*Artikel ini dikemaskini pada 21 Februari 2011
PENDAHULUAN
Baru-baru ini saya terjumpa senaskah buku Sejarah Melayu karya/ susunan Tun Sri Lanang (Bendahara Kerajaan Johor selepas kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka). Sambil membaca, saya notakan beberapa persoalan yang bermain di fikiran. Segala persoalan itu saya kongsikan di sini... sekadar pandangan/ kajian biasa, bukannya kajian bertaraf professional. Lagi pun kita faham-fahamlah, ketulenan kitab Sejarah Melayu ini memang disangsikan.
Asalnya Sejarah Melayu ini dari Melaka, dibawa orang ke Goa, diambil semula oleh Tun Sri Lanang di Johor, diambil pula oleh penjajah, barulah dapat kembali ke tangan kita. Itu pun bukan manuskrip asalnya. Entah berapa kali pengubahsuaian dan kesalahfahaman penyalin termuat di dalamnya. Namun begitu, masih ada petunjuk-petunjuk tertentu yang mungkin berguna untuk kita di akhir zaman ini. Sebab itu kita tidak sia-siakannya.
Kita akan bertemu dengan beberapa perkara menarik yang akan saya bahaskan. Antara yang bakal disentuh ialah kisah Raja Iskandar Zulkarnain dan kaitannya dengan Zulqarnain yang disebut dalam Al-Quran, kisah Raja Suran turun ke dalam laut, kaitan Raja Suran dengan Rajendra 1, kisah Badang, Hang Tuah bertikam dengan Hang Kasturi, tindakan-tindakan Sultan Mahmud dan lain-lain.
Selamat membaca dan sama-sama berfikir.
KISAH RAJA ISKANDAR
Sejarah Melayu mengatakan:
“...bahawa anak Raja Iskandar, anak Raja Darab, Rum bangsanya, Makuduniah nama negerinya, Zulkarnain gelarannya, sekali peristiwa baginda berjalan hendak melihat matahari terbit...”
Pengarang mengaitkan Raja Iskandar Sejarah Melayu (RISM) itu dengan ALEXANDER THE GREAT. Sememangnya Alexander berbangsa Rom, datang dari Macedonia dan pernah mengembara ke arah Timur. Namun nama bapa Alexander ialah PHILLIPS, dan setakat ini saya belum menemui apa-apa perkaitan antara nama Phillips dengan RAJA DARAB.
KISAH RAJA DARAB
Siapakah Raja Darab? Mengapa Sejarah Melayu mengatakan dia ialah bapa kepada Raja Iskandar Zulqarnain? Buku Bustanus Salatin juga mengatakan begitu. Saya menjelajah ke dalam HIKAYAT ISKANDAR ZULKARNAIN, dan menemui jawapan yang menarik.
Menurut Hikayat Iskandar Zulkarnain, Raja Darab ialah pemerintah di Parsi. Tenteranya berjaya mengalahkan tentera Raja Qilas (Filaqus/ Phillips). Oleh itu Raja Qilas (Phillips) yang berkedudukan di Makuduniah (Macedonia) terpaksa membayar ufti kepada Raja Darab. Selain itu, anak Raja Qilas bernama PUTERI SAFIYA ARQIYA dikahwinkan dengan Raja Darab.
Atas sebab-sebab yang tidak jelas, Raja Darab mengembalikan Puteri Safiya Arqiya kepada bapanya di Makuduniah. Tanpa disedari, Puteri Safiya Arqiya sedang mengandungkan anak Raja Darab. Masyarakat Makuduniah tidak tahu cerita ini, begitu juga dengan Raja Darab. Raja Qilas berpakat dengan anaknya Puteri Safiya Arqiya untuk menyembunyikan hal sebenar. Apabila anak itu lahir, ia dikatakan anak Raja Qilas dengan salah seorang isterinya (mungkin yang bernama Olympia situ). Sebab itulah agaknya Alexander the Great dikenali sebagai anak kepada Raja Phillips.
Anak itu lahir lalu dinamakan Iskandar. Nama Iskandar itu sempena nama daun iskandar (daun sindrus) yang dimakan oleh ibunya untuk menghilangkan penyakit mulut busuk. Begitulah menurut Hikayat Iskandar Zulkarnain.
Jika benar kisah ini, fahamlah kita mengapa Raja Iskandar itu dikatakan anak Raja Darab, bukannya anak Raja Qilas (Phillips).
Tetapi mengapa penulis-penulis di Macedonia menyebutkan Alexander the Great sebagai anak kepada Raja Phillips? Padahal Raja Phillips ialah datuknya. Apakah kerana mereka tidak tahu Puteri Safiya Arqiya hamil dengan Raja Darab? Ataupun mereka tahu, tetapi tidak suka mengaitkan pemerintah mereka dengan musuh tradisi dunia Rom iaitu Parsi? Tapi penulis sejarah Alexander yang berbangsa dan beragama Yahudi pun tidak menulis tentang hal ini.
Pada zaman itu, syariatnya membenarkan perkahwinan antara bapa dengan anak. Menurut Hikayat Iskandar Zulkarnain, Raja Darab dilahirkan oleh ibunya (Humani) yang berkahwin dengan datuknya (Raja Bahaman). Adakah selepas Raja Phillips tahu anaknya hamil, dia terus mengahwini anaknya (ataupun berlakon mengahwini anaknya) agar tidak dikatakan anak itu nanti anak Darab dari Parsi?
Jawapannya sudah kita beri tadi, iaitu Raja Qilas mengumukan anak itu (Iskandar) ialah anaknya sendiri dengan salah seorang isterinya. Yang menghairankan kita, mengapa para penulis sejarah Rom tidak tahu akan hal ini?
