Kajian dan pemerhatian ringkas tentang Al-Quran, As-Sunnah (hadis), agama-agama dunia, kitab-kitab suci pelbagai agama, manuskrip-manskrip kuno, alam semesta (bumi dan angkasa lepas), ilmu perbandingan agama, sejarah, peristiwa-peristiwa akhir zaman, kiamat, alam akhirat, alam ghaib, sains, astronomi (falak) dan lain-lain ilmu alam.

Tuesday, March 27, 2018

Tinggi-tinggi Si Mata Hati (bah. 2)


Di sebuah surau lama di kampung sana, selepas solat fardhu Isya’ berjemaah. Kelihatan beberapa orang hamba Allah sedang duduk di beranda. Ustaz, Arip, Adi Kopi, Abdullah, Ijam, Tok Bilal, Pak Enai, Tok Imam, Aizam dan Cikgu Hisham. Ada juga dua orang anak kecil sedang bermain-main di tangga surau – Adik Li dan Ayi.


SESUDAH SATU PURNAMA

USTAZ : Alhamdulillah. Dapat jugak kita berjumpa lagi sekali Arip.

ARIP : Itulah ustaz. Bulan lepas tu memang kita dah janji nak jumpa selepas solat Subuh. Tapi tengah malam tu, sedang saya dok kumpul maklumat-maklumat, dapat panggilan telefon pulak. Mau tak mau nak kena balik KL waktu tu jugak. Saya mesej kat ustaz kata tak jadi tu pun dah pukul satu lebih dah tu.

USTAZ : Tak mengapa Arip. Yang kita nampak salah satu hikmahnya, Allah bagi kat kita ruang yang lebih luas untuk kita kumpul maklumat dan bersedia.

ARIP : Tepat sekali ustaz! Saya pun dok nampak memang macam tu lah.

USTAZ : Jadi… kita nak mula dari mana ni?


TAK BOLEH SOLAT KALAU TIDAK MENGENAL?

ARIP : Mula-mula kita tengok satu point cantek punya ustaz. Bagaimana dengan pegangan yang mengatakan solat itu HANYA DIWAJIBKAN bagi orang-orang yang SUDAH MA’RIFAT, yang sudah mengenal Allah.

USTAZ : Sekiranya belum kenal atau belum mengenal Allah?

ARIP : Bagi yang BELUM MENGENAL, dia TAK BOLEH SEMBAHYANG, tak boleh solat. Bahkan ada yang kata haram, berdosa kalau solat jugak.

ADI : Eh, pelik pulak aku mendengarnya! Mengapa tak boleh solat pulak?

ARIP : Kerana… kita tak boleh menyembah sesuatu yang kita tidak kenal. Macam mana kita nak tuju kita punya sembahan kalau tak kenal siapa yang kita nak tuju tu? Takut-takut nanti tersalah sembah, tersalah tuju. Alangkah bahayanya kalau tersalah sembah! Mensyirikkan Allah! Menyekutukan Allah!

ADI : Erkk… kalau lagu tu macam mana pulak ustaz?

USTAZ :  (Menarik nafas panjang lalu melepaskannya perlahan-lahan) Dalam hal ni, mula-mula kita mesti sedar… bahawa solat arus perdana tu ARAHAN, bukan pilihan. Arahan pulak arahan berat, BERTARAF FARDHU. Wajib buat. Apabila ia arahan wajib atau arahan mesti buat, ia jadi satu undang-undang atau PERATURAN.

Apabila dah jadi undang-undang dan peraturan mesti, kita tidak ada pilihan melainkan mesti kena buat, tak kira kita ni sudah kenal ke atau belum kenal ke.

ARIP : Tak takut tersalah ke ustaz kalau belum kenal? Ini bukan benda kecil ni ustaz. Melibatkan aqidah tauhid ni.

USTAZ : BUKAN DALAM SEMUA HAL mewajibkan kita mesti kenal dulu baru boleh patuh undang-undang dan peraturan. Dalam hal-hal yang fardhu, wajib, yang mesti, walaupun belum kenal, tetap kena buat.

Contohnya…. sat nak cari contoh……

Abdullah, kamu kenal ketua nombor 1 JPJ dan ketua nombor 1 polis trafik di negara kita ni siapa dia?

