PERSOALAN : Assalamualaikum.
Ustaz, artikel ni saya ambil dari themalaysianinsider. Mohon semakan ustaz dan
pencerahan..untuk kebaikan umat Islam. Terima kasih.
(Tajuk artikel itu ialah ) Bila, mengapa dan bagaimana Kristian menggunakan kata ‘Allah’ — Persekutuan Kristian Malaysia.
(Artikel penuh saya letakkan di bawah sekali nanti)
PENJELASAN :
(Artikel itu mempertikaikan ketidakbolehan penganut agama
Kristian menggunakan kalimah “Allah”)
Sebenarnya sesiapapun boleh menggunakan kalimah “Allah”
asalkan ia ditujukan kepada Tuhan sebenar, iaitu satu-satunya Tuhan. Tuhan ini
sudah sedia ada sebelum mana-mana makhluk (termasuklah Jesus, darah, daging,
tulang dan seluruh alam) diciptakan-Nya. Tetapi jika kalimah “Allah” mahu
ditujukan kepada selain Tuhan seperti kepada Jesus, Roh Kudus, Maria, Buddha,
malaikat, dewa-dewi, Betara Guru, Saraswati, manusia (termasuk Jesus), jin,
benda dan sebagainya, maka tentulah tidak boleh.
Memang orang-orang Arab sebelum zaman Nabi Muhammad lagi
sudah menyebut “Allah”, tetapi mereka tidak pernah menujukannya kepada
mana-mana berhala, manusia (termasuklah Jesus), jin, dewa-dewi ataupun mana-mana
makhluk, tetapi kepada satu-satunya Tuhan, iaitu Dia yang sudah sedia ada sejak
sebelum mana-mana makhluk wujud. Orang-orang Arab itu memang tahu akan Allah
tetapi mereka turut menyembah selain Allah. Sebab itulah mereka disebut sebagai
orang-orang yang menyekutukan Allah, mensyirikkan Allah, musyrikin dan
sebagainya.
Penyelesaian masalah ini sangat mudah. Orang Islam
menggunakan nama bagi Tuhan iaitu “Allah” yang diambil terus daripada kitab
suci agama Islam dalam bahasa asalnya iaitu bahasa Arab. Tidak perlu meminjam
nama bagi Tuhan daripada mana-mana bahasa, termasuklah daripada bahasa Melayu
atau mana-mana bahasa Nusantara. Dalam kitab suci agama Islam, nama bagi Tuhan disebut
“Allah”, maka orang Islam di seluruh dunia termasuk di Nusantara terus guna
kalimah “Allah” sebagai nama kepada Tuhan yang Satu itu. Langsung tidak ada
sebarang kekecohan.
Sepatutnya penganut agama Kristian juga begitu. Mereka
mestilah terus menggunakan nama bagi Tuhan mereka yang disebut dalam kitab suci
mereka iaitu dalam bahasa asalnya, bukannya nama kepada Tuhan yang dalam bahasa
Inggeris, bahasa Melayu, bahasa Arab, bahasa Iban, bahasa Kadazan atau
bahasa-bahasa lain. Jika nama bagi Tuhan itu ialah Yehovah (sekadar contoh),
maka terus gunakan sahajalah “Yehovah” sebagai nama kepada Tuhan yang mereka
sembah, walau isi kandungan Bible itu diterjemah ke bahaas apa sekalipun. Jika
namanya “Richard” (sekadar contoh), terus gunakan “Richard”. Kenapa mahu
ditukar-tukar dan dipinjam-pinjam? Kan mudah? Tamat cerita.
Masalah ini timbul apabila penganut agama Kristian tidak
mahu menggunakan nama bagi Tuhan yang disebutkan dalam kitab suci mereka. Entah
mengapa jadi begitu. Adakah kerana malu? Adakah kerana tidak tahu nama Tuhan
dalam bahasa asal kitab suci mereka? Adakah kerana Tuhan mereka tidak ada nama?
Adakah kerana ada tujuan-tujuan tertentu? Atau yang lain-lain?
Secara peribadi, saya selalu berbual-bual dengan penganut
agama Kristian. Kebanyakan mereka tidak tahu pun nama kepada Lord, nama kepada
God, nama kepada Tuhan mereka. Anda boleh tanyakan : “Sebelum Tuhan turun
sebagai Jesus, siapakah nama-Nya?”