Nanti! Menurut Arrian (89-180 Masehi), BAPA ALEXANDER THE GREAT ialah DARI KALANGAN PARA DEWA. Plutarch (46-120 Masehi) pula mengatakan Alexander the Great ialah ANAK DEWA ZEUS dan Dewa Ammon. Nampaknya seakan-akan para penulis sejarah kuno itu menyedari ada sesuatu yang tidak kena dengan ibu dan bapa Alexander yang sebenar lalu menisbahkannya dengan dewa-dewi.
Hal yang lebih kurang sama berlaku kepada Nabi Isa. Penganut ajaran Nabi Isa versi St.Paul (Paulus) dan versi pemerintah Rom tidak dapat merungkai dengan tepat akan butiran kelahiran Nabi Isa tanpa bapa, lalu menisbahkannya sebagai anak kepada Tuhan.
RAJA ISKANDAR DI UTARA INDIA
Dalam perjalanannya ke Timur, Raja Iskandar tiba di serokan (sungai yang menjadi perbatasan negeri Hindi (India Utara pada zaman dahulu) dan berperang dengan RAJA KIDA HINDI.
Tentang Raja Kida Hindi yang dikalahkan oleh Raja Iskandar, Sejarah Melayu mengatakan:
“Maka ada seorang raja di Tanah Hindi terlalu besar kerajaannya, setengah negeri Hindi itu di dalam tangannya. Namanya Raja Kida Hindi.”
Saya rasa serokan ini terletak di salah satu cabang awal SUNGAI INDUS kerana Sungai Indus menjadi perbatasan negeri India Utara pada zaman Alexander the Great. Lebih tepat lagi lokasinya ialah di Hydaspes/ Sungai Jhelum. Raja Kida Hindi berjaya ditangkap lalu didakwahkan agar memeluk agama Nabi Ibrahim.
“Maka alahlah Raja Kida Hindi itu, oleh Raja Iskandar ditangkap baginda dengan hidupnya; maka disuruhnya membawa iman, maka Raja Kida Hindi pun membawa imanlah jadi Islam, di dalam agama Nabi Ibrahim, Khalilullah alaihissalam.”
Dikatakan Raja Iskandar Zulqarnain membawa AGAMA NABI IBRAHIM. Maklumat ini mungkin tidak sesuai dengan Alexander the Great dan para agamawan Rom (seperti Socrates, Plato dan Aristotle) kerana saya belum jumpa maklumat tentang wujudnya hubungan akrab antara agama mereka dengan agama Nabi Ibrahim (perkara yang saya tidak temui, tidak mustahil ada ditemui oleh pengkaji yang lain). Adakah apa-apa peninggalan tulisan mereka yang menyentuh tentang Nabi Ibrahim jika benar mereka beragama Nabi Ibrahim?
Apabila Raja Iskandar dikatakan membawa agama Nabi Ibrahim, saya beranggapan hal ini mungkin menunjukkan KEDEKATAN ZAMAN antara Zulqarnain sebenar dengan Nabi Ibrahim. Ada kemungkinan mereka hidup sezaman ataupun sekurang-kurangnya hampir sezaman. Tidak sesuailah jika Zulqarnain sebenar hidup pada zaman nabi-nabi yang lain tetapi disebut sebagai pembawa agama Nabi Ibrahim, dan melupakan nama nabi-nabi yang lain.
Alexander the Great tidak hidup pada zaman Nabi Ibrahim, malahan jauh jarak masa antara kedua-duanya. Saya menganggarkan Alexander the Great hidup 1600-1700 tahun SELEPAS Nabi Ibrahim. Bukankah sepatutnya dia lebih layak dikatakan membawa agama Socrates, atau Aristotle, Nabi Musa, Nabi Daud, Nabi Sulaiman, Zoroaster, Buddha ataupun yang lain-lain? Ataupun sekurang-kurangnya disebutkan mana-mana nama nabi disamping nama Nabi Ibrahim?
KISAH RAJA KIDA HINDI
Berdasarkan sejarah tentang Alexander the Great, jika ada persamaan pun, mungkin Raja Kida Hindi ini ialah RAJA PORUS (Raja Puru/ Rai Por/ Paurava/ Parvatka) dari India Utara. Tentera Alexander the Great teruk berperang dengan tentera Raja Porus. Walaupun Alexander memenangi peperangan itu, Raja Porus tidak dibunuhnya, malah dikekalkan sebagai raja (wakil/ gabenor kepada Alexander) di utara India.
Selepas pertempuran itu, hati tentera Alexander hendak menjelajah tanah besar India jadi tawar. Lebih-lebih lagi selepas bunga-bunga pemberontakan muncul dalam kalangan tenteranya yang sudah terlalu keletihan, GENTAR dengan tentera India yang menanti di seberang sungai dan mahu pulang ke negara asal masing-masing. Peperangan dengan Raja Porus benar-benar melunturkan semangat tentera Alexander. Mereka tidak sanggup berdepan dengan tentera bergajah India yang menanti mereka seterusnya.
Peperangan dengan Porus merupakan perang besar terakhir yang dilalui oleh Alexander the Great. Selepas itu Alexander bergerak pulang menuju Babylon.
KEKUASAAN RAJA KIDA HINDI
Sejarah Melayu mengatakan:
“Maka ada seorang raja di Tanah Hindi terlalu besar kerajaannya, setengah negeri Hindi itu di dalam tangannya. Namanya Raja Kida Hindi.”
Nampaknya Raja Kida Hindi bukanlah Maharaja yang memerintah India, tetapi sekadar seorang raja di India Utara (Tanah Hindi). India Utara itu pun tidak dikuasainya semua, melainkan separuh. Jadi lawan Raja Iskabdar Sejarah Melayu itu tidaklah sebesar mana.
