... LAMAN UTAMA ............... TENTANG LAMAN INI ............... TENTANG PENGARANG ............... BLOG PERIBADI ...
Kajian dan pemerhatian ringkas tentang Al-Quran, As-Sunnah (hadis), agama-agama dunia, kitab-kitab suci pelbagai agama, manuskrip-manskrip kuno, alam semesta (bumi dan angkasa lepas), ilmu perbandingan agama, sejarah, peristiwa-peristiwa akhir zaman, kiamat, alam akhirat, alam ghaib, sains, astronomi (falak) dan lain-lain ilmu alam.
Sunday, November 18, 2018
Sunday, April 01, 2018
Tinggi-tinggi Si Mata Hati (bahagian 3)
TINGGIT-TINGGI SI
MATA HATI (bahagan 3)
Di sebuah surau lama di kampung sana, selepas
solat fardhu Subuh berjemaah. Kelihatan beberapa orang hamba Allah sedang duduk
di beranda. Ustaz, Arip, Adi Kopi, Abdullah, Apit Cina, Tok Bilal, Pak Enai,
Tok Imam, Aizam, Ijan, Tok Siak Mat Yan dan Is London.
PENANGAN
MALAM SEMALAM
USTAZ : Awal betul kamu berdua sampai ke surau tadi. Saya dan
Abdullah sama-sama sampai tadi pun lagi 10 minit nak masuk Subuh rasanya, tengok-tengok
kamu berdua dah ada dah.
ARIP : Itulah ustaz… malam tadi punya penangan ni. Hehe.
USTAZ : Hah, apa yang jadi? Bukan semalam kamu berdua lepak sekali
kan?
ADI : Ha’ah, betul ustaz. Bukan lepak saja ustaz, kami
bermuzakarah sampai ke pagi, punya le power. Ni kami belum tidur lagi ni, terus
datang awal ke surau. Sebab tu muka sorang-sorang macam orang tak berapa nak
cukup zat.
ARIP : Walaupun dalam dua kali dialog kita dah banyak yang ustaz
cerahkan, tapi kat rumah saya semalam kami dok tukar-tukar fikiran lagi. Dalam
muzakarah kami tu le keluar beberapa hal penting lagi yang rasanya sangat perlu
untuk dipercerahkan.
ADI : Ya. Hal-hal yang terbangkit malam semalam tu, kalau tak
dibuat pencerahan tetangnya, masih lagi menjadi sandaran bagi golongan yang
mengetepikan solat fardhu arus perdana. Akan berterusan.
USTAZ : Ooh, macam tu ceritanya! Kalau macam tu, eloklah kita
sembang-sembang, setakat mana yang kita termampu.
ARIP : Cantik ustaz! Tapi sebelum apa-apa, saya nak minta tolong
Abang Ijan call sepupu dia, Mat Dir kedai seberang jalan tu… order roti canai
sama minuman panas untuk kita semua. Minta dia bungkus semua, dah siap, hantar
mai sini. Saya belanja semua.
IJAN : Alhamdulillah, syukur…….. Dengan senang hati. Hehe.
DI
TENGAH-TENGAH
ARIP : Begini ustaz. Dalam Al-Quran, selain daripada solat fardhu,
ada lagi…
USTAZ : Solat wusto?
ARIP : Eh…… macam mana ustaz boleh tau? Ajaib!
ADI : Ya la ustaz! Memang kami nak minta pandangan ustaz tentang
solat wusto. Tapi… ustaz ada kasyaf ke?
USTAZ : Tak delah! Sebenarnya, kebanyakan daripada hujah-hujah
golongan yang mengetepikan solat fardhu arus perdana tu, saya sedia tahu
belaka. Tahu daripada pengalamanlah. Sebab itu memang dari awal saya dah
jangkakan yang hal solat wusto atau solat wusta ni lambat-laun mesti akan
timbul juga.
ARIP : Allah…. memang tepatlah kami datang jumpa ustaz ni!
Jadi, oleh kerana ustaz dah sedia maklum akan hal ehwal solat
wusto ni, kami nak minta komen ustaz lah. Al-maklumlah, golongan itu ada yang
tidak buat solat arus perdana tetapi cukup dengan buat solat wusto sahaja.
Apa sebenarnya solat wusto ni?
Silakan ustaz.
USTAZ : Cerita tentang solat wusto ini memang akan jadi panjang.
Untuk sampai ke penghujung jalan tu, banyak simpang-simpang yang kita nak kena
masuk.
Sebahagian orang yang tersalah faham atau tersalah belajar tentang
solat wusto ini… mereka memang tidak melaksanakan solat fardhu arus perdana
lagi.
ADI : Betul ustaz!
USTAZ : Jadi, saya berfikir begini…. Untuk menjimatkan masa,
mula-mula ni saya akan terus bagi jawapan dulu.
ARIP : Ikut ustazlah.
USTAZ : Solat wusto ni… ialah SOLAT FARDHU ARUS PERDANA PADA WAKTU
‘ASAR. Ringkasnya – solat fardhu ‘Asar.
(Semua diam…… menunggu-nunggu….. Oleh kerana tidak nampak gaya
ustaz untuk berkata-kata lanjut, Arip pun bersuara)
ARIP : Memang ramai juga alim ulama yang kata solat wusto ni
sebagai solat fardhu Asar, atau sebagaimana yang kita persetujui sebagai solat
fardhu ‘Asar sebagaimana tatacara arus perdana. Tapi, kalau kita tengok ayat
Al-Quran yang memperkatakan tentang solat wusto ni, memang tak nampak ia
sebagai solat fardhu ‘Asar.
USTAZ : Baiklah Arip. Kamu ada ingat ayatnya?
ARIP : Errr…
“Peliharalah
akan solat-solat fardhu dan solat wusto. Berdirilah kerana Allah dengan patuh
dan khusyuk.” (Al-Baqarah : 238)
USTAZ : Ayat selepasnya?
ARIP : Hah, giliran hang pulak Adi. Padan muka hang!
ADI : Aku?
“Dan jika
kamu takut (akan sesuatu bahaya) maka solatlah sambil berjalan atau
berkenderaan, kemudian apabila sudah aman, maka hendaklah kamu mengingati Allah
sebagaimana Allah telah mengajar kamu apa yang kamu tidak mengetahuinya.”
(Al-Baqarah : 239)
ARIP : Uuuuiiii… hang melawan tokey no! Nanti hang!
Ok ustaz. Dalam ayat tu, disebut “Peliharalah akan solat-solat
fardhu dan solat wusto”. Maksudnya solat fardhu dan solat wusto tu dua perkara
yang berbeza. Ustaz bagitau tadi, solat wusto tu solat Asar. Kan solat Asar dah
termasuk dalam solat fardhu yang lima? Takkan Allah buat kerja sia-sia nak
sebut solat Asar pulak. Jadi, solat fardhu lain, solat wusto lain.