Sepatutnya penganut agama Kristian mestilah berbangga
dengan kitab suci mereka dan bahasa asalnya termasuklah kalimah yang berupa
nama kepada Tuhan.
Kata artikel itu : “Walau
bagaimanapun, lebih 60 peratus daripada Kristian di Malaysia hanya bercakap
dalam Bahasa Malaysia, dan perkataan yang digunakan untuk Tuhan di dalam kitab
Bahasa Malaysia (Al-Kitab) sejak terjemahan pada tahun 1731, adalah “Allah”.
Kata ini digunakan oleh Bumiputera Kristian yang menggunakan Bahasa Malaysia
sebagai bahasa pengantara mereka terutama di Sabah, Sarawak, Semenanjung
Malaysia, dan masyarakat Baba di Melaka.”
Zaman dulu orang-orang Islam Nusanatara umumnya belum
mengkaji Alkitab /Bible. Alkitab hanya dibaca oleh orang-orang Kristian. Oleh
itu apa sahaja kesalahan dan kekeliruan yang ada dalam Alkitab tidak diketahui
oleh orang-orang Islam. Orang-orang Islam pun tidak mahu tahu malah
sebahagiannya takut pun untuk membaca Alkitab. Maka berlalulah zaman itu buat
beberapa lama.
Namun apabila zaman berubah, orang-orang Islam Nusantara
sudah mula memahirkan diri dalam ilmu perbandingan agama. Dari situ orang Islam
mula meneliti Alkitab dan kitab-kitab suci agama lain. Barulah ketika itu perkara-perkara
yang tidak kena dalam Alkitab/Bible ditemui secara jelas oleh orang-orang Islam
Nusantara. Sebab itulah baru sekarang isu ini timbul (hendak kata sekarang pun
tidak juga, kerana isu ini sudah saya lontarkan dalam forum-forum di internet
sejak tahun 1999).
Kalimah “Allah” ialah kalimah Arab, bukan kalimah Melayu,
bukan kalimah orang Nusantara. Jika benar penganut Kristian di Malaysia
terutamanya di Sabah dan Sarawak mahu gunakan kalimah tempatan/kalimah
Bumiputera/kalimah warisan, mengapa tidak sahaja menggunakan kalimah “Aki
Kopuno” dan “Kinorohingan”? Bukankah itu gelaran kepada Tuhan menurut ramai orang-orang
bukan Islam di Sabah dan Sarawak zaman berzaman sebelum zaman kedatangan
Kristian lagi? Mengapa hendak juga menggunakan nama Tuhan yang disebut dalam
kitab suci orang-orang Islam?
Kata artikel itu lagi : “Kata “Allah” adalah istilah yang digunakan bagi Tuhan yang tertinggi
di antara tuhan-tuhan, sebelum wahyu Islam. The Shorter Encyclopedia of Islam,
ed. H.A.R. Gibb & J. H. Kramer dan The Oxford Encyclopedia of the Modern
Islamic World, ed. John L. Esposito, menyokong dan mengesahkan pernyataan ini.”
Pada zaman itu Tuhan sebenar iaitu Allah sudah dihinakan
oleh orang-orang Arab jahiliyyah. Mereka anggap Tuhan ada banyak, ada yang
tinggi dan ada yang lebih rendah. Padahal sebelum itu mereka datuk nenek mereka
percaya hanya ada satu Tuhan, tak ada istilah Tuhan tinggi Tuhan rendah Tuhan
besar Tuhan kecil. Itulah yang asalnya.
Apabila Islam datang, Islam berperanan membetulkan semula
pemahaman tentang jawatan Tuhan, dan Islam telah berjaya. Bagi Islam, Tuhan
hanya ada satu, iaitu yang sudah sedia ada sejak sebelum mana-mana makhluk
diciptakan, dan nama Tuhan itu ialah “Allah”. Sebab itu kalimah terpenting
dalam agama Islam ialah “Laa Ilaahaillallaah” (Tidak ada ILAH/Tuhan selain
ALLAH). “Ilah/Tuhan” ialah jawatan, sedangkan “Allah” ialah nama kepada
pemegang jawatan itu. Hanya Allah sahaja yang memegang jawatan Ilah/Tuhan,
tetapi orang-orang zaman jahililiyyah itu sudah membahagi-bahagikan jawatan
Ilah itu kepada selain Allah iaitu seperti kepada berhala, dewa-dewi, jin,
tokoh-tokoh dan sebagainya.
