Kajian dan pemerhatian ringkas tentang Al-Quran, As-Sunnah (hadis), agama-agama dunia, kitab-kitab suci pelbagai agama, manuskrip-manskrip kuno, alam semesta (bumi dan angkasa lepas), ilmu perbandingan agama, sejarah, peristiwa-peristiwa akhir zaman, kiamat, alam akhirat, alam ghaib, sains, astronomi (falak) dan lain-lain ilmu alam.

Friday, January 06, 2012

17. Kematian

BAB 17 - Kematian

“Tu la Abang Man... Era dah cakap... tak mau ‘dating’ kat sini,” remaja wanita itu melepaskan perasaannya dengan suara terputus-putus, termengah-mengah. Dia masih berlari-lari anak di belakang temannya. Sesekali dia menoleh ke belakang. “Auww!” lagi pipinya tergores dek tumbuhan hutan. “Aduuhhh, sakitnya! Habis muka Era!”

“Lari terus Era! Yang penting... nyawa kita selamat!” balas temannya. Tangannya juga habis calar-balar menyelak tumbuhan untuk membuka laluan.

“Ni mesti... Tuhan marah kat kita ni bang!”

“Itu le... ‘dating’ tu kan maksiat?... Nasib baik tak mati!”

“Lepas ni tak mahu le ‘dating-dating’ dah bang... Era... takut le!”

“Ye lah... kalau Tuhan... selamatkan kita kali ni... lepas ni...tobat tak mahu ‘dating’ dah!”

Sudah sepuluh minit pemandu berbangsa Melayu itu meredah hutan kecil tetapi masih gagal mendapatkan orang-orang yang dicarinya. Nampaknya budak-budak itu sudah terlepas. Satu keadaan yang berbahaya, tapi apa boleh buat. Dia mengambil keputusan untuk berpatah balik, keluar ke padang peringatan.

Dari ekor matanya, si pemandu terperasan pepohon kecil di kanannya sejarak lebih kurang dua puluh meter bergoyang-goyang keras. Pasti budak-budak itu, fikirnya. Secepat kilat tubuh dan tangannya beralih ke arah rimbunan itu. Empat das tembakan dilepaskan ke arah itu. “Arghhhhh!” tembakan ke empat menemui sasarannya. “Yesss!” kata si pemandu agak kuat. Dia bergerak meredah hutan dengan pantas untuk melihat hasilnya.

“Oh, noo... Paul!” jerit si pemandu sebaik-baik sahaja tiba di rimbunan tempat dia melepaskan tembakan tadi. Tersandar di perdu pokok ialah rakannya si lelaki India. Bahu kiri lelaki India itu terkena tembakan. Pakaiannya di bahagian lengan dan dada dimerahi darah.

“Arghhhh!” Paul mengerang kesakitan. Peluru tidak bermata. Bahu kirinya dibaham keras sebutir peluru dari muncung pistol sahabatnya sendiri. “Deen, apa you sudah buat? You buta ka?”

“I’m very very sorry Paul. Memang aku tak nampak! Aku ingat diaorang tadi!” balas rakannya. Selepas meneliti luka Paul buat beberapa ketika, si pemandu mengangkat Paul lalu memapahnya keluar dari hutan kecil itu. Bersusah-payah mereka bergerak. Tiba di padang peringatan, Paul disandarkan ke salah sekeping batu peringatan itu, yang kebetulan tertera padanya nama ‘Paul’ juga. Ketika itu juga kenderaan mereka di tebing jalan menderum. Si pemandu mengangkat kepalanya melihat ke arah jalan. Kelihatan budak Cina yang mereka kejar tadi berada di tempat duduk pemandu. Kemudian kenderaan mereka meluncur laju lalu menghilang. Derumannya semakin sayup.

Marahnya si pemandu bukan kepalang. Habis segala sumpah seranah keluar dari mulutnya. Ditendangnya salah satu batu peringatan, terbelah dua dibuatnya.

@@@@@@@@@@

Sebaik-baik sahaja budak bertiga itu menghilang dalam hutan di kaki bukit, kenderaan besar pacuan empat roda tiba. Kenderaan itu berhenti di hadapan kereta Mitsubishi Galant berwarna putih. Dari kenderaan itu turun dua orang lelaki. Mereka kelihatan tergesa-gesa. Tanpa menoleh ke arah pasangan suami isteri di gigi air itu, mereka terus berlari-lari anak masuk ke jalan yang dilalui oleh budak-budak bertiga tadi. Di dalam kenderaan itu masih ada dua orang. Pedal minyak ditekan keras, berdesup kenderaan itu bergerak lalu membelok ke kanan, seolah-olah sedang mengejar sesuatu. Pasangan suami isteri di gigi air tadi berpandangan sesama sendiri. Mungkin mereka berasa bingung dengan keadaan kelam-kabut sebegitu.