Macam mana tu ustaz?
USTAZ : Nak memaham cara gaya ayat 238 Surah Al-Baqarah tu dengan
sejahtera, elok kita ambil contoh daripada Al-Quran sendiri. Bahkan daripada
Surah Al-Baqarah sendiri juga, kerana cara gayanya ada kaitan.
Ada satu ayat yang berbunyi :
“Sesiapa
yang memusuhi Allah dan MALAIKAT-MALAIKAT-NYA dan rasul-rasul-Nya dan JIBRIL
dan MIKAIL, maka sesungguhnya Allah adalah musuh bagi orang-orang kafir.”
(Al-Baqarah : 98)
Kan Allah dah sebut “malaikat-malaikat-Nya” awal-awal, mengapa
Allah sebut pula sesudah itu malaikat Jibril dan malaikat Mikail? Adakah Jibril
dan Mikail bukan malaikat?
………………………………..
ADI : Eh, ye tak ye lah ustaz! Sepatutnya kalau dah disebut “para
malaikat-Nya”, tak perlulah disebutkan pula malaikat Jibril dan Mikail.
ARIP : Kalau begitu, bagaimana penjelasannya ustaz, tentang ayat
ini?
USTAZ : Di sinilah kita kena faham CARA GAYA ayat ini dihidangkan
kepada kita.
Apabila Allah dah sebut “malaikat-malaikat-Nya” lalu disebut-Nya
pula Jibril dan Mikail, hal itu bermaksud PENEGASAN.
Perkataan “wa” dalam bahasa Arab apabila diterjemahkan ke bahasa
Melayu atau apa bahasa pun, bukan semuanya bermaksud “dan”. Maksud sebenar “wa”
itu adalah bergantung kepada struktur dan isi ayatnya. Maka, dalam Al-Quran sebagai
contohnya, ada perkataan “wa” yang membawa maksud “dan”, ada yang membawa
maksud “tetapi”, ada yang membawa maksud “demi” dan lain-lain.
(Beberapa orang kelihatan mengangguk-anggukkan kepala)
Ayat 98 Surah Al-Baqarah itu sebenarnya mahu MENEGASKAN tentang
malaikat Jibril dan malikat Mikail daripada sekian banyak malaikat. Jadi, salah
satu perkataan “wa” dalam ayat itu membawa maksud “KHUSUSNYA”.
Maka jadilah bunyi ayat itu yang sebenarnya : “Sesiapa yang memusuhi Allah dan malaikat-malaikat-Nya dan
rasul-rasul-Nya KHUSUSNYA (LEBIH-LEBIH LAGI) Jibril dan Mikail, maka
sesungguhnya Allah adalah musuh bagi orang-orang kafir.” (Al-Baqarah : 98)
Nampak? Walaupun Allah dah sebutkan “para malaikat-Nya” tetapi
kemudian Allah TEKANKAN pada malaikat Jibril dan Mikail. Beginilah cara gaya
ayat dalam Surah Al-Baqarah ini.
Berbalik kepada ayat ke-238 Surah Al-Baqarah yang dibacakan oleh
Arip tadi, sebenarnya ada terjemahan yang lebih tepat. Perhatikan baik-baik
perkataan “wa” pada ayat ini :
“Peliharalah
akan solat-solat fardhu DAN solat wusto DAN berdirilah kerana Allah dengan patuh.”
(Al-Baqarah : 238)
Ada dua kali “DAN”.
Berdasarkan cara gaya yang kita kenalpasti tadi, maka maksud ayat
ini ialah :
“Peliharalah
akan solat-solat fardhu (sebagaimana solat arus perdana) KHUSUSNYA solat wusto
(yakni solat arus perdana fardhu ‘Asar) DAN berdirilah kerana Allah dengan patuh.”
(Al-Baqarah : 238)
Jadi, solat wusta hanyalah salah satu daripada solat fardhu yang
lima, sebagaimana malaikat Jibril dan Mikail juga daripada kalangan para
malaikat yang sangat banyak bilangannya itu. Dan solat ini mesti dilaksanakan
sebagaimana tatacara arus perdana, bukannya dengan hati, dengan niat, atau
dengan tatacara lain.
Satu lagi, perkataan “qaanitiin” itu bermaksud “patuh”. Bolehlah
dicari perkataan-perkataan yang berkaitan dengan “qaanitiin” ini di seluruh
Al-Quran dan kita akan dapati maksudnya ialah “patuh”. Tadi Arip terjemahkan
dengan penambahan perkataan “khusyuk” selepas perkataan “patuh”. Sebenarnya
tidak ada perkataan “khusyuk”.
MENGAPA
‘ASAR?
ARIP : Hmmm… baiklah ustaz. Kiranya saya boleh terimalah bahagian
tu. Terima aksih jugalah kerana tolong membetulkan ketidaksempurnaan terjemahan
saya tadi. Tetapi, apa pula BUKTI yang mengatakan solat wusto itu ialah solat
fardhu ‘Asar?
USTAZ : Saya yakin, kamu dan Adi ada juga baca-baca tentang
pandangan para ulama dalam hal ini.
ARIP : Memang ada ustaz. Kebanyakan ulama kata solat wusto itu
ialah solat fardhu ‘Asar. Tetapi ada juga yang kata solat fardhu Zohor. Ada
pula yang kata solat fardhu Subuh. Saya baca hujah-hujah mereka. Maksud saya di
sini, bagaimana ustaz boleh yakin bahawa itu memang solat ‘Asar?
USTAZ : Baiklah. Ada pelbagai hadis dan pandangan ulama yang akan kita sentuh kemudian. Sebagai
permulaan ini, apakah MAKSUD “wusto” itu?
ARIP : “Tengah-tengah”, “pertengahan”.
USTAZ : Apabila digabungkan, maka maksud “solat wusto” pula?
ARIP : Errrr…
USTAZ : “Solat yang tengah-tengah” ataupun “solat yang pertengahan”lah
kan?
ARIP : Begitulah nampaknya.
ADI : Tapi ustaz, ada orang kata perkataan “tengah-tengah “ tu maksudnya
HATI.
USTAZ : Benarkah begitu? Apa KAITAN hati dengan “tengah-tengah”?
…………….
Sebelum itu, berkaitan ayat yang ini tadi : “Peliharalah akan solat-solat
fardhu DAN solat wusto DAN berdirilah kerana Allah dengan patuh.”
(Al-Baqarah : 238), kita sedia maklum bahawa solat wusto atau “solat yang di
pertengahan” itu bukanlah “solat hati”, sebaliknya solat fardhu arus perdana pada
waktu ‘Asar yang melibatkan amalan hati DAN amalan fizikal sekaligus.