ABDULLAH : Eh, tak kenallah saya!

USTAZ : Tok Imam? Kenal tak?

TOK IMAM : Saya lagilah tak ambik tau ustaz oi. Hehe.

USTAZ : Cikgu Hisham?

CIKGU HISHAM : Aaa… yang sebelum ni kenal, tapi yang baru ni tak kenal.

USTAZ : Ok. Oleh kerana kita tak kenal atau belum kenal ketua JPJ dan ketua polis trafik, maka bolehkah kita melanggar undang-undang dan peraturan jalan raya yang dimestikan ke atas semua orang itu?

(Suasana hening sebentar. Masing-masing berfikir)

Kita belum kenal ketua-ketua peraturan jalan raya, jadi… kita bolehlah meninggalkan peraturan yang dimestikan?

Peraturan mengatakan jalan sebelah kanan hanya untuk kenderaan datang dari depan. Bolehkah kita tinggalkan aturan tu lalu kita pandu melawan arus dengan alasan kita belum kenal ketua-ketua peraturan itu?

…………………..

Peraturan mengatakan tidak boleh parking kenderaan di tempat-tempat tertentu. Tiba-tiba kita tinggalkan peraturan tu lalu parking sesuka hati. Kemudian, sewaktu pihak berkuasa kenakan tindakan, dia terima tak hujah kita apabila kita kata kita belum kenal belum ma’rifah lagi akan ketua-ketua mereka?

Orang yang tidak mengerjakan solat kerana dia masih belum belajar, baru masuk Islam, mungkin diterima. Tetapi, jika alasannya kerana belum kenal Tuan Punya Perintah Solat?

Oleh kerana ARAHAN WAJIB, maka kita kenal ke, tak kenal ke, mesti ikut peraturan. Mesti buat, tak boleh tinggal. Jika tak dibuat, yang belum kenal pun kena, yang dah kenal lagilah kena.

………………………

Arip : Boleh ustaz bagi contoh lagi tak? Untuk teguhkan lagi keyakinan. Hati saya belum tenteram dengan contoh tu.

USTAZ : Hmmm….. contoh tentang arahan wajib……….

…………………….

ADI : Ai, lama menung tu ustaz!

USTAZ : Hah… contoh tentang arahan wajib, arahan fardhu, yang tak boleh tidak MESTI KENA BUAT!

Contohnya, katakanlah kamu Adi seorang perisik Korea Utara yang diselinap masuk dan duduk di Korea Selatan. Orang tak tahu yang kamu perisik Korea Utara.

Satu hari, tiba-tiba kamu dapat mesej bertaraf A1, maksudnya bertaraf MESTI KENA BUAT. Arahannya, kamu mesti hantar satu bom kepada seorang jeneral Korea Selatan untuk meletupkannya. Katakanlah namanya Jeneral Kim Soo Hyun, dalam tempoh 48 jam.

Bolehkah kamu meningalkan arahan itu atas alasan kamu tidak kenal Jeneral Kim Soo Hyun?

………………………..

Dalam tempoh 48 jam kalau kamu terbukti tidak berbuat apa-apa untuk mematahi arahan itu, sekejap lagi rasanya sampailah perisik Korea Utara yang lain datang cari kamu, bom kamu, bunuh kamu atau sebagainya. Selalunya lebih kurang begitulah, KERANA ENGKAR ARAHAN WAJIB.

Alasan tidak kenal atau belum kenal, tidak terpakai sekiranya perintah itu bertaraf fardhu, mesti, wajib. Pihak Korea Utara tak mahu tahu kamu kenal ke tidak, yang penting kamu ada usaha patuhi ke tidak, buat ke tidak. Kalau kamu sengaja tak buat, memang akan kena tindakan.

ARIP : Hmmmm… Betul tu memang betul dah ustaz. Tapi… saya masih rasa macam belum puas hati lagilah dengan contoh-contoh tu.

…………………………..

ADI : Maih sini saya try buat contoh ustaz. Boleh dak?

USTAZ : Silakan Adi.

ARIP : Oih, hang ni! Biaq betoi! Tak pa lah. Silakan Adi.