Selepas berjaya, Islam tak akan membenarkan mana-mana
pihak cuba menghina Allah lagi. Jika ada pihak mahu meletakkan kalimah “Allah”
kepada Jesus (yang orang Arab pun tidak berbuat demikian), Islam pasti akan
menghalang. Tidak ada orang-orang terdahulu yang menggunakan kalimah “Allah” kepada
kepada selain Tuhan Yang Satu. Berhala-berhala Al-Lata, Al-Uzza, Manat dan
lain-lain tidak pernah mereka sebut sebagai Allah.
Pada asalnya istilah Allah hanya untuk satu-satunya Tuhan
sebenar. Kemudiannya orang-orang jahiliyyah mula mencipta tuhan-tuhan lain lalu
mengatakan Allah Tuhan Tertinggi, sedangkan yang lain-lain pun Tuhan tetapi
lebih rendah (walaupun yang lain-lain itu bukan Allah). Islam datang untuk
membetulkan semula hal ini kerana yang sebenarnya hanya ada satu Tuhan.
Artikel itu mendakwa : “Kata “Allah” adalah istilah yang digunakan bagi Tuhan yang tertinggi
di antara tuhan-tuhan, sebelum wahyu Islam. The Shorter Encyclopedia of Islam,
ed. H.A.R. Gibb & J. H. Kramer dan The Oxford Encyclopedia of the Modern
Islamic World, ed. John L. Esposito, menyokong dan mengesahkan pernyataan ini.”
Kajian yang dibuat oleh orang-orang yang disebutkan dalam
artikel itu ialah kajian sekerat jalan. Cerita mereka bermula pada zaman manusia
khsusunya Arab Jahiliyyah sudah cipta banyak Tuhan, ketika mereka sudah menyembah
banyak Tuhan. Kenapa para penulis itu tidak mahu memulakan kenyataan mereka ketika
zaman sebelum itu, iaitu ketika manusia percaya hanya ada satu Tuhan iaitu
Allah? Kita boleh faham permainannya di sini.
Dakwa artikel itu : “Penterjemahan
Al-Kitab bukan menterjemah dari Bahasa Inggeris tetapi berdasarkan teks-teks
dari Al-Kitab Ibrani dan teks Yunani. Dalam Bahasa Ibrani, kata “Allah”
mempunyai bentuk akar yang sama seperti Bahasa Arab. Jadi, apabila kata “Allah”
pertama kali diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia, para penterjemah
sebenarnya mengikut penggunaan Bahasa Arab Kristian dan mengekalkan perkataan
“Allah”.
Katanya menterjemah dari Bible Ibrani dan Yunani, mengapa
pula guna bahasa Arab? Terus sahajalah guna apa kalimah untuk nama Tuhan yang
disebut dalam bahasa Ibrani atau Yunani itu. Mengapa hanya nama Tuhan yang diterjemahkan menggunakan
bahasa Arab sedangkan kalimah-kalimah lain terutamanya nama Yesus tidak pula
menggunakan bahasa Arab? Kan kita boleh nampak permainannya di sini?
Dakwanya lagi : “Dalam
Bahasa Melayu, “Allah” bermakna “Tuhan” dan “Tuhan” bermaksud “Lord”.
Ini satu pembohongan. Dalam bahasa Melayu Malaysia, kalimah “Allah” ialah nama kepada Tuhan, sedangkan
kalimah “Tuhan” ialah jawatan kepada Allah.
Contoh : Tun Mahathir ialah nama kepada Perdana Menteri.
Perdana Menteri pula ialah jawatan kepada Tun Mahathir. Antara jawatan dengan
nama orang yang memegang jawatan ialah dua perkara berbeza. Dalam bahasa
Melayu, “Allah” tidak pernah bermakna “Tuhan” dan “Tuhan” tidak pernah bermakna
“Allah”. Nama seseorang dengan jawatan seseorang ialah dua perkara yang
berlainan.
Dari abad ke-16 hingga ke-20 orang Islam Nusantara belum
membaca Alkitab dan belum berusaha membongkar kesalahan-kesalahan di dalamnya.