Selain itu, kan kita cakap tadi ada dua “DAN” pada ayat tersebut? Kedua-dua “DAN” ini menunjukkan perkaitan
rapat, bukannya hal yang terpisah. Tak boleh suka-suka hati kita nak pisahkan.
1.
Kita kena pelihara solat-solat fardhu yang
lima.
2.
“DAN solat wusto” – apabila disebut “DAN”, kita
faham bahawa solat wusto termasuk solat yang lima tadi.
3.
“DAN berdirilah” – sama juga, apabila disebut
“DAN”, kita faham bahawa perintah “berdiri” itu termasuk juga ke dalam solat
wusta dan termasuk juga ke dalam solat yang lima.
Fungsi “DAN” pada ayat ini menunjukkan ketiga-tiga hal itu iaitu
solat fardhu, solat wusto dan berdiri tidak terpisah. Maksudnya, untuk
melaksanakan solat wusto MESTILAH KENA ADA PERLAKUAN BERDIRI. Kalau solat hati,
kan TAK MESTI ada perlakuan berdiri?
Jika seseorang itu mendakwa dia melakukan solat wusto tetapi
dengan sengaja tidak melaksanakan PERLAKUAN BERDIRI, maka itu bukanlah solat
wusto. Mereka yang selama ini buat solat wusto tanpa perlakuan berdiri,
sebenarnya mereka telah pun meninggalkan solat wusto.
Berbalik kepada soalan tadi : “Apa KAITAN hati dengan
“tengah-tengah” atau “pertengahan”?
Entah di mana kaitannya, kerana hal itu adalah sesuatu yang
direka-reka.
Perlu kita faham bahawa “hati” ada dua maksud.
Mula-mula kita tengok “hati” dengan maksud yang pertama, iaitu ORGAN
HATI atau “kabid” (bahasa Arab) di dalam tubuh badan manusia. Saya yakin, semua
yang di sini tahu kedudukan organ hati di dalam rongga badan kita. Semua
belajar di sekolah, biasa tengok gambarajah, dan mungkin biasa pegang model
patung.
Sekiranya kamu semua masih ingat, organ hati tidak berada di
tengah-tengah, baik dari arah kanan kiri ataupun dari arah atas bawah.
Sebaliknya, pusat lebih berada di tengah-tengah berbanding hati, sama ada dari
kanan kiri ataupun atas bawah. Betul tak?
Ertinya, tidak ada kaitan antara organ hati dengan “tengah-tengah”
atau “pertengahan”.
ADI : Hati yang kedua ustaz?
USTAZ : Hati yang kedua ialah HATI RUHANI kita. Dalam bahasa Arab
disebut “qalbun”. Kita sebut juga sebagai “qalbu” atau “kalbu”. “Qalbun” jika
diterjemah dengan tepat, maksudnya “jantung”.
Adakah organ jantung kita di tengah-tengah badan? ……………….
Tidak jugakan? Ia berada agak ke atas dan ke kanan. Masih tak
berkait dengan “tengah-tengah” juga.
ADI : Qalbu ruhani atau hati ruhani pula ustaz?
USTAZ : Hati ruhani ini berkait rapat dengan ruh. Ruh tidak
bertempat di tengah-tengah tubuh. Apa kaitan ruh dengan “tengah-tengah” atau
“pertengahan”? Tak ada kaitan.
Maksudnya, “solat wusto” masih tidak berkaitan dengan
“tengah-tengah” jenis yang itu juga.
ARIP : Habis tu… “tengah-tengah” apakah yang dimaksudkan dalam
ayat tu?
ANTARA
MASA
USTAZ : Kita lihat semula ayatnya iaitu “ “Peliharalah akan solat-solat fardhu
KHUSUSNYA solat wusto (yakni solat fardhu arus perdana pada waktu ‘Asar) DAN
berdirilah kerana Allah dengan patuh.”
“Peliharalah
akan solat-solat fardhu” berkait dengan MASA. Solat-solat fardhu kan
ada masa-masa tertentunya?
Firman Allah SWT : “Sesungguhnya
solat itu adalah suatu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang-orang yang
beriman, YANG TERTENTU MASANYA.” (An-Nisa’ : 103)
Maka solat wusto yang berada dalam ayat yang sama itu juga berkait
dengan MASA.
Dari sini fahamlah kita bahawa solat wusto ialah solat yang “masanya
di tengah-tengah masa” atau “di pertengahan masa” atau “yang di antara masa”.
Masa apakah itu?
ARIP : Sebenarnya ustaz, saya baca juga bahagian itu. Ada pelbagai
pendapat, tetapi bagi saya semuanya masih belum cukup kuat.
Ada yang kata solat wusto itu maksudnya solat yang tengah-tengah
antara Zuhur dan Maghrib. Maksudnya solat Asar.
Ada yang kata tengah-tengah solat dua tepi siang iaitu antara
Subuh dan Maghrib, maksudnya solat Zuhur.
Oleh kerana hari dalam Islam bermula Maghrib, maka ada yang kata
solat Subuh kerana solat Subuh terletak antara Maghrib Isya dan Zuhur Asar.
Macam-macam pandanganlah, tapi semuanya tidak memuaskan hati le
ustaz. Masih terawang-awang.
USTAZ : Tak mengapalah. Hujah-hujah mereka Arip dah baca. Hujah
saya Arip dah tahu belum?
ARIP : Maksud ustaz, ustaz ada sandaran lain daripada yang selalu
kita jumpa tu?
USTAZ : Mungkin ya, mungkin tidak. Tak rugi rasanya kalau kita
berkongsi, kan?
ARIP : Dah tentu saya berminat nak tahu.
USTAZ : Baiklah Arip. Kata kuncinya ialah “TENGAH-TENGAH” atau
‘PERTENGAHAN” atau ‘DI ANTARA”. Dan tengah-tengah itu berkait dengan MASA. Sekarang
kita nak pastikan solat fardhu yang manakah YANG MASANYA TERLETAK DI
TENGAH-TENGAH MASA.
Di negeri kita ini, biasanya masuk waktu solat fardhu :
1.
Subuh sekitar pukul 6 pagi.
2.
Zuhur sekitar pukul 1.30 tengah hari.
3.
Asar sekitar pukul 4.30 petang.
4.
Maghrib sekitar pukul 7.30 malam.
5.
Isya’ sekitar puluk 8.30 malam.
Betul ke?
TOK SIAK MAT YAN : Lebih kurang gitulah ustaz (sambil membetulkan
cermin mata dan serbannya)
USTAZ : Baiklah. Jangan terpesong perhatian pada kalimah “masa yang
di tengah-tengah masa”.
Antara Zuhur ke Asar, ada berapa jam? 1.30 ke 4.30?