ADI : Katakanlah kita semua ni hidup zaman dulu kala. Konon-kononlah ni. Kita ni dok jauh dari istana, seminggu perjalanan baru sampai. Tak pernah pergi pun. Raja lagilah kita tak pernah tengok, tak pernah kenal.

Tiba-tiba pada suatu hari… jeng je jeng….  datang utusan dari istana. Utusan tu bawa  surat kepada Ustaz, Arip dan saya.

Ustaz diperintahkan MESTI HADIR ke istana dalam masa dua minggu untuk menghadiri satu majlis. Arip pun dapat perintah yang sama. Sementara saya Adi tak diperintah hadir, tetapi boleh hadir jika mau. Bukan untuk jumpa raja, tetapi untuk hadir ke satu majlis penting.

Sampai masanya, Ustaz pun pergilah ke istana, walaupun belum kenal raja, kerana perintah itu bertaraf fardhu atau wajib atau mesti.
Arip pulak… tak pergi, atas alasan dia belum kenal raja, walaupun dia tahu perintah itu bertaraf wajib.
Saya pulak yang memang belum kenal raja, tidak pergi ke istana, kerana perintah ke atas saya hanya bertaraf sunat.

Dalm kes macam ni, ustaz selamat.. sebab tunaikan kefardhuannya, walaupun belum kenal raja.
Saya pun selamat… sebab tak fardhu ke atas saya, walaupun saya belum kenal raja.
Tetapi hang Arip…. siap! Seminggu lepas tu askar-askar raja pun datang, depa tangkap, depa seret hang, sumbat dalam penjara bawah tanah, sebab hang engkar arahan raja yang bertaraf mesti. Gerenti raja murka gila. Penjara tu tamsilan untuk neraka la tu…. walaupun hang belum kenal raja.

Amacam ustaz? Ok tak contoh saya ni?

USTAZ : Contoh yang bagus Adi!

ARIP : Sempoi la hang punya contoh Adi. Memang kena.

(Agak lama juga Arip memandang jauh ke dalam kegelapan malam)

USTAZ : Satu lagi Arip, masuk agama Islam ni benda wajib, mesti. Sewaktu Rasulullah saw berdakwah mengajak orang masuk agama Islam, apabila seseorang tu bersetuju nak masuk, adakah Rasulullah syaratkan agar orang tu kenal Allah dulu, ma’rifatullah dulu? Ada tak Rasulullah tahan, tak bagi orang tu masuk Islam, tapi suruh orang tu belajar sampai ma’rifah dan kenal Allah, lepas tu baru boleh masuk Islam?

ARIP : Tak pernahlah kita dengar macam tu. Tapi, apa kaitannya ustaz?

USTAZ : Islam ini bermaksud MENYERAH, TUNDUK, PATUH. Jadi, apabila seseorang itu masuk agama Islam, bererti dia setuju untuk berserah, tunduk dan patuh kepada Allah. Padahal majoriti orang yang nak masuk Islam ini belum ma’rifah, belum kenal Allah.

Oleh kerana mereka belum ma’rifatullah, mereka hendak berserah kepada siapa? Hendak tunduk kepada siapa? Hendak patuh kepada siapa? Kan mereka belum kenal?

Jika mereka masuk Islam juga, tidakkah nanti akan jadi tersalah tunduk, syirik, dan menyekutukan Allah?

Bukankah sepatutnya Nabi Muhammad saw tahan dulu mereka, jangan bagi masuk Islam lagi, tapi suruh mereka belajar ilmu mengenal Allah terlebih dahulu? Dan selepas dah kenal, barulah boleh masuk Islam.
Tapiengapa Rasulullah terus Islamkan orang itu sekalipun orang itu belum mengenal Allah?

Kalau tidak, seronoklah orang-orang bukan Islam, kerana tuntutan memeluk agama Islam itu tak terkena pada diri mereka, disebabkan mereka belum mengenal.

Dan orang-orang yang sedia Islam pula bebas untuk keluar daripada Islam kerana mereka belum mengenal, maka takut tersalah tunduk.

Kata mereka contohnya : “Kami terpaksa keluar daripada Islam kerana kami belum kenal, takut tersalah tunduk dan berserah. Kami tak tunduk kepada yang kami belum kenal. Kami tak berserah kepada yang kami tak kenal. Nanti apabila kami dah mengenal, barulah kami masuk Islam semula.”

