Kajian dan pemerhatian ringkas tentang Al-Quran, As-Sunnah (hadis), agama-agama dunia, kitab-kitab suci pelbagai agama, manuskrip-manskrip kuno, alam semesta (bumi dan angkasa lepas), ilmu perbandingan agama, sejarah, peristiwa-peristiwa akhir zaman, kiamat, alam akhirat, alam ghaib, sains, astronomi (falak) dan lain-lain ilmu alam.

Tuesday, March 23, 2021

Bahasa yang Digunakan oleh Jesus Pula

 Artikel ini merupakan sambungan daripada tulisan pertama yang bertajuk "Nabi Isa Menggunakan Bahasa Apa?" di blog saya Debunga Teratai Syurgawi. Kali ini kita cuba lihat dari sudut sumber-sumber agama Kristian.


Terlebih dahulu, secara ringkasnya Jesus menggunakan bahasa Aram (Aramaic/Aramiyah) sebagai bahasa utamanya kerana itulah bahasa utama orang-orang di Palestin dan sekitarnya pada zaman itu, dan tentunya Jesus berdakwah kepada kaumnya dalam bahasa yang mereka fahami. Selain itu Jesus juga mahir berbahasa Ibrani kerana itulah bahasa dokumen-dokumen lama agama Yahudi, umumnya difahami oleh para pendeta Yahudi dan bahasa ritual agama tersebut. Selain itu Jesus juga mungkin sekali berkebolehan berbahasa Yunani (Greek) kerana itulah bahasa pemerintahan, akademik dan perdagangan ketika itu.


Apakah bukti Jesus menggunakan bahasa Aram sebagai bahasa utama dan itulah bahasa kitab Injil yang diturunkan kepadanya? Bukankah manuskrip2 awal New Testament (Perjanjian Baru) umumnya dalam bahasa Yunani (Greek)?


i. Seperti yang dijelaskan dalam artikel pertama, bahawa kitab Injil diturunkan dalam bahasa Aram.


ii. Dalam Perjanjian Baru berbahasa Yunani itu, banyak nama-nama dalam bahasa Aram digunakan seperti Abba, Barnabas, Barabas, Bartolomeus, Getsemani, Golgota, Maranata dan sebagainya. Nama-nama ini tidak mengikut sebutan dalam bahasa Yunani. Di sini kita boleh simpulkan bahawa Perjanjian Baru berbahasa Yunani itu hanyalah terjemahan atau sebenarnya lebih kepada diceritakan kembali sahaja daripada kitab Injil asal dalam bahasa Aram.


iii. Dalam Perjanjian Baru terutamanya dalam Injil Markus (Gospel of Mark), bahagian yang berisi kata-kata Jesus ada kalanya dikekalkan dalam bahasa asalnya iaitu bahasa Aram. Jelaslah bahawa Jesus memang menjadikan bahasa Aram sebagai bahasa ibundanya dan kitab Injil yang asal diturunkan dalam bahasa ini.


Contoh kata-kata Jesus dalam bahasa Aram dalam Perjanjian Baru :


"Talita kum!" (Mark 5:41) yang bererti "Wahai anak, bangunlahI"


"Efata!" (Mark : 7:34) yang bererti "Terbukalah!"


"Eloi! Eloi! Lama sabakhtani?" (Mark 15:34) yang bererti "Ilahi (Tuhanku/Ilahku)! Ilahi! Mengapa Engkau meninggalkan aku?" (Mark : 15:34)


Perkataan-perkataan lain diterjemah tetapi ada perkataan-perkataan Jesus yang dikekalkan tanpa diterjemahkan. Hal ini lebih menguatkan hujah-hujah kita.


iv. Ada pengkaji Kristian yang berpandangan bahawa Injil Matius (Gospel of Matthew) sebenarnya ditlis dalam bahasa Aram.


Mengapa manuskrip-manuskrip awal berkaitan Perjajian Baru umumnya dalam bahasa Yunani?


i. Kerana Inil yang asal dalam bahasa Aram entah ke mana, tidak ditemui.


ii. Selepas Jesus diangkat ke langit, kuasa Yunani-Rom dan bahasa mereka menaungi kawasan Palestin. Kepenggunaan bahasa Aram semakin menurun lalu terganti dengan bahasa Yunani. Manuskrip-manuskrip terawal Perjanjian Baru yang ditemui kemudiannya datang dari zaman ini. Maksudnya ditulis pada zaman bahasa Yunani menjadi bahasa utama. Maka sudah tentulah ajaran-ajaran Jesus ditulis dalam bahasa utama dan bahasa pemerintah ketika itu iaitu bahasa Yunani. Lebih kurang 4 abad bahasa Yunani menjadi lingua-franca di kawasan tersebut sebelum digantikan oleh bahasa Latin.


Apakah bukti Jesus boleh berbahasa Yunani?


Jesus ada berbicara dengan beberapa orang yang bukan Yahudi. Kemungkinan besar mereka tidak tahu berbahasa Aram dan Jesus tidak tahu bahasa mereka. Jadi, mereka bercakap-cakap menggunakan bahasa apa? Tentunya dalam bahasa rasmi pemerintahan ketika itu lagi bersifat lingua-franca iaitu bahasa Yunani.


Dalam Mark 7:26, Jesus berbicara dengan seorang wanita Yunani berbangsa Siro-Fenisia. Wanita itu mengikut adatnya tidak berbahasa Aram. Jadi perbualan itu tentu berlaku dalam bahasa yang mereka saling memahaminya iaitu bahasa Yunani.


Dalam John 18:33, Jesus bercakap-cakap dengan pembesar yang menguasai negeri Yudea yang bernama Pontias Pilatus. Jesus berbahasa Aram manakala Pontias Pilatus dipercayai berbahasa Latin. Bagaimana mereka bersembang? Kemungkinan sekali mereka menggunakan bahasa utama iaitu bahasa Yunani yang sama-sama difahami.


Dalam Matthew 4:13, Jesus meninggalkan tempat asalnya di Nazareth lalu pergi berdakwah dan tinggal Kapernaum. Kapernaum merupakan tempat yang banyak dikunjungi oleh orang-orang bukan Yahudi yang menggunakan bahasa Yunani. Boleh jadi Jesus selesa ke sana kerana dia boleh berbahasa Yunani.


Kesimpulan


Kesimpulannya, bahasa utama Jesus dan bahasa asal Injil ialah bahasa Aram. Tentunya Jesus juga mahir dalam bahasa Ibrani, dan besar kemungkinannya Jesus juga tahu bahasa Yunani. Wallahua'lam.


Abu Zulfiqar Al-Amsyari

14 Mac 2021

No comments:

Related Posts with Thumbnails