Lebih kurang 3 jam.
Antara Asar ke Maghrib, ada berapa jam? 4.30 ke 7.30?
Lebih kurang 3 jam.
Maksudnya – sebelum Asar ada 3 jam dan selepas Asar ada 3 jam.
Bukankah itu “di tengah-tengah”?
Bukankah masa solat fardhu Asar itu berada di tengah-tengah antara
masa solat Zuhur dan masa solat Maghrib?
Kan seimbang masanya, ada simetri?
(Semua terdiam. Sunyi sepi. Diistilahkan oleh orang dulu-dulu
sebagai “malaikat lalu”)
Jangan pening-pening, saya bantu tuan-tuan buat ujian.
Sebelum Zohor ada lebih kurang 7 setengah jam, dan selepas Zuhur
ada lebih kurang 3 jam. Tak seimbang kan? Tak “tengah-tengah” masanya kan? 7 ½
nisbah 3.
Sebelum Maghrib ada lebih kurang 3 jam, dan selepas Maghrib ada
lebih kurang 1 jam. 3 nisbah 1. Tidak “tengah-tengah” masanya kan?
Sebelum Isya’ ada 1 jam, dan selepas Isya’ ada 9 ½ jam. 1 nisbah 9
½. Tak seimbang, tak “tengah-tengah” masanya kan?
Sebelum Subuh ada 9 ½ jam, dan selepas Subuh ada lebih kurang 7 ½
jam. 9 ½ nisbah 7 ½. Tak seimbang kan? Bukan “tengah-tengah” masa kan? Itu pun,
waktu untuk solat Subuh hanya sekitar 1 ½ jam sahaja.
Tapi kalau solat fardhu ‘Asar, nisbahnya lebih kurang 3 : 3. Kan
itu namnya “masa yang di tengah-tengah masa”? Mana ada solat fardhu yang lebih
tengah-tengah atau sama banyak masanya berbanding solat Asar?
ARIP : Fuhhhhh…. Lain macam hujah ustaz ni! Belum pernah saya
terjumpa hujah yang sebegini. Tapi memang kemas isinya ustaz.
ADI : Memang betul ustaz. Sangat tidak terduga!
ARIP : Mmmmmmm……… sebab itulah namanya “solat wusto” yakni “solat
yang di tengah-tengah” antara solat fardhu Zuhur dan Maghrib. Hmmm… menarik,
menarik!
3 WAKTU
USTAZ : Sebenarnya Arip, Adi…. sebelum saya syarahkan kitab Ihya’
“Ulumuddin karya Imam Al-Ghazali di surau kita ni, saya pernah syarahkan
beberapa kitab lain. Antaranya kitab Munyatul Musolli karya Syeikh Daud
Al-Fathani. Masa mengajarkan kitab Musolli inilah saya banyak sentuh tentang
solat wusto ni. Oleh kerana maklumat dalam kitab tu agak terhad, saya banyak
memohon gerak daripada Allah dan banyak buat kajian. Nota dan kitab yang saya
gunakan tu pun masih ada dalam almari surau.
Rasa sayalah, silap-silap… nota dan kitab saya tu kena dikeluarkan
hari ni. Terasa macam akan digunakan je…
ARIP : Begitu duduknya…. patutlah ustaz tahu.
USTAZ : Oh ya! Sebelum saya terlupa, saya sangat berbesar hati
mahu mengaitkan isi diskusi kita sebentar tadi dengan golongan yang solat hanya
3 waktu.
ABDULLAH : Solat 3 waktu ustaz?
USTAZ : Ya. Mereka hanya mengerjakan 3 solat fardhu sahaja iaitu
solat Subuh, Maghrib dan Isya’. Bagi mereka, solat Zuhur dan solat Asar tidak
wujud, kerana tidak disebutkan dalam Al-Quran.
ARIP : Allahu Akbar! Ustaz, memang yang ni pun salah satu yang
kami dok borak malam semalam!
ADI : Sungguh ustaz! Macam mana la ustaz macam tau tau ja apa yang
kami nak cakap? Ustaz peturun la ilmu kat kami sikit. Setakat ayam golek pulut
kuning, beres ustaz. Ayam penyet dengan pulut warna-warni pun kami boleh bagi.
Hehe.
USTAZ : Hehe. Manalah ada apa-apa ilmu Adi. Semua tu kebetulan je.
Kamu ni cepat sangat teruja dengan hal-hal yang ada kelainan sikit. Bahaya tu.
ADI : Baik ustaz. Hehe. Saya melawak ja tu.
USTAZ : Permasalahan solat 3
waktu ini memang akan memakan masa. Oleh kerana makanan pun dah sampai
nampaknya, hal ehwal hujah-hujah golongan itu dan jawapan-jawapan kita
insya-Allah akan kita bentangkan di hujung dialog, iaitu selepas selesai
permasalahan solat wusto.
Jadi sebelum kita rehat sebentar dan bersarapan ni, saya cuma nak
sentuh sikit sahaja isu solat 3 waktu ini.
Berdasarkan dapatan kita sebelum ini, jelas kepada kita bahawa
solat wusto itu ialah solat fardhu ‘Asar. Maksudnya solat fardhu pada waktu ‘Asar
MEMANG ADA DISEBUT DALAM AL-QUARN iaitu sebagai “solat wusto”.
Kemudian, apabila solat wusto itu ialah solat yang “di
tengah-tengah”, maka mestilah ada solat yang sebelum dan yang selepas. Kalau
tidak, mana boleh jadi “solat yang di tengah-tengah”. Solat selepasnya kita
sedia maklum sebagai solat pada waktu Maghrib. Solat yang sebelumnya?
Jika solat selepasnya muncul dalam tempoh masa lebih kurang 3 jam,
maka solat sebelumnya juga mestilah sekitar tempoh masa sedemikian juga. Jika
lebih, tidaklah terlalu banyak lebihnya. Dan jika kurang, tidaklah terlalu
banyak kurangnya. Mustahil solat fardhu pada waktu Subuh iaitu solat Fajar,
kerana tempoh masanya sudah banyak jam. Antara waktu Subuh ke waktu Zuhur ada
lebih kurang 7 ½ jam.
Jadi, solat apakah yang lebih kurang 3 jam sebelum solat Asar?
ADI : Solat Zuhur lah.
USTAZ : Betul! Maksudnya, solat fardhu pada waktu Zuhur juga ADA
DINYATAKAN DALAM AL-QURAN, cuma dinyatakan secara tidak langsung.
Apabila Allah sebut adanya solat “yang di tengah-tengah”, itulah
solat fardhu Asar, dan MESTILAH kena ada solat sebelumnya. Jika tidak,
bagaimana ia boleh jadi yang di tengah-tengah? Mesti kena ada solat “tepi”
sebelum dan solat “tepi” selepas.