Cuba fikirkan, apa akan berlaku kepada umat Islam seluruh dunia?

ARIP : (Agak lama juga Arip memandang jauh ke dalam kegelapan malam. Kali ini lebih lama daripada sebelumnya. Kemudian, perlahan-lahan dia bersuara)

Tak mengapalah. Bahagian ni… biar saya renung-renung kat rumah je lah. Nak tunggu saya punya renung ni nanti, tak bergerak ke mana-mana le kita malam ni, dan … maklumat-maklumat lain tak sempat kita nak bincang.

USTAZ : Boleh saja.


DATANGNYA AL-YAQIN

ARIP : Seterusnya ustaz, ada satu ayat Al-Quran, yang ustaz tentunya lebih tahu, yang berbunyi : “Dan sembahlah Tuhan kamu sehingga datang kepada kamu AL-YAQIN.” (Al-Hijr : 99)

Bukankah ayat ini mengatakan bahawa… kitab kena sembahyang atau solat sehingga kita mendapat al-yaqin? Jadi, setelah datang atau sampai al-yaqin tu, kita tak perlu mengerjakan solat lagi. Sebab itulah ada orang yang tak solat.

Apa penjelasan ustaz?

USTAZ : Saya faham tafsiran al-yaqin menurut orang-orang itu. Tapi mula-mula sekali, kita tengok bunyi sebenar ayat tu dalam bahasa Arab : “Wa’bud Rabbaka hatta ya’tiyakal yaqin.”

Tidak ada perkataan “solat” di sana. Maksud “wa’bud” yang paling tepat ialah “dan ber’abdilah”. Tetapi jika mahu dikatakan sebagai “sembahlah”, masih sesuai juga.

Pertama : sekiranya kita gunakan maksud “Dan BERABDILAH kepada Rabb kamu sehingga datang kepada kamu al-yaqin”, apakah selepas dapat al-yaqin maka kita boleh tidak berabdi kepada Allah? Maka, kita berabdi kepada siapa selain Allah? Adakah Rabb atau Ilah yang lain selain Allah?

Tentulah tidak boleh begitu sekalipun sudah memperoleh al-yaqin. Berabdi atau berhamba kepada Allah mestilah sentiasa. Sudah dapat al-yaqin ke, belum dapat ke, tetap mesti berabdi kepada Dia. Tak boleh putus pengabdian, apatah lagi berhenti pengabdian.

Kedua : egitu juga jika kita hendak menggunakan maksud ayat : “Dan SEMBAHLAH Rabb kamu sehingga datang kepada kamu al-yaqin”. Apakah selepas memperoleh al-yaqin, maka tidak perlu atau tidak boleh sembah Allah lagi?

Sama juga keadaannya jika ayat itu hendak dikaitkan dengan ibadah solat arus perdana.

ARIP : Hmmm… saya suka penjelasan ustaz tu.

USTAZ : Saya gunakan tafsiran a-yaqin mengikut pandangan golongan itu, untuk memudahkan penerangan. Lagi satu - antara al-yaqin generasi hari ini dengan al-yaqin generasi sahabat, al-yaqin siapa yang lebih hebat?

ARIP : Aduh! Hehe. Saya faham ustaz. Jawapannya sama dengan jawapan dalam perbincangan kita pada bulan lepas.  Para sahabat yang JAUH LEBIH HEBAT al-yaqin mereka pun, masih tetap mengerjakan solat arus perdana. Apatah pula kita yang iman senipis kulit bawang ini. Yang tidak tetap mengerjakan solat arus perdana pada zaman itu hanyalah orang-orang munafik.

USTAZ : Terbaik!

ARIP : Hehe.

USTAZ : Sebenarnya Arip, golongan itu diperdayakan oleh syaitan dan hawa nafsu sendiri. Waktu mula-mula belajar, kononnya tak boleh solat kerana belum ma’rifat. Apabila dah belajar dan ma’rifat, tak boleh sembahyang juga, sebab dah sampai al-yaqin, maka tak perlu solat. Jadi, bila masanya hendak solat? Selamanya pun tak akan solat arus perdana. Siapa yang seronok?