Apabila umat Islam sudah berjaya membongkar kesalahan-kesalahan itu, maka umat
Islam tidak akan berdiam diri dengan membiarkan sahaja “Allah” diterjemahkan
sebagai God. God itu jawatan, bukan nama kepada Tuhan. Sedangkan Allah ialah
nama kepada Tuhan, bukan jawatannya. Apabila penulis-penulis Alkitab
menterjemahkan “God” (iaitu jawatan Tuhan) sebagai “Allah” (iaitu nama kepada Tuhan),
maka berlakulah kesalahan bahasa yang akhirnya mengelirukan manusia. Sepatutnya
kalimah “God” (iaitu jawatan) diterjemahkan sebagai “Tuhan” (yang juga jawatan).
Dakwa pemulis artikel itu lagi : “Ini sangat jelas melalui satu contoh sahaja. Di dalam Yesaya, Bab 41
dan Ayat 13; 43:3 dan 51:51. “For I am the LORD, your GOD...” diterjemahkan
sebagai “Akulah Tuhan, Allah kamu...”(ALKITAB: Berita Baik. 2001. Edisi Kedua.
Terbitan The Bible Society of Malaysia).”
Disinilah kesilapannya. Perkataan GOD (iaitu satu
jawatan) cuba digantikan dengan perkataan ALLAH (iaitu satu nama, bukannya satu
jawatan). Padahal kedua-dua perkataan dalam ayat itu iaitu LORD dan GOD ialah
jawatan, bukannya nama. Kesilapan yang sudah lama berlaku ini dan sengaja
dibiarkan terus silap tidak boleh dibiarkan, lebih-lebih lagi di negara
Malaysia ini.
Sepatutnya ayat itu diterjemahkan sebagai : “Sebab Aku ini
TUAN, (iaitu) TUHANMU.”
Selain itu, kita juga ingin bertanya kepada orang-orang
Kristian yang memperjuangkan isu ini, siapakah nama kepada Tuhan menurut Bible?
(Bertanya bukan bermaksud tidak tahu, tetapi mahu membuatkan mereka berfikir
dan berulah kemudiannya memberikan jawapan).
Perkataan Allah jelas ada dalam Quran tapi tidak pernah
ada dalam Bible. Jadi kalimah “Allah” tidak ada kaitan dengan agama Kristian.
Yang berkait dengan agama Kristian ialah kalimah Yehovah, Yahweh, El, Elohim,
Eloah dan seumpamanya. Barulah ia bersesuaian
dengan Perkara 11(1) dan 11(5). Sila gunakan kalimah asal untuk nama kepada
Tuhan Kristian yang ada dalam kitab Bible yang asal. Dengan itu tidak ada sesiapapun
yang akan mengganggu penganut agama Kristian. Berbanggalah dengan bahasa asal
kitab suci Kristian. Gunakanlah nama untuk Tuhan sebagaimana yang dinyatakan
dalam kitab suci kalian, maka kita tidak perlu saling berbalah lagi.
Jalan penyelesaiannya mudah, terpulang kepada kalian.
Tapi jika masih mahu menggunakan nama “Allah”, sila baca
sebuah artikel lama saya ini :
ANTARA SYARAT PENGGUNAAN NAMA "ALLAH" OLEH
BUKAN MUSLIM
Abu Zulfiqar (9 Januari 2013)
Saranan saya, sekiranya orang bukan Islam terutamanya penganut Kristian mahu menggunakan “Allah” dalam Bible/Alkitab dan lain-lain, pada muka surat awal setiap Bible/Alkitab itu mestilah dituliskan dengan jelas akan perkara di bawah (sekadar satu contoh ringkas). Hal ini akan dapat mengelakkan mereka daripada sengaja/tak sengaja menyalahgunakan “Allah”.
“Allah” yang dimaksudkan dalam kitab Bible/Alkitab ini mempunyai ciri-ciri berikut :
1. Allah ada, sentiasa ada, tidak pernah tidak ada. Apa atau sesiapa sahaja yang pernah tidak ada, sedang tidak ada, atau akan tidak ada, bukanlah Allah.
