Kellie's Castle/ Istana Kellie ini terletak di Batu Gajah, Perak. Gambar ini diambil dari tempat letak kereta. Di seberang sungai, di atas bukit... memang sesuai untuk lokasi sebuah istana (walaupun sebenarnya Kellie's Castle ini ialah sebuah rumah besar, bukannya istana). Untuk ke sana kita kena menyeberangi sungai... melalui jambatan. Jom!
Pemilik asal rumah ini iaitu Mr. William Kellie Smith ialah seorang jutawan (saya kira ketika itu dia bertaraf billionaire) getah dan timah dari Scotland. Dia pernah ke India dan tertarik dengan senibina India. Oleh itu dia membawa tukang dan bahan binaan dari Madras, India untuk membina 'istana' ala Moghul idamannya di Tanah Melayu pada sekitar tahun 1910.
Bangunan ini mempunyai 14 buah bilik, bilik bawah tanah dan dua lorong rahsia. Cerita tentang rumah ini pernah disiarkan oleh akhbar London Financer pada 15 September 1911. Akhbar itu mengatakan Kellas House (nama lain bagi bangunan ini) merupakan bangunan yang paling unik di Timur Jauh.
Bangunan suku siap ini berada di belakang bangunan utama Istana Kellie.
Pemandangan dari sisi rumah besar ini. Cantik kan?
Pintu masuk ke Kellie's Castle. Apakah ini pintu masuk asalnya? Mungkin ini pintu sisi. Bahagian sebelah kanan itu ada ruang untuk lif, lif yang pertama di Tanah Melayu.
Kebetulan Silat Serimau Hitam (asalnya Selima Hitam, iaitu nama sejenis baju tetapi digarangkan bunyinya menjadi 'serimau') sedang 'shooting' di sini. Kelihatan juga beberapa orang pesilat mat salleh (tak pasti sama ada dari perguruan yang sama ataupun lain), antaranya ada yang memakai t'shirt bertulis 'Guru'.
Pemandangan dari salah sebuah bilik di tingkat pertama. kelihatan Sungai Kinta dan jambatan masuk ke kawasan istana. Istana ini dibina di kawasan yang strategik lagi cantik.
Bumbung-bumbung istana ini mendatar dan tidak bertebing/ bertembok. Silap-silap bergurau boleh jatuh ke bawah. Bumbung di sebelah kanan (kelihatan lelaki berbaju belang biru di atasnya) hendak dibuat gelanggang tennis. Malangnya bangunan ini tidak sempat disiapkan kerana pemiliknya meninggal dunia di Lisbon, Portugal pada tahun 1926. Bumbung tertinggi tu pula memang tinggi dan berangin. Bergoyang kaki saya di tempat-tempat yang tinggi, kerana gayat : )
Subhanallah.... pemandangan yang sangat indah.
Bayangkan diri anda sebagai salah seorang ahli pasukan memanah di atas ini, sementara di bawah sana ribuan askar musuh sedang mara ke dinding kota.
Kumpulan silat sedang merakamkan demo berkerambit di tepi istana.