@@@@@@@@@@

“Ni Piyan, aku nak pi bawah sat, nak kencing la pulak! Aku boh beg kat batu besaq ni ha,” kata Seman lalu meniti dari batu ke batu menghilir sungai. Lincah gerakannya.

“Ok,” jawab Piyan ringkas. Beg galasnya yang berisi peralatan memasak masih tergalas di belakangnya. Dalam beberapa saat bayang Seman pun hilang.

Air di lubuk membuak kecil. Terpacul kepala Khairi. Tercungap-cungap dia memenuhkan paru-parunya dengan udara segar. Dia cuba mencari Seman atau Piyan, tapi tidak kelihatan. Tiba-tiba matanya membulat. Tanpa berfikir panjang, cepat-cepat dia menarik nafas panjang lalu menenggelamkan tubuhnya ke dalam air kembali.

“Bamm! Bamm!” dua das tembakan menghentam Piyan yang sedang leka melihat aliran air dari arah belakang. Dengan sebutan “Allah!”, tubuh Piyan terdorong ke depan lalu jatuh tertiarap di atas batu-batu kecil di gigi air. Serta-merta air sungai bertukar menjadi warna merah. Tubuh Piyan diam tidak bergerak-gerak.

“Piyan! Ya Allah!” pekik Seman dari bawah. Sambil itu matanya mencari-cari arah punca tembakan. Ya, Seman sudah dapat. Dilihatnya dua orang lelaki bergerak pantas dari dalam hutan kecil menuju ke arahnya. Apa lagi, Seman berpaling lantas meluru turun ke arah hilir anak sungai. Begitu tangkas dia meloncat dari batu ke batu dan meredah anak-anak pokok.

Seman terdengar tiga das tembakan dari arah belakang, tapi tidak ada satu pun yang mengenainya. Zikir khafi Seman tidak terputus. Doa pun doa, usaha pun usaha. Ternyata dua orang lelaki itu bukan tandingan Seman yang penuh stamina. Semakin lama semakin jauh dia meninggalkan mereka.

Selepas meredah hutan, Seman tiba di jalan tar menuju ke empangan air besar di kaki Bukit Larut. Jalan rata menambahkan keyakinannya untuk selamat. Dia berlari sekuat-kuatnya agar dapat sampai ke jalan besar.

“Hangpa nak kejar aku kat sini ya? Sorry la brader! Jalan macam ni aku yang punya!” kata Seman dalam hatinya, berisi kegeraman. Tapi memang benar, kedua-dua orang pengejar berhenti termengah-mengah di jalan tar sebelum menyambung kejaran mereka, sedangkan larian Seman semakin kemas dan lancar.

“Allamak, apa pulak yang makcik dengan pakcik ni buat kat sini? Naya betoi la depa ni!” hati Seman bermonolog lagi ketika melihat pakcik berkopiah putih dan makcik berkain batik berdiri di jalan tar lebih kurang dua puluh meter di depannya. Pasangan suami isteri itu kelihatan tercangak-cangak menyaksikan Seman yang sedang berlari dengan bergayanya, seolah-olah sedang dalam satu pertandingan larian jarak sederhana.

“Pakcik, makcik, larghi!” pekik Seman. “Laghi pakcik, makcik, ada oghang jahat!” katanya lagi. Seman memperlahankan lariannya. Tiba sahaja di depan pasangan itu, Seman memegang tangan kedua-duanya lalu cuba menarik mereka untuk melarikan diri. Namun tangan Seman ditepis.

“Pakcik, makcik, bahaya! Baik laghi cepat!”

“ Dengar sini baik-baik!” kata si pakcik, tegas. Kedua-dua belah tangannya memegang bahu Seman. “Kamu boleh memandu kereta tak?” Seman terpinga-pinga, tapi dia mengangguk. “Baik. Sekarang pergi ke kereta saya, kunci kereta ada kat situ, ‘start’ kereta, dan tunggu kami datang.” Seman ternganga mendengar arahan si pakcik.