ADI : Iblis dan tentera-tenteranya le. Kena tipu hidup-hidup namanya tu ustaz!

ARIP : Hehe. Nampaknya hujah “al-yaqin” pun tak boleh lepas ni ustaz. Hmmm…

USTAZ : Sudah semestinya. Kalau sudah al-yaqin maka boleh tak solat arus perdana, dah tentu para sahabat Nabi saw yang utama datang ke masjid tapi tak solat bersama-sama. Mereka cuma pantau je sahabat-sahabat yang belum al-yaqin solat berjemaah. Ataupun mereka bergilir-gilir solat arus perdana, sebab dah al-yaqin. Tetapi… hal itu tidak sedemikian. Semua pakat solat bersama-sama, baik yang mencapai al-yaqin, ataupun tidak.

ARIP : Saya faham tu ustaz.


CONGAK-CONGAK CARA KITA

USTAZ : Katakanlah solat arus perdana ni memang Allah TAK TUNTUT di akhirat kelak. Orang yang tak solat arus perdana rugi tak?

ARIP : Tentulah TAK RUGI, sebab mereka memang tak buat pun.

USTAZ : Orang yang solat arus perdana pulak?

ARIP : Err… tak adalah rugi jugak.

ADI : Cuma, DI DUNIA YANG SANGAT SEKEJAP inilah mereka rugi masa dan tenaga dok buat solat tu.

USTAZ : Ya. Tetapi, katakanlah solat arus perdana ni MEMANG ALLAH TUNTUT di akhirat kelak. Orang yang tak solat arus perdana rugi tak?

ARIP : Allah… tentulah RUGI!

ADI : Rugi yang SELAMA-LAMANYA tu!

USTAZ : Orang yang solat arus perdana?

ARIP : Tentulah sangat untung!

ADI : Untung yang selama-lamanya tu!

ARIP : Ish, hang ni! Cuba jangan dok menyampuk cakap orang tua-tua! Hehe.

USTAZ : Jadi, orang yang BIJAKSANA, di dunia ni dia akan buat ke tidak solat arus perdana?

ARIP : Yang bijak kena buat le.

USTAZ : Ya. Kalau Allah tak tuntut, dia tak rugi apa-apa. Tapi kalau Allah tuntut, dia akan untung selamanya. Sekiranya dia tak buat pulak, dia akan menanggung rugi selamanya.

ARIP : Masuk ke akal juga tu ustaz.

USTAZ : Kena fikir baik-baiklah, sama ada kita nak bertindak bijaksana ataupun tidak. Bijaksana ni fatanah. Fatanah ni salah satu sifat utama Rasululah saw. Takkan kita nak ketepikan fatanah.

ADI : Arip, hang nak jadi orang bijak ke orang bengap?

ARIP : Ish, hang ni! Aku boh seliang satgi baru tau! Tertanggal gigi 14 batang kot! Sat la aku tengah dok canai minda ni! Hehe. Jangan marah no, melawak ja.

USTAZ : Kesimpulan yang kita nak bawa dalam hal ni… sama ada kita ada solat cara lain ataupun tak ada, bagi orang yang bijaksana, solat arus perdana memang dia tak akan tinggal, kerana fardhu.


BEBERAPA LEMBARAN DARIPADA 70,000 HIJAB

USTAZ : Antara Allah dengan kita ada sangat banyak tirai daripada nur dan gelap. Nak disebut hijab pun sesuai, nak disebut tabir pun sesuai. Sepanjang hidup kita di dunia ini, kita mestilah berusaha untuk menyelak tirai demi tirai ini agar kedudukan atau maqam qalbu kita lebih hampir dengan Raja.