MAHARAJA INDIA PADA ZAMAN ITU
Siapakah pemerintah Tanah Besar India pada zaman itu, yang digeruni oleh tentera Alexander the Great itu? Dialah Maharaja Dhana Nanda dari EMPAYAR NANDA. Dikatakan tentera Alexander the Great ketakutan melihat tentera Nanda yang menanti mereka di seberang sungai. Dianggarkan tentera yang menanti itu berjumlah 80,000 askar berkuda, 200,000 askar berjalan kaki, 8,000 buah kereta kuda dan 6,000 ekor gajah tempur.
Dengan tentera Raja Porus (pemerintah ½ India Utara) pun tentera Alexander kerisauan, apatah lagi dengan tentera Maharaja Dhana Nanda (pemerintah Tanah Besar India) yang jauh lebih kuat.
Timbul persoalan di hati saya... benarkah tentera Alexander the Great ini ialah tentera Zulqarnain sebenar? Betulkah Alexander the Great itu ialah Zulqarnain sebenar? Bukankah Al-Quran mengatakan: “Sesungguhnya Kami berikan kepadanya (Zulqarnain) kuasa di bumi, dan Kami berikan kepadanya JALAN BAGI MENCAPAI SEGALA SESUATU yang diperlukannya?”
Alexander the Great gagal menakluki India. Dia gagal mendapatkan keyakinan para tenteranya untuk bertempur. Bolehkah dikatakan Alexander the Great itu diberikan Tuhan JALAN BAGI MENCAPAI SEGALA SESUATU? WaAllahua’lam.
RAJA ISKANDAR KE TIMUR & PULANG KE MAKUDUNIAH
Sejarah Melayu mengatakan, selepas menaklukkan India Utara, Raja Iskandar telah meneruskan pengembaraannya ke Timur.
“...maka berangkatlah Raja Iskandar seperti adat dahulukala; dan tuan puteri anak Raja Kida Hindi (*yang baharu dikahwininya) pun dibawa baginda. Maka baginda pun berjalanlah lalu ke matahari hidup (*Timur), seperti yang tersebut di dalam hikayatnya yang termasyhur itu.”
Hal ini berbeza dengan pengembaraan Alexander the Great kerana dia berperang dengan Utara India hanya selepas pulang dari Timur, bukannya sedang menuju ke Timur. Ada kemungkinan Raja Iskandar Zulqarnain yang disebut oleh Sejarah Melayu tidak sama dengan Alexander the Great. Apatah lagi di kemudian nanti Sejarah Melayu menyebutkan Raja Iskandar PULANG KE MACEDONIA selepas menamatkan pengembaraannya.
“Setelah 45 tahun lamanya Raja Iskandar sudah KEMBALI KE NEGERI MAKUDUNIAH, maka Raja Kida Hindi pun kembalilah ke rahmat Allah (*meninggal dunia).”
Alexander the Great? Dia tidak berjaya pulang ke Macedonia kerana meninggal dunia di separuh jalan, iaitu di Babylon (Iraq).
Namun begitu, ada sedikit maklumat daripada peta-peta perjalanan Alexander the Great selepas berperang dengan Raja Porus. Alexander ada bergerak ke arah Timur sedikit dan hanya sebentar. Selepas itu dia kelihatan kembali ke pusat pemerintahan Raja Porus. Bahagian ini menampakkan persamaan dengan kisah Raja Iskandar dalam Sejarah Melayu.
KEMATIAN RAJA KIDA HINDI
“Setelah 45 tahun lamanya Raja Iskandar sudah kembali ke negeri Makuduniah, maka Raja Kida Hindi pun kembalilah ke rahmat Allah (*meninggal dunia).”
Raja Kida Hindi meninggal dunia selepas 45 tahun Raja Iskandar pulang ke Macedonia, manakala Raja Porus dikatakan meninggal dunia dibunuh beberapa tahun selepas kematian Alexander the Great. Adakah Raja Kida Hindi dan Raja Porus ialah orang yang sama? Nampak macam berbeza.
Saya berpandangan penulis (ataupun mungkin sekadar penyusun semula) Sejarah Melayu iaitu Tun Sri Lanang banyak tidak tahu tentang hal ehwal Zulqarnain sebenar. Berdasarkan cerita-cerita rakyat, dia beranggapan Zulqarnain sebenar itu ialah Raja Iskandar anak Raja Darab, dan Raja Iskandar itu pula ialah Alexander the Great. Hal ini kerana maklumat-maklumat yang ditulisnya menunjukkan ada beberapa ketidaksamaan antara sejarah Raja Iskandar Sejarah Melayu dengan sejarah Alexander the Great. WaAllahua’lam.
KELAHIRAN ANAK RAJA ISKANDAR
“Maka cunda baginda (*cucu kepada Raja Kida Hindi dan anak kepada Raja Iskandar yang bernama) Raja Aristunlah di atas kerajaan dalam negeri Hindi, menggantikan kerajaan nenda baginda, adalah umur baginda di atas kerajaan 350 tahun.”
Raja Iskandar berkahwin dengan Puteri Shahrul Bariyah (anak kepada Raja Kida Hindi). Selepas kepulangan Raja Iskandar ke Makuduniah, Puteri Shahrul Bariyah melahirkan anak mereka lalu dinamakan ARISTUN. Nama ‘Aristun’ ini seringkali dikaitkan dengan nama Aristotle (guru kepada Alexander the Great di Macedonia). Maksudnya anak Raja Iskandar dinamakan sempena nama guru kepada Raja Iskandar itu. Hal ini sedikit sebanyak menguatkan pandangan pihak yang memilih Alexander the Great sebagai Zulqarnain sebenar.
Berbalik kepada Raja Porus. Selepas kematiannya, tempatnya digantikan oleh anaknya bernama MALAYKETU. Apakah nama Malayketu ada apa-apa persamaan dengan Aristun/Aristotle?