2. Allah sudah sedia ada sejak awal, sejak azali, sebelum mana-mana makhluk diciptakan termasuklah Jesus, Nabi Isa, malaikat Jibril, malaikat Gabriel, tempat, arah, sempadan, batas, tepi, warna, cerah, gelap, langit, bumi, ‘arasy, naik, turun dan sebagainya. Malahan Allahlah yang menciptakan itu semua. Oleh itu Allah tidak pernah walau sekejap dipengaruhi oleh tempat, langit, ruang, posisi, warna, arah, rupa, daging, darah atau apa-apa makhluk pun. Apa atau sesiapa sahaja yang pernah terpengaruh dengan mana-mana satu sahaja daripada semua itu walaupun sesaat atau kurang, bukanlah Allah. Apa atau siapa sahaja yang lebih muda daripada Allah, wujud kemudian daripada Allah, bukanlah Allah tetapi makhluk ciptaan Allah.
3. Allah tidak pernah berubah. Zat Allah tidak pernah mengalami sebarang perubahan. Apa sahaja yang mengalami perubahan ialah makhluk, bukan Allah. Contoh perubahannya ialah seperti kecil besar, tua muda, kuat lemah dan sebagainya.
4. Allah dan makhluk saling bertentangan. Zat Allah langsung tidak pernah sama dengan zat makhluk, zat makhluk langsung tidak pernah sama dengan Zat Allah.
5. Allah sentiasa berkuasa, tidak pernah lemah. Apa sahaja yang pernah mengalami kelemahan, kekalahan, ketuaan, kelupaan, kecuaian dan sebagainya bukanlah Allah tetapi makhluk.
6. Allah ialah Tuhan kepada seluruh makhluk, tetapi bukan seluruh makhluk berTuhankan Dia, berIlahkan Dia. Ada juga makhluk yang berTuhankan manusia, malaikat, dewa-dewi, berhala, iblis, syaitan, alam semesta, fikiran sendiri dan sebagainya.
7. Allah sentiasa tahu, tidak pernah tidak tahu. Allah mengetahui segala-galanya. Allah sudah sedia tahu apa sahaja yang akan berlaku. Apa atau siapa sahaja yang pernah tidak tahu walau sekali, ia/dia bukan Allah tetapi makhluk yang diciptakan oleh Allah.
8. Allah tidak boleh diperintah-perintah, kerana hanya Dia yang memerintah. Apa sahaja yang boleh diperintah dan menurut perintah walau sekali, bukanlah Allah tetapi makhluk ciptaan Allah.
9. Tidak ada suatu apa pun yang setara/setanding/sebanding dengan Allah.
10. Allah tidak boleh digambarkan oleh fikiran makhluk, kerana Dia sangat hebat sehinggakan ZatNya tidak boleh tercapai oleh akal fikiran manusia dan lain-lain makhluk. Apa atau siapa sahaja yang boleh digambarkan oleh fikiran makhluk, apatah lagi jika boleh dilihat oleh makhluk, bukanlah Allah tetapi makhluk ciptaan Allah.
11. Allah bukan Jesus, bukan Ruh Kudus, bukan Maryam, bukan mana-mana malaikat dan bukan mana-mana makhluk. Jesus, Ruh Kudus, Maryam, para malaikat dan mana-mana makhluk juga bukanlah Allah.
Sekiranya ada pada mana-mana tempat, walaupun satu tempat dalam kitab Bible/Alkitab ini yang menunjukkan “Allah” tidak mempunyai walau satu sahaja daripada ciri-ciri di atas, maka Bible/Alkitab ini sudah menyelewengkan penggunaan nama “Allah”. Oleh itu Bible/Alkitab ini hendaklah dirampas, dimusnahkan, diharamkan, dilarang pengedarannya oleh pihak berkuasa, dan pihak-pihak yang terlibat dalam penghasilan Bible/Alkitab ini mesti dikenakan tindakan yang sesuai oleh pihak berkuasa.
Saya yakin, jika peraturan sebegini dikenakan, para penganut agama Kristian itu tidak akan berani pun meletakkan “Allah” dalam Bible/Alkitab mereka, kerana secara automatik ia akan membatalkan ajaran Triniti dan melemahkan ajaran Unitari, serta mengukuhkan kebenaran agama Islam, iaitu sesuatu yang sangat-sangat mereka takuti.