Yang saya nak hi-lite kan di sini, ternyatalah memang ada 5 solat
fardhu iaitu :
1.
Solat fardhu pada waktu Subuh iaitu solat
Fajar.
2.
Solat fardhu pada waktu Maghrib iaitu solat
Maghrib.
3.
Solat fardhu pada waktu Isya’ iaitu solat
Isya’.
4.
Solat yang di “tengah-tengah” masa iaitu solat
fardhu pada waktu ‘Asar - solat Wusto.
5.
Solat fardhu yang menjadi PERMULAAN TEPI kepada
solat yang di tengah-tengah agar solat yang di tengah-tengah itu betul-betul
berada di tengah-tengah, iaitu solat fardhu pada waktu Zuhur. Kita dah maklum,
bahawa solat yang menjadi PENGAKHIRAN TEPINYA ialah solat fardhu Maghrib.
Terbuktilah memang ada 5 kali solat fardhu dalam sehari semalam
yang dimaklumkan oleh Al-Quran…. sekiranya mengikut jalan huraian sebegini,
tanpa kita nafikan ada lagi jalan-jalan huraian lain. Insya-Allah jalan-jalan
lain akan kita sentuh selepas ini sekiranya ada keperluan.
Setakat itu sahaja dulu.
Selepas ini, antara yang bakal kita sentuh ialah tentang waktu
solat di Madinah, kerana ada kaitan rapat dengan kajian kita pada hari ini.
Jom kita makan.
TOK SIAK MAT YAN : Sila! Sila! (sambil mengurut janggut putih
sejemputnya).
(Suara latar belakang : Sambil makan, semua yang ada berbual-bual
tentang hal-hal lain kecuali Abdullah dan Ustaz. Abdullah banyak bertanya
tentang tarekat. Dia juga berharap dapat mendengar penjelasan ustaz berkaitan
tarekat khususnya tarekat Imam Al-Ghazali suatu hari nanti. Ustaz bersetuju.
Habis makan, sesi kedua pun disambung…….)
Abu Zulfiqar Al-Amsyari
31 Mac 2018
Tuesday, March 27, 2018
Tinggi-tinggi Si Mata Hati (bah. 2)
Di sebuah surau lama di kampung sana, selepas
solat fardhu Isya’ berjemaah. Kelihatan beberapa orang hamba Allah sedang duduk
di beranda. Ustaz, Arip, Adi Kopi, Abdullah, Ijam, Tok Bilal, Pak Enai, Tok
Imam, Aizam dan Cikgu Hisham. Ada juga dua orang anak kecil sedang bermain-main
di tangga surau – Adik Li dan Ayi.
SESUDAH
SATU PURNAMA
USTAZ : Alhamdulillah. Dapat jugak kita berjumpa lagi sekali Arip.
ARIP : Itulah ustaz. Bulan lepas tu memang kita dah janji nak
jumpa selepas solat Subuh. Tapi tengah malam tu, sedang saya dok kumpul
maklumat-maklumat, dapat panggilan telefon pulak. Mau tak mau nak kena balik KL
waktu tu jugak. Saya mesej kat ustaz kata tak jadi tu pun dah pukul satu lebih
dah tu.
USTAZ : Tak mengapa Arip. Yang kita nampak salah satu hikmahnya,
Allah bagi kat kita ruang yang lebih luas untuk kita kumpul maklumat dan
bersedia.
ARIP : Tepat sekali ustaz! Saya pun dok nampak memang macam tu
lah.
USTAZ : Jadi… kita nak mula dari mana ni?
TAK BOLEH
SOLAT KALAU TIDAK MENGENAL?
ARIP : Mula-mula kita tengok satu point cantek punya ustaz.
Bagaimana dengan pegangan yang mengatakan solat itu HANYA DIWAJIBKAN bagi
orang-orang yang SUDAH MA’RIFAT, yang sudah mengenal Allah.
USTAZ : Sekiranya belum kenal atau belum mengenal Allah?
ARIP : Bagi yang BELUM MENGENAL, dia TAK BOLEH SEMBAHYANG, tak
boleh solat. Bahkan ada yang kata haram, berdosa kalau solat jugak.
ADI : Eh, pelik pulak aku mendengarnya! Mengapa tak boleh solat
pulak?
ARIP : Kerana… kita tak boleh menyembah sesuatu yang kita tidak
kenal. Macam mana kita nak tuju kita punya sembahan kalau tak kenal siapa yang
kita nak tuju tu? Takut-takut nanti tersalah sembah, tersalah tuju. Alangkah
bahayanya kalau tersalah sembah! Mensyirikkan Allah! Menyekutukan Allah!
ADI : Erkk… kalau lagu tu macam mana pulak ustaz?
USTAZ : (Menarik nafas
panjang lalu melepaskannya perlahan-lahan) Dalam hal ni, mula-mula kita mesti
sedar… bahawa solat arus perdana tu ARAHAN, bukan pilihan. Arahan pulak arahan berat,
BERTARAF FARDHU. Wajib buat. Apabila ia arahan wajib atau arahan mesti buat, ia
jadi satu undang-undang atau PERATURAN.
Apabila dah jadi undang-undang dan peraturan mesti, kita tidak ada
pilihan melainkan mesti kena buat, tak kira kita ni sudah kenal ke atau belum
kenal ke.
ARIP : Tak takut tersalah ke ustaz kalau belum kenal? Ini bukan
benda kecil ni ustaz. Melibatkan aqidah tauhid ni.
USTAZ : BUKAN DALAM SEMUA HAL mewajibkan kita mesti kenal dulu
baru boleh patuh undang-undang dan peraturan. Dalam hal-hal yang fardhu, wajib,
yang mesti, walaupun belum kenal, tetap kena buat.
Contohnya…. sat nak cari contoh……
Abdullah, kamu kenal ketua nombor 1 JPJ dan ketua nombor 1 polis
trafik di negara kita ni siapa dia?
ABDULLAH : Eh, tak kenallah saya!
USTAZ : Tok Imam? Kenal tak?
TOK IMAM : Saya lagilah tak ambik tau ustaz oi. Hehe.
USTAZ : Cikgu Hisham?
CIKGU HISHAM : Aaa… yang sebelum ni kenal, tapi yang baru ni tak
kenal.
USTAZ : Ok. Oleh kerana kita tak kenal atau belum kenal ketua JPJ
dan ketua polis trafik, maka bolehkah kita melanggar undang-undang dan
peraturan jalan raya yang dimestikan ke atas semua orang itu?
(Suasana hening sebentar. Masing-masing berfikir)
Kita belum kenal ketua-ketua peraturan jalan raya, jadi… kita
bolehlah meninggalkan peraturan yang dimestikan?
