu dengan
perantaraannya.
61.
Al-abrar (orang-orang
baik) adalah kuburan ilmu al-asrar (ilmu yang tinggi-tinggi). Oleh itu, tidak
wajarlah bagi seseorang yang berilmu menyiarkan seluruh ilmu pengetahuannya
kepada orang.
62.
Tidaklah kurang zalimnya
antara memberikan kepada yang tidak berhak dengan tidak memberikan kepada yang
berhak.
81.
Tidak ada yang maujud
selain Dia. Yang lain itu ada dengan perbuatanNya, yang melimpah daripada
keadilanNya dengan bentuk yang sebaik-baiknya, sesempurna-sempurnanya dan
seadil-adilnya.
Dia Maha Bijaksana dalam
segala perbuatanNya, Maha Adil dalam segala hukumNya. Tidak dapatlah
dibandingkan keadilanNya dengan keadilan hambaNya. Kerana hamba itu tergambar
daripadanya kezaliman dalam mengurus hak milik orang lain, Dan tidak tergambar
kezaliman daripada Allah Taala kerana tidak dijumpai milik bagi yang lain
daripada Allah, sehingga ada pengurusanNya itu zalim.
85.
Sesungguhnya hakikat ruh
itu adalah antara yang menumpulkan pemahaman daripada mengetahuinya, dan
menyingkatkan sangka waham daripada menggambarkan keadaan hakikatnya.
86.
Dia yang menjadikan
makhluk, yang membuatnya dan yang mengadakan qudrah dan gerak bagi makhluk itu.
Maka sekelian af’al hamba-Nya adalah makhluk-Nya dan bergantung dengan
qudrahNya.
87.
Allah sendirilah yang Maha
Suci, menjadikan segala gerak hamba-Nya, yang tidak dikeluarkan-Nya gerak-geri
itu dari kekuasaan hamba-Nya sendiri atas jalan usaha. Tetapi Allah Ta’ala yang
menjadikan qudrah hamba dan yang dikuasainya. Dialah yang menjadikan usaha dan
yang diusahakan.
88.
Pekerjaan hamba meskipun
merupakan usaha hamba sendiri, tetapi tidaklah keluar dari adanya dengan
kehendak Allah SWT. Maka tidaklah berlaku di alam nyata (alam al-mulki) dan
alam yang tidak nyata (alam al-malakuT) suatu kerlingan mata, suatu lintasan
hati dan sejenak pandangan orang yang memandang melainkan dengan qadha, qudrah,
iradah dan kehendakNya.
89.
DaripadaNyalah buruk dan baik,
bermanfaat dan melarat, Islam dan kufur, mengakui dan mengengkari, kemenangan
dan kerugian, kesesatan dan petunjuk, taat dan maksiat, syirik dan iman. Tidak
ada yang menentang bagi hukumNya. DisesatkanNYa sesiapa yang dikehendakiNya dan
ditunjukkanNya sesiapa yang dikehendakiNya.
90.
Bahawa jaiz (tidak wajib
dan tidak mustahil) bagi Allah untuk memikulkan (mentaklifkan) atas makhluk apa
yang tidak disanggupinya. Hal ini bertentangan dengan pandangan Mu’tazilah.
91.
Bahawa bagi Allah Ta’ala
menyakitkan dan mengazabkan makhlukNya tanpa ada dosa yang terdahulu dan tanpa
ada pahala yang akan datang. Bertentangan dengan pandangan Mu’tazilah.
92.
Mengenal (ma’rifah) akan
Allah Tala dan berbuat taat kepadaNya adalah wajib.
95.
Alangkah banyaknya
perbezaan setelah mengetahui sempadan antara rasa biasa dan kenyang.
99.
Sesungguhnya bukan aku
yang menggerakkan tetapi Dia yang menggerakkan aku. Bukan aku yang berusaha
tetapi Dia yang memperalatkan aku.
100.
Jika rahsia itu
dikeluarkan, hanya orang-orang jahil sahaja yang akan menafikannya. Walau
seramai manapun orang-orang jahil itu, rahsia-rahsia itu mestilah dipelihara
dan jangan biar dinodai oleh ornag-orang yang berdusta.
101.
Aku tidak teragak-agak
membawa saudara menuju hakikat yang mulia dan suci itu kerana kesalahan
menyembunyikan ilmu daripada orang-orang yang menghendakinya samalah dengan
kesalahan mengeluarkan ilmu kepada orang-orang yang mensia-siakannya.
102.
Cahaya hakiki ialah Allah.