Aristun memerintah India Utara selama 355 TAHUN. Malayketu pula memerintah hanya selama kurang daripada 10 TAHUN. Dipercayai dia terbunuh dalam Pertempuran Gabiene pada tahun 316 SM. Bolehkah kita katakan mereka ialah orang yang sama?
Pemerintahan Aristun selama 355 tahun juga saya rasakan mungkin tidak benar. Saya sudah cuba mencari apa-apa catatan tentang seorang pemerintah di India dan sekitarnya selepas zaman Alexander the Great yang hidup lebih daripada 300 tahun... tetapi gagal. Tokoh berumur panjang sebegitu pada zaman itu mungkin tidak wujud. Tapi jika pada zaman-zaman sebelum itu, mungkin ada. Bukankah orang-orang terdahulu banyak yang berusia ratusan tahun?
Jadi mengapa dikatakan pemerintahan Raja Aristun sepanjang 355 tahun? Apakah pengarang asal atau penyusun kemudian mahu menyembunyikan sesuatu? Ataupun dia tidak tahu apa-apa lalu mengambil jalan mudah untuk menutup sejarah sepanjang 355 tahun?
DARI DARI KIDA HINDI KE RAJA SURAN
Berikut ialah para penerus kerajaan Raja Kida Hindi.
Raja Kida Hindi
Aristun bin Raja Kida Hindi (memerintah 355 tahun)
Aftus bin Aristun (120 tahun)
Askainat (3 tahun)
Kasdas (12 tahun)
Amtabus (13 tahun)
Zamzius (7 tahun)
Kharus Kainat (30 tahun)
Arhat Askainat (9 tahun)
Kudar Zakuhun bin Amtabus (70 tahun)
Nikabus (40 tahun)
Ardisyir Babegan bin Kudar Zakuhun (berkahwin dengan anak seorang raja besar iaitu RAJA NURSYIRWAN ADIL)
Dermanus bin Ardisyir
Shah Tersi bin Dermanus
Zimrut bin Shah Tersi
Tersi Berderas bin Zimrut
Tersi Berderas berkahwin dengan anak Raja Sulan, raja AMDAN NAGARA. Perkahwinan ini melahirkan Raja Suran.
PERBANDINGAN SEJARAH MELAYU – BUSTANUS SALATIN
Bustanus Salatin (Taman Raja-Raja) dipercayai susunan Syeikh Nuruddin ar-Raniri. Dia merujuk Sejarah Melayu susunan Tun Sri Lanang dalam mengisahkan keturunan Raja Suran, tetapi ada beberapa kemusykilan.
Bustanus Salatin menyebut:
Raja Kida Hindi sebagai Raja Kandi Hindi.
Aristun bin Raja Kida Hindi sebagai Sultan Marsitun Syah.
? (tidak disebut oleh Sejarah Melayu) = Sultan Aflus bin Dara
Aftus bin Aristun (120 tahun) sebagai Abtus bin Dara
? (tidak disebut oleh Sejarah Melayu) = Sultan Sabur bin Dara
Askainat (3 tahun) = tidak disebut
Kasdas (12 tahun) = tidak disebut
Amtabus (13 tahun) = tidak disebut
Zamzius (7 tahun) = tidak disebut
Kharus Kainat (30 tahun) = tidak disebut
Arhat Askainat (9 tahun) = tidak disebut
Kudar Zakuhun bin Amtabus (70 tahun) = tidak disebut
Nikabus (40 tahun) = tidak disebut
Ardisyir Babegan bin Kudar Zakuhun sebagai Sultan Ardusyir Baikan.
Dermanus bin Ardisyir = tidak disebut
Shah Tersi bin Dermanus = tidak disebut
Zimrut bin Shah Tersi sebagai Sultan Zumarat bin Dara
Tersi Berderas bin Zimrut sebagai Sultan Tursi Darus
Masalahnya:
1. Bustanus Salatin meninggalkan banyak nama raja-raja iaitu 10 orang. Sanadnya terputus di beberapa tempat. Maksudnya jalur keturunan dalam Bustanus Salatin ‘melompat-lompat’.
2. Raja-raja dalam Bustanus Salatin banyak disebut ‘bin Dara” atau “anak kepada Dara” walaupun nama bapa mereka bukan Dara. Mungkin untuk menunjukkan yang mereka keturunan Raja Dara, ataupun mungkin juga kerana Syeikh Nuruddin ar-Raniri tidak pasti nama bapa-bapa mereka lalu mengambil jalan mudah membinkan mereka dnegan Dara sahaja.
3. Bustanus Salatin menambah 2 orang raja dalam jalur keturunan itu.
Berdasarkan pemerhatian ini, nampaknya KESAHAN SEJARAH MELAYU melebihi kesahan Bustanus Salatin. WaAllahua’lam.
VERSI SHELLABEAR vs VERSI A. SAMAD AHMAD
Seorang sahabat memberikan salasilah Raja Iskandar sampai kepada Raja Suran berdasarkan penelitiannya terhadap Sejarah Melayu/ Sulalatus Salatin versi A. Samad Ahmad. Di sini saya bandingkan maklumat yang diberi dengan maklumat dalam Sejarah Melayu versi WG Shellabear.
1. Yang berhuruf besar ialah nama raja-raja yang pernah memerintah, menurut Sejarah Melayu versi Shellabear yang ada di tangan saya.
2. Yang berhuruf kecil ialah nama raja-raja menurut Sejarah Melayu versi A. Samad Ahmad (sebagaimana rajah yang diberikan oleh shabat saya Abdul Hamid Abdul Wahab). Saya tidak ada versi A. Samad Ahmad ini.
3. Nampaknya versi A. Samad Ahmad lebih lengkap. Dalam versi Shellabear, banyak raja-raja yang tidak disebutkan nama bapa mereka membuatkan kita sukar untuk membuat pengecaman.