Peraturan mengatakan jalan sebelah kanan hanya untuk kenderaan
datang dari depan. Bolehkah kita tinggalkan aturan tu lalu kita pandu melawan
arus dengan alasan kita belum kenal ketua-ketua peraturan itu?
…………………..
Peraturan mengatakan tidak boleh parking kenderaan di
tempat-tempat tertentu. Tiba-tiba kita tinggalkan peraturan tu lalu parking
sesuka hati. Kemudian, sewaktu pihak berkuasa kenakan tindakan, dia terima tak
hujah kita apabila kita kata kita belum kenal belum ma’rifah lagi akan ketua-ketua
mereka?
Orang yang tidak mengerjakan solat kerana dia masih belum belajar,
baru masuk Islam, mungkin diterima. Tetapi, jika alasannya kerana belum kenal
Tuan Punya Perintah Solat?
Oleh kerana ARAHAN WAJIB, maka kita kenal ke, tak kenal ke, mesti
ikut peraturan. Mesti buat, tak boleh tinggal. Jika tak dibuat, yang belum
kenal pun kena, yang dah kenal lagilah kena.
………………………
Arip : Boleh ustaz bagi contoh lagi tak? Untuk teguhkan lagi
keyakinan. Hati saya belum tenteram dengan contoh tu.
USTAZ : Hmmm….. contoh tentang arahan wajib……….
…………………….
ADI : Ai, lama menung tu ustaz!
USTAZ : Hah… contoh tentang arahan wajib, arahan fardhu, yang tak
boleh tidak MESTI KENA BUAT!
Contohnya, katakanlah kamu Adi seorang perisik Korea Utara yang diselinap
masuk dan duduk di Korea Selatan. Orang tak tahu yang kamu perisik Korea Utara.
Satu hari, tiba-tiba kamu dapat mesej bertaraf A1, maksudnya
bertaraf MESTI KENA BUAT. Arahannya, kamu mesti hantar satu bom kepada seorang
jeneral Korea Selatan untuk meletupkannya. Katakanlah namanya Jeneral Kim Soo
Hyun, dalam tempoh 48 jam.
Bolehkah kamu meningalkan arahan itu atas alasan kamu tidak kenal
Jeneral Kim Soo Hyun?
………………………..
Dalam tempoh 48 jam kalau kamu terbukti tidak berbuat apa-apa
untuk mematahi arahan itu, sekejap lagi rasanya sampailah perisik Korea Utara
yang lain datang cari kamu, bom kamu, bunuh kamu atau sebagainya. Selalunya
lebih kurang begitulah, KERANA ENGKAR ARAHAN WAJIB.
Alasan tidak kenal atau belum kenal, tidak terpakai sekiranya perintah
itu bertaraf fardhu, mesti, wajib. Pihak Korea Utara tak mahu tahu kamu kenal
ke tidak, yang penting kamu ada usaha patuhi ke tidak, buat ke tidak. Kalau
kamu sengaja tak buat, memang akan kena tindakan.
ARIP : Hmmmm… Betul tu memang betul dah ustaz. Tapi… saya masih
rasa macam belum puas hati lagilah dengan contoh-contoh tu.
…………………………..
ADI : Maih sini saya try buat contoh ustaz. Boleh dak?
USTAZ : Silakan Adi.
ARIP : Oih, hang ni! Biaq betoi! Tak pa lah. Silakan Adi.
ADI : Katakanlah kita semua ni hidup zaman dulu kala. Konon-kononlah
ni. Kita ni dok jauh dari istana, seminggu perjalanan baru sampai. Tak pernah
pergi pun. Raja lagilah kita tak pernah tengok, tak pernah kenal.
Tiba-tiba pada suatu hari… jeng je jeng…. datang utusan dari istana. Utusan tu bawa surat kepada Ustaz, Arip dan saya.
Ustaz diperintahkan MESTI HADIR ke istana dalam masa dua minggu
untuk menghadiri satu majlis. Arip pun dapat perintah yang sama. Sementara saya
Adi tak diperintah hadir, tetapi boleh hadir jika mau. Bukan untuk jumpa raja,
tetapi untuk hadir ke satu majlis penting.
Sampai masanya, Ustaz pun pergilah ke istana, walaupun belum kenal
raja, kerana perintah itu bertaraf fardhu atau wajib atau mesti.
Arip pulak… tak pergi, atas alasan dia belum kenal raja, walaupun
dia tahu perintah itu bertaraf wajib.
Saya pulak yang memang belum kenal raja, tidak pergi ke istana,
kerana perintah ke atas saya hanya bertaraf sunat.
Dalm kes macam ni, ustaz selamat.. sebab tunaikan kefardhuannya,
walaupun belum kenal raja.
Saya pun selamat… sebab tak fardhu ke atas saya, walaupun saya
belum kenal raja.
Tetapi hang Arip…. siap! Seminggu lepas tu askar-askar raja pun
datang, depa tangkap, depa seret hang, sumbat dalam penjara bawah tanah, sebab
hang engkar arahan raja yang bertaraf mesti. Gerenti raja murka gila. Penjara
tu tamsilan untuk neraka la tu…. walaupun hang belum kenal raja.
Amacam ustaz? Ok tak contoh saya ni?
USTAZ : Contoh yang bagus Adi!
ARIP : Sempoi la hang punya contoh Adi. Memang kena.
(Agak lama juga Arip memandang jauh ke dalam kegelapan malam)
USTAZ : Satu lagi Arip, masuk agama Islam ni benda wajib, mesti.
Sewaktu Rasulullah saw berdakwah mengajak orang masuk agama Islam, apabila
seseorang tu bersetuju nak masuk, adakah Rasulullah syaratkan agar orang tu
kenal Allah dulu, ma’rifatullah dulu? Ada tak Rasulullah tahan, tak bagi orang
tu masuk Islam, tapi suruh orang tu belajar sampai ma’rifah dan kenal Allah, lepas
tu baru boleh masuk Islam?
ARIP : Tak pernahlah kita dengar macam tu. Tapi, apa kaitannya
ustaz?
USTAZ : Islam ini bermaksud MENYERAH, TUNDUK, PATUH. Jadi, apabila
seseorang itu masuk agama Islam, bererti dia setuju untuk berserah, tunduk dan
patuh kepada Allah. Padahal majoriti orang yang nak masuk Islam ini belum ma’rifah,
belum kenal Allah.
Oleh kerana mereka belum ma’rifatullah, mereka hendak berserah
kepada siapa? Hendak tunduk kepada siapa? Hendak patuh kepada siapa? Kan mereka
belum kenal?
Jika mereka masuk Islam juga, tidakkah nanti akan jadi tersalah
tunduk, syirik, dan menyekutukan Allah?