Saya suka untuk kongsikan sedikit tentang maqam-maqam orang-orang yang ada ilmu dan amal ma’rifah dalam ribuan hijab ini. Saya mulakan daripada yang terbaik dna seterusnya yang kurang baik dan ke bawah.

         i.            Orang yang ada ilmu dan amal ma’rifah, dan dia MENCINTAI mengerjakan solat arus perdana, kerana dia mencintai Allah.
       ii.            Orang yang ada ilmu dan amal ma’rifah, dan dia TAAT mengerjakan solat, walaupun tidak sampai ke tahap cinta, kerana dia taat akan Allah. Dia ada berasa bertanggungjawab.
     iii.            Orang yang ada ilmu dan amal ma’rifah, dan dia bersolat kerana TERPAKSA, kerana takut akan kemurkaan Allah. Tetapi sekurang-kurangnya, dia masih buat juga yang fardhu itu.
     iv.            Orang yang ada ilmu dan amal ma’rifah, tetapi dia mengerjakan solat sekali-sekala sahaja. Namun dia tidak menolak solat, Cuma jenis MALAS.
       v.            Orang yang ada ilmu dan amal ma’rifah, tetapi dia tidak mengerjakan solat. Namun dia tidak menolak solat. SANGAT MALAS.
     vi.            Orang yang ada ilmu dan amal ma’rifah, tetapi dia TIDAK MAHU mengerjakan solat. Maksudnya dia menolak solat.
    vii.            Orang yang ada ilmu dan amal ma’rifah, tetapi dia MENENTANG mengerjakan solat. Bukan sahaja menolak, bahkan menentang.

Lihatlah kedudukan orang-orang yang TIDAK MAHU dan YANG MENENTANG daripada mengerjakan solat arus perdana. Dalam tingkatan hijab yang kasar-kasar sahaja pun, mereka sudah berada pada maqam-maqam yang terbawah. Apatah lagi jika kita perincikan lagi maqam-maqam itu kepada yang lebih halus-halus.

Apalah ertinya MA’RIFAH buat diri mereka?

ARIP : (Sekali lagi merenung jauh ke dalam kegelapan malam, menembusi bunyi reriang rimba di sebelah kanan surau)

Tapi ustaz, sekurang-kurangnya mereka ada ma’rifah.

USTAZ : Itu lebih besar mudaratnya! Orang-orang ada ma’rifah ini ialah orang-orang yang berjawatan. Orang bawah-bawah jika buat kesalahan, hukumannya biasa-biasa. Tetapi jika orang atas-atas buat kesalahan, hukumannya sangat berat.

Contoh – Suatu hari raja melintasi sebuah desa. Orang yang tidak beri hormat kepada raja kerana dia tidak kenal atau tidak ma’rifah akan raja, dia mungkin akan kena sebat sahaja. Tetapi bagi orang yang memang kenal raja, dah beberapa kali berjumpa, apabila raja lalu di tepinya dia buat tak tahu je dan enggan tunduk hormat, silap-silap akan bercerai kepala dari badan.

Dosa orang kenamaan tidak menutup aurat adalah jauh lebih besar daripada dosa seorang wanita desa yang tidak menutup aurat.

Azazil kan lebih ma’rifah daripada kebanyakan manusia? Sebab itulah hukuman untuknya adalah selama-lamanya.

ARIP : Fuh… memang makan dalam ni ustaz!


PENGHUJUNG BICARA

ARIP : Rasanya… malam ni sangat banyak dah yang saya dapat dan perlukan refleksi. Buat masa ni, cukup dulu kot. Nanti kalau banyak sangat, tak tahu nak renung yang mana satu.

USTAZ : Elok benarlah tu. Saya setuju. Biar ada ruang yang selesa untuk bertafakur.

ARIP : Kalau macam tu ustaz, saya nak mintak diri dululah. Ustaz tolonglah doa-doakan saya sama. Sekiranya ada lagi hal-hal berbangkit yang saya rasa perlu segera jumpa ustaz, esok lepas Subuh kita sembang lagi, kalau ustaz tak dak urusan lainlah.

USTAZ : Insya-Allah, boleh.

ARIP : Adi, kalau hang free… malam ni mai lepak rumah aku lah. Boleh jugak buat kawan bersembang.

ADI : No problem.

(Suara latar belakang : Selepas bersalam-salaman, Arip dan Adi pun bergerak ke rumah Arip. Tengah malam itu di rumah Arip… isi kandungan perborakan mereka memang hangat. Esok paginya, sebelum Subuh lagi mereka berdua sudah berada di surau……)


Abu Zulfiqar
27 Mac 2018

No comments:

Related Posts with Thumbnails