4. Dalam versi A. Samad Ahmad, ada nama raja-raja yang tidak disebutkan oleh versi Shellabear. Boleh jadi mereka tidak berkesempatan memerintah, sebab itu tidak disebut dalam versi Shellabear.
Berikut ialah senarai nama raja-raja tersebut:
ISKANDAR
Iskandar
ARISTUN SYAH BIN ISKANDAR
Aristun Syah bin Iskandar
AFTUS BIN ARISTUN SYAH
Aftus bin Aristun Syah
(*Ada dua anak iaitu Aska’inat dan Sabur)
ASKAINAT
Aska’inat bin Aftus
(*Abang Sabur)
KASDAS
Kasdas bin Askainat
(*Anak saudara Sabur, sepupu Amtabus)
????? (*Tidak disebut dalam versi Shellabear. Mungkin raja ini ialah Raja Sabur, dan dia tidak memerintah)
Sabur bin Aftus
(*Adik Aska’inat. Mungkin seumur hidupnya berada di bawah pemerintahan abangnya. Namun kemudian anaknya berjaya jadi pemerintah)
AMTABUS BIN SABUR
Amtabus bin Sabur
(*Mungkin naik takhta selepas Kasdas, iaitu sepupunya)
ZAMZIUS
Zaman Yus bin Kasdas
KHARUS KAINAT
Kharu Seka’inat bin Zaman Yus
ARHAT ASKAINAT
Arhat Seka’inat bin Kharu Seka’inat
KUDAR ZAKUHUN BIN AMTABUS
Kudar Zakuhun bin Amtabus
(*Abang Nabtayusar)
NIKABUS
Nabtayusar bin Amtabus
(*Adik Kudar Zakuhun. Mungkin naik takhta menggantikan abangnya)
ARDASYIR BABEGAN BIN KUDAR ZAKUHUN
Ardis Mikan bin Kudar Zakuhun
(*Mungkin menggantikan bapa saudaranya iaitu Nabtayusar)
DERMANUS BIN ARDASYIR BABEGAN
Darmanus bin Ardis Mikan
(*sampai di sini Sejarah Melayu versi Shellabear tidak menyebutkan nama raja/ raja-raja selepasnya, tetapi terus saja kepada Tersi Berderas. Tapi memang dinyatakan ada beberapa raja selepas Dermanus)
?????
Syah Tersi bin Dermanus
?????
Zaman bin Syah Tersi
TERSI BERDERAS BIN ZIMRUT
Teris Berderas bin Zaman
ANAK-ANAK RAJA TERSI BERDERAS
HIRAN BIN TERSI BERDERAS (Raja di Benua Hindi)
Hiran bin Tersi Berderas
RAJA SURAN BIN TERSI BERDERAS (Raja di Amdan Nagara)
Raja Suran bin Tersi Berderas
FANDIN BIN TERSI BERDERAS (Raja di Turkistan)
Fandin bin Tersi Berderas
ANAK RAJA SURAN DENGAN PUTERI ONANG KIU
PUTERI CENDANI WASIS (Berkahwin dengan Raja Culan, iaitu anak Raja Hiran)
Puteri Cendani Wasis (Berkahwin dengan Raja China, dapat anak bernama Raja Cu Lan)
# Pada bahagian ini ada perbezaan yang besar antara versi Shellabear dengan versi A. Samad Ahmad)
ANAK RAJA SURAN DENGAN PUTERI ZARIS GANGGA
Anak Raja Suran dengan Puteri Dara Segangga
BICITRAM SYAH (Raja di Candu Kani)
Citram Syah
PALDU TANI (Raja di Amdan Nagara)
Paladu Tani
NILA MANAM (Raja di Bija Nagara)
Nila Manam
ANAK RAJA SURAN DENGAN PUTERI MAHTABUL BAHRI (di bawah lautan)
NILA PAHLAWAN
Nila Pahlawan Sang Si Perba
KERISYNA PANDITA
Krisyna Pandita
NILA UTAMA
Nila Utama Seri Teri Buana
Akhirnya, ribuan terima kasih kepada sahabat saya Tuan Abdul Hamid Abdul Wahab yang sudi berkongsi maklumat-maklumat berharga Sejarah Melayu versi A. Samad Ahmad.
SIAPAKAH RAJA SURAN?
RAJA SURAN bin Tersi Berderas menjadi pemerintah di AMDAN NAGARA. Dikatakan semua kerajaan di India dan Nusantara berada di bawah naungannya kecuali Negara China. Siapakah Raja Suran? Dia sering dikaitkan sebagai Rajendra 1, pemerintah Kerajaan Chola di India Barat. Sungguh pun begitu, beberapa pengkaji menolak persamaan ini.
Di manakah lokasi kerajaan Amdan Nagara yang diperintah oleh Raja Suran itu? Mengikut bahagian catatan buku Sejarah Melayu, Amdan Nagara ialah Hamadan atau Ektaban di wilayah Parsi (Iran). Jika benar Raja Suran ialah pemerintah di Parsi, maka tentunya dia bukanlah Rajendra 1 kerana Kerajaan Chola terletak di Timur India. Untuk menyamakan antara Raja Suran dengan Rajendra 1, maka sebahagian pengkaji menyamakan Amdan Nagara dengan Chola.
Kedua, Sejarah Melayu mengatakan Raja Suran dan tenteranya TIDAK TAHU JAUH JARAK KE NEGARA CHINA. Raja China membuat helah hinggakan Raja Suran dan tenteranya percaya negara China terletak sangat jauh dan perjalanan ke sana memakan masa puluhan tahun melalui jalan laut. Kepercayan ini membuatkan Raja Suran membatalkan hasratnya untuk menakluk China.