Kesimpulannya, bolehkah dan bersetujukah kita jika orang-orang bukan Islam menggunakan “Allah”?
Jawapannya, boleh dan setuju sekiranya sebutan “Allah” itu diletakkan di tempat yang tepat, sesuai dan selayak dengan-Nya. Dan tidak boleh dan tidak setuju sekiranya nama “Allah” itu diletakkan/digunakan pada tempat yang tidak tepat, tidak sesuai dan tidak selayak dengan-Nya.
Bible/Alkitab sebuah kitab yang tebal. Ia terdiri daripada Perjanjian Lama (Old Testament) dan Perjanjian Baru (New Testament). Setiap satunya terdiri daripada banyak kitab-kitab kecil.
Dalam banyak-banyak kitab kecil yang berada dalam Perjanjian Baru (New Testament), terdapat 4 kitab yang dinamakan Injil (Gospel).
Saranan saya, sekiranya mereka mahu menggunakan nama “Allah” dalam Bible/Alkitab, kemasukan sebutan “Allah” itu mestilah dibuat secara berperingkat-peringkat, sedikit demi sedikit, bukannya dimasukkan dan dicetak terus dalam keseluruhan kitab Bible/Alkitab. Hal ini supaya pihak pemerintah, para ulama dan orang-orang Islam yang berkeahlian dalam ilmu agama-agama dan ilmu perbandingan agama membuat semakan sama ada betul ataupun tidak letak kedudukan nama “Allah” dalam Bible/Alkitab itu. Apabila sudah disahkan betul, maka barulah bahagian itu boleh dicetak, disebar dan digunakan oleh orang bukan Islam.
Contoh – Terjemahkan terlebih dahulu hanya 1 Gospel iaitu Gospel Matthew/Matius dan dimasukkan nama “Allah”. Setelah siap, pihak-pihak yang disebutkan tadi akan membuat semakan. Sekiranya betul penggunaan nama Allah di dalamnya, barulah diluluskan. Sekiranya tidak betul, hendaklah dibuat pembetulan dan semakan semula. Begitulah seterusnya.
Dengan langkah-langkah yang disebutkan, nama “Allah” tidak akan disalahgunakan, insya-Allah. Malahan, sebahagian orang bukan Islam pula yang akan terdorong untuk mengakui kebenaran agama Islam. Wallahua’lam. Tamat artikel lama.
Abu Zulfiqar
16 Mei 2013
Artikel yang kita jawab ini ialah :
Bila, mengapa dan bagaimana Kristian menggunakan kata ‘Allah’ — Persekutuan Kristian Malaysia
16 MEI — Tujuan dokumen ini adalah untuk menjelaskan secara ringkas kepada orang-orang Kristian yang tidak faham bila, kenapa dan bagaimana Gereja-gereja di Malaysia menggunakan kata “Allah”. Ia juga untuk orang Kristian yang keliru tentang bagaimana harus bertindak apabila berhadapan dengan orang bukan Islam yang jahil tentang penggunaan kata “Allah” dalam agama Kristian.
Terdapat banyak
(tidak tepat) kenyataan bukan Kristian yang mendakwa bahawa kita tidak boleh
menggunakan kata “Allah” kerana ia adalah istilah eksklusif untuk agama Islam
yang merujuk kepada Tuhan Islam dan hanya boleh digunakan oleh orang Islam. Ia
merupakan masalah pelik di Malaysia kerana di negara-negara Islam yang lain, di
negara Arab penganut Kristian berbahasa Arab menggunakan kata “Allah”.
Umat Kristian
sendiri kadang-kadang jahil kecuali jika kita berdoa dalam Bahasa Malaysia, kita
berdoa kepada “Allah” dalam bahasa kita sendiri. Sebagai contoh, dalam Bahasa
Inggeris, kita tidak menggunakan kata “Allah”.