Bukankah sepatutnya Nabi Muhammad saw tahan dulu mereka, jangan
bagi masuk Islam lagi, tapi suruh mereka belajar ilmu mengenal Allah terlebih
dahulu? Dan selepas dah kenal, barulah boleh masuk Islam.
Tapiengapa Rasulullah terus Islamkan orang itu sekalipun orang itu
belum mengenal Allah?
Kalau tidak, seronoklah orang-orang bukan Islam, kerana tuntutan
memeluk agama Islam itu tak terkena pada diri mereka, disebabkan mereka belum
mengenal.
Dan orang-orang yang sedia Islam pula bebas untuk keluar daripada
Islam kerana mereka belum mengenal, maka takut tersalah tunduk.
Kata mereka contohnya : “Kami terpaksa keluar daripada Islam
kerana kami belum kenal, takut tersalah tunduk dan berserah. Kami tak tunduk
kepada yang kami belum kenal. Kami tak berserah kepada yang kami tak kenal. Nanti
apabila kami dah mengenal, barulah kami masuk Islam semula.”
Cuba fikirkan, apa akan berlaku kepada umat Islam seluruh dunia?
ARIP : (Agak lama juga Arip memandang jauh ke dalam kegelapan
malam. Kali ini lebih lama daripada sebelumnya. Kemudian, perlahan-lahan dia
bersuara)
Tak mengapalah. Bahagian ni… biar saya renung-renung kat rumah je
lah. Nak tunggu saya punya renung ni nanti, tak bergerak ke mana-mana le kita
malam ni, dan … maklumat-maklumat lain tak sempat kita nak bincang.
USTAZ : Boleh saja.
DATANGNYA AL-YAQIN
ARIP : Seterusnya ustaz, ada satu ayat Al-Quran, yang ustaz
tentunya lebih tahu, yang berbunyi : “Dan
sembahlah Tuhan kamu sehingga datang kepada kamu AL-YAQIN.” (Al-Hijr : 99)
Bukankah ayat ini mengatakan bahawa… kitab kena sembahyang atau
solat sehingga kita mendapat al-yaqin? Jadi, setelah datang atau sampai
al-yaqin tu, kita tak perlu mengerjakan solat lagi. Sebab itulah ada orang yang
tak solat.
Apa penjelasan ustaz?
USTAZ : Saya faham tafsiran al-yaqin menurut orang-orang itu. Tapi
mula-mula sekali, kita tengok bunyi sebenar ayat tu dalam bahasa Arab : “Wa’bud Rabbaka hatta ya’tiyakal yaqin.”
Tidak ada perkataan “solat” di sana. Maksud “wa’bud” yang paling
tepat ialah “dan ber’abdilah”. Tetapi jika mahu dikatakan sebagai “sembahlah”,
masih sesuai juga.
Pertama : sekiranya kita gunakan maksud “Dan BERABDILAH kepada Rabb kamu sehingga datang kepada kamu al-yaqin”,
apakah selepas dapat al-yaqin maka kita boleh tidak berabdi kepada Allah? Maka,
kita berabdi kepada siapa selain Allah? Adakah Rabb atau Ilah yang lain selain
Allah?
Tentulah tidak boleh begitu sekalipun sudah memperoleh al-yaqin.
Berabdi atau berhamba kepada Allah mestilah sentiasa. Sudah dapat al-yaqin ke,
belum dapat ke, tetap mesti berabdi kepada Dia. Tak boleh putus pengabdian,
apatah lagi berhenti pengabdian.
Kedua : egitu juga jika kita hendak menggunakan maksud ayat : “Dan SEMBAHLAH Rabb kamu sehingga datang
kepada kamu al-yaqin”. Apakah selepas memperoleh al-yaqin, maka tidak perlu
atau tidak boleh sembah Allah lagi?
Sama juga keadaannya jika ayat itu hendak dikaitkan dengan ibadah
solat arus perdana.
ARIP : Hmmm… saya suka penjelasan ustaz tu.
USTAZ : Saya gunakan tafsiran a-yaqin mengikut pandangan golongan
itu, untuk memudahkan penerangan. Lagi satu - antara al-yaqin generasi hari ini
dengan al-yaqin generasi sahabat, al-yaqin siapa yang lebih hebat?
ARIP : Aduh! Hehe. Saya faham ustaz. Jawapannya sama dengan
jawapan dalam perbincangan kita pada bulan lepas. Para sahabat yang JAUH LEBIH HEBAT al-yaqin
mereka pun, masih tetap mengerjakan solat arus perdana. Apatah pula kita yang
iman senipis kulit bawang ini. Yang tidak tetap mengerjakan solat arus perdana
pada zaman itu hanyalah orang-orang munafik.
USTAZ : Terbaik!
ARIP : Hehe.
USTAZ : Sebenarnya Arip, golongan itu diperdayakan oleh syaitan
dan hawa nafsu sendiri. Waktu mula-mula belajar, kononnya tak boleh solat
kerana belum ma’rifat. Apabila dah belajar dan ma’rifat, tak boleh sembahyang
juga, sebab dah sampai al-yaqin, maka tak perlu solat. Jadi, bila masanya
hendak solat? Selamanya pun tak akan solat arus perdana. Siapa yang seronok?
ADI : Iblis dan tentera-tenteranya le. Kena tipu hidup-hidup namanya
tu ustaz!
ARIP : Hehe. Nampaknya hujah “al-yaqin” pun tak boleh lepas ni
ustaz. Hmmm…
USTAZ : Sudah semestinya. Kalau sudah al-yaqin maka boleh tak
solat arus perdana, dah tentu para sahabat Nabi saw yang utama datang ke masjid
tapi tak solat bersama-sama. Mereka cuma pantau je sahabat-sahabat yang belum
al-yaqin solat berjemaah. Ataupun mereka bergilir-gilir solat arus perdana,
sebab dah al-yaqin. Tetapi… hal itu tidak sedemikian. Semua pakat solat
bersama-sama, baik yang mencapai al-yaqin, ataupun tidak.
ARIP : Saya faham tu ustaz.
CONGAK-CONGAK
CARA KITA
USTAZ : Katakanlah solat arus perdana ni memang Allah TAK TUNTUT
di akhirat kelak. Orang yang tak solat arus perdana rugi tak?
ARIP : Tentulah TAK RUGI, sebab mereka memang tak buat pun.
USTAZ : Orang yang solat arus perdana pulak?
ARIP : Err… tak adalah rugi jugak.
ADI : Cuma, DI DUNIA YANG SANGAT SEKEJAP inilah mereka rugi masa
dan tenaga dok buat solat tu.
USTAZ : Ya. Tetapi, katakanlah solat arus perdana ni MEMANG ALLAH
TUNTUT di akhirat kelak. Orang yang tak solat arus perdana rugi tak?
ARIP : Allah… tentulah RUGI!