Ketika Raja Suran dan tenteranya tiba di Temasik (Singapura), Maharaja China yang ketakutan telah menghantar sebuah perahu berisi orang-orang tua yang sudah tidak bergigi. Tiba di Temasik, orang-orang tua itu berbohong mengatakan jarak ke negara China sangat jauh. Ketika mereka mula belayar dari negara China, mereka masih kanak-kanak. Mereka tiba di Temasik hanya setelah tidak ada gigi kerana tuanya. Cerita ini membuatkan Raja Suran membatalkan perjalanannya ke negera China.
Nampaknya Raja Suran dan Rajendra 1 bukanlah orang yang sama, kerana sumber-sumber sejarah Dinasti Song pula menunjukkan PADA ZAMAN RAJENDRA 1 SUDAH ADA UTUSAN DARI KERAJAAN CHINA KE INDIA iaitu pada tahun 1015 M. Maksudnya Rajendra 1 dan tenteranya sepatutnya tahu bahawa jarak perjalanan ke China tidaklah memakan masa puluhan tahun. Oleh kerana mereka tidak tahu, maksudnya mereka hidup pada zaman yang sangat kuno, iaitu sebelum wujudnya hubungan dagang yang aktif antara India dengan China.
Sejarah Melayu juga merakamkan, selepas Raja Suran menyerang Johor, tidak ada lagi kerajaan lain yang hendak dilanggarnya melainkan China. Maksudnya ketika itu BELUM WUJUD KERAJAAN SRIVIJAYA yang berpusat di Palembang, Sumatera. Padahal pada zaman Rajendra 1, kerajaan Srivijaya sudah wujud dan seringkali menjadi musuh kepada Kerajaan Chola.
Boleh jadi juga Kerajaan Ganggayu di hulu Sungai Johor (yang diserang oleh Raja Suran) itu ialah pusat pemerintahan Srivijaya dan pusat pemerintahan seluruh Nusantara pada zaman itu. Selepas kekalahan di Johor, maka barulah waris-warisnya memindahkan pusat pemerintahan Srivijaya ke Palembang, Sumatera.
Jika Sriviyaya Palembang sudah wujud, pastinya Raja Suran akan menyerang Srivijaya Palembang. Tetapi Sejarah Melayu mengatakan penaklukan Raja Suran terhenti di Temasik (Singapura) sahaja. Srivijaya pula terkenal punya hubungan baik dengan China. Tentulah orang sekitar Tanah Melayu pada zaman itu tahu jarak ke negara China tapi bagi Raja Suran, tenteranya dan penduduk Perak dan Johor pada zaman itu TIDAK TAHU JARAK KE NEGARA CHINA. Pelik.
Pengembara terkenal China iaitu I-Tsing dipercayai pernah singgah di Srivijaya dalam perjalanannya ke India pada tahun 671 M dan 695 M. Padahal Rajendra 1 dari India boleh tidak tahu jarak ke negara China PADA TAHUN 1025 M.
Kerajaan Langkasuka yang terletak di Pattani dan Kedah pernah menghantar utusan ke China pada 523 M, 531 M dan 568 M. Kerajaan Panpan di Pantai Timur Semenanjung menghantar ufti ke China pada 529 M, 533 M, 534 M, 535 M, 571 M, 616 M dan 637 M. Tak kanlah penduduk Gangga Negara di Perak (yang diserang oleh Raja Suran) pada tahun 1025 M boleh tidak tahu jarak ke negara China?
Berdasarkan maklumat-maklumat ini, saya fikir boleh jadi Raja Suran hidup jauh lebih awal daripada Rajendra 1, sebagaimana sebahagian pengkaji juga mengatakan Zulqarnain sebenar hidup lebih awal daripada Alexander the Great dan Cyrus the Great. WaAllahua’lam.
NUSANTARA PADA ZAMAN RAJA SURAN
Dahulu kala ada banyak kerajaan di Burma, Thai, Siam, Indochina, Tanah Melayu, Pulau Sumatera dan Pulau Jawa. Namun adakah kerajan-kerajaan ini wujud pada zaman Raja Suran?
Dari Amdan Nagara, Raja Suran hendak menyerang negara China. Dalam perjalanannya ke negara China, Sejarah Melayu merakamkan bahawa Raja Suran menyerang kerajaan Gangga Nagara di Perak dan kerajaan Ganggayu di hulu Sungai Johor. Maksudnya Raja Suran TIDAK DATANG DARI INDOCHINA DAN BELUM PERNAH KE INDOCHINA.
Ada pengkaji percaya Raja Suran berasal dari Indochina. Pandangan ini mungkin tidak sesuai kerana jika benar dia hendak menyerang China, bukankah sepatutnya dari Indochina dia TERUS NAIK KE UTARA (iaitu negara China)? Mengapa dia bergerak ke selatan (Tanah Melayu) menjauhi negara China? Kan pelik?
Raja Suran yang datang dari sebelah barat (Iran ataupun India) itu juga belum ke Indochina. Jika dia sudah ke Indochina, apa gunanya dia berpatah balik ke selatan (Tanah Melayu) untuk menyerang negara China yang di utara? Jika dia sudah menjejakkan kaki ke Indochina, pastinya ORANG INDOCHINA TAHU JARAK KE NEGARA CHINA.
Jadi saya berpandangan (setakat ini) bahawa Raja Suran tidak berasal dari Indochina dan belum pun menjejakkan kaki ke sana. Namun, ada beberapa persoalan...
MENGAPA RAJA SURAN TIDAK KE INDOCHINA? ADakah kerana belum wujud kerajaan-kerajaan besar di sana? Jika benar begitu, maksudnya kisah Raja Suran ini sudah sangat lama, sebelum wujudnya kerajaan-kerajaan kuno di Indochina, iaitu sebelum zaman kerajaan Funan (sekitar abad pertama Masehi), kerajaan Chenla, kerajaan Angkor dan Khmer (800 M). Juga sebelum zaman Rajendra 1 dan sebelum zaman Sriwijaya Palembang.