Selain itu, nama “cahaya” hanyalah perumpamaan yang tidak membawa maksud
sebenar.
108.
Alam ghaib itu digelar
alam tinggi, alam ruh atau alam nur. Alam nyata ini digelar alam bawah, alam
rendah, alam benda atau alam gelap.
Alam nyata ini adalah satu
daripada kesan-kesan alam tinggi itu. Alam nyata ini adalah keluaran atau
terbitan dari alam ghaib itu.
109.
Peringkat-peringkat cahaya
ini bukanlah naik ke atas tanpa had. Had atau peringkat muktamadnya ialah
cahaya yang bercahaya dengan sendirinya. Cahaya tidak didatangkan dari punca
yang lain, bahkan cahaya itulah yang mengeluarkan cahaya kepada yang lain,
menurut susunan dan peringkat masing-masing.
110.
Wujud hakiki ialah Allah
SWT dan cahaya hakiki juga ialah Allah SWT.
111.
Setiap sesuatu mempunyai
dua wajah – wajahnya dan Wajah Allah. Wajahnya itu tidak ada apa-apa, tetapi
Wajah Allah itulah yang sebenar wujud. Dengan itu, tidak ada Yang Wujud kecuali
Allah. Segala yang lain adalah binasa dan hancur lebur melainkan Allah yang
Kekal Sentiasa.
112.
Allah itu Nur (cahaya),
dan selain Dia tidak ada cahaya. Setiap cahaya dalah Dia dan cahaya keseluruhan
adalah Dia juga.
113.
Golongan pertama – mereka
melihat Allah terus.
Golongan kedua – mereka
melihat Allah melalui perbuatan-perbuatan atau kerja-kerjaNya.
Golongan pertama itu
aulia’ Allah.
Golongan kedua itu
orang-orang arif yang telah yakin dalam ilmunya.
Selain dua golongan itu
tidak lain hanyalah orang-orang yang lalai, di hadapan mereka ada hijab.
114.
Cahaya biasa itu boleh
hilang apabila matahari terbenam, dan datanglah gelap yang menjadi hijab.
Tetapi cahaya keTuhanan
itu tidak boleh hilang. Cahaya itu mesti ada untuk membolehkan penglihatan.
Mataharinya tidak pernah terbenam. Ia kekal selamanya dengan semua perkara.
115.
Mungkin mereka memahami
bahawa Allah itu ada pada setiap tempat. Maha Suci dan Maha Tinggi Allah
dikaitkan dengan tempat.
116.
3 kategori besar golongan
yang terhijab :
Mereka yang terhijab
dengan kegelapan.
Mereka yang terhijab
dengan campuran antara cahaya dan kegelapan.
Mereka yang terhijab
dengan cahaya.
117.
Memang sudah menjadi adat
bahawa orang jahil memang selalu mengengkari.
118.
Orang yang mempunyai ilmu
tauhid ini adalah yang paling utama antara ulama.
119.
Allah menjadikan manusia
terdiri daripada dua keadaan yang berbeza :
Jisim yang gelap, tebal,
termasuk di bawah kejadian dan kebinasaan, yang tersusun, bersifat ketanahan,
yang tidak dapat melaksanakan urusannya melainkan dengan yang lain.
Jiwa jauhari yang tunggal,
bercahaya, mencapai, bertindak serta menggerakkan dan menyempurnakan alat-alat
dan jisim-jisim.
120.
Oleh kerana ruh itu adalah
urusan Allah Ta’ala, maka keberadaan ruh itu dalam badan adalah sebagai orang
dagang. Wajahnya mengarah kepada asalnya dan tempat datangnya.
126.
Kimia kebahagiaan terdiri
daripada empat elemen iaitu :
Mengenal diri
Mengenal Allah
Mengenal dunia
Mengenal akhirat
127.
Tidak ada yang lebih dekat
kepada kamu melainkan diri kamu sendiri. Jika kamu tidak mengetahui dirimu
sendiri, bagaimana kamu dapat mengetahui yang lain?
128.
Ketahuilah, ada 3 sifat
yang bersemayam di dalam dirimu iaitu :
Sifat haiwan
Sifat syaitan
Sifat malaikat
129.
Pancaindera manusia
bagaikan lima pintu yang terbuka menghadap dunia luar. Namun yang paling
menakjubkan daripada semua ini ialah hatinya yang memiliki jendela terbuka ke
dunia ruh yang ghaib.
130.
Sangat sesuai jika manusia
disebut alam as-saghir.
Subscribe to:
Posts (Atom)