ADI : Rugi yang SELAMA-LAMANYA tu!
USTAZ : Orang yang solat arus perdana?
ARIP : Tentulah sangat untung!
ADI : Untung yang selama-lamanya tu!
ARIP : Ish, hang ni! Cuba jangan dok menyampuk cakap orang
tua-tua! Hehe.
USTAZ : Jadi, orang yang BIJAKSANA, di dunia ni dia akan buat ke tidak
solat arus perdana?
ARIP : Yang bijak kena buat le.
USTAZ : Ya. Kalau Allah tak tuntut, dia tak rugi apa-apa. Tapi
kalau Allah tuntut, dia akan untung selamanya. Sekiranya dia tak buat pulak,
dia akan menanggung rugi selamanya.
ARIP : Masuk ke akal juga tu ustaz.
USTAZ : Kena fikir baik-baiklah, sama ada kita nak bertindak
bijaksana ataupun tidak. Bijaksana ni fatanah. Fatanah ni salah satu sifat
utama Rasululah saw. Takkan kita nak ketepikan fatanah.
ADI : Arip, hang nak jadi orang bijak ke orang bengap?
ARIP : Ish, hang ni! Aku boh seliang satgi baru tau! Tertanggal
gigi 14 batang kot! Sat la aku tengah dok canai minda ni! Hehe. Jangan marah
no, melawak ja.
USTAZ : Kesimpulan yang kita nak bawa dalam hal ni… sama ada kita
ada solat cara lain ataupun tak ada, bagi orang yang bijaksana, solat arus
perdana memang dia tak akan tinggal, kerana fardhu.
BEBERAPA LEMBARAN
DARIPADA 70,000 HIJAB
USTAZ : Antara Allah dengan kita ada sangat banyak tirai daripada
nur dan gelap. Nak disebut hijab pun sesuai, nak disebut tabir pun sesuai. Sepanjang
hidup kita di dunia ini, kita mestilah berusaha untuk menyelak tirai demi tirai
ini agar kedudukan atau maqam qalbu kita lebih hampir dengan Raja.
Saya suka untuk kongsikan sedikit tentang maqam-maqam orang-orang
yang ada ilmu dan amal ma’rifah dalam ribuan hijab ini. Saya mulakan daripada
yang terbaik dna seterusnya yang kurang baik dan ke bawah.
i.
Orang yang ada ilmu dan amal ma’rifah, dan dia
MENCINTAI mengerjakan solat arus perdana, kerana dia mencintai Allah.
ii.
Orang yang ada ilmu dan amal ma’rifah, dan dia
TAAT mengerjakan solat, walaupun tidak sampai ke tahap cinta, kerana dia taat
akan Allah. Dia ada berasa bertanggungjawab.
iii.
Orang yang ada ilmu dan amal ma’rifah, dan dia
bersolat kerana TERPAKSA, kerana takut akan kemurkaan Allah. Tetapi
sekurang-kurangnya, dia masih buat juga yang fardhu itu.
iv.
Orang yang ada ilmu dan amal ma’rifah, tetapi
dia mengerjakan solat sekali-sekala sahaja. Namun dia tidak menolak solat, Cuma
jenis MALAS.
v.
Orang yang ada ilmu dan amal ma’rifah, tetapi
dia tidak mengerjakan solat. Namun dia tidak menolak solat. SANGAT MALAS.
vi.
Orang yang ada ilmu dan amal ma’rifah, tetapi
dia TIDAK MAHU mengerjakan solat. Maksudnya dia menolak solat.
vii.
Orang yang ada ilmu dan amal ma’rifah, tetapi
dia MENENTANG mengerjakan solat. Bukan sahaja menolak, bahkan menentang.
Lihatlah kedudukan orang-orang yang TIDAK MAHU dan YANG MENENTANG
daripada mengerjakan solat arus perdana. Dalam tingkatan hijab yang kasar-kasar
sahaja pun, mereka sudah berada pada maqam-maqam yang terbawah. Apatah lagi
jika kita perincikan lagi maqam-maqam itu kepada yang lebih halus-halus.
Apalah ertinya MA’RIFAH buat diri mereka?
ARIP : (Sekali lagi merenung jauh ke dalam kegelapan malam,
menembusi bunyi reriang rimba di sebelah kanan surau)
Tapi ustaz, sekurang-kurangnya mereka ada ma’rifah.
USTAZ : Itu lebih besar mudaratnya! Orang-orang ada ma’rifah ini
ialah orang-orang yang berjawatan. Orang bawah-bawah jika buat kesalahan,
hukumannya biasa-biasa. Tetapi jika orang atas-atas buat kesalahan, hukumannya
sangat berat.
Contoh – Suatu hari raja melintasi sebuah desa. Orang yang tidak
beri hormat kepada raja kerana dia tidak kenal atau tidak ma’rifah akan raja,
dia mungkin akan kena sebat sahaja. Tetapi bagi orang yang memang kenal raja,
dah beberapa kali berjumpa, apabila raja lalu di tepinya dia buat tak tahu je
dan enggan tunduk hormat, silap-silap akan bercerai kepala dari badan.
Dosa orang kenamaan tidak menutup aurat adalah jauh lebih besar
daripada dosa seorang wanita desa yang tidak menutup aurat.
Azazil kan lebih ma’rifah daripada kebanyakan manusia? Sebab
itulah hukuman untuknya adalah selama-lamanya.
ARIP : Fuh… memang makan dalam ni ustaz!
PENGHUJUNG
BICARA
ARIP : Rasanya… malam ni sangat banyak dah yang saya dapat dan
perlukan refleksi. Buat masa ni, cukup dulu kot. Nanti kalau banyak sangat, tak
tahu nak renung yang mana satu.
USTAZ : Elok benarlah tu. Saya setuju. Biar ada ruang yang selesa
untuk bertafakur.
ARIP : Kalau macam tu ustaz, saya nak mintak diri dululah. Ustaz
tolonglah doa-doakan saya sama. Sekiranya ada lagi hal-hal berbangkit yang saya
rasa perlu segera jumpa ustaz, esok lepas Subuh kita sembang lagi, kalau ustaz
tak dak urusan lainlah.
USTAZ : Insya-Allah, boleh.
ARIP : Adi, kalau hang free… malam ni mai lepak rumah aku lah.
Boleh jugak buat kawan bersembang.
ADI : No problem.
(Suara latar belakang : Selepas bersalam-salaman, Arip dan Adi pun
bergerak ke rumah Arip. Tengah malam itu di rumah Arip… isi kandungan perborakan
mereka memang hangat. Esok paginya, sebelum Subuh lagi mereka berdua sudah
berada di surau……)
Abu Zulfiqar
27 Mac 2018
Subscribe to:
Posts (Atom)