Ataupun kerajaan-kerajaan itu memang sudah wujud dan sudah pun menjadi negeri naungan kepada Amdan Nagara (yang tidak perlu diserangnya lagi)? Jika benar begitu, pastinya dia akan bertanya kepada kerajaan-kerajaan itu tentang lokasi negara China. Malangnya tidak.
RAJA SURAN PADA ZAMAN YANG MANA?
Pada sekitar 600 M, kerajaan Srivijaya di Palembang, Sumatera sudah wujud. Maksudnya Raja Suran datang paling awal pun pada 600 M (atau sebelumnya), sebelum kerajaan Srivijaya Palembang wujud.
Kerajaan Funan terletak di Indochina. Pada tahun 263 M, rekod istana China menunjukkan ada sekumpulan pemuzik dari Funan datang membuat persembahan di istana China. Dalam penaklukan Raja Suran, dia tidak ke Indochina, maksudnya dia tidak menyerang mana-mana kerajaan di sana termasuklah Funan. Tamat ekspedisi di Temasik, Raja Suran terus pulang ke tempatnya (India ataupun Iran). Kerajaan Funan pula dipercayai mula bertapak sekitar abad pertama Masihi. Apakah ini maksudnya Raja Suran datang LEBIH AWAL DARIPADA TAHUN 100 MASIHI?
NAMA RAJA SURAN SEBAGAI PETUNJUK
Sebutan Melayunya ‘Suran’, sebutan asalnya apa? Suryavarman? Saravanan? Surya? Survan? Sooria? Saya terfikir, boleh jadi nama maharaja besar ini ada kaitan dengan ‘suria’ iaitu matahari. Maksudnya dia ialah Raja Matahari. Siapakah Raja Matahari? Mungkin dia pemerintah Kerajaan Matahari. Wujudkah Kerajaan Matahari?
Saya pun mencari-cari kerajaan kuno yang berkait dengan matahari. Akhirnya saya ketemu sebuah Empayar Matahari yang sangat luas kekuasaannya pada zaman kuno dan dibarisi oleh ramai raja-raja lagenda. Ia dikenali sebagai Dinasti Matahari/ Dinasti Surya/ Dinasti Suria/ Suryawangsa.
MENGENALI KERAJAAN SURIA/ MATAHARI
Dinasti Matahari ini dipercaya diasaskan oleh Manu di India. Lagenda Hindu menganggap Manu sebagai raja pertama di dunia. Manu ialah ANAK KEPADA DEWA SURYA (Dewa Matahari). Manu mengasaskan kerajaan pertama di dunia (ataupun sekurang-kurangnya yang pertama di India) iaitu kerajaan Kosala. Pusat pemerintahan Kosala terletak di Ayodhia, India. Orang dari dinasti ini disebut sebagai ‘survanshi’ atau ‘surwanshi’. Anda boleh mengesan persamaan bunyi-bunyi ini dengan ‘suran’? Boleh jadi salah seorang raja dari DINASTI SURIA inilah yang dikenali sebagai Raja Suran (Raja Matahari) dalam Sejarah Melayu.
Adakah Rajendra 1 si pemerintah kerajaan Chola itu salah seorang raja Dinasti Matahari? Tidak, kerana Dinasti Matahari ini tamat pada abad ke-4 Sebelum Masihi sedangkan Rajendra 1 menyerang Asia Tenggara sekitar 1000 Masihi.
Mendengar nama Ayodhia membuatkan saya terfikir, mungkinkah ada kaitannya dengan kerajaan AYUTHIA di utara Tanah Melayu? Mungkinkah:
1. Kedua-duanya kerajaan yang sama? Mungkin tidak kerana lokasi dan masa kedua-duanya yang berjauhan. Namun mungkinkah keluasan kerajaan Ayodhia ketika itu sudah melebar dari utara India hingga ke utara Tanah Melayu?
2. Ayodhia dikalahkan lalu pewarisnya melarikan diri dan membuka kerajaan dengan nama yang sama di utara Tanah Melayu tetapi lama-kelamaan disebut sebagai Ayuthia?
3. Is sebuah kerajaan lain, cuma mengambil nama sebuah kerajaan lama?
Setakat ini saya cenderung kepada kemungkinan yang ketiga.
Bersambung lagi...
Abu Zulfiqar Amsyari
http://myalexanderwathern.blogspot.com/
http://alexanderwathern.blogspot.com/
http://ikhtiarmuslim.blogspot.com/
15 comments:
As salam,
Saya baru sahaja melayari blog saudara.. Nampaknya teori2 dan fakta2 yg dikemukakan amat menarik dan kritis..
Hmm, mungkin saudara boleh berbincang dengan Cik Srikandi di blog mistisfile?
Wasalam
Wlksm Islamic Neutron,
Terima kasih banyak kerana sudi membaca dan memberi komen. Semoga diberi manfaat oleh Allah SWT.
Saya memang ada membaca blog Mistisfile. Memang bagus usaha kajian Cik Srikandi tu, banyak maklumat yang diperolehinya. IsnyaAllah suatu hari nanti kami bertukar-tukar fikiran.
Wassalam.
Abu Zulfiqar
21 Mac 2011
Tetapi saya kurang mengerti akan 1 perkara. Adakah Iskandar Zulqarnain itu bukan Raja Khurush mahupun Alexander, ke? Tetapi mereka itu sememangnya dari Makuduniah? Siapakah Raja Dua Tanduk ini?
Raja Kurush/Korsh/Cyrus dan Alexander Macedonia ialah antara calon-calon yang sering dikaitkan dengan Zulqarnian. Selain itu ada beberapa orang lagi. Masing-masing pengkaji mempunyai hujah tersendiri dalam memilih yang terbaik daripada calon-calon itu.
Raja Kurush dari Parsi, Alexander dari Makuduniah.