Sementara itu si makcik menyelak sedikit baju Kedahnya di bahagian belakang, memasukkan tangan kanannya, dan mengeluarkan sepucuk pistol. Nganga Seman bertambah luas, melebihi tahap maksima. “Pap!” muka Seman ditempeleng oleh si makcik. “Pergi sekarang kalau nak selamat!” Bagaikan terpukau Seman terus berlari menuju kereta putih milik pasangan itu.

Sebaik-baik sahaja Seman pergi, suami isteri itu mengambil tempat di kiri kanan jalan, dalam semak samun. Si pakcik turut mengeluarkan sepucuk pistol dari dalam bajunya. Mereka menanti penuh waspada.

Dua lelaki yang mengejar sudah datang. Ketibaan mereka disambut meriah oleh gerutu bunyi peluru dari kiri kanan jalan. Lelaki yang berada di hadapan terus rebah ke bumi. Rakannya di belakang membalas tembakan dengan dua pucuk pistol sekaligus. Pakcik makcik terpaksa merendahkan diri mencari perlindungan. Lelaki itu melihat temannya yang rebah berlumuran darah. Hendak dibawa lari memang mustahil. Kalau ditinggal dan tidak mati, tentu pecah rahsia. Mahu tak mahu dia terpaksa menamatkan riwayat temannya. Dengan satu tembakan di kepala, temannya terus diam bagaikan kayu. Kemudian dia terus menghujankan peluru ke arah pakcik makcik.

“Berundur!” arah si pakcik. Kedua-duanya bangun dan melepaskan beberapa das tembakan balas walaupun mereka tidak pasti kedudukan pihak musuh. Kemudian pakcik makcik berlari sekuat hati menuju ke kereta. Letupan pistol terus berbunyi di belakang mereka.

“Jalan terus!” arah si pakcik kepada Seman sebaik-baik sahaja masuk ke tempat duduk hadapan. Si makcik masuk melalui pintu belakang. Seman pun terus memecut walaupun dia kurang mahir memandu kereta.

@@@@@@@@@@

Perlahan-lahan muka Khairi muncul di permukaan air. Kali ini hanya bahagian mukanya sahaja yang bersentuhan dengan udara, kepala dan badannya masih berselimut air lubuk jernih kehitam-hitaman itu. Diperhatinya sekeliling dengan cermat. Lebih kurang dua minit juga dia mengapungkan dirinya begitu. Setelah tidak mengesan sebarang pergerakan ataupun bunyi yang mencurigakan, Khairi keluar dari lubuk. Berderai air berjatuhan dari badannya ke atas batu-batu sungai. Di tangannya ada busur sakti.

Tadi Khairi tidak jadi menimbulkan dirinya kerana dia ternampak dua orang lelaki berpistol susup-sasap di dalam hutan. Ketika dia menenggelamkan dirinya kembali, dia terdengar dua das tembakan. Entah siapa sasarannya.

Dengan terjengket-jengket Khairi menyusup masuk ke hutan kecil di hadapannya. Dia duduk bertinggung di sebalik rimbunan dedaun dan anak-anak pokok. Senyap. Matanya liar memerhati sekeliling. Tiada siapa. Sayup-sayup Khairi terdengar bunyi berbalas tembakan di kaki bukit. Perutnya yang sedia kecut bertambah kecut.

Lima minit berlalu. Khairi belum berani keluar. Badannya masih tergigil-gigil kesejukan dek air lubuk. Mulutnya kumat-kamit membaca ayat-ayat Al-Quran dan doa. Setelah berasa yakin, Khairi bangun dan memantau sekelilingnya. Dia berlari-lari anak lalu melompat ke atas sebiji batu besar. Dia ternampak sesuatu!

Khairi melompat turun ke tanah. Dia berlari ke satu arah. “Allahu Akbar! Piyan! Allahu Akbar!” Khairi segera mendapatkan tubuh Piyan yang tertiarap di atas batu-batu kecil. Sebahagian tubuh Piyan berada di dalam air yang kemerah-merahan. Khairi mengangkat badan Piyan lalu menyeretnya ke darat. Sahlah dua das tembakan yang didengarnya dari dalam air tadi mensasarkan Piyan.

“Innalillah.......”

@@@@@@@@@@

1 comment:

Lasqarpelangi said...

assalamualaikum ustaz ..ngah tunggu bab 18 ni..he

Related Posts with Thumbnails