*Sambungan dari Soal Jawab Yahudi Baik, Sembelihan Ahli Kitab
GP BERTANYA:
'Baik yang saya maksudkan di sini' maknanya tidak memusuhi Islam..dan masih menyembah Allah. Sebab ada student saya yang mengaku dia keturunan Yahudi. Sedangkan Yahudi yang digembar gemburkan sekarang ni semuanya macam memusuhi Islam. Saya nak tahu apa maksud cerita versi Israeliyat.
Zina itu haram. Pekerjaan pelacur itu juga umpama zina. Jadi ada satu kisah yang selalu kita dengar dan baca..tentang seorang pelacur yang masuk syurga disebabkan dia beri minum seekor anjing. cerita ni dipertikaikan oleh student saya..seolah-olah takpe jadi pelacur..asalkan ada sifat ihsan dengan haiwan boleh masuk syurga. Jadi saya nak tahu cerita tu dalam Islam wujud ke..atau cerita tu direka-reka oleh musuh Islam untuk mengelirukan orang Islam. Terima kasih kerana membalas mesej saya.
JAWAPAN:
Oh begitu. Memang ada orang Yahudi yang tidak memusuhi Islam, tetapi bilangannya sangatlah kecil.
Tentang menyembah Allah, banyak juga orang Yahudi yang masih menyembah Allah (walaupun mereka menyebutnya dengan nama lain seperti Yehovah, Yahweh, Eloah dan lain-lain) kerana umumnya mereka tidak menyembah berhala ataupun tuhan-tuhan lain. Masalahnya, mereka menolak Nabi Muhammad dan syariatnya.
Cerita Israiliyyat ialah kisah-kisah yang diriwayatkan (didengar/dibaca) oleh orang-orang Islam dari orang-orang Yahudi pada zaman dahulu. Cerita Israiliyyat ini kita percahkan kepada 3 jenis:
1. Yang boleh dipercayai
2. Yang tidak boleh dipercayai
3. Yang ‘didiamkan’ kerana tidak tahu sama ada kisah itu benar ataupun tidak.
Cerita-cerita Israiliyyat ini banyak terdapat dalam kitab-kitab ulama terdahulu terutamanya yang berkaitan dengan sejarah.
Tentang kisah pelacur yang diampunkan itu, memang ada hadith sahih riwayat Imam Bukhari dan riwayat Imam Muslim. Maksudnya kisah itu benar.
“Sesungguhnya seorang wanita pelacur melihat seekor anjing sedang mengelilingi sebuah perigi pada hari yang sangat panas. Anjing itu berusaha menjelirkan lidahnya kerana kehausan. Beliau kemudian menggunakan kasutnya yang diperbuat daripada kulit iaitu khuf untuk mengambil air telaga tersebut sehingga anjing tadi dapat minum. Oleh kerana perbuatannya itu, dosa wanita tersebut diampunkan.” (Muslim ).
“Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir-hampir kehausan membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu diikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu.” (Bukhari).
Namun begitu, sefaham saya kisah itu berlaku sebelum zaman Nabi Muhammad saw. Syariat pada zaman itu tentunya ada perbezaan dengan syariat pada zaman Rasulullah. Itu satu hal.
Hal kedua, kisah itu sebenarnya kes terpencil dan hanya berlaku kepada wanita itu sahaja. Namun tidak kita nafikan, Allah boleh mengampunkan sesiapa sahaja yang Dia mahu. Kalau kita perhatikan betul-betul, cerita itu disampaikan setakat itu sahaja. Tidak pula disambung oleh Nabi Muhammad seperti katanya (sebagai contoh) : “Maka setiap wanita pelacur yang menjamu makan dan minum kepada akan diampunkan dosanya sebagaimana wanita itu.” Tidak ada. Cerita itu betul-betul tentang SEORANG wanita pelacur zaman dahulu sahaja.
Maka kes terpencil seperti ini tidak boleh dipakai untuk membenarkan kerja-kerja pelacuran. Jika tidak, pada setiap pagi/ petang akan kelihatanlah ribuan pelacur di kota raya memberi makanan kepada haiwan-haiwan yang berkeliaran, dengan harapan dosa mereka diampunkan. Jika benar begitu, tentunya sejak zaman Nabi dan zaman sahabat lagi pekerjaan sebagai pelacur dalam kalangan orang Islam sudah meriah. Kita sedia maklum, keadaan seperti itu tidak berlaku.
Ketiga – Kita ambil satu contoh kes terpencil dalam Al Quran. Ketika Nabi Musa pergi bermunajat kepada Tuhan selama 40 hari, ada seorang bernama Samiri menjadi pencetus kesesatan kaum Bani Israil kerana dia menyebabkan sebahagian kaum Bani Israil menyembah patung lembu.
Sekembalinya Nabi Musa, kaum Bani Israil yang menyembah lembu itu dihukum tetapi pemimpin mereka iaitu Samiri hanya diusir. Bukankah sepatutnya dia yang lebih utama untuk dihukum?
Banyak kes terpencil yang berlaku khusus untuk seseorang, tetapi umumnya tidak boleh dihukumkan kepada orang lain, ataupun ditiru oleh orang lain. Antaranya perbuatan Khalid al-Walid sengaja meminum racun selepas dicabar oleh musuh Islam, Tok Kenali sengaja membiarkan kudis di kakinya, Imam Al-Ghazali berkelana selama 11 tahun meninggalkan keluarganya, Nabi Khidhir membunuh seorang kanak-kanak walaupun perbuatan dosa kanak-kanak itu belum dilakukan lagi dan lain-lain.
Keempat. Cerita itu terlalu umum. Kita tidak tahu sebab musabab wanita itu melacurkan dirinya.
Mengikut syariat Nabi Muhammad, wanita pelacur tetap dikenakan hukum hudud.
WaAllahua’lam.
Abu Zulfiqar
23 JUN 2011
No comments:
Post a Comment