Apakah judul buku yang tuan akan cadangkan kepada saya untuk membacanya...?? Kerana saya hanya mengetahui dua buku sahaja iaitu, Alexander ialah Dzulqarnain, karya Muhammad Alexander serta, Benarkan Alexander Iskandar Dzulqarnain, karya (saya x tahu)...
Terima kasih sekali lagi untuk response Tuan...
Islamic, maaf lewat membalas. Di negara kita ini ada sebuah buku yang agak mudah untuk memperolehinya bertajuk Lelaki Misteri dalam Al-Quran - Iskandar Zulkarnain oleh Muhammad Khair Ramadhan Yusuf.
Sila bace novel Macedonia: Alexander Agung - Hijab Raja Zulqarnain
Zulqarnain atau Raja Zulqarnain seorang pejuang, pemerintah adil yang dikisahkan dalam al-Quran sebelum kelahiran Nabi Muhammad bin Abdullah. Di era kegelapan para penyembah berhala dan tuhan-tuhan yang pelbagai, bangkit seorang perintis tuntunan Allah bagi membebaskan dua dunia; Timur dan Barat.
Komen seorang pembaca novel Macedonia: Alexander Agung dari Sabah. "Kepada sidang pembaca yang budiman, saya syorkan. Bacalah buku Hijab Raja Zulqarnain itu, tak rugi! Trust me. Kalau anda orang yang minat aksi perang, inilah bukunya.”
Seorang lagi memberikan komen dalam Facebook, “Saya suka metod di dalam novel yang ditulis itu. Dengan cara lain dapat memberi galakan kepada mahasiswa untuk mengkaji sejarah. Tapi secara peribadi saya melihat konteks dasar dalam buku ini menjelaskan bahawa Alexander adalah Zulqarnain qurani. Sebenarnya saya lebih bersetuju jika dinilai bahawa Zulqarnain itu adalah Cyrus the Great. Setelah melihat bibliografi rujukan novel ini saya yakin yang tuan telah menilai kedua-dua karya kritis yang dikarang oleh Wisnu Sasongko dan Dr. Afarez Abdul Razak. Apa-apa pun novel ini menarik. Tahniah."
Komen lain, "Sememangnya saya minat hal dibincangkan tuan. Terima kasih dan tahniah di atas usaha tuan yang bertungkus lumus untuk menghasilkan sebuah karya yang menarik ini.”
Sy mempunyai pandangan yg lain ttg raja suran ketika hendak menyerang cina. Sy setuju, sgt pelik apabila raja suran begitu bodoh ttg jarak ke cina yg hendak diserangnya. Seorg yg begitu hebat san telah menang byk peperangan tidak tau lokasi sasaran? Sebenarnya raja suran memahami isyarat drpd maharaja cina yg menghantar rombongan org tua2 itu sbg simbolik bhw jika berperang kedua2 kiasa besar, menang jadi arang kalah jadi abu. Ia akan mengambil masa yg amat panjang dan .wrugikan kedua2 pihak. Sbb itu raja suran membubarkan tenteranya dan mengasingkan diri.
Taja Kurus dan Iskandar org berbeza...beza agama dan negara.
iskandar pemabuk dn peliwat,.sedangkan raja kurus@cyrus beriman dgn Nabi Allah Ibrahim sertA diberi kelebihan yg unik ilmu membina tembok tembaga,serta baik hati,dan bkn Org tg dimurkai lihat surah alkafi Allah swt memuji dan Menurunkan wahyu pada cyrus...banykna kajian lagi.
empayar teratai.
Kalau Raja Suran sudah sampai Temasik, kebarangkalian tempat kedudukan negara Cina bukan suatu yang susah kerana penduduk Kepulauan Melayu/ Nusantara bole dengan senang memberikan tunjuk arah tempat cina itu. Kerajaan Melayu telahpun lama wujud sebelum ditundukkan Srivijaya (Palembang) pada sekitar abad 681. Berdasarkan anggaran setiap kerajaan biasanya bertahan 500 tahun (surut pasang termasuk kegemilangannya), Kerajaan Melayu yang disebut Pendeta Itsing dari China pada 673 masehi, sudah wujud seawal abad kedua dan mungkin awal lagi. Ini lah penyebab kenapa bahsa Melayu adalah bahasa yang digunapakai oleh orang timur dan barat dan bertahan sehingga hari ini walaupun setelah diasak teruk oleh Kerajaan Sriwijaya, & Majapahit.
Salam saudara..berkenaan Raja Dua Tanduk itu bolehkah kita kaitkan dengan Empayar Minang atau Dinasti Sumatera a.k.a Minangkabau ?? Trdpt byk persamaan ttg adat Perpatih Minang N9,pentadbiran Mesir Kuno, Rome, Greek Dan mungkin ada lagi cebisan sejarah yg belum dirungkai persamannya..wallahuallam
Srimara Mek Matahari tahun 843bc musnah 580bc..Bangso Mu 16000bc di persisiranLaut Mulayu di Dataran Tinggi Banjaran Mahamiru...Bangso Mu terahsia BANGUN dengan hitamputeh menjadi kabur tidak berwarna..Nusa Sejana Bhumi...tranung bertakhta...demimu tranung...kan ku tamra y hilang...
Wow menarik
Salatus saladin mengarut...dogeng rakyat
cuba kaji dari segi tulisan ,jawi dan parsi guna arab pegon kan,tak mustahil pun asal melayu ni dari parsi dan Rom sebab dulu Iskandar Zulkarnain kuasai kedua2 belah sekaligus setelah mengalahkan kerajaan adik kandung nya yg pada mulanya bapanya raja philip (Rom)membayar ufti pada raja darab (parsi),.sebab tu tulis melayu tu jawi@parsi@arab pegon sebutannya Roman ,.wanita Allah a'lama ba asowaba
Post a Comment