Walau bagaimanapun, lebih 60 peratus daripada Kristian di Malaysia hanya bercakap dalam Bahasa Malaysia, dan perkataan yang digunakan untuk Tuhan di dalam kitab Bahasa Malaysia (Al-Kitab) sejak terjemahan pada tahun 1731, adalah “Allah”. Kata ini digunakan oleh Bumiputera Kristian yang menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantara mereka terutama di Sabah, Sarawak, Semenanjung Malaysia, dan masyarakat Baba di Melaka
Sejarah Makna dan
Penggunaan
1. Kata “Allah”
adalah istilah yang digunakan bagi Tuhan yang tertinggi di antara tuhan-tuhan,
sebelum wahyu Islam. The Shorter Encyclopedia of Islam, ed. H.A.R. Gibb &
J. H. Kramer dan The Oxford Encyclopedia of the Modern Islamic World, ed. John
L. Esposito, menyokong dan mengesahkan pernyataan ini.
2. Dari segi
sejarah, penganut Kristian berbahasa Melayu di Asia Tenggara telah menggunakan
“Allah” untuk merujuk kepada Tuhan. Buktinya adalah seperti berikut:
• Wujudnya Kitab
salat as sawai atau Katekismus Kristian di dalam Bahasa Melayu telah ditulis
pada tahun 1514 dan diterbitkan sekitar 1545,
• Telah ada versi
cetakan Injil Matius di dalam Bahasa Melayu oleh A.C. Ruyl pada tahun 1629, 2
• Kamus
Melayu-Latin telah dicetak di Roma pada tahun 1631 (Dictionarium The
Malaicum-Latinum dan Latinum — Malaicum)
• Terjemahan Kitab
Kejadian oleh D. Brouwerius (1662),
• Terjemahan M.
Leijdecker (1733),
• Terjemahan H.C.
Klinkert (1879),
• Terjemahan W.A.
Bode (1938), dan
• Pada tahun
1731-1733, telah wujud Al-Kitab Bahasa Melayu lengkap mengandungi kata “Allah”
iaitu terjemahan untuk “God”.
3. Oleh itu, sejak
awal lagi, kata “Allah” telah digunakan dalam liturgi, doa-doa dan ibadat orang-orang
Kristian yang bertutur dalam Bahasa Malaysia. Tetapi selama berabad-abad itu,
tidak ada bantahan atau kegemparan mengenai penggunaan kata “Allah”.
Bahasa
Bantahan terhadap
penggunaan kata “Allah” kebanyakannya berpunca dari wacana politik, atau di
kalangan mereka yang membantah dengan tuduhan bahawa penterjemahan dan
penggunaan kata “Allah” baru sahaja berlaku. Ini tidak benar kerana sebab-sebab
berikut:
1. Dalam
bahasa-bahasa Semitik, kata “Allah” telah digunakan secara meluas di Timur
Tengah sejak abad ke-5 SM, sehingga masa perkembangan Islam dan penyebaran
Bahasa Arab pada abad ke-7 M.
2. Penterjemahan
Al-Kitab bukan menterjemah dari Bahasa Inggeris tetapi berdasarkan teks-teks
dari Al-Kitab Ibrani dan teks Yunani. Dalam Bahasa Ibrani, kata “Allah”
mempunyai bentuk akar yang sama seperti Bahasa Arab. Jadi, apabila kata “Allah”
pertama kali diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia, para penterjemah
sebenarnya mengikut penggunaan Bahasa Arab Kristian dan mengekalkan perkataan
“Allah”.
3. Seperti yang
dinyatakan sebelum ini, kata “Allah” digunakan sebelum kedatangan Islam. Ia
bukan ciptaan umat Islam dan kewujudannya tidak bermula di dalam Al-Quran.
Haruskah Kristian
Menggantikan kata “Allah” dengan “Tuhan”?
Ini tidak mungkin
atas sebab-sebab berikut:
1. Dalam Bahasa
Melayu, “Allah” bermakna “Tuhan” dan “Tuhan” bermaksud “Lord”. Ini jelas
apabila kita membaca Al-Kitab, “Allah” dan “Tuhan” digunakan di dalam Al-Kitab,
dan kedua-duanya mempunyai konotasi yang berbeza. Oleh itu “Allah” tidak boleh
digantikan dengan “Tuhan”.
2. Kata Tuhan telah
digunakan untuk Yesus Kristus iaitu Tuhan Yesus. Sekiranya Kristian
menggantikan kata “Allah” untuk Tuhan, ia menimbulkan banyak kekeliruan dan
tidak keruan yang merujuk kepada Tuhan dan Yesus kerana:
• Makna “Allah” dan
Tuhan adalah berbeza.
• Ini sangat jelas
melalui satu contoh sahaja. Di dalam Yesaya, Bab 41 dan Ayat 13; 43:3 dan
51:51. “For I am the LORD, your GOD...” diterjemahkan sebagai “Akulah Tuhan,
Allah kamu...”(ALKITAB: Berita Baik. 2001. Edisi Kedua. Terbitan The Bible
Society of Malaysia).
• Ia akan
mewujudkan situasi tidak masuk akal jika orang Kristian perlu menterjemahkan
frasa alkitabiah “Lord God” sebagai Tuhan Tuhan. Pengulangan kata Tuhan Tuhan
menunjukkan jamak di dalam Bahasa Malaysia, ia seolah-olah memperlihatkan
bahawa agama Kristian percaya akan banyak tuhan, ini adalah sesuatu yang tidak
boleh diterima.
• Umat Kristian
berbahasa Malaysia tidak akan dapat mengesahkan ketuhanan Yesus Kristus dan
mengajar doktrin Tritunggal kerana dua perkataan ini adalah kata-kata asas dan
penting untuk mengekalkan serta menyampaikan kebenaran ini.
Kesan-kesan
Larangan Kata “Allah”
1. Dinafikan untuk
menggunakan kata “Allah” adalah melanggar hak perlembagaan kebebasan beragama
rakyat Malaysia di bawah Perlembagaan Persekutuan. Perkara 11 Perlembagaan
Persekutuan melindungi hak setiap rakyat Malaysia untuk menganut agama dan
amalan pilihan masing-masing. Perkara 11 (3) jelas memperuntukkan bahawa setiap
kumpulan agama mempunyai hak untuk mengurus hal ehwal agama mereka sendiri.
2. Pada tahun 2011,
Mahkamah Tinggi memberikan penghakiman yang membenarkan Gereja Katolik
menggunakan perkataan “Allah”. Kerajaan (semua rakyat Malaysia, termasuk Kristian)
membawanya ke Mahkamah Rayuan dan ia masih belum selesai.
3. Selain itu,
terdapat juga pelanggaran hak menggunakan kata-kata penting dalam Al-Kitab
Bahasa Malaysia. Lihat arahan 5 Disember 1986 daripada Kementerian Hal Ehwal
Dalam Negeri menyatakan bahawa, sebagai tambahan kepada “Allah”, kata-kata
Al-Kitab, Firman, Rasul, Iman, Ibadah, Injil, Wahyu, Nabi, Syukur, Solat dan
doa adalah tidak boleh digunakan dalam Al-Kitab. Di samping itu, membuat
larangan melalui fatwa hanyalah relevan dengan umat Islam sahaja dan tidak
terpakai kepada bukan Islam.
4. Melarang
penggunaan kata “Allah” dan istilah-istilah lain adalah tidak adil. Kristian
Bumiputera perlu diberi penghormatan dan kebebasan untuk memanggil Tuhan dalam
satu-satunya bahasa yang mereka. Ini adalah penting bagi identiti agama dan
budaya mereka.
5. Jika
gereja-gereja di Malaysia bersetuju untuk berhenti menggunakan kata “Allah”,
bermakna hak untuk mengedit Kitab Suci agama utama dunia telah diberikan kepada
sebuah kerajaan sekular. Ini akan menjadi satu perkara memalukan dan kejadian
yang belum pernah berlaku pada mana-mana agama dan kerajaan.
Kesimpulan
Sesetengah umat
Islam mendakwa berulang kali bahawa orang Kristian di Malaysia enggan berhenti
menggunakan kata “Allah” kerana mahu mengelirukan umat Islam dan memurtadkan
penganut Islam, sekali gus menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara.
Tuntutan itu adalah tidak berasas kerana tiada bukti penggunaan kata ini
membawa ancaman keselamatan negara. Tuduhan ini kekal sebagai tidak berasas.
Sebaliknya, keadaan
sebegitu dibuat kerana jahil dengan hakikat bahawa apabila orang Kristian
menggunakan Al-Kitab, ia adalah khusus untuk umat Kristian berbahasa Malaysia.
Gereja-gereja di Malaysia tidak pernah mencadangkan untuk mengubah kata “Allah”
dan “Lord” kepada “Allah” dan “Tuhan”, begitu juga bahasa-bahasa lain dalam
Al-Kitab.
No comments:
Post a Comment